Category: Semasa

  • 6,914 al-Quran, buku dikenakan larangan dirampas

    6,914 al-Quran, buku dikenakan larangan dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 6,914 naskhah al-Quran tanpa kelulusan serta bahan penerbitan yang dikenakan perintah larangan dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari sebuah premis di Pendang, Kedah, Ahad lalu.

    Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, rampasan tersebut dibuat menerusi satu serbuan dalam Ops Naskhah yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

    Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang disyaki merupakan pengedar bahan tersebut telah diambil keterangan.

    “Rampasan melibatkan sebanyak 2,874 unit al-Quran, 4,024 bahan al-Quran dan 16 unit bahan penerbitan berbentuk buku yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM563,370.

    “Dalam serbuan itu, kami berjaya merampas al-Quran yang tidak memiliki kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) serta buku yang dikenakan perintah larangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Difahamkan premis tersebut dijadikan sebagai tempat jualan serta stor penyimpanan al-Quran serta buku tersebut.

    Tambahnya, kebanyakan al-Quran dan buku-buku yang dirampas itu datangnya dari Indonesia dengan harga jualan mencecah RM500 senaskhah.

    Selain itu katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati lelaki terbabit menyimpan atau menyembunyikan bahan-bahan bacaan tersebut dalam kotak.

    “Suspek dipercayai hanya akan mengeluarkan bahan bacaan tersebut apabila hendak menjualnya,” katanya.

    Difahamkan rampasan dilakukan itu merupakan yang terbesar dilakukan pada tahun ini.

    “Ketika ini kes tersebut masih disiasat mengikut Seksyen 8(1) dan 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 serta Seksyen 7(1) dan 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

  • Keputusan kes Najib pinda laporan audit 1MDB 30 Januari

    Keputusan kes Najib pinda laporan audit 1MDB 30 Januari

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 30 Januari tahun depan untuk keputusan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

    “Saya berterima kasih dengan hujahan semua pihak,” katanya yang turut akan memutuskan isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, lapor Sinar Harian.

    Pihak pembelaan membangkitkan isu sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy boleh diberikan indemniti atau pengecualian liabiliti undang-undang dan dibebaskan daripada tuduhan selepas dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

    Dalam kes berkenaan, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara Arul Kanda oleh Datuk N Sivananthan.

    Berita lanjut menyusul…

  • PRU-15: ‘Pendirian PAS jelas, jika perlu akan bergabung dengan BN’

    PRU-15: ‘Pendirian PAS jelas, jika perlu akan bergabung dengan BN’

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini mendedahkan parti itu akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pasca PRU-15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

    “Pendirian Pas adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.

    “Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.

    “Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. Pendirian Pas jelas.

    “Kalau kita perlu gabungan (selepas PRU-15), pilihan terdekat adalah gabungan dengan BN. Begitu juga parti lain dalam BN,” katanya pada sidang media ketika meninjau pusat mengundi di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi bahawa tujuan PN bertanding PRU-15 adalah membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.

    “Saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional tidak pernah memberi mandat kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas, untuk berunding dengan Barisan Nasional bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU-15.

    “Saya berdoa dengan izin Allah SWT dan sokongan padu rakyat, PN akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang terbabit PRU-15,” katanya lapor BH Online.

    Lewat malam tadi dalam program Ceramah Perdana PRU-15 di Kampung Kubang Kiat, Takiyuddin berkata, PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pasca PRU-15.

    Takiyuddin berkata beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

    “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan Persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima PH walaupun perlu gabungan.

    “Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

    “Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” katanya.

  • Bantu pengundi muda tingkat taraf hidup – Fakrunizam

    Bantu pengundi muda tingkat taraf hidup – Fakrunizam

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Raub, Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim berpandangan bahawa perubahan perlu dilakukan bagi membantu pengundi muda untuk berdikari serta menaik taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

    Beliau berkata, golongan pengundi muda pada masa kini perlu disediakan platform untuk peluang pendidikan, pekerjaan dan tempat tinggal supaya mereka dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

    “Mana yang pandai, ada rezeki mereka boleh sambung pelajaran ke tempat yang tinggi, masuk universiti dan dapat biasiswa atau PTPTN.

    “Bagi yang kurang berkemampuan, tidak boleh sambung belajar, mereka hendak bekerja tetapi nak kerja apa?

    “Ini yang kita kena fikirkan. Polisi-polisi kerajaan untuk pembentukan kerajaan baharu ini perlu diubah,” soalnya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Jangan Harap Pengundi Muda’ semalam.

