Category: Semasa

  • Pegawai Tun M positif Covid-19

    Pegawai Tun M positif Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG pegawai kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikesan positif Covid-19.

    Menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pegawai tersebut antara 11 individu yang didapati positif dalam saringan yang dilakukan di Parlimen Khamis lalu.

    Menurut laporan Astro Awani, pegawai kepada Ahli Parlimen Langkawi itu juga didapati positif dengan varian yang membimbangkan (VOC), Delta.

    Ujian saringan ke atas Dr. Mahathir didapati negatif dan beliau juga tiada sebarang kontak dengan pegawai berkenaan ketika di Parlimen.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Jumaat lepas berkata, semua yang akan hadir ke sesi sidang Mesyuarat Khas Parlimen Isnin ini dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu. – SB

  • [VIDEO] Pembangkang beri contoh buruk kepada rakyat – pensyarah

    [VIDEO] Pembangkang beri contoh buruk kepada rakyat – pensyarah

    TINDAKAN beberapa Ahli Parlimen pembangkang berarak ke bangunan Parlimen meskipun mengetahui Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini telah ditangguhkan adalah perbuatan yang disengajakan walaupun mereka sedar ia tidak akan mengubah keputusan itu.

    Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Professor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata tindakan mereka itu adalah untuk menarik perhatian ramai termasuk masyarakat antarabangsa.

    “Himpunan ini secara jelas melanggari prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal. Gelagat Ahli Parlimen ini dikhuatiri boleh mempengaruhi mana-mana kumpulan yang selepas ini mahu mengadakan himpunan dan melanggari SOP.

    “Ia tidak wajar buat masa sekarang ketika kes Covid-19 masih tinggi. Matlamat tidak menghalalkan cara dengan melanggar SOP… seperti yang saya katakan dahulu, adakah ahli politik ini kalis Covid-19?” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

    Semalam, sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak sidang khas disambung walaupun ia telah ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19.

    Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang Dr Che Hamdan Che Mohd Razali, tindakan Ahli Parlimen terbabit adalah berniat untuk memberi tekanan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Masing-masing dalam bertindak sudah memikirkan baik buruk. Namun kita dapat lihat bagaimana kegelojohan pemain politik ini memberikan imej dan contoh yang buruk bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa.

    “Bagi pemain politik, mereka melihat impak dari segi jumlah Ahli Parlimen yang berkumpul pagi ini untuk melihat setakat mana sokongan terhadap blok pembangkang,” katanya.

    Penganalisis politik dan media sosial dari UiTM Shah Alam, Selangor Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy pula menegaskan tindakan pemimpin pembangkang berkumpul beramai-ramai sebagai protes susulan penangguhan sidang Parlimen adalah tindakan yang membahayakan ramai pihak.

    “Daripada membahayakan banyak pihak dan menyebabkan pengikut mereka yang menyertai protes itu berdepan risiko, pembangkang seharusnya bertindak mengetepikan kepentingan politik serta berusaha untuk kesejahteraan negara dan rakyat terutama ketika ini yang menyaksikan kes Covid-19 terus meningkat,” katanya.

    Pakar Epidemiologi UPM Profesor Madya Dr Malina Osman juga berpendapat sebarang perhimpunan tidak harus dilakukan ketika ini bagi mengelak tercetusnya kluster baharu Covid-19.

     “Sekarang ini, mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada kebaikan negara perlu berganding bahu mencari strategi penyelesaian Covid-19 dan bukan sekadar hendak mencari kesalahan.

    “Masing-Masing kena fikir yang terbaik dan kerajaan pada masa sama juga perlu bersikap terbuka supaya perbincangan ke arah ini membuahkan hasil,” katanya.

  • Polis serbu rumah proses, simpan arak tiruan

    Polis serbu rumah proses, simpan arak tiruan

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Utara menyerbu sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses dan penyimpanan arak tiruan di Taman Ungku Aminah, Skudai di sini semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan di rumah dua tingkat itu dilakukan pada pukul 8.10 pagi.

    “Hasil serbuan berjaya menangkap dua warga tempatan yang berusia 27 dan 41 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan dan tidak bercukai.

    “Turut ditahan empat lelaki warganegara asing berusia lingkungan 29 hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja dalam premis tersebut manakala ‘mastermind’ belum ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejbat Kontinjen Johor (IPK) di sini hari ini.

    Katanya, antara barang yang dirampas 20 tong biru cecair pati arak 4,000 atau 40 peratus berisi alkohol; 16 kotak jenama Mcdowells 142.08 liter (40 peratus); lapan kotak jenama Chivas Regal 96 liter (40 peratus).

