Category: Semasa

  • Cubaan seludup 23 pokok keladi hiasan dalam tong ikan digagalkan

    Cubaan seludup 23 pokok keladi hiasan dalam tong ikan digagalkan

    RAHIMI MOHAMAD

    POKOK keladi hiasan yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar tanaman itu mendorong pihak tidak bertanggungjawab sanggup menyeludup masuk beberapa spesies pokok yang sukar ditemukan ke pasaran tempatan.

    Namun, tindakan cekap dan pantas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan sebuah lori yang cuba membawa masuk tanaman itu dari Singapura melalui Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru.

    Antara pokok keladi yang dirampas Maqis Johor, semalam.

    Ketika ditahan di lorong import KSAB kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, lori dipandu seorang pemandu berusia 38 tahun itu didapati membawa tong ikan.

    Namun, hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 23 pokok keladi hiasan yang disembunyikan dalam tong ikan berkenaan.

    Antara pokok keladi hiasan yang ditahan dalam pemeriksaan itu adalah dari jenis Anthurium luxurians, Anthurium magnificum dan beberapa spesies lain yang dianggarkan bernilai RM3,200 hingga RM3,800 sepokok di pasaran tempatan.

    Maqis memaklumkan, tanaman keladi hiasan yang bernilai RM7,230 itu cuba dibawa masuk tanpa sebarang dokumen sah seperti Permit Import Maqis dan sijil rawatan dari negara asal.

    “Cubaan seludup masuk pokok berkenaan dibuat kerana terdapat permintaan tinggi terhadap tanaman itu di negara ini.

    “Tetapi perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa Permit Import sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama,” katanya, hari ini.

    Jika disabit kesalahan, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambah kenyataan itu.

  • Terengganu uji aplikasi Al Batuk bagi kesan tahap kesihatan pelancong

    Terengganu uji aplikasi Al Batuk bagi kesan tahap kesihatan pelancong

    TERENGGANU sedang berusaha untuk mempergiatkan semula industri pelancongan negeri yang semakin malap ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara akibat penularan wabak Covid-19.

    Justeru, bagi memulihkan semula industri tersebut, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa strategi tertentu dengan pendekatan secara berhati-hati.

    Atiffin Deraman

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Atiffin Deraman memberitahu, antaranya termasuklah cadangan memperkenalkan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) Kesihatan dikenali sebagai Al Batuk.

    Menurut Ariffin, buat masa ini pihaknya sedang menguji aplikasi berkenaan sebelum ia dilaksanakan kelak.

    Katanya, pendekatan itu perlu kerana berdasarkan kajian, kes penularan Covid-19 di negeri ini kebanyakan berpunca daripada aktiviti rentas negeri.

    “Oleh itu, kita akan gunakan aplikasi AI Batuk di setiap pintu sempadan negeri bagi mengesan tahap kesihatan semua individu yang ingin melancong ke Terengganu.

    “Jika ada yang positif, individu terbabit perlu membuat rawatan terus ke fasiliti kesihatan berdekatan.

    “Ini adalah antara usaha kerajaan negeri dalam mengekang penularan wabak ini dari luar, sekali gus ia mampu meningkatkan kepercayaan orang ramai untuk melancong ke sini,” ujarnya di Kuala Terengganu hari ini.

    Ariffin berkata, kebanyakan penggiat industri pelancongan di pulau-pulau peranginan dan Tasik Kenyir ingin membuat persediaan lebih rapi di premis masing-masing dengan mengambil kira pelbagai aspek Prosedur Operasi Standard (SOP).

    Malah katanya, ada pemilik premis maklumkan mereka mahukan setiap pelancong yang datang ke negeri mesti terlebih dahulu membuat ujian calitan.

    Beliau berkata, ia sebagai langkah berhati-hati kerana tidak mahu risiko premis ditutup selepas beroperasi kelak.

    “Begitu juga dengan pemantauan di jeti-jeti pelancongan, mereka mahukan penguat kuasa setiap daerah agar mengetatkan SOP ke atas setiap pelancong termasuk memastikan bilangan individu dalam bot mesti mengikut kuota dibenarkan,” katanya.

    Sementara itu, Ariffin bekata, kerajaan negeri juga akan terus meningkatkan program vaksinasi ke atas semua pengusaha dan pekerja pelancongan di negeri ini bagi meyakinkan orang ramai datang bercuti, sekaligus merancakkan kembali industri pelancongan domestik.

    “Orang ramai perlu diberi keyakinan bahawa semua penggiat industri ini telah menerima suntikan dos lengkap dan SOP ketat dikenakan pihak penguat kuasa bagi memastikan aktiviti pelancongan tidak menjadi punca wujudnya kluster baharu,”ujar beliau.

  • PM baharu kemuka usul undi percaya di Parlimen – Agong

    PM baharu kemuka usul undi percaya di Parlimen – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Perdana Menteri yang bakal dilantik oleh Seri Paduka menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

    Titah itu terkandung dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini.

    “Dalam hal ini, baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

    “Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat),” jelas kenyataan tersebut.

    Semalam, Al-Sultan Abdullah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara.

    Dengan titah Seri Paduka, Sultan Nazrin telah disembah silakan turut berangkat hadir semasa sesi menghadap tersebut atas kapasiti baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

    Turut hadir dalam sesi menghadap tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

    Sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Warisan dan Pejuang telah berlangsung lebih 90 minit bermula dari pukul 2.30 petang.

    Terdahulu, Seri Paduka B turut berkenan menerima menghadap secara maya pada pukul 1.40 petang komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Seri Paduka telah menzahirkan bahawa baginda dan Sulltan Perak telah berkenan untuk menganjurkan sesi menghadap semalam bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh jawatan Jemaah Menteri yang telah berkuat kuasa pada 16 Ogos, 2021.

    Seri Paduka selanjutnya bertitah supaya semua 220 Ahli Parlimen mempersembahkan kepada baginda surat akuan yang menyatakan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu.

    Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum pukul 4.00 petang.

    Seri Paduka turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Seri Paduka turut menzahirkan titah akan tujuan utama sesi menghadap semalam adalah untuk menyatakan bahawa:

    • Sesiapapun juga yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

    • Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

    • Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

    • Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

    • Majoriti petugas barisan hadapan berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit COVID-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

    • Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik COVID-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, dan program pemulihan negara perlu dikekalkan.

    Seri Paduka dan Sultan Nazrin telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika kita masih diancam pandemik COVID-19.

    Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

    Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Parlimen dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

    Sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, Ahli Parlimen yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.

    “Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua,” jelas kenyataan itu.

    Seri Paduka juga menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Parlimen yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa.

  • Industri sawit negara kekal pemain utama pasaran dunia

    Industri sawit negara kekal pemain utama pasaran dunia

    INDUSTRI sawit negara mengekalkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran minyak sayuran dan lelemak dunia.

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, pada tahun 2020, Malaysia mengeksport sebanyak 17.40 juta tan minyak sawit mentah (MSM) atau 18.3 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport minyak sayuran dan lelemak dunia.

    Menurut kementerian, sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara juga telah meningkat kepada RM73.25 bilion pada tahun lalu berbanding RM67.55 bilion pada tahun 2019.

    “Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 bernilai RM48.31 bilion atau mewakili 56.8 peratus daripada keseluruhan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor agrikomoditi negara.

    “Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi percaya, kedudukan Malaysia tidak akan tergugat pada tahun ini apabila sehingga suku kedua 2021, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion pada tahun lalu,” kata kementerian itu dalam kenyataan media, hari ini.

    Kementerian menambah, kenaikan harga MSM telah memberi kesan positif kepada pekebun kecil sawit di mana pendapatan tahunan kasar hasil jualan sawit pada tahun 2020 di Semenanjung Malaysia dianggarkan sebanyak RM9,570 satu hektar.

    Katanya, di Sabah dan Sarawak masing-masing telah menjana hasil jualan sebanyak RM7,756 dan RM7,650 satu hektar.

    “Bagi tempoh lima bulan pertama 2021, berikutan peningkatan harga MSM, hasil kutipan duti eksport MSM adalah dianggarkan berjumlah RM564.82 juta, melonjak lima kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM111 juta.

    “Oleh itu, bagi memastikan peningkatan harga MSM dirasai semua kelompok masyarakat dan meminimumkan kesan negatif, kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme untuk memastikan kebaikan kenaikan harga berkenaan dalam pasaran dunia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada masa hadapan.

