Category: Semasa

  • Mahu jadi penceramah bebas, Noh ikrar mahu ‘bercakap benar’

    Mahu jadi penceramah bebas, Noh ikrar mahu ‘bercakap benar’

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang dipecat berhasrat untuk menjadi penceramah bebas di pentas politik.

    Noh terbuka untuk berceramah di mana-mana platform yang ditawarkan kepadanya, termasuk Perikatan Nasional mahupun UMNO, sekiranya parti lamanya itu menghantar undangan kepadanya.

    “Saya tengok dulu,” katanya ketika ditanya rancangannya selepas dipecat UMNO.

    “Sekarang saya tengah berehat tapi yang confirm, saya akan jadi penceramah bebaslah.

    “Jadi kalau esok, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke, atau sekarang ini ke, kalau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) nak jemput saya bagi ceramah, saya bagi ceramah.

    “Kalau Pas jemputpun, saya akan datang, kalau UMNO pun sudi jemput saya. Kalau nak jemput no problem, saya di mana pun saya ceramah.

    “Saya akan cakap perkara yang benar paling kurang apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita semalam selepas menghadiri majlis penghargaan untuknya anjuran Sekretariat Veteran Umno Tanjong Karang.

    Pada 27 Januari lalu, bekas menteri Persekutuan itu dipecat daripada parti.

    Noh pada mulanya digantung selama enam tahun kerana didakwa melanggar disiplin UMNO, tetapi dipecat selepas meminta parti itu menyingkirkan keanggotaannya.

    Berikutan itu, Noh dilaporkan berkata beliau sedang menunggu ‘tawaran terbaik.’

    Sementara itu, Noh menjangkakan UMNO akan menghadapi cabaran sukar di Selangor semasa pilihan raya negeri, terutama dalam keadaan parti itu berdepan Bersatu dan Pas.

    Menurut bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, pilihan raya umum baru-baru ini menyaksikan UMNO tidak dapat mempertahankan kerusi parlimennya walaupun di kawasan yang pernah menjadi kubu kuat parti itu.

    Noh bersama pemimpin lain yang juga dipecat UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin ketika kempen PRU15 Dengan UMNO kini bekerjasama dengan DAP, dia mendakwa tugas bekas partinya itu akan menjadi lebih sukar kerana ramai orang Melayu akan mengalihkan sokongan mereka kepada PN.

    “Tadi saya pergi kenduri, (ada orang) dia mengaku tok saya undi BN PRU lepas. Saya kata habis pilihan raya akan datang macam mana?

    “Dia kata dulu kalau saya tahu UMNO nak bersama DAP, saya tak undi. (PRN) kali ini dia kata minta maaflah,” kata Noh.

    Menyentuh mengenai pilihan raya umum baru-baru ini, beliau berkata jika UMNO bersekutu dengan Bersatu dan Pas di bawah panji Muafakat Nasional (MN) yang tidak menjadi kenyataan, mereka akan memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen.

    Menurut hitungannya, Noh berkata UMNO boleh menang di Sungai Buloh, Kuala Selangor dan Hulu Langat jika calon mereka tidak bertembung calon Pas dan Bersatu.

    Tiga kerusi parlimen itu dimenangi Pakatan Harapan pada PRU15.

    “Di Selangor la, kalau bertembung tiga penjuru, memang susah nak menang.

    “Sebab Selangor ni banyak kawasan campuran. Pengundi Melayu dan bukan Melayu pula sama kalau undi Melayu pecah dua, tiga penjuru memang kalah lah,” katanya.

    MN merupakan pakatan politik yang dimulakan oleh UMNO dan Pas, sebelum Bersatu dijemput untuk menyertainya.

    Bagaimanapun, MN runtuh terutamanya disebabkan perseteruan politik antara UMNO dan Bersatu, yang menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjarakkan daripada kerjasama itu dan berakhir apabila Pas bersekutu dengan Bersatu.

    Walaupun begitu, terdapat pemimpin UMNO yang masih menyokong kerjasama politik melalui gagasan MN.

  • Haram judi di Kedah bukan tindakan rasis

    Haram judi di Kedah bukan tindakan rasis

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN kerajaan negeri mengharamkan judi di Kedah bukanlah dibuat bersandarkan kepada sifat perkauman atau cubaan untuk meminggirkan mana-mana kaum.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, tohmahan sebegitu tidak sepatutya timbul ketika kegiatan perjudian tidak sepatutnya dikaitkan dengan mana-mana kaum di negara ini.

