Category: Semasa

  • PRU15: Sokongan saat akhir bantu PN tawan DUN Tioman

    PRU15: Sokongan saat akhir bantu PN tawan DUN Tioman

    CALON Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim mengakui bantuan daripada pimpinan dan jentera parti banyak membantu dalam aktiviti kempen menjelang saat-saat akhir.

    Nor Idayu berkata, tempoh kempen yang berbaki beberapa hari lagi akan digunakan sepenuhnya untuk turun ke lokaliti bagi menemui seramai mungkin pengundi terutama kumpulan sasar.

    “Setakat ini beliau sudah menemui hampir 70 peratus pengundi di DUN Tioman. Kami akan gunakan peluang pada saat akhir ini dengan melipatgandakan aktiviti bagi menarik seramai mungkin pengundi kepada PN.

    “Dengan bantuan pemimpin PN yang datang silih berganti selain jentera yang terus bersemangat membantu, Insya-ALLAH PRU15 DUN Tioman ini akan memihak kepada PN,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di Rompin hari ini.

    Katanya, jadual aktiviti beliau cukup padat setiap hari, namun terus bersemangat apabila melihat maklum balas pengundi yang begitu positif.

    Berbeza dengan calon Bebas, Sulaiman Bakar yang mengakui semakin gementar menjelang hari pengundian pada 7 Disember ini.

    Menurutnya, sokongan pengundi amat diharapkan dan sokongan diberikan kepadanya demi perubahan daerah Rompin.

  • Belum pernah dalam sejarah seorang berdepan tuduhan rasuah dilantik TPM

    Belum pernah dalam sejarah seorang berdepan tuduhan rasuah dilantik TPM

    PAKATAN Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan pengkhianatan terbesar kepada pengundi dan rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai orang nombor kedua berkuasa di Putrajaya.

    Naib Pengerusi Sayap Bersekutu Bersatu, Dr. Robert Ling Kui Ee berkata Perdana Menteri kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) tersebut sanggup membuang prinsip perjuangannya selama ini hanya semata-mata mahu terus kekal berkuasa tanpa menghiraukan kepentingan rakyat dan negara.

    “Zahid menghadapi 47 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi KL. Ini termasuk 12 pertuduhan jenayah pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah.

    “Belum pernah dalam sejarah Malaysia seorang yang menghadapi tuduhan rasuah dilantik ke jawatan kedua paling berkuasa dalam kerajaan.

    “Ia juga memalukan mutlak negara kita dan pengkhianatan terbesar kepada semua rakyat Malaysia, baik mereka yang mengundi Pakatan Harapan dan mereka yang tidak mengundi,” kata Robert, lapor Berita Bersatu.

    Robert juga membidas Anwar seorang yang hipokrit dan bukan reformis sebenar seperti yang dilaung-laungkannya sebelum ini.

    “Ini adalah bukti bahawa Anwar bukanlah seorang reformis sebenar, tetapi seorang yang hanya mahu kuasa dan hanya pentingkan politik peribadi daripada etika dan tadbir urus yang baik.

    “Keputusan melantik ahli politik yang menghadapi banyak pertuduhan sebagai sebagai TPM I adalah bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik.

    “Malah ia akan memberi kesan kepada pelabur dan kedudukan kewangan Malaysia yang akan memudaratkan. Isyarat yang dihantar di peringkat antarabangsa ialah Malaysia bertolak ansur dengan rasuah,” katanya lagi.

    Menurutnya lagi, rakyat sekarang sudah dapat memahami mengapa Zahid sangat mahu menyokong Anwar menjadi PH dan DAP untuk membentuk kerajaan Pusat sebelum ini walaupun kedua-duanya adalah musuh tradisi politik.

    “Sekarang kita tahu kenapa Zahid nekad dan terdesak menyokong PH dan Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

    “Beliau telah menerima ganjarannya kerana membawa BN ke dalam pelukan PH dan membantu Anwar Ibrahim mencapai cita-cita terdesaknya untuk menjadi PM,” katanya lagi.

  • Bersih gesa Anwar penuhi janji Manifesto PH untuk lawan rasuah

    Bersih gesa Anwar penuhi janji Manifesto PH untuk lawan rasuah

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggandakan usaha bagi memenuhi Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk melawan rasuah dan mengukuhkan integriti institusi utama negara.

    Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini mahu Pengerusi PH itu dan kabinet baharunya perlu segera mengutamakan tindakan bagi menghapuskan sebarang keraguan campur tangan kes mahkamah dan konflik kepentingan.