    “Contohnya syor mewujudkan satu mekanisme khas untuk mengatasi isu kenaikan harga minyak tidak bersubsidi,” jelas kementerian itu.

    Di samping itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dianggarkan sebanyak RM950 juta bagi tahun ini berbanding hanya RM165 juta bagi tahun 2020.

    “la berikutan kenaikan harga MSM yang melebihi RM3,500 satu tan dari Januari hingga Mei 2021 dan anggaran harga MSM melebihi RM2,500 satu tan sehingga Disember 2021.

    “Peningkatan harga MSM ini dilihat memberi lebih kesan positif kepada masyarakat.

    “Secara prinsipnya, setiap kenaikan harga MSM di pasaran dunia akan memberi kesan ekonomi secara berangkai seperti pertambahan pendapatan negara, pendapatan pekebun kecil sawit bertambah dan kenaikan harga runcit minyak masak,” jelas kementerian itu.

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi percaya, sektor agrikomoditi khususnya subsektor sawit akan terus memainkan peranan menyumbang kepada unjuran ekonomi yang lebih positif sepanjang tahun ini serta memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kepada lebih 500,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara.

  • 4 kematian babitkan penerima dua dos vaksin Covid-19 – Dr Noor Hisham

    4 kematian babitkan penerima dua dos vaksin Covid-19 – Dr Noor Hisham

    SEBANYAK empat kes atau 0.03 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di seluruh negara akibat Covid-19 adalah membabitkan individu yang menerima dua dos vaksin Covid-19.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, angka itu berdasarkan analisis data klinikal yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

    Menurutnya, analisis itu membabitkan 12,993 kematian akibat Covid-19 yang direkodkan di seluruh negara sejak penularan pandemik dalam negara dilaporkan tahun lalu.

    “Selain itu, sebanyak 80 kes atau 0.6 peratus kematian membabitkan individu yang hanya menerima satu dos vaksin Covid-19,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

    Dr Noor Hisham bagaimanapun tidak memperincikan tempoh masa jangkitan Covid-19 membabitkan penerima vaksin dan jenis vaksin yang diterima mereka.

    Sebanyak 19,631 kes Covid-19 direkodkan semalam membabitkan 293 kematian menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu di negara ini sebanyak 1,444,270 kes.

  • Ceroboh perairan negara, 4 bot nelayan Vietnam tenggelam

    Ceroboh perairan negara, 4 bot nelayan Vietnam tenggelam

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan melupuskan empat bot nelayan asing Vietnam yang telah dilucut hak secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan pada jarak 4.4 batu nautika daripada Pantai Sabak Pengkalan Chepa, semalam.

    Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, empat bot yang dilupuskan hari ini telah ditahan melalui Operasi Naga Barat pada tahun 2019 dan Operasi Kuda Laut tahun 2020, atas kesalahan menceroboh perairan dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran di perairan Kelantan.

    Menurut beliau, penahanan empat bot itu juga turut melibatkan tahanan ke atas 36 kru termasuk tekong nelayan Vietnam.

    “Kesemua bot disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dalam perairan perikanan Malaysia.

    “Nilai denda mahkamah bagi keempat- empat bot ini berjumlah RM4.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Syed Nor Adli menambah, empat bot yang dilupuskan hari ini dianggarkan bernilai RM6 juta dan ini merupakan pelupusan kali kedua ke atas bot nelayan asing Vietnam bagi Maritim Malaysia Negeri Kelantan bagi tahun 2021.

    Beliau memberitahu, pelupusan kali pertama melibatkan dua bot yang dilupuskan dengan cara dihancurkan.

    “Sejak tahun 2007, Maritim Malaysia Negeri Kelantan telah melupuskan sebanyak 242 bot nelayan asing Vietnam dengan anggaran nilai RM363 juta.

