GURU Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta Perodua Alza di Kilometer 23.5 Jalan Ipoh- Kuala Lumpur berhampiran warung Kampung Gunung Panjang, Kampar, Perak, pagi tadi.

Mohd. Erilzuddin Affendi Mohd. Amir, 45, menunggang motosikal Jenis Honda Vario dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada pukul 7.40 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas kereta Perodua Alza yang datang dari arah Kampar ke Ipoh hilang kawalan sebelum berpusing memasuki arah bertentangan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kedudukan kedua-dua kenderaan berada di kawasan berumput di bahu jalan menghala ke Kampar

“Berdasarkan kedudukan kedua-dua kenderaan itu, kereta Perodua Alza dipercayai datang dari arah Kampar menuju ke Ipoh, sementara motosikal berkenaan dipercayai datang dari arah bertentangan.

“Kereta berkenaan hilang kawalan dan berpusing masuk ke laluan motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kampar, hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Alza pula dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa akan dijalankan pada jam 3 petang hari ini di Jabatan Forensik Hospital Kampar, “katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here