Oleh MOHD LAZIM ENDUT

TINDAKAN ahli-ahli Parlimen pembangkang
yang berhimpun di sekitar ibu negara semalam sewajarnya dikenakan kompaun.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, ia perlu memandangkan tindakan mereka itu secara jelas telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Oleh itu katanya, mereka yang terlibat patut diambil tindakan undang-undang dan dikompaun ekoran tidak mematuhi peraturan setelah berhimpun serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Mereka yang melanggar peraturan, SOP dan tidak menjaga jarak fizikal perlu diambil tindakan kerana apabila berlaku kepada kita (pemimpin kerajaan) mereka kata kita golongan kayangan.

“Jadi saya harap tidak ada perbezaan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan. Mereka yang melakukan kesalahan perlu dikompaun dan denda,”katanya kepada pemberita di rumahnya di Ajil, malam tadi.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menyampaikan bantuan kepada 70 tukang gunting di kawasan berkenaan bagi meringankan bebanan golongan itu yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

Rosol turut menyelar sikap pembangkang yang tidak menggunakan tempoh empat hari persidangan bagi menyuarakan pandangan dalam membantu rakyat dan isu Covid-19 sebaliknya mereka hanya membahaskan isu tidak penting.

“Mereka minta Parlimen perlu bersidang untuk bincang isu Covid-19 tetapi tiada pun idea untuk atasi Covid-19. Ini bermakna mereka hanya ada agenda sendiri.

Apabila tidak berjaya di Parlimen mereka cuba berarak di jalan raya pula,” katanya.

Pada Isnin, ahli-ahli Parlimen pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan pukul 9.30 pagi tidak berjaya.

Rundingan yang cuba dilakukan bersama pihak polis juga gagal dan akhirnya mereka mengambil keputusan menghentikan perarakan yang berlangsung selama lebih sejam itu dan bersurai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here