Giliran Rosni pula letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosni Sohar meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Wanita UMNO berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan peletakan jawatan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi kelmarin.

Beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada Noraini kerana memberi peluang untuknya berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN.

“Saya sebagai ahli MKT UMNO turut setia dan patuh atas ketetapan yang telah dibuat parti.

“UMNO merupakan parti keramat yang memperjuang dan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam asas serta tujuan UMNO mengikut Fasal 3,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Rosni turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan PTPTN atas kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan beliau.

Kelmarin, Noraini melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi serta-merta berdasarkan keputusan MKT UMNO pada 3 Ogos lalu yang menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *