DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan UMNO yang dilihat menafikan perbezaan pendapat diutarakan pemimpin muda hanya merugikan parti itu.

Naib Presiden UMNO itu menyifatkan pemecatan bekas ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan penggantungan bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan seperti menghapuskan ‘magnet’ yang menarik sokongan orang muda.

Menurutnya, Shahril yang mahu ditonjolkan sebagai Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan akan datang berani bersuara seperti Khairy dan beliau mungkin disukai orang muda.

“KJ (Khairy), Shahril dan beberapa (pemimpin) lain merupakan magnet, bila mereka dipecat dan digantung…jadi apa harapan lagi orang muda ada?”

“Apabila tokoh muda ini dipecat dan digantung, ia lebih memburukkan keadaan,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Pada 28 Jan lalu, UMNO memecat Khairy kerana melanggar disiplin parti mengikut perlembagaan UMNO akibat kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Turut dipecat bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Shahril pula digantung keahliannya selama enam tahun bersama bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Ismail turut berkongsi pengalamannya ketika menjadi Exco Pemuda UMNO dengan mengemukakan bantahan kepada Presiden ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Tetapi, sekarang kita tidak nampak ramai yang bercakap,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

Beliau berharap Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh yang dikatakan akan bertanding jawatan ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti, berani menyuarakan kelemahan parti.

“Sekiranya kepimpinan membuat kesilapan atau bertentangan perlembagaan parti, mereka harus bersuara,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here