Oleh Abu Ubaidillah Rahman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan terhadap dalang yang terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya mengesan penglibatan kumpulan itu yang didalangi oleh individu sama atau pemimpin p[olitik sebagai penghasut bertujuan merosakkan imej negara.

Menurutnya, tindakan diambil terhadap mereka menyertai perhimpunan itu dan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Saya tengok mereka ini adalah individu-individu yang sama melontarkan kemarahan apabila kerajaan membenarkan kilang beroperasi, namun individu ini juga yang mengarahkan dan menghasut supaya semua orang turun berkumpul.

“Jika diteliti, kita akan faham bahawa kumpulan-kumpulan ini hanyalah bertujuan memecahbelahkan keadaan serta menimbulkan kegusaran kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, Larut hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Hamzah berkata, ketika tempoh pandemik Covid-19 sepatutnya rakyat sedar terhadap bahaya penularan wabak Covid-19 terutamanya varian Delta yang mudah merebak dengan cepat melalui udara.

“Mereka ini sudah tahu bahayanya varian ini kepada masyarakat namun pada masa yang sama mereka juga yang mengajak orang ramai untuk berkumpul.

“Adakah mereka ini double standard dalam mematuhi SOP atau sememangnya kebal daripada varian ini,” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here