SERAMAI 15 penumpang termasuk seorang pemandu bas mengalami kecederaan ringan selepas sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala ke Bagan Ajam, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.19 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan sebuah bas ekspres yang terbabas dan terbalik membabitkan mangsa masing-masing enam lelaki dan 10 wanita.

Ujar beliau, Komander Operasi JBPM kemudian membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota dengan peralatan perlindungan diri (PPE)  lengkap melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan mengeluarkan mangsa dari dalam bas.

“Terdapat seramai 16 mangsa di dalam bas dan mereka berjaya dikeluarkan oleh anggota JBPM setelah tiba di lokasi.

“Kejadian itu tidak melibatkan mangsa yang tersepit dan mereka hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, kerja-kerja menyelamat dilakukan oleh seramai 13 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth yang dibantu oleh BBP Perai.

Tambah beliau, kes itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 5.29 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here