    Turut dirampas 30 kotak jenama King Robert 390 liter (43 peratus); 12 kotak jenama Johnnie Walker Red Label 144 liter (40 peratus) dan lima kotak jenama Johnnie Walker Black Label 60 liter (40 peratus).

    Beliau memberitahu, jumlah nilai arak sahaja RM2.143 juta, nilai cukai arak RM870,462 manakala keseluruhan nilai rampasan RM3.149 juta.

    Jelasnya, mereka menjadikan rumah sebagai tempat memproses minuman keras tidak bercukai yang diedarkan pasaran tempatan.

    Siasatan katanya, dijalankan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 iaitu kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat minuman keras.

  • MT UMNO akan laksanakan ‘agenda kluster mahkamah’?

    MT UMNO akan laksanakan ‘agenda kluster mahkamah’?

    ANALISIS

    KIRA-kira pukul 4 petang ini, Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat tergemparnya. Kita tidak pasti sama ada keputusan yang akan buat akan menggemparkan atau tidak , selaras dengan ‘kegemparan’ yang ditunggu-tunggu.

    Tetapi apa yang pasti sudah ada sumber mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepemimpinan parti yang bersama beliau akan memberi tekanan habis-habisan supaya ahli Parlimen parti itu dalam Kabinet dan GLC meletakkan jawatan.

    Melalui tindakan itu, ia dilihat akan ‘memuluskan’ usaha untuk menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kelompok tersebut yang sebahagiannya dianggap ‘kluster mahkamah’ mahu memastikan kali ini MT benar-benar tidak membuat keputusan ‘separuh masak’, justeru tekanan akan diberikan kepada ahli-ahli Parlimen berkenaan untuk meletakkan jawatan.

    Kelompok pemimpin dalam ‘kluster mahkamah’ dengan disokong oleh ahli-ahli MT yang bimbang nama tidak disenaraikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti akan berbuat demikian walaupun mereka tahu sebenarnya tidak timbul soal penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam isu pembatalan Ordinan Darurat seperti mana mereka uar-uarkan atau menjadi alasan untuk menarik diri daripada Kerajaan PN.

    Walaupun kerajaan sudah memberi penjelasan panjang manakala Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan,  proses pembatalan sedang berjalan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, namun UMNO khususnya ‘kluster mahkamah’ dan penyokong mereka yang ada antaranya menjadi ‘batu api’ tidak mempedulikannya.

    Sepatutnya, UMNO tidak harus tergopoh-gapah mahu membuat keputusan yang boleh menjejaskan bukan sahaja kestabilan politik negara tetapi juga boleh memburukkan keadaan dalam parti itu. Apa akan berlaku jika ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan dan GLC tidak mahu menarik diri? Adakah UMNO tidak akan keluar Kerajaan PN?

    Sebab itulah ramai ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi mula bersuara. Dalam media-media sosial sudah tersebar pelbagai pandangan daripada kelompok itu yang mula melihat ‘ada sesuatu yang tidak kena’ di peringkat kepemimpinan pusat.

    Kata mereka, seharusnya kepemimpinan UMNO mencari jalan penyelesaian kalau benar pembatalan Ordinan Darurat itu mencetuskan masalah. Sedangkan semua orang tahu apabila UMNO bercakap soal derhaka, maka pakatan pembangkang pun mengambil kesempatan.

    Turut dibangkitkan oleh ahli-ahli UMNO, kenapakah sesetengah pemimpin parti itu khususnya yang digelar ‘kluster mahkamah’ beria-ia benar sejak awal penubuhan Kerajaan PN lagi mahu mengkritik apa sahaja dilakukan oleh kerajaan?

    Apa lagi mereka mahu? Sedangkan UMNO adalah parti yang kalah dalam pilihan raya? UMNO adalah parti yang ditolak oleh rakyat? Pemimpin UMNO adalah parti yang mencetuskan skandal kewangan sehingga dikatakan menjadi punca BN tumbang? Selama 22 bulan, UMNO dilayan bagaikan sebuah parti yang secebispun tidak melakukan apapun jasa kepada negara ini, belum insafkah?

    Tetapi UMNO dijemput masuk ke dalam kerajaan. Ahli-ahli Parlimen UMNO diberikan jawatan kanan dalam Kabinet dan terkini Timbalan Perdana Menteri yang disandang oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kalau sebelum ini mereka kata suara parti itu tidak didengari oleh kerajaan, sekarang pemimpin UMNO menjadi pemimpin nombor 2 dalam kerajaan, sudah pasti Ismail Sabri akan memainkan peranannya.

