Category: Semasa

  • Dalang perhimpunan di ibu negara disiasat

    Dalang perhimpunan di ibu negara disiasat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan terhadap dalang yang terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya mengesan penglibatan kumpulan itu yang didalangi oleh individu sama atau pemimpin p[olitik sebagai penghasut bertujuan merosakkan imej negara.

    Menurutnya, tindakan diambil terhadap mereka menyertai perhimpunan itu dan diumumkan dari semasa ke semasa.

    “Saya tengok mereka ini adalah individu-individu yang sama melontarkan kemarahan apabila kerajaan membenarkan kilang beroperasi, namun individu ini juga yang mengarahkan dan menghasut supaya semua orang turun berkumpul.

    “Jika diteliti, kita akan faham bahawa kumpulan-kumpulan ini hanyalah bertujuan memecahbelahkan keadaan serta menimbulkan kegusaran kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, Larut hari ini.

    Hadir sama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

    Hamzah berkata, ketika tempoh pandemik Covid-19 sepatutnya rakyat sedar terhadap bahaya penularan wabak Covid-19 terutamanya varian Delta yang mudah merebak dengan cepat melalui udara.

    “Mereka ini sudah tahu bahayanya varian ini kepada masyarakat namun pada masa yang sama mereka juga yang mengajak orang ramai untuk berkumpul.

    “Adakah mereka ini double standard dalam mematuhi SOP atau sememangnya kebal daripada varian ini,” soalnya.

  • PKPD dua minggu di sembilan lokaliti di Sabah, Pahang

    PKPD dua minggu di sembilan lokaliti di Sabah, Pahang

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti melibatkan tujuh di Sabah dan dua di Pahang selama dua minggu bermula Isnin ini.

    Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, PKPD di Sabah meliputi lima lokaliti di Kota Kinabalu dan dua lokaliti di Beaufort manakala PKPD di Pahang membabitkan dua lokaliti di Rompin.

    “Lima lokaliti di Kota Kinabalu dikenakan PKPD ialah Lorong Kuala Laut, Likas; Kampung Warisan; Kampung Darau, Menggatal; Kampung Rakyat Baru dan kuarters pekerja Imbas Jaya, Jalan Kionsom.

    “PKPD di Beaufort pula membabitkan Kampung Melulugus dan Lorong 3, Kampung Klias Baru, manakala PKPD di Rompin membabitkan Bandar Melati dan Ladang Senang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hishammuddin yang mengetuai Kluster Keselamatan berkata, tempoh PKPD lima lokaliti di Kota Kinabalu dilaksanakan mulai Isnin hingga 14 Ogos ini manakala tempoh PKPD di empat lokaliti di Beaufort dan Rompin dilaksanakan bermula Isnin ini hingga 15 Ogos.

    Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan hari ini turut memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKPD di Pos Iskandar, Bera, Pahang dan Kampung Tinusa 2, Sandakan, Sabah yang sepatutnya tamat esok.

    “Tempoh PKPD di dua lokaliti itu akan disambung dua minggu lagi bermula Isnin ini hingga 15 Ogos.

    “Pelanjutan PKPD diputuskan selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kedua-dua lokaliti terbabit,” katanya.

    Mengulas lanjut mengenai PKPD, Hishammuddin berkata, MKN turut menamatkan PKPD di 14 lokaliti di Sarawak, Pahang, Sabah, Kedah dan Negeri Sembilan, esok.

  • Tidak perlu bantah di jalanan – TPM

    Tidak perlu bantah di jalanan – TPM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada keperluan untuk melakukan bantahan di jalanan kerana kerajaan sentiasa mengambil inisiatif mendengar suara dan pandangan rakyat.

    Malah kata Timbalan Perdana Menteri, malah tindakan mengadakan perhimpunan di tempat awam hanya akan mengundang peningkatan risiko penularan Covid-19.

    “Kita mendengar suara di mana-mana sekali pun. Kita mengambil perhatian setiap pandangan rakyat, bukan hanya daripada protes di jalanan.

    “Malah, Parlimen yang bersidang baru-baru ini di mana fokusnya untuk menyelesaikan isu rakyat dan Covid-19.

    “Kita mahu mendengar pandangan daripada Ahli Parlimen mengenai cadangan untuk rakyat kerana inilah peluang wakil rakyat menyuarakan pandangan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

  • 20 juta vaksin diberikan menerusi PICK-Adham Baba

    20 juta vaksin diberikan menerusi PICK-Adham Baba

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah memberikan 20,014,549 dos vaksin COVID-19 sejak 24 Februari lalu hingga semalam.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi perkongsian infografik dalam Twitter miliknya berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13,500,479 adalah suntikan vaksin dos pertama manakala 6,514,070 lagi adalah dos kedua.

    “Mengikut peratusan, 41.3 peratus daripada populasi negara sudah mendapat dos pertama, manakala 19.9 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya menerusi hantaran itu.

    Bagi vaksinasi harian pula, Dr Adham berkata, sebanyak 512,097 dos diberikan semalam, dengan 315,737 adalah pemberian dos pertama, manakala 196,360 lagi dos kedua.