    Malah katanya, sejak judi diharamkan di Kedah awal tahun ini, banyak pihak termasuk bukan Melayu yang menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana berani mengambil langkah tersebut.

    “Kita tak haramkan judi atas nama perkauman malah saya fikir, tidak sepatutnya mana-mana pihak mengaitkan kaum Cina dengan perjudian. Bukan semua ornag Cina berjudi malah ramai yang tidak suka apatah lagi apabila ada anak mahu pun suami yang kuat berjudi, balik rumah kemudian pukul isteri.

    “Apabila kita haramkan judi, ramai yang cakap bagus dan ucap terima kasih. Ada isteri yang maklumkan suami mereka tak lagi berjudi sampai habis duit puluh-puluh ribu sedangkan kalau buat rumah pun, dah boleh siap,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sembang santai secara langsung bersama beberapa individu di laman media sosial Tik Tok, malam tadi.

    Mengulas lanjut katanya, tindakan itu sebaliknya sengaja dipolitikkan pihak tertentu demi kepentingan masing-masing.

    “‘hangpa’ cuba tengok berapa pulangan sektor perjudian di negara ini berbanding bala bencana dihasilkan akibat judi. Berapa nilainya nak merawat orang sakit mental, masalah keruntuhan keluarga, pengabaian pendidikan anak-anak dan macam-macam penyakit lain berpunca dari judi?

    “Kalau nak kaji, kaji betul-betul dari segala sudut. Saya kaji dari aspek sosial, ekonomi dan agama, semuanya tak sokong sektor perjudian ini,” katanya.

    Dalam pada itu beliau berkata, keputusan kerajaan negeri untuk mengharamkan premis judi di negeri ini turut dihormati oleh kerajaan Persekutuan yang kemudiannya mengharamkan lesen perjudian di Kedah.

    “Kerajaan negeri hanya ada kuasa berkaitan lesen premis saja melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi saya gunalah kuasa itu.

    “Atas permintaan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan turut tamatkan lesen perjudian di Kedah. Jadi jangan kata di Kedah ini hanya lesen premis perjudian saja kita tak beri sebaliknya lesen perjudian dikeluarkan kerajaan Persekutuan juga ditamatkan,” katanya.

  • Tipu tawaran e-baucar: Polis buka lima kertas siasatan

    Tipu tawaran e-baucar: Polis buka lima kertas siasatan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan berhubung kegiatan penipuan tawaran e-baucar atau e-ganjaran yang membabitkan kerugian RM508,261 di seluruh negara.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata siasatan mendapati tawaran melalui aplikasi dalam talian itu diperkenalkan pada 2020 yang membabitkan pembelian barangan dan perkhidmatan menggunakan e-dompet.

    Beliau berkata pengguna yang berminat menggunakan aplikasi tersebut perlu memasukkan sejumlah wang dan akan diberikan penjimatan hingga 50 peratus bagi setiap pembelian selain menerima mata ganjaran yang boleh ditebus menerusi pembelian barangan atau wang tunai.

    “Pada peringkat awal, urus niaga dan penebusan mata ganjaran melalui aplikasi ini berjalan lancar namun masalah mula timbul pada penghujung 2022 apabila pengguna gagal untuk membuat pembelian serta penebusan mata ganjaran.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Oktober tahun lepas telah mengeluarkan kenyataan berhubung serbuan terhadap syarikat yang terbabit dengan kegiatan itu yang disiasat mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

    Jumaat lepas, media melaporkan kira-kira 100 laporan polis dibuat membabitkan kerugian hampir RM5 juta berhubung penipuan tawaran baucar atau e-ganjaran yang menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan.

  • Bayi masih bertali pusat ditinggal bawah kerusi kayu

    Bayi masih bertali pusat ditinggal bawah kerusi kayu

    SEORANG bayi lelaki yang masih hidup dan masih bertali pusat ditemukan di Kondo Rakyat Kuala Ibai dekat Kuala Terengganu petang semalam.

    Bayi yang dianggarkan berusia antara lima hari hingga seminggu itu ditemukan oleh seorang penduduk Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, di bawah kerusi kayu di belakang dapur rumahnya pada 6.05 petang ketika baru pulang dari kerja.

    Menurut Ahmad Fauzi, dia terdengar suara tangisan bayi dari arah belakang rumah, bagaimanapun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan ia datang dari rumah jiran.

