Oleh BADLISHAH MAT

BARISAN Nasional (BN) mengesahkan memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 7 Disember ini.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira hasil perbincangan dan nasihat pimpinan atasan terutama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Apabila kita lihat Menteri Besar (Pahang) diberi laluan kepada BN untuk mengepalai negeri itu dan begitu juga di Tioman telah pun juga diberi laluan untuk BN.

“Maka selaku Pengerusi BN kedah, suka mengumumkan laluan di Padang Serai akan diberikan kepada PH,” katanya ketika berucap pada ceramah pengumuman khas di Taman Desa Aman, Padang Meiha, Kulim.

Antara yang turut hadir pada ceramah itu ialah Timbalan Pengerusi PH, Mohamad Sabu; Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Bagaimanapun, calon BN Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj tidak kelihatan pada ceramah tersebut.

Namun, Jamil Khir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah menyatakan, Sivaraj akan membantu mencapai kemenangan PH di kerusi itu.

“Kita harap pokok yang baru disemai dan Parlimen paling akhir (Padang Serai) pada hari pengundian nanti inshallah PH yang bergabung dgn BN membentuk Kerajaan Perpaduan akan menang dan dimartabat dan kerajaan Agong didaulatkan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan teka-teki sama ada BN akan memberi laluan kepada PH pada PRU15 Parlimen Padang Serai dijangka terjawab hari ini.

Spekulasi mengatakan BN akan ‘berjiwa besar’ semakin kuat kedengaran sebagai timbal balik terhadap situasi sama yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman apabila PH menyokong calon BN.

PH menampilkan Setiausaha PH Kedah, Dr. Mohamad Sofee Razak sebagai calon baharu menggantikan mendiang M. Karupaiya yang meninggal dunia pada 16 November lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here