Oleh Abu Ubaidillah Rahman

MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadap seorang suri rumah kerana menghina Yang di-Pertuan Agong pada Mei lalu.

Rosmawati Mohd. Zain, 46, yang menangis teresak-esak mengaku mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui profil Facebook Rosmawati Mohd. Zain.

Hantaran dibuat 25 Mei lalu pada pukul 7.06 malam dan dibaca pada pukul 1.06 tengah hari, 1 Jun lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian anggota polis mendapati terdapat komen daripada profil Rosmawati dengan tangkap layar jelik.

Hasil siasatan mendapati, akaun itu didaftarkan atas nama Rosmawati dan bertanggungjawab secara sedar melakukan kesilapan tersebut.

Semasa prosiding, wanita itu yang tidak diwakili peguam mengaku kesal dengan perbuatan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

“Ketika itu saya terlalu tertekan dan meluahkan perasaan di Facebook sehingga menyebabkan saya melakukan tindakan bodoh.

“Yang Arif, tolonglah kurangkan denda saya kerana tidak mampu membayar denda sebanyak itu,” katanya.

Rosmawati berkata, empat anaknya masih bersekolah dan anak keduanya akan melanjutkan pelajaran di universiti awam tidak lama lagi.

Menurutnya, dia cuma seorang suri rumah dan mengharapkan pendapatan suami.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan kepada tertuduh dan mesej kepada masyarakat supaya tidak sesekali mengulangi jenayah sama.

“Kes hari ini melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda paling dihormati dalam sistem berperlembagaan, maka saya memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here