    “Selepas mengamatinya lebih lama, saya ke belakang dan terkejut apabila mendapati seorang bayi berada di atas simen di bawah kerusi kayu panjang,” katanya.

    Ahmad Fauzi berkata ketika ditemukan, bayi berkenaan hanya dipakaikan lampin pakai buang dan terdapat sehelai kain pelikat dipercayai digunakan untuk membalut tubuh bayi berkenaan.

    “Alhamdulilah bayi tersebut nampaknya sihat dan tiada kecederaan yang ketara,” katanya menambah bapa mertuanya bertindak menghubungi pihak polis yang kemudian tiba pada kira-kira 7.30 malam.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi itu supaya menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

  • Gesaan DAP bukti Muhyiddin dapat sokongan 115 ahli Dewan Rakyat – Dr Marzuki

    Gesaan DAP bukti Muhyiddin dapat sokongan 115 ahli Dewan Rakyat – Dr Marzuki

    GESAAN Ahli Parlimen Kampar dari DAP supaya Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan terhadap semua 10 Ahli Dewan Rakyat BN yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri membuktikan memang benarlah pada 21 November 2022 bekas Perdana Menteri (PM) kelapan itu telah mendapat kepercayaan majoriti 115 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai PM ke-10.

    Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, gesaan itu juga mencerminkan sikap parti DAP yang amat marah Muhyiddin sehinggakan sesiapa sahaja yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional itu mesti dihukum.

    “Walaupun itu adalah hak mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara 43 Perlembagaan Perseketuan.

    “Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat tidak menarik balik hak Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai Perdana Menteri walaupun berlainan parti,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Kelmarin Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, menggesa, kepemimpinan BN menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua Ahli Parlimennya yang sebelum ini menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

    Beliauyang juga Setiausaha Publisiti DAP Perak berkata, siasatan dan tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap mereka yang terbabit, sekiranya BN mahu menjaga kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak insiden Langkah Sheraton berulang.

    Berikut kenyataan penuh Dr. Marzuki.

    Ahli Parlimen Kampar dari parti DAP menggesa supaya BN mengambil tindakan disiplin terhadap semua 10 Ahli Dewan Rakyat BN yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

    Saya tidak pasti samada Perlembagaan BN membenarkan tindakan disiplin diambil ke atas ahli-ahli parti komponen kerana setiap parti komponen mempunyai tatacara disiplin masing-masing. Sesiapa yang arif tentang Perlembagaan BN bolehlah beri komen.

    Apapun gesaan Ahli Parlimen Kampar ini mencerminkan sikap parti DAP. Mereka nampaknya marah sungguh kepada Tan Sri Muhyiddin sehinggakan sesiapa sahaja yang menyokong Tan Sri Muhyiddin mesti dihukum walaupun itu adalah hak mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara 43 Perlembagaan Perseketuan. Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat tidak menarik balik hak Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai Perdana Menteri walaupun berlainan parti.

    Gesaan ini juga membuktikan benarlah bahawa Tan Sri Muhyiddin pada 21 November 2022 telah mendapat kepercayaan majoriti 115 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kerana terdapat tekanan politik, 10 Ahli Dewan Rakyat BN (6 UMNO, 2 MCA, 1 MIC, 1 PBRS) terpaksa menarik balik sokongan mereka.

    Persoalannya, adakah penarikan balik sokongan mereka itu secara suci hati atau under duress? Sekiranya under duress, apakah kesannya di sisi undang-undang dan Perlembagaan? Saya tak nak bawa ke situ kerana pelantikan Perdana Menteri oleh YDPA tidak boleh dicabar di mahkamah.

    Mengapa DAP marah sangat sedangkan itu adalah urusan BN?

    Mereka berdendam kerana jika Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri dengan sokongan 10 Ahli Dewan Rakyat BN ini, DAP tidak akan berpeluang berada di dalam kerajaan seperti hari ini.

    Dengan tidak terlantiknya Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, maka kembalilah DAP menguasai kerajaan. Inilah masanya DAP menyerlahkan “politics of vangeance” mereka sepertimana gesaan Ahli Parlimen Kampar ini.

    Tindakan Ahli-Ahli Parlimen BN yang mempertahankan dasar “NO DAP” sepertimana yang disuarakan oleh akar umbi parti mereka sendiri tiba-tiba menjadi satu kesalahan besar. DAP tidak peduli. Dendam mereka lebih besar daripada suara akar umbi parti orang lain.

