Oleh Abu Ubaidillah Rahman
PERPADUAN ASEAN telah membolehkan negara-negara terbabit mengatasi cabaran secara kolektif meliputi krisis kewangan global kepada perubahan iklim, bencana alam dan kini, pandemik Covid-19.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesan Covid-19 terhadap nyawa dan kehidupan masyarakat sangat dahsyat sekali gus menyaksikan kapasiti sektor penjagaan kesihatan yang semakin terbeban sehingga kehilangan pendapatan.
“ASEAN tidak akan mengalah dan kekal teguh memerangi pandemik Covid-19 bergandingan dengan seluruh dunia untuk menunjukkan bahawa manusia akan mengatasi cabaran besar ini bersama-sama dan bangkit lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena sambutan ulang tahun ASEAN ke-54.
Hishammuddin berkata, kemunculan varian baharu Covid-19 dan prospek penyakit itu akan menjadi endemik, memerlukan kerajaan di seluruh dunia memikirkan semula strategi mereka.
Memandangkan tiada negara atau rantau yang mempunyai keupayaan dan pendekatan yang sama dalam menangani pandemik itu katanya, kaedah ‘cookie-cutter’ mungkin tidak berfungsi.
Sehubungan itu, usaha yang akan diambil mestilah dinamik dan fleksibel, menepati keperluan dan kriteria setempat, katanya.
Hishammuddin berkata, sejak awal 2020 ASEAN telah mengambil pendekatan proaktif melalui siri penglibatan dan pertukaran maklumat antara negara anggota dan rakan luar.
Jelasnya, itu bertujuan meningkatkan keupayaan serantau dalam pencegahan, pengesanan, tindak balas dan kesediaan menangani pandemik itu.
Menurutnya, ASEAN telah melaksanakan beberapa strategi dan kerangka kerja untuk menghadapi peningkatan Covid-19, sambil mengurangkan kesannya terhadap ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat. – SB