    “Sebanyak 181 bot dilupuskan secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan dan menempatkannya di sekitar perairan Tok Bali, Kuala Besar, Tumpat, Pulau Perhentian serta Taman Tukun Keputeraan.

    nelayan Vietnam
    Empat bot nelayan Vietnam yang didapati menceroboh perairan negara. – Gambar: Maritim Malaysia

    “Manakala 16 bot dihancurkan berikutan struktur fizikal yang mereput dan tidak memiliki jangka hayat yang panjang untuk dijadikan tukun, 25 bot dijual atau dilelong dan 20 bot dihadiahkan kepada agensi-agensi Kerajaan termasuk universiti atas pelbagai jenis tujuan yang tidak melibatkan aktiviti perikanan,” jelasnya.

    Namun, kata Syed Nor Adli, kaedah jual atau lelong telah dihentikan berikutan berlakunya komplot oleh warga tempatan yang menjadi ejen kepada pemilik asal daripada Vietnam dengan membida serta membeli bot-bot yang dilelong dan dihantar semula ke Vietnam.

    Beliau berkata, proses penenggelaman bot sebagai tukun tiruan itu mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) merangkumi keseluruhan aspek demi memastikan kesesuaian serta tidak menjejaskan biodiversiti marin dan memberikan manfaat kepada nelayan pinggir pantai.

    “Untuk rekod, pada tahun ini Maritim Malaysia Negeri Kelantan telah menahan sebanyak 11 bot nelayan asing Vietnam. Ini menjadikan jumlah bot nelayan asing Vietnam di Pusat Tahanan Vesel berjumlah 15 buah termasuk empat bot yang ditahan tahun lepas.

    “Justeru, kita menjangkakan kesemua bot ini akan dilupuskan tahun ini setelah mendapatkan perintah lucut hak oleh mahkamah,” katanya.

    Maritim Malaysia Negeri Kelantan akan sentiasa berusaha memastikan perairan negeri Kelantan sentiasa selamat kepada komuniti maritim.

    Sebarang maklumat boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-778 0070.

  • Raja-raja Melayu bincang calon PM Jumaat ini

    Raja-raja Melayu bincang calon PM Jumaat ini

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal mengadakan pertemuan khas dengan Raja-raja Melayu bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan kerajaan, Jumaat ini.

    Memetik laporan BH Online, perkara itu disahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

    Beliau menambah, Istana Negara juga akan mengeluarkan kenyataan itu dalam masa terdekat hari ini.

    “Benar, hari ini akan keluarkan kenyataan selepas jam 12 tengah hari, insya-Allah,” katanya.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap pemimpin parti-parti politik termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Yang turut hadir menghadap Seri Paduka, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Antara titah baginda adalah supaya semua parti politik bersatu menghadapi COVID-19 dan juga masalah ekonomi.

    Semalam, semua Ahli Parlimen diminta mengemukakan surat akuan yang menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Istana Negara selewat-lewatnya pukul 4 petang, hari ini.

    Arahan itu terkandung dalam notis daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen.

    “Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara Baginda Tuanku di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Baginda Tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoiti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

    “Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9,” katanya.

  • Jangkitan Varian Delta di Sarawak naik mendadak

    Jangkitan Varian Delta di Sarawak naik mendadak

    JANGKITAN Covid-19 membabitkan varian Delta di Sarawak dikesan terus mencatatkan peningkatan secara mendadak.

    Menurut Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr David Perera, kadar pengesanan keseluruhan buat masa ini telah mencapai lebih 73 peratus daripada 50 peratus yang dilaporkan setakat 3 Ogos.

    Beliau menjelaskan, kadar pengesanan varian Delta bagi Bahagian Kuching sahaja adalah kira-kira 90 peratus.

    Malah katanya, varian itu juga terus dikesan di Bau, Lundu, Kota Samarahan, Simunjan, Miri dan Bintulu.

    “Kami turut mengesan enam varian Delta di Sibu,” katanya dalam laporannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

    Perera berkata, sebanyak 249 Varian Prihatin (VOC) tambahan dan Varian of Interest (VOI) dikesan daripada 338 kes positif Covid-19 di negeri ini pada 10 Ogos.

    “Dari VOC/VOI itu, 248 adalah Varian Delta (B.1.617.2) manakala satu kes VOI Indonesia yang dikesan di Bintulu,” katanya.

    Setakat ini ujar Perera, sebanyak 592 VOC / VOI terkumpul dikesan di Sarawak daripada kes positif Covid-19 pada 10 Ogos.