    “Antara tiga tindakan yang dicadangkanan Bersih adalah menjadikan Peguam Cara Negara untuk mengambil peranan Pendakwa Raya dengan segera. Ia sehingga pindaan perlembagaan dibuat untuk memisahkan peranan tersebut daripada Peguam Negara.

    “Kedua, menggalakkan kestabilan politik dan pemantauan Parlimen dengan memberikan peranan bermakna kepada Pembangkang dan ‘backbencher’ Kerajaan dalam kabinet bayangan dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK).

    “Ia termasuk dengan gaji yang selayaknya, sokongan kajian polisi dan akses kepada maklumat kerajaan kepada menteri bayangan serta pengerusi dan timbalan pengerusi JPK,” menurut kenyataan itu, hari ini.

    Selain itu kata Bersih, mereformasi proses pelantikan dan pemecatan pegawai awam utama seperti Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

    Jelasnya, proses ini perlu dibebaskan daripada eksekutif dan dimasukkan peranan Parlimen, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang lain yang lebih bermakna.

    “Bersih akan terus menjadi suara non-partisan dan akan terus mendesak reformasi yang akan memperkukuhkan demokrasi negara,” lapor Astro Awani.

  • Tular pelajar sekolah bawa ‘geng’ serang, pukul rakan

    Tular pelajar sekolah bawa ‘geng’ serang, pukul rakan

    POLIS menahan empat pelajar sekolah menengah kerana terlibat kejadian pergaduhan berkumpulan di sebuah stesen minyak di Kajang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pelajarb berkenaan berusia lingkungan 15 ke 16 tahun.

    “Kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara suspek dan mangsa terbabit di kantin sekolah mereka di Kajang pada Rabu.

    “Mangsa telah berselisih faham dengan salah seorang rakan suspek kerana didakwa telah mencampakkan duit ketika hendak membeli minuman di kantin semasa waktu rehat.

    “Perselisihan faham itu berlarutan apabila kedua-dua pihak telah bertumbuk akibat tidak berpuas hati.

    “Suspek bertindak meminta bantuan dari rakan-rakan sekolah lain untuk membalas dendam terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, satu klip video berdurasi 12 saat tular memaparkan sekumpulan pelajar sekolah bergaduh sambil cuba dileraikan oleh dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang berada berhampiran.

    Mohd. Zaid berkata, semakan mendapati video tular berkenaan merupakan kejadian pergaduhan pada Khamis dan Jumaat di dua tempat berlainan di sekitar sekolah berkenaan.

    Katanya, mangsa yang berusia 16 tahun telah diserang dan dipukul oleh suspek dan beberapa rakannya yang dipercayai pelajar dari sekolah lain di Kajang sekitar pukul 12.30 tengah hari Jumaat.

    “Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menerima laporan dari seorang pelajar berusia 16 tahun lebih kurang pada pukul 5.04 petang.

    “Sepasukan polis dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah tangkap empat suspek pelajar sekolah di sekitar Kajang disyaki terlibat pergaduhan berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, pihak polis masih mengesan beberapa suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan terbabit.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan permohonan reman sedang dimohon dari mahkamah.

  • Menteri ‘kali pertama’ PKR membimbangkan, tiada pengalaman – Tian Chua

    Menteri ‘kali pertama’ PKR membimbangkan, tiada pengalaman – Tian Chua

    BEKAS Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua meluahkan kebimbangan bahawa kebanyakan daripada lapan menteri yang dinamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada partinya ialah muka baharu.

    Selain Anwar dan Rafizi, enam lagi anggota Jemaah Menteri daripada PKR terdiri daripada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri), Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), Dr. Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan), Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi), Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi Digital).

    Fadhlina dan Zaliha ialah Ahli Parlimen penggal pertama.

    Selain Anwar, hanya Saifuddin yang berpengalaman dalam pentadbiran Persekutuan.

    Setiausaha Agung PKR itu ialah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semasa PH mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    “Saya risau kerana kebanyakan menteri PKR baru pertama kali (menjadi menteri),” kata Tian Chua, lapor FMT.

    “Mereka tiada pengalaman, jadi saya harap timbalan mereka ada (pengalaman).”

    Bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua itu turut menyifatkan tindakan Anwar menamakan dirinya sebagai menteri kewangan dan Rafizi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) sebagai langkah yang ‘sangat berisiko’ untuk PKR.

    Anwar ialah pengerusi Pakatan Harapan (PH), manakala Rafizi timbalan presiden PKR.

    “Mereka mesti buktikan bahawa mereka boleh membawa perubahan positif; jika tidak, pihak lain akan mengkritik mereka dengan teruk,” kata Tian Chua.

    Jemaah Menteri semasa terdiri daripada 15 ahli Parlimen PH menerusi PKR, DAP, Amanah dan Upko; enam daripada Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO; lima daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi PBB, PRS dan PDP; serta seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi Bersatu Sabah.

  • Bersih kesal Anwar jawat Menteri Kewangan, Zahid dilantik TPM

    Bersih kesal Anwar jawat Menteri Kewangan, Zahid dilantik TPM

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyatakan kekesalan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.

    Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu akan melemahkan semak dan imbang yang diperlukan bagi menjamin negara tidak kembali kepada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

    “Kami kesal kerana Anwar telah melantik dirinya untuk memegang portfolio Kewangan yang mustahak, ianya akan melemahkan semak dan imbang.

    “Semak dan imbang ini diperlukan bagi menjamin negara tidak kembali kepada zaman pentadbiran Najib Razak yang terpalit dengan isu 1MDB sehingga mebebankan negara,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Bersih juga menyatakan kekecewaan apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

    Tegas jawatankuasa itu, prinsip telah dikebelakangkan dengan pelantikan Zahid yang kini sedang menjalani perbicaraan 47 pendakwaan rasuah.

    “Walaupun kami memahami politik disebalik pelantikan ini, ianya mengecewakan apabila prinsip telah dikebelakangkan.

    “Kedua-dua pelantikan yang dipersoalkan ini mengancam usaha dan komitmen Anwar untuk melawan korupsi,” menurut kenyataan itu lagi, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, Bersih juga mengalukan pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman sebagai Menteri Undang-Undang.

    Bersih turut mengharapkan beliau akan memacu reformasi yang dijanjikan di dalam kedua-dua manifesto kedua-dua gabungan PH dan BN.

    “Kami juga gembira Azalina adalah antara lima wanita yang dicalonkan untuk menerajui kementerian utama seperti Pendidikan, Kesihatan, Belia dan Suka serta Wanita dan Keluarga.

    “Walaupun Kabinet ini mempunyai perwakilan wanita sebagai Menteri paling ramai, ianya masih jauh daripada kesetaraan gender dalam Kabinet,” katanya.

    Menjadi harapan rakyat ujarnya, bahawa kestabilan politik dapat diwujudkan dan semua parti termasuk pembangkang memainkan peranan konstruktif dalam pembentukan negara.

  • Mana perginya perjuangan reformasi- Wan Saiful

    Mana perginya perjuangan reformasi- Wan Saiful

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘muflis moral’ kerana mengangkat kluster mahkamah dalam pentadbiran negara.

    Ahli Parlimen Tasel Gelugor itu mempersoalkan agenda reformasi yang selama ini dilaung-laungkan Anwar.

    “Mana perginya perjuangan reformasi? Saya juga kasihan pengundi UMNO-BN kerana segala laungan mereka telah dijual sebegitu murah oleh (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi yang mahu menyelamatkan diri. Adakah UMNO masih relevan hari ini?

    “Terbukti sekali lagi hanya Perikatan Nasional (PN) sahaja yang layak bercakap soal prinsip dan moral. Kami lebih rela menjadi pembangkang yang bermaruah daripada mengemis kuasa dan menjilat ludah sendiri sehingga tergamak menggadaikan prinsip perjuangan sepertimana dilakukan PH dan BN,” katanya menerusi entri dalam Facebook miliknya, semalam.

    Justeru, beliau mengajak pengundi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai menolak calon PH-BN.

    “Kepada rakyat, Kerajaan Rosak pimpinan Anwar Ibrahim, yang terkandung di dalamnya perasuah, penyamun, kluster mahkamah, serta pendendam kepada penjawat awam, perlu dihukum dengan seberat-berat hukuman dengan menolak calon PH-BN di DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai pada 7 Disember ini.

    Menurut Wan Saiful, ketika PH-BN ‘muflis moral’, PN adalah satu-satunya wadah serta harapan buat rakyat Malaysia.

    “PN mengangkat, memperjuang dan menjunjung tinggi imej serta ketrampilan politik baru yang bersih, stabil, segar serta berintegriti demi menghasilkan Malaysia yang makmur dan sejahtera untuk semua,” katanya.