    Oleh itu pemimpin-pemimpin UMNO bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melantik Ismail Sabri. Kalau mereka berhujah kenapa jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diberikan lebih awal, mungkin Ahmad Zahid Hamidi mempunyai berpuluh-puluh kes mahkamah boleh menjelaskannya.

    Apapun UMNO tidak boleh mengikut rentak pembangkang tetapi kita boleh faham kenapa pembangkang mahu menjatuhkan kerajaan kerana mereka mahu kembali menjadi kerajaan, tetapi kalau UMNO yang berada dalam kerajaan mahu menumbangkan kerajaan, jangan marah kalau orang tafsir, sahlah sekelompok pemimpin UMNO khususnya mereka dalam ‘kluster mahkamah’ ada agenda peribadi. Soal pembatalan Ordinan Darurat dan kegagalan menangani Covid-19, hanyalah alasan!

  • DKKB dilancar hari ini, jadi panduan aktiviti perkebunan bandar

    DKKB dilancar hari ini, jadi panduan aktiviti perkebunan bandar

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini melancarkan Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) secara maya.

    Menurut Zuraida, dasar DKKB diperkenalkan sebagai panduan bagi memacu amalan perkebunan berhemah dalam bandar dan membolehkan rakyat meraih peluang menghasilkan sumber makanan serta menjana pendapatan.

    “DKKB menggariskan lima teras dan 17 strategi termasuk Garis Panduan Kebun Komuniti Bandar untuk memudah cara pelaksanaan Program Pembangunan Kebun Komuniti selaras dengan peraturan dan prosedur pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sedang berkuat kuasa sekarang.

    “DKKB dapat memastikan pengurusan landskap bandar yang efektif melibatkan tanggungjawab bersama-sama antara PBT dan masyarakat dengan menekankan peri penting untuk mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan kejiranan atau kawasan lapang yang dibenarkan,” katanya.

    Dasar itu katanya, merupakan inisiatif untuk memperkasa komuniti bandar, mewujudkan peluang dan ruang kepada individu serta komuniti untuk menguruskan ekonomi sosial jangka pendek dengan menggalakkan aktiviti penanaman sayur-sayuran secara organik menerusi insentif anak benih dan anak-anak pokok.

    “DKKB ini juga bertujuan untuk memastikan orang awam sedar perkara-perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan,” katanya.

    Melalui DKKB, Zuraida berkata, kerajaan komited untuk memastikan kelangsungan program kebun komuniti yang telah diusahakan oleh komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) dengan sasaran satu PPR, satu kebun komuniti.

    “Berdasarkan statistik, tiga PSMK mencatatkan hasil tuaian tertinggi untuk tempoh Januari hingga 31 Mei lepas iaitu Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, Kuantan di Pahang yang mencatat 311 kilogram (kg) hasil, PPR Hiliran, Kuala Terengganu di Terengganu dengan 242.9 kg hasil dan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh di Perak dengan 64.78 kg.

    “Saya berharap semasa tempoh Covid-19, aktiviti kebun komuniti masih boleh diteruskan terutama di kawasan-kawasan yang mempunyai kebun yang luas dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

  • Suri rumah menangis teresak-esak, didenda hina Agong

    Suri rumah menangis teresak-esak, didenda hina Agong

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadap seorang suri rumah kerana menghina Yang di-Pertuan Agong pada Mei lalu.

    Rosmawati Mohd. Zain, 46, yang menangis teresak-esak mengaku mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui profil Facebook Rosmawati Mohd. Zain.

    Hantaran dibuat 25 Mei lalu pada pukul 7.06 malam dan dibaca pada pukul 1.06 tengah hari, 1 Jun lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian anggota polis mendapati terdapat komen daripada profil Rosmawati dengan tangkap layar jelik.

    Hasil siasatan mendapati, akaun itu didaftarkan atas nama Rosmawati dan bertanggungjawab secara sedar melakukan kesilapan tersebut.

    Semasa prosiding, wanita itu yang tidak diwakili peguam mengaku kesal dengan perbuatan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

    “Ketika itu saya terlalu tertekan dan meluahkan perasaan di Facebook sehingga menyebabkan saya melakukan tindakan bodoh.

    “Yang Arif, tolonglah kurangkan denda saya kerana tidak mampu membayar denda sebanyak itu,” katanya.

    Rosmawati berkata, empat anaknya masih bersekolah dan anak keduanya akan melanjutkan pelajaran di universiti awam tidak lama lagi.

    Menurutnya, dia cuma seorang suri rumah dan mengharapkan pendapatan suami.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan kepada tertuduh dan mesej kepada masyarakat supaya tidak sesekali mengulangi jenayah sama.

    “Kes hari ini melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda paling dihormati dalam sistem berperlembagaan, maka saya memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran,” katanya.

  • 73,817 peneroka Felda tandatangan perjanjian hapus hutang

    73,817 peneroka Felda tandatangan perjanjian hapus hutang

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 73,817 peneroka Felda menandatangani perjanjian menerima inisiatif pelupusan sebahagian besar pinjaman di 64 rancangan di seluruh negara.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah itu melibatkan lebih 90 peratus golongan tersebut sudah berbuat demikian.

    Bagaimanapun katanya, pelaksanaan inisiatif itu ditambah baik selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada 7 Julai lalu untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

    “Di bawah langkah penambahbaikan itu, mana-mana peneroka yang tidak mempunyai pinjaman dengan Felda akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar yang ditentukan kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu katanya, penghapusan penuh kepada peneroka bersama-sama Felda yang mempunyai baki hutang di bawah RM5,000 juga akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar ditentukan kemudian.

    “Peneroka bersama Felda yang mempunyai baki pinjaman RM5,001 hingga RM50,000 akan menikmati had bayaran kembali (BK) bulanan pinjaman lebih rendah,” katanya.

    Mustapa berkata, perkara itu dicapai berdasarkan libat urus dan turun padang selain maklum balas dan cadangan yang diterima bagi memastikan semua peneroka mendapat manfaat pelaksanaan inisiatif ini.

    Jelasnya, dua isu utama yang dibangkitkan peneroka berkaitan tawaran pelarasan pinjaman peneroka adalah jumlah pelarasan pinjaman yang dianggap tidak adil dan peneroka kurang faham dengan beberapa terma dalam dokumen perjanjian.

    Untuk itu, beliau berkata, bagi memberikan pemahaman lebih jelas kepada peneroka, adendum (tambahan) kepada perjanjian pelarasan pinjaman peneroka akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

    “Isu berkaitan pinjaman peneroka berlarutan sejak 20 tahun lalu yang mana saya difahamkan peneroka Felda tidak pernah mendapat penyata pinjaman mereka.

    “Justeru, matlamat utama inisiatif ini untuk menarik peneroka Felda bersama Felda melalui satu sistem pengurusan ladang lestari yang diuruskan mengikut amalan pertanian baik (GAP) dan pertanian mampan mengikut piawaian Malaysia dan antarabangsa.

    “Oleh itu, tawaran pelarasan pinjaman ini adalah berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda. Peneroka yang ingin menguruskan kebun sendiri juga disyaratkan menghantar hasil kebun kepada Felda,” katanya.

    Mustapa berkata, satu sesi libat urus akan diadakan pada 9 Ogos ini bersama-sama beliau, Pengerusi dan pengurusan Felda dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemegang taruh bagi berkongsi perkembangan terkini program pelupusan hutang peneroka.

  • Orang politik jangan jual nama rakyat, demokrasi

    Orang politik jangan jual nama rakyat, demokrasi


    ANALISIS


    HAMPIR dua bulan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes Covid-19 masih mencatatkan lima angka.

    Penularan wabak berlaku di peringkat global sehingga menyebabkan banyak pihak sengsara terutama berkaitan aspek ekonomi dan sosial.

    Bagi rakyat marhaen, mereka menghitung detik menaruh harapan agar ada cahaya di kemudian hari. Dengan situasi ekonomi yang terus merundum, harapan mereka hanyalah untuk mengenyangkan anak-anak dan membayar segala hutang.

    Namun, bagi ahli politik oportunis , dalam keadaan kes yang masih tinggi ini, ia juga boleh dianggap peluang untuk cuba menangguk di air keruh. Mereka menjaja nama rakyat dan demokrasi sehingga sanggup berkumpul di Parlimen dengan mengetepikan risiko penularan wabak Covid-19.

    Kalau ada yang cuba meratib dan persoalkan apakah bezanya tindakan berkumpul di Parlimen dengan pemimpin lain yang langgar prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini, itu perbandingan dangkal. Tanpa mengira sesiapa pun, yang salah tetap salah. Tiada pemimpin mengatasi undang-undang dan individu terlibat perlu dihukum.