    Beliau menambah, secara keseluruhan, sebanyak 521 kes varian Delta dikesan di Sarawak dengan Kuching mencatatkan sebanyak 354 kes, Samarahan (67), Serian (60), Bintulu (16), Sibu (8), Miri (8), Sri Aman (6) dan Betong (1).

  • Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    POLIS Melaka menerima 48 laporan berkaitan penipuan tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM700,000 dalam tempoh 1 Jan hingga 16 Ogos lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata penipuan berkenaan melibatkan tawaran kerja dari syarikat jualan dalam talian yang diiklankan menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan WhatsApp.

    Beliau berkata suspek penipuan juga menggunakan nama syarikat terkenal seperti Lazada dan Shopee bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.

    “Modus operandi penipuan berkenaan ialah suspek menawarkan kepada mangsa untuk menjadi ejen jualan, menaikkan ‘rating’ perniagaan dan membantu mempromosikan peniaga secara dalam talian.

    “Mangsa akan ditawarkan komisen lumayan sebanyak lima hingga lapan peratus bagi setiap tugasan yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sundra Rajan berkata selain itu, sindiket juga menawarkan kerja sebagai ejen pembelian yang berperanan membuat pembelian barangan dan mangsa akan diberi komisen sebanyak lapan peratus daripada harga barang yang dibayar.

    Katanya kebanyakan mangsa mula menyedari diperdaya oleh sindiket tawaran kerja tidak wujud apabila wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak diterima.

    Sundra Rajan berkata kes terbaru dilaporkan melibatkan seorang eksekutif perniagaan yang mengalami kerugian sebanyak RM8,000 akibat terpedaya dengan tawaran komisen sebanyak lapan peratus sebagai ejen pembelian barang di Facebook.

    Beliau berkata wanita berusia 23 tahun yang tinggal di Ayer Keroh di sini telah membuat pembayaran berkenaan sebagai modal pembelian ke akaun yang diberikan suspek membabitkan transaksi sebanyak lima kali sejak 10 Ogos lepas.

    “Menerusi tawaran kerja itu, mangsa berperanan menaikkan ‘rating’ peniaga kecil dengan membuat pembelian barang syarikat itu untuk mendapatkan komisen sebanyak lapan peratus namun sehingga laporan dibuat pada 13 Ogos lepas, mangsa masih belum menerima semula wang modal pembelian dan komisen yang dijanjikan,” katanya.

    Beliau berkata sehubungan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 13 Ogos lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Katanya orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja yang diiklankan di media sosial atau laman sesawang dan semak nombor telefon serta nombor akaun yang diragui di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum melakukan apa-apa transaksi agar tidak menjadi mangsa penipuan.- BERNAMA

  • 8 termasuk 4 wanita warga asing ditahan berpesta dadah

    8 termasuk 4 wanita warga asing ditahan berpesta dadah

    SERAMAI lapan individu termasuk empat wanita warga asing ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pesta dadah di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Seberang Perai, Pulau Pinang semalam.

    Selain empat wanita warga asing, turut ditahan dalam serbuan itu ialah tiga lelaki  dan seorang wanita tempatan berusia antara 25 hingga 40 tahun.

    Kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dalam operasi kira-kira pukul 6 petang.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, serbuan di unit tingkat 10 kondominium tersebut dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.

    Ketika serbuan katanya, kesemua suspek dikatakan sedang berhibur dengan bunyi alunan muzik kuat serta meminum jus campuran dadah.

    “Siasatan mendapati kediaman itu disewa oleh salah seorang suspek lelaki sejak setahun yang lalu dan kesemua mereka datang ke situ bersama pasangan dan kenalan untuk berhibur.

    “Pemeriksaan di dalam kediaman tersebut  menemukan pelbagai jenis dadah antaranya pil Eramin 5, pil ekstasi, jus campuran dadah serta syabu yang dipercayai digunakan mereka untuk berhibur.

    “Polis turut merampas peralatan sistem audio dan lampu disko, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Tambah Rahimi, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati tujuh daripada mereka positif dadah.

    Jelasnya, polis tidak menolak kemungkinan mereka menjadikan kediaman sewa itu sebagai lokasi berhibur ekoran pusat hiburan tidak beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya); Sek. 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek. 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

    Sementara itu, beliau berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai dalam menyampaikan maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis.