Oleh Abu Ubaidillah Rahman

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dan Balai Polis Senggarang mematahkan cubaan menyeludup keluar 206 ekor burung murai batu dan 680 ekor burung murai kampung di Batu Pahat semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, operasi itu dijalankan dua pegawai dan lapan anggota PPM Wilayah 2 dibantu anggota Balai Polis Senggarang dalam tugas Ops Benteng Covid-19.

Pada mulanya anggota dan pegawai polis terbabit mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tepi laut Parit Botak.

“Apabila menyedari kehadiran pasukan serbuan, mereka memecutkan kenderaan hingga ke kawasan Ladang Sawit Kampung Baharu, Senggarang.

“Sewaktu pasukan serbuan menghampiri kenderaan tersebut, pemandu telah bertindak melarikan diri. Pasukan serbuan telah meluaskan kawasan pencarian bagi mengesan suspek

,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek berjaya ditemui dan hasil soal siasat dia mengaku sebagai pengurus penghantaran burung ke negara jiran.

“Seorang lelaki tempatan telah menyerah diri dan mengaku terlibat secara langsung dalam kegiatan ini sebagai penghantar yang menggunakan van yang dirampas,” katanya.

Muhd. Zailani berkata, pasukan serbuan membawa suspek yang berusia 23 hingga 29 tahun dan kesemua barang rampasan ke Balai Polis Senggarang untuk proses dokumentasi.

Pihaknya juga merampas 206 ekor burung murai batu, 680 ekor burung murai kampung, sebuah van dan sebuah motosikal dan dianggarkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM121,300.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 60(2) Akta Hidupan Liar 2010 iaitu kesalahan membabitkan spesies Common Shama (Copsychus malabaricus) memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here