  • Khidmat bakti ATM, PDRM semasa pandemik Covid-19 tidak ternilai harganya – PM

    Khidmat bakti ATM, PDRM semasa pandemik Covid-19 tidak ternilai harganya – PM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERDANA Menteri menyifatkan sumbangan dan khidmat bakti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya ketika bertugas di barisan hadapan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19, tidak ternilai harganya.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam memerangi pandemik, para pahlawan di barisan hadapan keselamatan membuktikan kesungguhan mereka dalam mempertaruh nyawa demi melindungi rakyat Malaysia, sehingga ada antara mereka turut dijangkiti dan kehilangan nyawa.

    “(Semua khidmat mereka) daripada mengawal sempadan negara kepada sekatan jalan raya, daripada memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi kepada membantu golongan terkesan dengan agihan bakul makanan, daripada membantu menggerak program vaksinasi kepada merawat pesakit Covid-19 yang terjangkiti.

    “Para wira dan wirawati barisan hadapan ini sentiasa sederap bersama-sama pahlawan barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pahlawan hari ini.

    Muhyiddin berkata, kepada perwira yang masih dalam tugasan, jasa dan sumbangan amat dihargai dan didoakan agar semua diberi kesihatan dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan.

    Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan buat ahli keluarga perwira negara yang terkorban semasa bertugas, jasa dan pengorbanan mereka tentunya tidak akan disia-siakan.

    “Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Tentunya pengorbanan mereka terus dikenang sepanjang zaman.

    “Segala jerit perih, komitmen serta pengorbanan para pahlawan dan perwira negara, sama ada dahulu atau sekarang adalah demi mempertahankan keamanan, kemakmuran dan kedaulatan negara.

    “Semoga khidmat bakti dan pengorbanan mereka disanjung tinggi dan diberkati. Insya-Allah,” katanya.

  • Negara terhutang budi kepada pahlawan negara-TPM

    Negara terhutang budi kepada pahlawan negara-TPM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    NEGARA dan rakyat amat terhutang budi kepada pahlawan negara kerana apa yang dinikmati hari ini tidak dapat dicapai tanpa pengorbanan mereka sejak sebelum merdeka sehingga kini.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jasa dan pengorbanan pahlawan negara akan terpahat dalam sejarah yang abadi.

    “Alhamdulillah hari ini tanggal 31 Julai 2021, merupakan Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun bagi mengenang jasa pahlawan negara yang tiada titik noktahnya.

    “Tidak kira di darat, laut mahupun di awan biru, pahlawan kita terus bersiap siaga mempertahankan ibu pertiwi dan sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara serta rakyat tercinta,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Pahlawan 2021 yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya, hari ini.

  • Kes Covid-19 tertinggi baharu direkodkan, 17,786 kes hari ini

    Kes Covid-19 tertinggi baharu direkodkan, 17,786 kes hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 17,786 kes baharu dilaporkan hari ini sekali gus menjadi rekod tertinggi setakat ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 1,113,272 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor merekodkan sebanyak 6,400 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur (1,962 kes); Kedah (1,389 kes); Johor (1,144 kes) dan Sabah (1,035 kes).

    Negeri Sembilan pula merekodkan (929 kes), Terengganu (883 kes); Perak (775 kes); Pulau Pinang (713 kes); Melaka (697 kes); Pahang (653 kes); Kelantan (580 kes); Sarawak (485 kes) dan Putrajaya (116 kes).

    “Selebihnya Perlis (16 kes) dan Labuan (sembilan kes),” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya hari ini.

  • JKDM rampas arak, rokok seludup lebih RM2.5 juta di Sibu

    JKDM rampas arak, rokok seludup lebih RM2.5 juta di Sibu

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 27 kontena mengandungi arak dan rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta dari sebuah kapal di tebing Sungai Rajang di belakang premis sebuah syarikat, Jalan Hulu Lanang, Sibu baru-baru ini.

    Pengarah JKDM Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, sebanyak 369,672 liter minuman keras dan 16,852,000 batang rokok telah dirampas dengan duti cukai dianggarkan berjumlah lebih RM13 juta dalam penahanan pada jam 8.15 pagi, 20 Julai lalu iaitu pada Hari Raya Aidiladha.

    Katanya, turut ditahan ialah lima individu terdiri daripada empat warganegara asing dan seorang warga tempatan berusia dalam lingkungan 22 hingga 50 tahun.

    “Mereka disyaki terlibat dalam percubaan mengangkut dan memindah barangan tidak berkastam menggunakan sebuah kapal, dipercayai dari negara luar untuk dibawa masuk ke dalam negara.

    “Kapal tersebut telah masuk melalui muara Sungai Rajang dan telah memasuki perairan Sibu untuk mengangkut masuk kontena bagi tujuan mengedar barangan ke seluruh Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barangan larangan tanpa permit yang sah serta terlibat dalam mengangkut dan memindah barangan tidak berkastam atau larangan.