    Beliau turut mendakwa, tindakan itu sebagai satu lagi usaha untuk ‘mensucikan’ kluster mahkamah dan dikhuatiri mengganggu kes-kes perbicaraan yang sedang berjalan.

    “Pengumuman pembentukan Kabinet hari ini tiada apa yang mengejutkan. ‘Kerajaan Rosak’ pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, benar-benar telah muflis moral apabila kluster mahkamah yang selama ini rakus mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa diangkat ke Kabinet.

    “Barisan Kabinet ini adalah suatu cubaan ‘memperbodohkan’ rakyat. Pada hal, rakyat telah memberi mesej jelas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bahawa mereka mahukan saf kepimpinan politik dan pentadbiran negara yang mendahulukan kepentingan rakyat, mengangkat nilai moral, integriti serta akauntabiliti mengatasi apa jua kepentingan peribadi,” katanya, lapor Astro Awani.

    Wan Saiful juga mendakwa Anwar telah mengetepikan nilai moral, prinsip, integriti serta akauntabiliti demi kuasa dan takhta.

    “Ini suatu lagi bukti jelas bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang politikus matlamat menghalalkan cara, yang sanggup menggadaikan apa sahaja demi kuasa.

    “Saya anggap ini adalah satu lagi usaha Anwar Ibrahim untuk mensucikan kluster mahkamah. Saya semakin bimbang sekiranya kes-kes perbicaraan membabitkan kluster mahkamah akan terganggu,” ujarnya.

    Malah, beliau mendakwa berasa kasihan dengan pengundi yang memilih PH kerana terbukti undi PH akhirnya mereka dapat Zahid Hamidi.

  • Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah-Muhyiddin

    Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan barisan Kabinet yang diumumkan malam tadi sebagai paling mengecewakan dalam sejarah negara.

    Jelas beliau, ini kerana apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    “Perdana Menteri, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim telah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen pilihan raya apabila melantik kleptokrat menganggotai kabinet.

    “Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri.

    “Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Muhyiddin turut mempersoalkan Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan iaitu satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewangan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1Malaysia Develoupment Berhad (1MDB) sebelum ini.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat.

    Tegas beliau, prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi.

    Selain itu katanya, ahli Parlimen yang dikenali dengan sikap cauvinis melampau dilantik menerajui kementerian tertentu bakal mengundang kontroversi dan boleh dijangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan.

    “His reform agenda rings hollow when he could not even stand up in defence of his own party’s struggle to fight against corruption and promote good governance. His worth as a true leader worthy of respect and dignity is now highly questionable.

    “Sistem negara kita telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet.

    “Rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap rakyat telah tiada dan rakyat juga hilang percaya terhadap tonggak kepimpinan negara.”

  • Lantik TPM ada kes mahkamah luar tabii, tak boleh diterima – Sanusi

    Lantik TPM ada kes mahkamah luar tabii, tak boleh diterima – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    RAKYAT di Padang Serai dan Tioman perlu memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu usaha untuk membetulkan politik di negara ini yang kini sedang bergerak dalam keadaan ‘songsang’.

    Menyifatkan kerajaan Persekutuan yang wujud kini sebagai kerajaan luar tabii, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan yang terbentuk itu adalah bertentangan dengan aspirasi dan kehendak rakyat Malaysia.

    Katanya, tsunami yang melanda dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 sepatutnya difahami sebagai tsunami Melayu yang berkehendakkan kepada kerajaan prihatin, bersih dan stabil.

    “Bukan kerajaan kleptokrasi berpakat dengan cauvinis untuk mengawal tingkah laku kita semua. Ini kerajaan luar tabii.

    “Tabii ini tabiat, kebiasaan atau kehendak. Apa yang berlaku sekarang ini adalah di luar tabii dan bukan itu yang rakyat hendak,” katanya dalam Ceramah Jelajah Perikatan Nasional (PN) di Taman Mutiara, Padang Serai malam tadi.

    Katanya, keadaan itu kemudiannya ditambah dengan satu lagi perkara yang ‘sangat’ luar tabii iaitu melantik orang yang ada kes mahkamah menjadi pemimpin negara.

    “Tiba-tiba selepas lapan hari, benda yang paling kita tak mahu berlaku dalam negara ini iaitu melantik seseorang yang ada kes mahkamah sebegitu banyak menjadi Timbalan Perdana Menteri. Adakah satu tabiat yang betul melantik orang yang ada kes mahkamah menjadi pemimpin negara ini?

    “Ini tak betul dan tak boleh diterima. Jadi pengundi Padang Serai dan Tioman kena hantar satu mesej untuk segarkan kefahaman semua orang terutamanya pemimpin negara bahawa rakyat tak mahu semua yang terjadi sekarang ini.

    “Mujur PN ini orang baik tetapi kalau perangai kami macam ‘depa’, jenuh makan ‘gas’ kita di tengah jalan Kuala Lumpur. Tetapi kita tetap sabar, tenang dan masuk PRU Padang Serai serta Tioman dengan semangat demokrasi walaupun hati kita remuk,” katanya.

    Sanusi menambah, ketika ini tindakan untuk menormalisasikan kerajaan luar tabii tersebut sedang dilaksanakan melalui beberapa kaedah.

    “Proses normalisasi cauvinis dalam PH yang bergabung dengan kleptokrasi dalam BN dinormalisasikan seperti berlaku di negara-negara Arab. UAE, Bahrain, Jordan dan akan diikuti Arab Saudi serta Morocco telah menandatangani perjanjian dengan Israel dinamakan perjanjian Abraham.

    “Israel yang kejam itu bagi sebahagian negara Arab yang sudah menandatangani perjanjian tersebut tidak lagi zalim. Telah diakui kewujudan Israel oleh sebahagian negara Arab dengan proses ini dipanggil normalisasi dan proses itu sedang dilaksanakan dalam politik tanah air kita apabila bergabung kerajaan luar tabii dibentuk PKR, DAP, Amanah, BN, UMNO, MCA dan MIC,” katanya.

    Beliau turut menegaskan, tindakan normalisasi itu dibuat dibuat bersekali dengan proses memburukkan lawan agar mereka nampak normal dan baik serta tidak bertentangan dengan tabii.

    “Wajah hitam akan ditimpakan ke atas kita semua dari PN. Kita ini dikatakan perkauman, mempergunakan agama, memecah belah, tak dapat terima kenyataan, melanggar titah Agong dan macam-macam lagi akan mereka longgokkan kepada kita.

    “Tuan-tuan tunggulah sehari dua ini. Untuk memastikan proses normalisasi serta mengambing hitamkan kita ini dapat disedari rakyat Malaysia, penduduk di Padang Serai dan Tioman mesti mengundi PN,” katanya.

  • BN sah ‘mengalah’ kepada PH di Padang Serai

    BN sah ‘mengalah’ kepada PH di Padang Serai

    Oleh BADLISHAH MAT

    BARISAN Nasional (BN) mengesahkan memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 7 Disember ini.

    Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira hasil perbincangan dan nasihat pimpinan atasan terutama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Apabila kita lihat Menteri Besar (Pahang) diberi laluan kepada BN untuk mengepalai negeri itu dan begitu juga di Tioman telah pun juga diberi laluan untuk BN.

    “Maka selaku Pengerusi BN kedah, suka mengumumkan laluan di Padang Serai akan diberikan kepada PH,” katanya ketika berucap pada ceramah pengumuman khas di Taman Desa Aman, Padang Meiha, Kulim.

    Antara yang turut hadir pada ceramah itu ialah Timbalan Pengerusi PH, Mohamad Sabu; Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

    Bagaimanapun, calon BN Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj tidak kelihatan pada ceramah tersebut.

    Namun, Jamil Khir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah menyatakan, Sivaraj akan membantu mencapai kemenangan PH di kerusi itu.

    “Kita harap pokok yang baru disemai dan Parlimen paling akhir (Padang Serai) pada hari pengundian nanti inshallah PH yang bergabung dgn BN membentuk Kerajaan Perpaduan akan menang dan dimartabat dan kerajaan Agong didaulatkan,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan teka-teki sama ada BN akan memberi laluan kepada PH pada PRU15 Parlimen Padang Serai dijangka terjawab hari ini.

    Spekulasi mengatakan BN akan ‘berjiwa besar’ semakin kuat kedengaran sebagai timbal balik terhadap situasi sama yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman apabila PH menyokong calon BN.

    PH menampilkan Setiausaha PH Kedah, Dr. Mohamad Sofee Razak sebagai calon baharu menggantikan mendiang M. Karupaiya yang meninggal dunia pada 16 November lalu.