Category: Semasa

  • Malaysia mungkin ditipu Goldman Sachs, Johari gesa kerajaan siasat

    Malaysia mungkin ditipu Goldman Sachs, Johari gesa kerajaan siasat

    DATUK Seri Johari Ghani (BN-Titiwangsa) menggesa kerajaan menyiasat peranan mereka yang terlibat dalam penyelesaian antara Putrajaya dengan Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB, dan berkata Malaysia mungkin ditipu mengenai perkara itu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Johari berkata, Goldman Sachs bertindak sebagai penasihat kewangan dan pengurus utama untuk tiga bon yang diterbitkan oleh 1MDB bernilai USD6.5 bilion, memperoleh yuran USD606 juta dalam proses itu.

    Kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020, mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs yang melibatkan bank pelaburan itu membayar balik kerajaan USD2.5 bilion tunai dan jaminan untuk mengembalikan USD1.4 bilion aset 1MDB yang dirampas pihak berkuasa di seluruh dunia.

    “Yang pelik ini, kita dah tahu mereka salah, tetapi kenapa kita selesaikan ‘settlement’ ini dengan begitu rendah sekali.

    “Kita selesaikan hanya USD2.5 bilion. Sedangkan kita ada USD6.5 bilion,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

    “Bagaimana peguam yang mewakili 1MDB (mendapat penyelesaian ini), sepatutnya apabila dia mewakili 1MDB dia mesti melihat kepentingan 1MDB,” katanya.

    Johari berkata “sangat jelas” Goldman Sachs “menipu” kerajaan.

    “Bagaimana boleh biar sahaja Goldman Sachs. Sedangkan ‘senior management’ Goldman Sachs terlibat dalam perkara ini”, katanya sambil menambah bahawa Jabatan Kehakiman ( DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan penglibatan kakitangan kanan bank itu dalam skandal 1MDB.

    Johari berkata siasatan terhadap isu 1MDB hanya tertumpu pada aspek politik, menyebabkan hanya “seorang” ke mahkamah.

    “Apakah yang berlaku kepada ahli pengurusan kanan (Goldman Sachs) yang memperoleh pendapatan berjuta-juta?” soalnya sambil menambah adalah salah bagi mereka yang terlibat dalam skandal itu melepaskan diri hanya dengan menawarkan diri mereka sebagai saksi dalam kes itu.

    Beliau menyifatkan perkara yang berlaku itu seperti “kartun”, ramai yang terlibat tetapi hanya seorang yang terpaksa membayar harganya.

    “Jadi saya nak minta kalau boleh kerajaan melihat bagaimana peranan peguam yang mewakili 1MDB.. siapa-siapa terlibat dalam rundingan ini,” katanya.

    “Kenapa tidak fail saman Goldman Sachs di AS. Mengapa mereka berunding tanpa meletakkan fail (mengandungi bukti kesalahan Goldman Sachs),” katanya.

    Johari berkata sekiranya 1MDB mengambil tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs di AS, bank itu akan menghadapi banyak tekanan kerana ia tidak boleh menjamin pinjaman.

    “Mengapa kita mengorbankan wang yang sepatutnya kita peroleh daripada bank pelaburan nombor satu dunia. Mereka membuat keuntungan berbilion-bilion,” katanya.

    Sebelum ini, Johari menuduh Goldman Sachs mengambil kesempatan daripada “rundingan lemah” oleh kerajaan Muhyiddin untuk menangguhkan pembayaran USD1.4 bilion kepada Putrajaya.

    Beliau juga menggesa kerajaan mendedahkan terma perjanjian penyelesaian itu, di mana ia diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi yang menghalang ia daripada didedahkan kepada orang ramai.

  • 18 wanita terlibat ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna ditahan

    18 wanita terlibat ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna ditahan

    JABATAN Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan 18 wanita kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna menerusi serbuan di sebuah rumah di Johol, Kuala Pilah hari ini.

    Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 60 tahun ditahan ketika sedang mendengar kuliah yang disampaikan pengasasnya ketika serbuan pada pukul 9.30 pagi.

    Beliau berkata dalam serbuan itu beberapa dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan kumpulan berkenaan turut dirampas untuk tujuan siasatan termasuk buku digunakan untuk ajaran itu.

    “Pengikut ajaran ini kebanyakan terdiri daripada suri rumah dan ada yang tinggal di negeri ini dan luar negeri selain dipercayai direkrut melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram. Kita percaya masih ramai lagi pengikut kumpulan ini dan ia masih disiasat.

    “Ajaran itu pernah difatwakan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan pengasasnya telah dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta membuat perisyhtiharan taubat pada Feb 2021,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan pemantauan, JHEAINS mendapati ajaran itu masih diteruskan oleh pengikutnya di rumah pengasasnya di Johol selain bergerak dalam kumpulan kecil.

    “Kita percaya ajaran ini mempunyai banyak pengikut di seluruh negara, dan didapati mereka juga cuba mengembangkan ajaran ini ke Indonesia berdasarkan penemuan dokumen memorandum persefahaman dengan institusi pendidikan atau pesantren (sekolah pondok) di sana,” katanya.

    Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan Seksyen 53 Enakmen yang sama. – BERNAMA

  • Naikkan elaun bulanan nelayan, kata Wan Saiful

    Naikkan elaun bulanan nelayan, kata Wan Saiful

    NASIB nelayan perlu dibela dengan menaikkan elaun bantuan bulanan nelayan laut dan sungai kepada RM500 sebulan.

    Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) membangkitkan isu itu ketika perbahasan Belanjawan 2023 selepas kerajaan tidak menyediakan peruntukan khusus kepada golongan itu.

    “Seingat saya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi penekanan khusus kepada isu nelayan dalam ucapan beliau (ketika pembentangan Belanjawan 2023).

    “Saya memohon supaya dipertimbangkan kenaikan elaun bantuan bulanan bagi nelayan laut dan sungai daripada jumlah sedia ada kepada RM500 sebulan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Harakah Daily.

    Wan Saiful berkata, isu kenaikan harga barang input penanaman padi juga perlu diambil perhatian kerana memerlukan penyelesaian segera.

    “Kita memerlukan penyelesaian tuntas untuk memastikan pesawah tidak terus terbeban akibat kegagalan kerajaan menangani kenaikan kos yang mendadak,” katanya.

    Untuk rekod, elaun bantuan bulanan nelayan ketika ini adalah sebanyak RM300 sebulan.

  • Subsidi telur ayam diteruskan hingga Jun ini

    Subsidi telur ayam diteruskan hingga Jun ini

    KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneruskan penyediaan subsidi bagi telur ayam sehingga Jun 2023 melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion.

    Menurut KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri mencapai kata sepakat untuk meneruskan penyediaan subsidi bagi telur ayam itu pada 17 Feb lepas.

    “Langkah ini diambil demi memastikan bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil, sementara kajian mengenai mekanisme dan dasar penyaluran subsidi secara bersasar dapat dimuktamadkan dalam tempoh masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

    Menurut KPKM berkata keperluan untuk membawa masuk telur ayam dari luar negara juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil.

    “Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar merupakan langkah sementara bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil dan tidak terputus,” katanya.

    KPKM berkata pihaknya sentiasa memantau keperluan bekalan telur ayam dalam pasaran dan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam dalam negara stabil seperti sediakala.- BERNAMA

  • Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas pertukaran peguam – TPR

    Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas pertukaran peguam – TPR

    MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya hari ini diberitahu rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas keputusan perbicaraan SRC International Sdn Bhd serba tidak menjadi setelah beliau menukar peguam mewakilinya tahun lepas.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk V Sithambaram merujuk kepada pertukaran peguam daripada Shafee & Co kepada pasukan guaman baharu terdiri daripada Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

    “Mengapa Najib yang diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam kes SRC International dari peringkat Mahkamah Tinggi pada 2018 dan hanya menukar peguam pada 2022 sebelum pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, Ogos tahun lepas.

    Jika tidak kerana pertukaran peguam ini, saya tidak fikir semakan ini akan dibawa ke mahkamah hari ini. Sementara tertuduh berhak memilih peguam, peguam perlu bersedia untuk bertindak dan sanggup melakukannya pada hari ditetapkan. Sebenarnya mereka tidak mahu untuk meneruskan kes ini, kerana itulah mereka mahukan penangguhan ini,” katanya.

    Menyentuh kedudukan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Maybank Bhd sebelum ini, pihak pendakwaan berkata ia bukanlah satu rahsia dan peranan Mohd Nazlan dalam bank itu adalah tidak relevan dengan kes Najib berkaitan SRC International.

    “Ia sudah tentunya bukan suatu isu dalam semakan ini.” kata pihak pendakwaan.

    Sementara itu, Muhammad Shafee berkata ia adalah kali pertama pertukaran peguam berlaku dalam kes Najib dan ia dilakukan dengan niat baik.

    Beliau berkata, bahkan pertukaran peguam itu kerana mahkamah tempatan tidak membenarkan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw dari United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela bagi mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya.

    “Justeru, tiada agenda untuk mengatur penangguhan.” kata peguam veteran itu.

    Kedua-dua mereka berhujah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

    Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.

    Pendengaran bersambung 9 pagi esok. – BERNAMA

  • Tiga warga Thailand mengaku seludup diesel didenda RM30,000

    Tiga warga Thailand mengaku seludup diesel didenda RM30,000

    TIGA lelaki warga Thailand masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup keluar bahan api bersubsidi diesel di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar pada November tahun lepas.

    Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu ke atas Theerapong Wongyai, 26, Anan Pusu, 29, dan Amnuaprasit Chaiwichit, 43, dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

    Pada 29 November tahun lalu, Theerapong dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memasukkan 69 liter minyak diesel ke dalam tangki kenderaan jenis Nissan Navara dengan tujuan membawa keluar bahan kawalan itu ke Thailand sekitar 11.30 pagi pada 26 November 2022.

    Sementara Anan dituduh cuba membawa keluar 70 liter diesel menggunakan kenderaan Toyota Hilux Vigo pada 12.45 tengah hari, 25 November dan Amnuaprasit dituduh cuba membawa keluar 41 liter diesel menggunakan kenderaan Ford Ranger pada 11.40 pagi, 26 November.

    Kesalahan dilakukan mengikut Subperaturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum mengikut Perenggan 5 (a) peraturan sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Syazwani Zawawi.

  • ‘Agihan peruntukan MP tak sama rata naikkan kemarahan rakyat’

    ‘Agihan peruntukan MP tak sama rata naikkan kemarahan rakyat’

    TINDAKAN kerajaan menafikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen khususnya melibatkan kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu hanya akan menaikkan suhu kemarahan rakyat bumiputera.

    Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, kerajaan perlu mengutamakan negeri seperti Kelantan dan Terengganu bagi mengatasi isu ‘kemarahan bumiputera’.

    “Ini juga untuk mengambil kira kajian sempena 100 hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapati sebanyak 71 peratus responden berbangsa Melayu tidak berpuas hati dengan kerajaan baharu.

    “Isu-isu tumpuan khas kepada anak-anak bumiputera, saya fikir dalam bajet ini mungkin ada tetapi perlu dinyatakan terperinci untuk golongan bumiputera.

    “Saya fikir, kerajaan perlu utamakan negeri-negeri yang mempunyai ‘malay based area’ seperti Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau mendakwa, menafikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di negeri berkenaan hanya akan menaikkan suhu kemarahan rakyat.

    “Bagi kami PN tak ada masalah. Kami balik ke kawasan, rakyat minta peruntukan, kami kata kerajaan tak bagi tapi itu hanya tinggikan suhu kemarahan rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kajian yang dibuat oleh pusat penglibatan sosial O2 Malaysia sempena 100 hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya memerintah telah melibatkan 35,077 responden melalui lima saluran media.

  • Banyak inisiatif kerajaan PH-BN hanya “copy paste”, kata Radzi

    Banyak inisiatif kerajaan PH-BN hanya “copy paste”, kata Radzi

    DATUK Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mendakwa banyak inisiatif kerajaan PH-BN ketika ini sekadar “copy paste” usaha dibuat kerajaan sebelum ini.

    Bekas Menteri Pendidikan itu memberi contoh, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) adalah antara program yang digambarkan sebagai sesuatu perkara baharu.

    “Hakikatnya usaha menangani kemiskinan tegar telah dibentuk secara komprehensif dan menyeluruh oleh kerajaan sebelum ini.

    “Sewaktu kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob), “champion” (juara) kepada usaha ini adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Tok Pa!,” tulisnya di Facebook.

    Mengulas lanjut, Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, beliau turut menjelaskan perkara itu semasa mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurutnya, peruntukan untuk menangani kemiskinan tegar yang disebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2023 Jumaat lalu sebenarnya telahpun disebut oleh mantan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul di dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu.

    Beliau kemudian memetik ucapan Tengku Zafrul pada ketika itu: “Untuk tahun 2023, bagi menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar, 1 bilion ringgit disediakan iaitu 750 juta ringgit peruntukan Kerajaan di samping program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh GLC bernilai 250 juta ringgit”.

    “Ini baru satu, banyak lagi inisiatif kerajaan yang hanya “copy paste” pentadbiran-pentadbiran lepas. Sama-sama kita kupas lagi!,” tambah Radzi.

  • PM Anwar mungkin dikenang sebagai bapa saman negara – MP Pendang

    PM Anwar mungkin dikenang sebagai bapa saman negara – MP Pendang

    AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim yang sedang berdepan tindakan undang-undang daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyindir Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Wakil rakyat Pas itu mempersoalkan Pengerusi Pakatan (PH) itu sama ada boleh menerima kritikan atau sebenarnya tidak boleh ditegur.

    Awang Hashim (Perikatan Nasional) menyoal jika Perdana Menteri tidak boleh terima kritikan, sangat halus jiwanya cepat goyah.

    “Saya risau nanti rakyat kenal (Ahli Parlimen) Tambun sebagai perdana menteri bapa saman negara.

    “Amalkan budaya ‘fear mongering’, menakutkan orang yang menegur,” dakwanya ketika berucap semasa membahaskan Belanjawan 2023, hari ini.

    Anwar telah mengeluarkan dua surat tuntutan terhadap ahli parlimen itu atas dakwaan fitnah.

    Surat tuntutan pertama, atas kenyataan Awang minggu lalu yang menggelar Anwar sebagai Perdana Menteri yang lebih pendendam berbanding musuh ketatnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Ini selepas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Surat tuntutan kedua adalah mengenai bekas Timbalan Menteri itu yang dilaporkan mempersoalkan kesahihan Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Dalam ucapannya hari ini, Awang berkata menjadi tugas pembangkang untuk bersuara terhadap Perdana Menteri yang dakwanya dikelilingi oleh ‘kaki ampu’, lapor MalaysiaKini.

  • Tukang urut tak mengaku bersalah, cabul pelanggan 16 tahun

    Tukang urut tak mengaku bersalah, cabul pelanggan 16 tahun

    TUKANG urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan yang juga pelanggannya.

    Tertuduh, Ishak Abdul Rahman, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 16 tahun 10 bulan di sebuah pondok di Dungun, pukul 8.45 malam pada 21 Februari lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.

    Menurut laporan Harian Metro, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.