    Nampaknya dunia politik sudah terbalik. Ahli-ahli Parlimen BN berdepan dengan tindakan disiplin semata-mata kerana mempertahankan suara akar umbi parti mereka.

    Saya tidak hairan dengan gesaan Ahli Parlimen Kampar ini kerana saya pernah bersama dengan mereka dahulu. Saya tahulah serba sedikit hati budi mereka.

  • Pemandu, 15 penumpang cedera bas ekspres terbalik

    Pemandu, 15 penumpang cedera bas ekspres terbalik

    SERAMAI 15 penumpang termasuk seorang pemandu bas mengalami kecederaan ringan selepas sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala ke Bagan Ajam, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.19 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

    Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan sebuah bas ekspres yang terbabas dan terbalik membabitkan mangsa masing-masing enam lelaki dan 10 wanita.

    Ujar beliau, Komander Operasi JBPM kemudian membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota dengan peralatan perlindungan diri (PPE)  lengkap melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan mengeluarkan mangsa dari dalam bas.

    “Terdapat seramai 16 mangsa di dalam bas dan mereka berjaya dikeluarkan oleh anggota JBPM setelah tiba di lokasi.

    “Kejadian itu tidak melibatkan mangsa yang tersepit dan mereka hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ujar beliau, kerja-kerja menyelamat dilakukan oleh seramai 13 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth yang dibantu oleh BBP Perai.

    Tambah beliau, kes itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 5.29 pagi.

  • UMNO hilang ‘magnet’ tarik orang muda selepas pecat KJ, kata Ismail

    UMNO hilang ‘magnet’ tarik orang muda selepas pecat KJ, kata Ismail

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan UMNO yang dilihat menafikan perbezaan pendapat diutarakan pemimpin muda hanya merugikan parti itu.

    Naib Presiden UMNO itu menyifatkan pemecatan bekas ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan penggantungan bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan seperti menghapuskan ‘magnet’ yang menarik sokongan orang muda.

    Menurutnya, Shahril yang mahu ditonjolkan sebagai Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan akan datang berani bersuara seperti Khairy dan beliau mungkin disukai orang muda.

    “KJ (Khairy), Shahril dan beberapa (pemimpin) lain merupakan magnet, bila mereka dipecat dan digantung…jadi apa harapan lagi orang muda ada?”

    “Apabila tokoh muda ini dipecat dan digantung, ia lebih memburukkan keadaan,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam wawancara bersama Sinar Harian.

    Pada 28 Jan lalu, UMNO memecat Khairy kerana melanggar disiplin parti mengikut perlembagaan UMNO akibat kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Turut dipecat bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Shahril pula digantung keahliannya selama enam tahun bersama bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

    Ismail turut berkongsi pengalamannya ketika menjadi Exco Pemuda UMNO dengan mengemukakan bantahan kepada Presiden ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

    “Tetapi, sekarang kita tidak nampak ramai yang bercakap,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

    Beliau berharap Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh yang dikatakan akan bertanding jawatan ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti, berani menyuarakan kelemahan parti.

    “Sekiranya kepimpinan membuat kesilapan atau bertentangan perlembagaan parti, mereka harus bersuara,” ujar beliau.

  • UMNO dijangka kalah PRN Selangor – Noh

    UMNO dijangka kalah PRN Selangor – Noh

    UMNO dijangka mengalami kekalahan termasuk beberapa kubu kuat parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, semua kawasan Parlimen di Selangor tewas.

    “Kawasan kubu kuat pun kalah (PRU15) seperti di Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

    “Ketiga-tiga kawasan itu Perikatan Nasional (PN) menang, itu kawasan majoriti Melayu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Jasamu Dikenang di sebuah hotel di Pasir Penambang di Kuala Selangor, hari ini.

    Noh memberitahu, beliau tidak nampak peluang UMNO untuk menang di Selangor melainkan jika mengharapkan pengundi bukan Melayu.

    “Mungkin pada masa itu (PRU15), pengundi masih menyokong UMNO tetapi sekarang ini, orang yang sokong UMNO bila dia tengok parti itu berkawan dengan DAP, kalau tahu dia takkan undi,” ujarnya.

    Ujar beliau, pengundi yang berjumpa beliau misalnya mengakui tidak akan memilih UMNO sekiranya parti itu terus bekerjasama dengan DAP.

    “Saya berjumpa dengan orang kampung saya mengaku undi BN (Barisan Nasional) pada PRU15 lepas, tetapi kalau tahu UMNO bersama DAP, mereka kata tak mahu undi BN,” jelasnya.

    Ditanya adakah beliau sedia untuk merayu berhubung pemecatan daripada UMNO, Noh berkata, keputusan pemecatan beliau dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Hendak merayu kepada siapa? Kalau (pemecatan daripada Lembaga Disiplin UMNO bolehlah) merayu kepada MKT (Majlis Kerja Tertinggi).

    “Selagi Presiden itu ada, takkan beliau hendak terima rayuan saya?. Tak pernah berlaku, belum lagi MKT bermesyuarat, keputusan sudah dibuat.

    “Sepatutnya cadang dahulu pada MKT dan dibahas dan jika ada percanggahan pendapat, undilah,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • JPJ kesan penipuan lesen palsu berleluasa

    JPJ kesan penipuan lesen palsu berleluasa

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan penipuan yang melakukan kesalahan pemalsuan lesen kenderaan yang masih berleluasa di media sosial hingga hari ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ M. Janagarajan.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam mendapatkan lesen kenderaan, supaya tidak terjebak dengan pemalsuan lesen atau lebih popular dipanggil ‘lesen terbang’.

    “Sebenarnya ini bukan isu lesen terbang, isunya ialah pemalsuan lesen. Lesen itu bukan lesen biasa. Ia dilakukan atau dibuat oleh scammer dan lesen tersebut tidak mempunyai rekod atau tidak wujud di dalam sistem JPJ.

    “Sekiranya pengguna dapat lesen yang sedemikain, mereka tidak memperoleh lesen yang betul dan ia adalah lesen palsu,” katanya selepas Majlis Penutup Kursus Pembangunan Pasukan Kepada Jurupandu Perkhidmatan Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad, di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Mohd Kifli Ma Hassan, Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail.

    Janagarajan berkata pihaknya sudah mengenal pasti ramai yang menjadi mangsa penipuan ini dan tindakan dilakukan menerusi bahagian pelesenan memandu integriti JPJ.

    “Modus operandi penipuan ini ialah mereka menawarkan iklan dalam media sosial dengan mengatakan bahawa lesen itu adalah lesen yang sah, tetapi sebenarnya lesen itu adalah lesen yang tidak sah.

    “Ada mangsa sudah membuat pembayaran dan sekiranya bernasib baik, mereka dapat lesen palsu berkenaan, tetapi ada juga mangsa mengadu akaun ditutup atau tidak wujud setelah pembayaran dibuat,” katanya.

    Janagarajan berkata pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain mengambil tindakan mahkamah ke atas suspek yang melakukan penipuan itu.

    “Apa yang perlu pengguna ingat, mereka yang dapat lesen palsu itu hanya boleh menggunakannya dalam tempoh sekejap sahaja dan aktiviti tidak sihat ini biasanya disedari selepas pengguna membuat pembaharuan lesen pada tahun seterusnya,” katanya.

  • Lelaki ditahan tunjuk kemaluan kepada wanita, beronani sambil bawa motosikal

    Lelaki ditahan tunjuk kemaluan kepada wanita, beronani sambil bawa motosikal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 26 tahun ditahan polis kerana berkelakuan biadab menunjukkan kemaluan kepada dua wanita selain beronani sambil menunggang motosikal di Jalan Teroi menuju ke Sungai Yan, Kedah, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi tadi ketika seorang wanita bersama anak saudaranya melalui jalan tersebut.

    “Wanita itu membonceng motosikal ditunggang anak saudaranya yang juga seorang perempuan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri kursus kulinari. Tiba-tiba, mereka berselisih dengan suspek yang sedang dalam perjalanan ke arah bertentangan sambil beronani.

    “Walaupun tidak mempedulikan tindakan suspek, lelaki itu bagaimanapun secara tiba-tiba memecut dan mengekori mereka sambil terus beronani. Disebabkan itu wanita berkenaan mengeluarkan telefon pintarnya dan merakam perbuatan suspek,” katanya.

    Sehubungan itu katanya, wanita berkenaan hadir ke Balai Polis Yan untuk membuat laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.

    “Kedua-dua mereka bimbang kerana sering menggunakan laluan tersebut.

    “Bertindak atas laporan itu, pihak polis kemudiannya melakukan tangkapan terhadap suspek setelah dia dikenal pasti melalui beberapa maklumat diterima,” katanya.

    Tambahnya kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

    Tindakan suspek itu turut dikecam orang ramai apabila perbuatan biadabnya itu tular di media sosial.