    Kalau ada yang terlepas, mereka perlu ingat rakyat sedang memerhati. Malah, rakyat boleh kemukakan bukti dengan adanya perkembangan teknologi.

    Memanglah demokrasi secara asasnya merupakan kebebasan dalam pelbagai aspek meliputi media, hak untuk bersuara, sistem kehakiman yang adil dan pelbagai lagi. Namun pada masa sekarang, pemimpin juga harus ingat demokrasi sahaja tidak cukup merungkai masalah dihadapi rakyat pada masa kini terutama mengenai isi perut mereka.

    Negara perlukan sistem dan pelan yang mampu meningkatkan ekonomi negara ke arah lebih baik kerana dengan cara itulah ia boleh mengubah nasib rakyat. Adakah tindakan berkumpul semalam dan Sabtu lalu menjamin pengurangan kes Covid-19?

    Sebenarnya ia boleh mengundang padah untuk mencetuskan kluster baru. Sekalipun ada kelompongan di Parlimen tempoh hari sehingga membawa kepada pertikaian antara kerajaan dan istana serta pihak pembangkang, tindakan semalam dan Sabtu lalu bukan penyelesaiannya.

    Kita rakyat perlu ingat, demokrasi sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Kehidupan kita dilingkari dan didatangkan sekali dengan undang-undang, agama dan moral.

  • Kompaun ahli Parlimen pembangkang langgar SOP

    Kompaun ahli Parlimen pembangkang langgar SOP

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TINDAKAN ahli-ahli Parlimen pembangkang
    yang berhimpun di sekitar ibu negara semalam sewajarnya dikenakan kompaun.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, ia perlu memandangkan tindakan mereka itu secara jelas telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

    Oleh itu katanya, mereka yang terlibat patut diambil tindakan undang-undang dan dikompaun ekoran tidak mematuhi peraturan setelah berhimpun serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

    “Mereka yang melanggar peraturan, SOP dan tidak menjaga jarak fizikal perlu diambil tindakan kerana apabila berlaku kepada kita (pemimpin kerajaan) mereka kata kita golongan kayangan.

    “Jadi saya harap tidak ada perbezaan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan. Mereka yang melakukan kesalahan perlu dikompaun dan denda,”katanya kepada pemberita di rumahnya di Ajil, malam tadi.

    Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menyampaikan bantuan kepada 70 tukang gunting di kawasan berkenaan bagi meringankan bebanan golongan itu yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

    Rosol turut menyelar sikap pembangkang yang tidak menggunakan tempoh empat hari persidangan bagi menyuarakan pandangan dalam membantu rakyat dan isu Covid-19 sebaliknya mereka hanya membahaskan isu tidak penting.

    “Mereka minta Parlimen perlu bersidang untuk bincang isu Covid-19 tetapi tiada pun idea untuk atasi Covid-19. Ini bermakna mereka hanya ada agenda sendiri.

    Apabila tidak berjaya di Parlimen mereka cuba berarak di jalan raya pula,” katanya.

    Pada Isnin, ahli-ahli Parlimen pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan pukul 9.30 pagi tidak berjaya.

    Rundingan yang cuba dilakukan bersama pihak polis juga gagal dan akhirnya mereka mengambil keputusan menghentikan perarakan yang berlangsung selama lebih sejam itu dan bersurai.

  • Pengantin perempuan maut ketika disolek sebelum majlis nikah

    Pengantin perempuan maut ketika disolek sebelum majlis nikah

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    KEMERIAHAN majlis pernikahan bertukar sedih apabila pengantin perempuan meninggal dunia akibat sakit jantung ketika disolek oleh jurusolek di Desa Pariti, Kupang, Indonesia pada Sabtu lalu.

    Mangsa, Sita, 31, pada mulanya jatuh pengsan dan keluarga menyangkakan dia kepenatan.

    Jurucakap polis, Deff Wee berkata, petugas perubatan dari Pusat Kesihatan Pariti datang ke rumah mangsa dan mendapati dia sudah tidak bernyawa.

    Katanya, pihak keluarga kemudian membawa mangsa ke Hospital Naibonat bagi mengesahkan keadaan mangsa.

    “Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mati akibat serangan jantung,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Tribunnews.

    Sepatutnya, semasa kejadian sebanyak tiga acara akan diadakan dari pagi hingga petang iaitu peminangan, pernikahan dan majlis perkahwinan.

    Namun, bakal suami Sita, M Cholid terpaksa menerima suratan takdir apabila hari bahagia itu bertukar menjadi majlis pengebumian.