  • Kerajaan PN tetap utuh, kalau ada undian di Parlimen – Shahidan

    Kerajaan PN tetap utuh, kalau ada undian di Parlimen – Shahidan

    PENGERUSI PNBBC, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan kerajaan PN tetap akan kekal utuh biarpun terdapat undian di Dewan Rakyat kerana mempunyai sokongan 115 ahli Parlimen.

    Beliau berkata, biarpun difahamkan Ahli Parlimen BN-Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Ahli Parlimen BN-Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak dapat hadir ke Parlimen, pada Isnin ini.

    “Biarpun tanpa kehadiran Ahli Parlimen Bagan Datoh dan Ahli Parlimen Kepala Batas, kerajaan PN masih boleh menang undian di Parlimen kerana ketika ini terdapat 115 Ahli Parlimen kekal menyokong kerajaan.

    “Kenapa pula kerajaan akan kalah kerana kita mempunyai 115 ahli Parlimen jika dua atau tiga orang Ahli Parlimen tidak hadir kita masih lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

    “Kita kena ingat keputusan untuk kekal menyokong kerajaan adalah keputusan parti biarpun beberapa Ahli Parlimen menyatakan mereka sudah menarik sokongan diberikan kepada Perdana Menteri, baru-baru ini,” katanya kepada portal PNBBC.

    Beberapa ahli Parlimen di blok pembangkang juga dijangka tidak hadir dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat Isnin ini kerana kuarantin kendiri.

    Ditanya adakah kerajaan dan PNBBC bersedia untuk menghadapi perbahasan dan pengundian jika usul penarikan Ordinan dan Proklamasi Darurat dibuat Shahidan berkata perkara berkenaan tertakluk kepada kuasa budi bicara Perdana Menteri.

    “Kuasa untuk membawa sebarang usul ke Mesyuarat Khas Parlimen adalah terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri bukan kuasa kerajaan,’’ katanya.

    Shahidan turut menegaskan, semua anggota Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) masih kekal memberikan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, sehingga kini sokongan ahli Parlimen PNBBC terhadap kerajaan masih tidak berubah dan kekal seperti dulu.

    “Setakat ini tidak ada perubahan sokongan Ahli Parlimen PNBBC terhadap kerajaan. Jika ada sebarang perubahan sudah tentu mereka akan maklumkan kepada saya.

    “Semua Ahli Parlimen PNBBC masih menyokong kerajaan sedia ada tidak termasuk Tengku Razaleigh Hamzah (Ahli Parlimen BN-Gua Musang) yang memang berkecuali dari dulu dan tidak akan menyokong pembangkang,” katanya lapor portal PNBBC.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen BN-Arau memberitahu, sehingga kini beliau tidak mempunyai sebarang maklumat jika ada Ahli Parlimen PNBBC yang menarik sokongan kepada kerajaan.

    “Setakat ini saya tidak menerima sebarang maklumat daripada Ahli PNBBC lain kecuali Ahli Parlimen BN-Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri tetapi kekal menyokong kerajaan PN.

    “Saya juga difahamkan bahawa Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang sebelum ini menarik balik sokongan diberikan kepada Perdana Menteri kini kembali menyokong kerajaan PN,” katanya.

    “Kalau perkara itu tiada dalam agenda Mesyuarat Khas Parlimen macam mana kita nak bahaskan dan buat undian. Kalau nak adakan perbahasan dan undian, ia boleh dilakukan semasa sidang Parlimen biasa pada September nanti,” katanya.

  • Cubaan seludup 886 burung murai gagal

    Cubaan seludup 886 burung murai gagal

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dan Balai Polis Senggarang mematahkan cubaan menyeludup keluar 206 ekor burung murai batu dan 680 ekor burung murai kampung di Batu Pahat semalam.

    Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, operasi itu dijalankan dua pegawai dan lapan anggota PPM Wilayah 2 dibantu anggota Balai Polis Senggarang dalam tugas Ops Benteng Covid-19.

    Pada mulanya anggota dan pegawai polis terbabit mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tepi laut Parit Botak.

    “Apabila menyedari kehadiran pasukan serbuan, mereka memecutkan kenderaan hingga ke kawasan Ladang Sawit Kampung Baharu, Senggarang.

    “Sewaktu pasukan serbuan menghampiri kenderaan tersebut, pemandu telah bertindak melarikan diri. Pasukan serbuan telah meluaskan kawasan pencarian bagi mengesan suspek

    ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek berjaya ditemui dan hasil soal siasat dia mengaku sebagai pengurus penghantaran burung ke negara jiran.

    “Seorang lelaki tempatan telah menyerah diri dan mengaku terlibat secara langsung dalam kegiatan ini sebagai penghantar yang menggunakan van yang dirampas,” katanya.

    Muhd. Zailani berkata, pasukan serbuan membawa suspek yang berusia 23 hingga 29 tahun dan kesemua barang rampasan ke Balai Polis Senggarang untuk proses dokumentasi.

    Pihaknya juga merampas 206 ekor burung murai batu, 680 ekor burung murai kampung, sebuah van dan sebuah motosikal dan dianggarkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM121,300.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 60(2) Akta Hidupan Liar 2010 iaitu kesalahan membabitkan spesies Common Shama (Copsychus malabaricus) memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.