Category: Semasa

  • Penghantar barang ditahan curi bungkusan berisi emas pelanggan

    Penghantar barang ditahan curi bungkusan berisi emas pelanggan

    SEORANG penghantar barang p-hailing diberkas selepas disyaki mencuri bungkusan berisi emas milik pelanggan dalam kejadian di Pangsapuri Inai, Pandan Indah, Ampang Jaya, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian pada pukul 1.05 petang itu, mangsa menerima panggilan daripada pihak penghantar barang memaklumkan bungkusan miliknya telah diletakkan di hadapan rumah.

    Katanya, mangsa yang pulang ke rumahnya berselisih dengan suspek di bawah flatnya dan kemudian bertanyakan tentang bungkusan tersebut.

    “Suspek menyatakan bungkusan itu telah dihantar dan diletakkan di hadapan rumahnya.

    “Mangsa bagaimanapun mendapati bungkusan mengandungi emas tersebut tiada disyaki telah dicuri oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau memberitahu, kerugian dianggarkan bernilai RM1,500.

    Siasatan katanya, dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan suspek berumur 29 tahun itu di Jalan SS 3/60 Petaling Jaya kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

    “Suspek turut didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau menerusi semakan dijalankan,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati suspek telah menjual barang emas tersebut dan telah membeli aksesori dipasang pada motosikalnya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Anwar ‘agak dukacita’ tak dapat bertemu Raja Arab Saudi, Putera Mahkota

    Anwar ‘agak dukacita’ tak dapat bertemu Raja Arab Saudi, Putera Mahkota

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan rasmi tiga harinya ke Arab Saudi hari ini berkata negara itu sebagai rakan utama bagi Malaysia di Timur Tengah.

    Anwar pada sidang media di Jeddah berkata hubungan Malaysia dengan Arab Saudi termasuk dalam urusan perniagaan, perbankan dan kegiatan Islam masih terjalin begitu baik.

    Sementara itu, Anwar berkata pimpinan Arab Saudi juga sebenarnya telah memohon supaya dia memanjangkan kunjungannya sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu.

    Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.

    “Saya sambut baik pandangan ini tetapi agak dukacita kerana tidak dapat memenuhi, termasuk pertemuan yang dijdualkan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota, kerana dijadualkan esok untuk majlis iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan sejurus selepas itu lawatan rasmi ke Kemboja,” katanya.

    Anwar dan delegasi berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, 12.30 pagi Sabtu, waktu tempatan.

    Perdana menteri dijadual mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja pada 27 Mac ini.

    Sepanjang lawatan rasminya, Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, antara lain sempat mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam.

    Anwar juga menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL) Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.

    Selain itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman melibatkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi

    Anwar dan delegasi juga sempat melengkapkan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah serta beramah mesra dalam program iftar bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Mekah dan Madinah.

  • Pelantikan Asyraf Pengerusi Mara cetus banyak tanda tanya

    Pelantikan Asyraf Pengerusi Mara cetus banyak tanda tanya

    SEORANG aktivis anti-rasuah mengkritik pelantikan Asyraf Wajdi Dusuki daripada UMNO sebagai Pengerusi Mara yang baharu.

    Edmund Terence Gomez berkata, pelantikan itu menimbulkan banyak tanda tanya dan kerajaan tidak boleh mengambil seorang ahli politik tidak dikenali dan melantiknya ke salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Kita tidak tahu sama ada ini dilakukan dengan niat baik atau dilakukan atas sebab politik,” katanya dalam forum bertajuk ‘Rasuah sebagai Masalah Ekonomi’, lapor FMT.

    Pelantikan Asyraf sebagai pengerusi Mara dikritik ahli Parlimen pembangkang dan badan pemantau pilihan raya Bersih, yang mempersoalkan jika kerajaan mengubah pendiriannya mengenai lantikan politik bagi GLC.

  • Kereta rempuh mati pejalan kaki junam ke sungai, seorang wanita lemas

    Kereta rempuh mati pejalan kaki junam ke sungai, seorang wanita lemas

    SEORANG pejalan kaki maut selepas dirempuh kereta sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam sungai di Jalan Nenasi Rompin dekat Pekan, pukul 947 pagi tadi.

    Menurut Bomba Pahang dalam kenyataan, lelaki terbabit maut di lokasi kejadian manakala seorang penumpang wanita kereta itu dipercayai lemas selepas hanyut dalam cubaannya menyelamatkan diri.

    “Pemandu kereta yang juga seorang lelaki selamat dengan cedera ringan, manakala penumpang wanita terjatuh ke dalam sungai bersama kenderaan dinaiki.

    “Mangsa dikatakan sempat keluar dari kereta, tetapi dihanyutkan arus sungai,” menurut kenyataan berkenaan.

    Operasi mencari dan menyelamat digerakkan di sekitar lokasi kejadian dibantu unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan serta tiga anggota dari Rompin bersama sebuah bot penyelamat.

    “Mayat lelaki (pejalan kaki) dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut,” tambah kenyataan itu, lapor FMT.

  • Srikandi Bersatu gesa PH-BN tak mansuh Skim Rumah Pertamaku

    Srikandi Bersatu gesa PH-BN tak mansuh Skim Rumah Pertamaku

    NAIB Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menggesa kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) tidak memansuhkan Skim Rumah Pertamaku yang masih diperlukan golongan muda.

    Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka itu berkata golongan muda yang baharu mendirikan rumah tangga dengan pendapatan yang terhad akan terkesan untuk membeli rumah pertama sekiranya skim berkenaan dimansuhkan.

    “Saya mendapat berita program SRP yang bermula sejak tahun 2011 khabarnya akan dimansuhkan bermula pada 1 April depan. Ia akan memberi kesan golongan muda yang ingin memiliki rumah.

    “Saya mengambil contoh sewaktu membeli rumah kali pertama, untuk menyediakan deposit amat sukar memandangkan ketika itu baru bekerja dan mendirikan rumah tangga,” katanya.

    22 Mac lalu, media melaporkan skim yang mula diperkenalkan pada 2011 akan dimansuhkan, sekali gus tiada lagi kaedah untuk pembeli rumah pertama memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.

    Ini bermakna, pembeli rumah pertama selepas ini perlu menyediakan deposit 10 peratus daripada harga hartanah yang ingin dibeli sama seperti pembeli yang lain.

    Cagamas Bhd, perbadanan yang bertanggungjawab menguruskan skim berkenaan, menasihatkan pemohon yang berminat untuk mengemukakan permohonan pinjaman atau pembiayaan perumahan di bawah SRP selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.

    “Cagamas ingin memaklumkan bahawa SRP akan dimansuhkan pada 1 April 2023. Sila kunjungi mana-mana cawangan bank yang mengambil bahagian atau hubungi kami di talian 03-2262 1800 untuk maklumat lanjut,” katanya menerusi satu notis ringkas di laman web perbadanan gadai janji nasional itu.

    Mengulas lanjut Mas Ermieyati berkata, walaupun pembeli perlu menyediakan 10 peratus nilai deposit, bagi golongan anak muda dan ibu muda mereka sangat terkesan.

    “Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut supaya menarik semula pembatalan SRP,” katanya lapor Harakah.

  • Kadar pencen lapuk, kerajaan digesa tambah baik PHU, ELS

    Kadar pencen lapuk, kerajaan digesa tambah baik PHU, ELS

    KERAJAAN digesa untuk menambah baik kadar pencen hilang upaya (PHU) dan kadar elaun sentiasa (ELS) yang terlepas pandang sejak 22 tahun lalu.

    Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharuddin Omar berkata, kerajaan sudah sedia maklum bahwa PHU dan ELS kepada veteran cedera ketika bertugas masih menggunakan kadar lama dan ia harus dikaji semula kerana sudah lapuk.

    “Saya difahamkan ketika ini jumlah penerima faedah PHU tidaklah terlalu besar jumlahnya, hanya seramai 1,798 veteran yang cedera parah semasa bertugas.

    “Sebilangan besar mereka cedera dalam operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) di zaman negara menghadapi Darurat Kedua.

    “Mereka adalah veteran yang cedera di tahap 21 hingga ke 100 peratus ketika bertugas. Daripada jumlah berkenaan, 14 orang Veteran PHU layak menerima ELS,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau menambah, kajian itu telah dibengkelkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sejak tahun lalu dengan harapan kerajaan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk melaksanakannya.

    Sharuddin mengambil contoh, ada dalam kalangan veteran yang mengalami kecederaan kekal sejak 1976 namun kerajaan hanya mampu membayar sebanyak RM114.24 setiap bulan.

    “Sebagai contoh seorang veteran dari Kampung Kok Lanas, Ketereh, Kelantan putus kaki dari buku lali ke bawah terpijak ‘booby trap‘ komunis di Gubir, Sik, Kedah pada tahun 1976.

    “Kecederaan kekal akibat tindakan musuh hanya dibayar PHU RM114.24 sebulan. Bayangkan kecederaan berlaku sejak tahun 1976 (sudah 47 tahun yang lalu). Namun, kerajaan hanya mampu bayar RM114.24 sebulan,” katanya.

    Rabu lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dilaporkan berkata, kerajaan sedang menilai semula skim pencen bekas anggota ATM secara menyeluruh termasuk pemberian pencen hilang upaya, kebajikan dan pengurusan perkhidmatan kesihatan.

    Ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat itu beliau berkata, antara lain adalah menjalankan kajian dan semakan semula itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk tangga gaji, keadaan hilang upaya dan tanggungannya.

  • Dua terbunuh dalam letupan kilang coklat di AS

    Dua terbunuh dalam letupan kilang coklat di AS

    SEKURANG-kurangnya dua orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam letupan dan kebakaran di sebuah kilang coklat di Pennsylvania Amerika Syarikat, lapor Sputnik.

    Kebakaran itu dilaporkan berlaku kira-kira 5 petang waktu tempatan pada Jumaat (21:00 GMT), memusnahkan sebahagian daripada kilang coklat R.M. Palmer Company di West Reading, Berks County, lapor The New York Times memetik kenyatan polis West Reading.

    WPVI-TV melaporkan dua orang maut dan tujuh lagi hilang. Sekurang-kurangnya enam orang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan.

    Letupan berkemungkinan disebabkan oleh kebocoran gas. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

  • Cubaan 10 PATI ceroboh perairan negara gagal

    Cubaan 10 PATI ceroboh perairan negara gagal

    CUBAAN 10 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk menyusup masuk melalui perairan negara, gagal apabila ditahan Trup Pengawasan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), kelmarin.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam kenyataan, memaklumkan warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita itu berusia antara 12 sehingga 43 tahun itu ditahan menerusi Op Merpati I pada pukul 11.50 malam.

    “Operasi berkenaan dijalankan di kawasan Tanggungjawab Operasi (KTJ) Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

    “Trup pengawasan 2 KAD yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Op Merpati I bermula 19 Mac lalu hingga 19 Mei depan berjaya menghidu kehadiran PATI terbabit melalui Radar Gempita 8X8,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan hanya seorang daripada mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kesemua tahanan kemudian dibawa ke Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi untuk proses dokumentasi.

    Menurut kenyataan itu, menerusi operasi itu wang tunai berjumlah RM16,594.20 dan 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas.

    Kesemua 10 PATI itu ujarnya, diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Johor Bahru pada pukul 11 pagi.

    “Ketumbukan 3 Divisyen akan terus komited memperkasa kawalan keselamatan di sempadan negara melalui pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikekang demi kedaulatan negara,” katanya.

  • Tegur anak ‘laju baca doa makan’, bapa dihayun kerusi ketika berbuka

    Tegur anak ‘laju baca doa makan’, bapa dihayun kerusi ketika berbuka

    SEORANG anak tergamak menghayunkan kerusi terhadap bapanya selepas tidak berpuas hati ditegur kerana laju membaca doa makan ketika hendak berbuka pada pukul 7.45 malam tadi.

    Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata, pergaduhan anak beranak itu mengakibatkan kerusi meja makan patah dengan mangsa berusia 63 tahun mengalami kecederaan di dahi dan tapak tangan.

    Menurutnya, pergaduhan tercetus antara mangsa dan suspek dapat dileraikan seorang lagi anak mangsa yang kemudian bertindak menghubungi polis.

    “Punca kejadian ialah disebabkan suspek yang berpuasa bertindak membaca doa makan dengan laju untuk berbuka puasa dan telah ditegur oleh mangsa.

    “Suspek yang tidak berpuas hati akibat ditegur telah menghayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga patah kaki kerusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, polis menangkap suspek berusia 34 tahun, selain merampas barang kes melibatkan kerusi meja makan dipercayai digunakan memukul bapanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

    Beliau berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga 27 Mac, lapor FMT.

    Katanya, orang ramai mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat, Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

  • Halang tugas penjawat awam, warga emas dakwa ‘diserang’ anggota MBPJ disiasat

    Halang tugas penjawat awam, warga emas dakwa ‘diserang’ anggota MBPJ disiasat

    SEORANG lelaki warga emas mendakwa diserang pasukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ketika operasi menangkap anjing liar akan disiasat kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.

    Ketua Polis Petaling Jaya Fakhrudin Abdul Hamid, berkata hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan cuba melindungi anjing liar dengan memasukkan binatang itu ke dalam premisnya dalam kejadian di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya, pada Rabu.

    “Penguatkuasa cuba menghalang lelaki itu daripada menutup pintu premis, namun pasukan operasi gagal melaksanakan tugas kerana dihalang.

    “Terjadi pergelutan antara pasukan penangkap anjing dengan lelaki tersebut sehingga menyebabkan lelaki itu terkena batang rod menangkap anjing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Fakhrudin berkata, operasi tangkapan anjing liar dijalankan susulan aduan orang ramai diterima MBPJ.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya, lapor FMT.

    Semalam, MBPJ memberi jaminan tidak akan melindungi kakitangannya jika terbukti bersalah dalam insiden ‘menyerang’ seorang warga emas ketika operasi menangkap anjing liar.

    Pihak berkuasa tempatan itu, berkata kes itu sedang disiasat jawatankuasa siasatan dalaman.

    “MBPJ menegaskan tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana kakitangan, seandainya benar dan terbukti (individu itu) telah melakukan kesalahan,” katanya.