    Program yang dihoskan Fahiz Ariff itu turut menampilkan calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Lipis, Aishaton Abu Bakar dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Parlimen Sungai Buloh, Ahmad Jufliz Faiza.

    Selain itu, mengulas mengenai isu tempat tinggal pula, ulas Mohd Fakrunizam, ramai anak muda yang sudah berkahwin masih lagi tinggal bersama keluarga mereka.

    “Kita nak kalau boleh anak muda ini boleh berdikari dan bekerja. Bila bekerja, mereka boleh membina keluarga, berkahwin dan membeli rumah.

    “Ayat yang paling mudah untuk anak muda ini ialah kita kena mencari jalan membantu memberi mereka pancing, bukannya ikan.

    “Beri pancing supaya boleh memancing ikan dan supaya mereka boleh meneruskan kehidupan,” katanya lapor portal BeritaBersatu.

  • Guru Besar terlibat kemalangan motosikal maut dilanggar kereta

    Guru Besar terlibat kemalangan motosikal maut dilanggar kereta

    GURU Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta Perodua Alza di Kilometer 23.5 Jalan Ipoh- Kuala Lumpur berhampiran warung Kampung Gunung Panjang, Kampar, Perak, pagi tadi.

    Mohd. Erilzuddin Affendi Mohd. Amir, 45, menunggang motosikal Jenis Honda Vario dan disahkan maut di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada pukul 7.40 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas kereta Perodua Alza yang datang dari arah Kampar ke Ipoh hilang kawalan sebelum berpusing memasuki arah bertentangan.

    “Siasatan di tempat kejadian mendapati kedudukan kedua-dua kenderaan berada di kawasan berumput di bahu jalan menghala ke Kampar

    “Berdasarkan kedudukan kedua-dua kenderaan itu, kereta Perodua Alza dipercayai datang dari arah Kampar menuju ke Ipoh, sementara motosikal berkenaan dipercayai datang dari arah bertentangan.

    “Kereta berkenaan hilang kawalan dan berpusing masuk ke laluan motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kampar, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Alza pula dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan lanjut.

    Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa akan dijalankan pada jam 3 petang hari ini di Jabatan Forensik Hospital Kampar, “katanya.

  • PRU15; 6,051 pegawai, anggota polis Pulau Pinang mengundi awal

    PRU15; 6,051 pegawai, anggota polis Pulau Pinang mengundi awal

    SERAMAI 6,051 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 33 saluran di 28 pusat mengundi awal dibuka seluruh Pulau Pinang hari ini.

    “Selain itu, seramai 187 pegawai dan anggota telah digerakkan untuk penugasan hari ini bagi menyelaraskan proses pengundian awal hari ini,” katanya kepada pemberita di Dewan Mutiara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, pada hari pengundian awal pos 10 November lalu pula, seramai 179 pegawai kanan, pegawai rendah dan kakitangan awam turut melaksanakan tangungjawab mereka.

    Sebahagian daripada pegawai serta anggota polis menunggu giliran untuk membuang undi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, sepanjang 10 hari tempoh kempen PRU15 berlangsung polis Pulau Pinang telah mengeluarkan sebanyak 986 permit untuk aktiviti kempen yang mana 360 acara telah dijalankan setakat ini.

    “Mungkin dalam minggu-minggu akhir kempen nanti kita akan menerima lebih banyak permohonan permit,” katanya.

    Tambah beliau, setakat hari ini juga pihaknya turut menerima sebanyak 30 laporan polis berkaitan PRU15 dengan 12 kertas siasatan dan satu kertas enkuiri polis (KEP) dibuka.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain GAMBAR: Abd Razak Aid

    Sehubungan itu, katanya, polis menasihatkan semua pihak menjaga keselamatan dan bersedia menghadapi kemungkinan banjir memandangkan situasi cuaca yang tidak menentu pada masa ini dalam tempoh kempen PRU15 yang masih berbaki empat hari lagi.

    “Polis sentiasa bersedia memberi bantuan segera kepada mana-mana pihak yang memerlukannya terutama di kawasan-kawasan ‘hot spot’,” katanya.

  • Pengundi Putrajaya bimbang kerajaan ‘kluster mahkamah’ ditubuhkan selepas PRU-15

    Pengundi Putrajaya bimbang kerajaan ‘kluster mahkamah’ ditubuhkan selepas PRU-15

    KURANG seminggu tempoh kempen bagi calon-calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), segelintir pengundi di Putrajaya berasa bimbang sekiranya kerajaan yang dibentuk selepas 19 November bakal diketuai oleh gabungan yang terdiri daripada pemimpin ‘kluster mahkamah.’

    Ini kerana, pengundi di bandar penjawat awam itu tidak lagi mahu menjadi mangsa akibat kerakusan pemimpin yang menyalahgunakan dana wang rakyat seperti yang berlaku dalam kes 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman 12 tahun penjara.

    Seorang kakitangan kerajaan yang ditemui di pekarangan luar sebuah bangunan kementerian menahan sebak menceritakan kisahnya dipanggil untuk memberikan keterangan ringkas kepada pihak berkuasa berhubung salah guna kuasa pemimpin atasan.

    Lebih menyedihkan, apabila dia menjadi tempat luahan perasaan pegawai atasan yang perlu ulang alik ke mahkamah menjadi salah seorang saksi bagi perbicaraan kes-kes pemimpin ‘kluster mahkamah’.

    “Saya hanya dipanggil soal siasat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya sekali dan selesai kemukakan dokumen diperlukan.

    “Tetapi pegawai atasan saya ada yang turun naik mahkamah, gambarnya diletakkan dalam surat khabar dalam media di internet.

    “Seolah-olah kami ini yang salah sedangkan kami penjawat awam yang bekerja untuk jaga negara.

    “Saya merayu kepada pengundi Putrajaya, janganlah ulang lagi peristiwa lalu. Kita tak boleh jadi mangsa sekali lagi,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

    Sebelum ini, beberapa pegawai tinggi dan kakitangan kerajaan terutamanya dari Kementerian Kewangan dipanggil ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan membabitkan Najib yang dituduh melakukan kesalahan terhadap RM2.28 bilion dana milik syarikat pelaburan 1MDB.

    Kira-kira lebih 40 saksi dipanggil bagi memberikan keterangan sepanjang perbicaraan tersebut.

    Tinjauan MalaysiaNow ke wilayah pentadbiran negara itu mendapati suasana kempen yang sangat unik dan berbeza berbanding kawasan lain di seluruh negara.

    Calon-calon yang bertanding lazimnya mendekati pengundi di merata tempat seperti di pasar, kedai kopi, pusat membeli belah ataupun di taman perumahan.

    Bagaimanapun, suasana di Putrajaya pula menyaksikan aktiviti berkempen sangat aktif dalam waktu bekerja.

    Calon-calon akan menemui pengundi di kompleks kementerian selain melawat pusat komuniti setempat seperti surau, dewan serbaguna dan majlis perkahwinan.

    Pada pilihan raya kali ini, kerusi P125 Putrajaya melakar sejarah dengan merekodkan pencalonan terbanyak sejak 18 tahun lalu.

    Mereka ialah penyandang kerusi, selama empat penggal,Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Radzi Jidin (PN), bekas pensyarah Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH) Mohd. Rosli Ramli (Gerakan Tanah Air) dan dua calon Bebas.

    Dalam pada itu, sekumpulan pengundi di awal usia 30-an ketika ditemui di bazar jualan berdekatan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata, naratif faktor memilih calon pada PRU-15 sudah berubah tidak seperti yang digunakan pada PRU-14 lalu.

    Kata mereka, sebelum ini manifesto menjadi sebab utama untuk membuang undi.

    Bagaimanapun, pengundi-pengundi Putrajaya melihat kepada faktor siapakah calon Perdana Menteri yang dinamakan oleh setiap gabungan politik.  

    “Sekarang dah tersebar gosip kata satu undi untuk Ku Nan seperti satu undi untuk Zahid Hamidi jadi PM.

    “Kami takut kalau gosip tu betul,” kata mereka kepada MalaysiaNow.

    Ini kerana, mereka tidak mahu lagi nama kakitangan awam terjejas akibat kes rasuah.

    “Kalau Pakatan Harapan pula kami takut banyak pula yang kena pecat lagi-lagi KSU.

    “Kami nak kerajaan yang lindung pekerjanya bukan ajak bergaduh,” kata mereka merujuk kepada kenyataan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa selepas pembentukan kerajaan pada 2018, PH bertindak mahu menukarkan lapan ketua setiausaha (KSU) kementerian.

    Kira-kira seramai lebih 42,000 pengundi di Putrajaya akan membuang undi pada Sabtu ini, satu kali ganda jumlah pengundi berbanding PRU-14 dengan jumlah pengundi sekitar 23,000 orang. 

  • PRU15: PN sedia pengangkutan pada hari mengundi-Dr. Radzi

    PRU15: PN sedia pengangkutan pada hari mengundi-Dr. Radzi

    JENTERA Perikatan Nasional (PN) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pengundi pada hari pengundian, Sabtu ini.

    Mneurut calon PN Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, langkah tersebut dilaksanakan sebagai alternatif memudahkan pengundi membuang undi sekiranya hujan berterusan melanda pada hari tersebut.

    “Inisiatif itu juga bagi memastikan peratusan keluar mengundi tinggi. Kita mahu jumlah peratusan tinggi kerana kita yakin yang keluar mengundi itu mengundi PN,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di Putrajaya hari ini.

    Menurutnya, kerja-kerja kempen pada minggu akhir akan terus dipergiatkan.

    “Kita akan pastikan jentera bergerak secara efektif bagi memastikan malamnya diumumkan Putrajaya milik PN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Radzi dalam pada itu turut menyeru agar pengundi Putrajaya keluar mengundi terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halaman untuk pasangan membuang undi.

    “Saya mohon pengundi khususnya Putrajaya kalau kata nak balik kampung untuk pasangan pengundi di kampung, undi dulu di sini,” katanya.

    Mohd. Radzi berhadapan dengan lima calon lain antaranya penyandang empat penggal, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

  • PRU-15: Agensi dengan peranan bertindan wajar disatukan

    PRU-15: Agensi dengan peranan bertindan wajar disatukan

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Shah Alam, Dr Afif Bahardin mencadangkan beberapa dasar perlu dilihat dan diperkemas semula dalam usaha melahirkan syarikat-syarikat tempatan yang mampu mencapai status ‘unicorn’.

    Menurut beliau, agensi-agensi kerajaan yang mempunyai peranan bertindan wajar disatukan supaya sumber dapat disepadukan untuk tujuan tersebut.

    Beliau berkata, selagi mana dasar-dasar berkaitan tidak diubah, kita tidak akan dapat mencapai matlamat untuk menghasilkan lebih banyak usahawan yang hebat-hebat di masa mendatang.

    “Kerana itu agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan beberapa agensi lain yang mungkin bertindan peranannya supaya dapat digabungkan.

    “Saya lihat perlu ada penyusunan semula, bersesuaian dengan perubahan global, dengan norma baharu yang kita hadapi selepas COVID-19,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

    Afif sehubungan itu menegaskan, perlunya kepimpinan yang jelas, progresif dan sudi mendengar pandangan daripada pelbagai pihak terutamanya mereka di peringkat bawahan.

    Ia katanya, telah ditunjukkan oleh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin waima ketika beliau menjadi Perdana Menteri tempoh hari di mana Majlis Ekonomi Negara bersidang hampir setiap minggu bersama teknokrat, ahli korporat, pakar-pakar dan peniaga di akar umbi.

    “Usaha tersebut telah Tan Sri Muhyiddin Yassin teruskan dalam Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan beliau dan saya lihat itulah contoh kepimpinan yang perlu ada hari ini,” katanya.

  • Kestabilan kerajaan bukan bergantung kepada jumlah kerusi Parlimen

    Kestabilan kerajaan bukan bergantung kepada jumlah kerusi Parlimen

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan yang stabil mampu dibentuk oleh kerajaan minoriti, sekiranya rakyat dan negara menjadi keutamaannya.

    Menurut beliau, itu yang berlaku di banyak negara maju di dunia yang turut mengamalkan politik demokrat dan moderat seperti Malaysia.

    Tegas beliau, soal meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bukan satu isu yang membelenggu kerana akhirnya ia akan dibentang dan didebatkan sebelum diluluskan oleh Parlimen, tidak bergantung kepada jumlah kerusi yang dipegang oleh mana-mana parti.

    “Misalnya di negara-negara Nordik, asal saja ada satu kumpulan yang terbesar, walaupun dia cuma 30 atau 40 peratus daripada Dewan, mereka dibenarkan membentuk kerajaan.

    “Kita terlalu ‘rigid’ (kaku) melihat soal-soal ini, pertama dari sudut parti dan yang kedua dari sudut berapa orang (perwakilan dari sesebuah parti) dalam Parlimen.

    “Kita harus melewati pemikiran yang sebegitu,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

    Beliau faham, ada tafsiran yang pelbagai terhadap peruntukan berkenaan perkara itu dalam Perlembagaan, tapi pokok pangkalnya, kata beliau, kita harus matang.

    Begitupun, Saifuddin melihat memorandum persefahaman yang disepakati kerajaan dengan pembangkang dalam penggal yang lalu memperlihatkan kita sebenarnya sudah memulakan proses ke arah kemajuan politik yang dimaksudkan itu.

    “Walaupun ada lah di sana dan di sini liku-liku politik yang ada masanya terpaksa dihadapi, tapi kita harus yakin,” katanya, lapor Astro Awani.