Category: Semasa

  • Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak

    Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang tular sebelum ini.

    Siti Bainun, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

    Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan kediaman.

    “Kes ini adalah kes kepentingan awam dan mendapat perhatian media. Pihak kerajaan juga memandang serius terhadap kes pengabaian kanak-kanak. Mangsa dalam kes ini adalah orang kurang upaya (OKU), sindrom down,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Rosidah Abu Bakar.

    Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis selain berjanji akan hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

    “Kesemua syarat yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh tertuduh kerana membabitkan mangsa kanak-kanak, jika syarat ini gagal dipatuhi jaminan akan dibatalkan,” katanya yang kemudian menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Kompaun RM1,500 gagal buktikan lengkap divaksin

    Kompaun RM1,500 gagal buktikan lengkap divaksin

    GARA-gara gagal menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap semasa pemeriksaan pihak berkuasa, Polis Perak mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 terhadap beberapa individu di negeri ini.

    Ketua Polisnya, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun itu selepas individu terbabit gagal membuktikan mereka sudah lengkap dua dos vaksin untuk membolehkannya merentas daerah.

    “Individu terbabit turut tidak membawa telefon bersama bagi menunjukkan bukti lengkap dua dos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, dalam satu kejadian berasingan, kompaun RM1,500 juga dikeluarkan kepada seorang individu yang makan di kedai makan tanpa lengkap dua dos vaksin.

    Menurutnya, sebanyak 14 kompaun berjumlah RM21,000 dikeluarkan bagi mereka yang merentas daerah tanpa kebenaran bermula 10 Ogos lepas.

    Ujarnya, selain itu sebanyak 78,703 permit daripada 80,473 permohonan diluluskan Polis Perak sejak 5 Julai sehingga 19 Ogos lalu.

    “Sebanyak 1,995 jumlah kompaun dikeluarkan mulai 5 Julai hingga 19 Ogos lalu,” tambahnya.

  • 11 wanita ditahan tawar khidmat seks menerusi WeChat

    11 wanita ditahan tawar khidmat seks menerusi WeChat

    Oleh Wartawan WartaRakyat

    POLIS Pulau Pinang menumpaskan sindiket pelacuran yang menawarkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi WeChat dengan penahanan 11 wanita tempatan dan warga asing di Seberang Perai semalam.

    Kesemua mereka ditahan sekumpulan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menerusi Ops Noda Bersepadu.

    Operasi bermula pukul 3 petang itu dilakukan di empat buah hotel bajet di sekitar Bukit Mertajam, Butterworth dan Simpang Ampat.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, wanita warga asing itu terdiri daripada warga Thailand, Indonesia serta Vietnam dengan semua yang ditahan berusia antara 25 hingga 47 tahun.

    Jelas beliau, mereka dipercayai menawarkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi WeChat dengan pelanggan dikenakan bayaran antara RM120 hingga RM200.

    “Dalam serbuan itu, polis turut merampas tisu, kondom, minyak pelincir, wang tunai serta telefon bimbit.

    “Turut ditahan ialah dua lelaki yang merupakan pelanggan serta penjaga hotel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Rahimi, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

    Selain itu katanya, pengusaha hotel juga dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

    “Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kegiatan menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

    “Operasi ini akan dilakukan dari semasa ke semasa dan orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi bersama-sama membanteras aktiviti tidak bermoral sebegini,” katanya.

  • Laporan polis dibuat terhadap Ambiga

    Laporan polis dibuat terhadap Ambiga

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SATU laporan polis telah dibuat terhadap peguam, Ambiga Sreenevasan kerana didakwa telah menimbulkan syak dan menyoal integriti proses pelantikan Perdana Menteri oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang jelas termaktub dalam Perlembagaan.

    Dalam laporan polis yang dibuat, Gerakan Peguam Islam Se-Malaysia (GPIS) telah mendakwa ambiga melakukan kesalahan tersebut dalam satu ciapan Twitternya pada 19 Ogos 2021.

    Menurut GPIS dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ambiga dalam ciapannya yang turut dilaporkan media, mendakwa sokongan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional PN bagi Perdana Menteri baharu yang telah disampaikan kepada Agong adalah tidak sah.

    Ini menurut GPIS adalah percubaan menganggu proses perlantikan yang sedang dijalankan dan adalah amat biadap dan secara langsung ini adalah juga satu tindakan menggugat demokrasi berparlimen.

    “Laporan-laporam polis akan dibuat terhadap anasir ini demi keselamatan negara dan ummah di seluruh negara,” kata pertubuhan tersebut.

    Pertubuhan itu turut mendakwa, Ambiga telah melakukan kesalahan yang amat serius di bawah Akta Hasutan, Seksyen 124 Kanun Keseksaan serta Sosma, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta undang-undang lain.

  • Agong zahir dukacita terhadap fenomena kepala air di Yan

    Agong zahir dukacita terhadap fenomena kepala air di Yan

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi banjir susulan fenomena kepala air berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, Kedah, yang meragut empat nyawa setakat ini.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

    “Seri Paduka turut menzahirkan harapan dan berdoa agar tiga lagi mangsa yang dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun dapat ditemukan dan diselamatkan dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

    Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua anggota agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, termasuk penduduk terjejas akibat banjir berkenaan.

    Seri Paduka turut menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta berpindah ke pusat pemindahan dengan segera sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa tempatan.

    Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat bencana berkenaan.

    Fenomena kepala air yang mencetuskan banjir di sekitar Yan dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang, Rabu lepas dan setakat ini telah meragut empat nyawa.

    Menurut kenyataan itu, antara lokasi terbabit banjir adalah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

    Dilaporkan bagi daerah Yan yang terjejas akibat banjir dan fenomena kepala air itu, dua Pusat Pemindahan Sementara  (PPS) telah dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi dibuka untuk menempatkan mangsa positif COVID-19 dan individu yang dikuarantin. 

    Kedua-dua penempatan berkenaan bagaimanapun dipantau rapi oleh semua agensi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

    Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.- BERNAMA

  • Calon TPM dari kem Bersatu jadi tumpuan

    Calon TPM dari kem Bersatu jadi tumpuan

    CALON bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri yang kini tertumpu dalam kem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat perhatian banyak pihak.

    Difahamkan jawatan tersebut dituntut oleh parti itu selepas mereka menyatakan sokongan bersyarat kepada Barisan Nasional dan UMNO yang memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

    Ismail Sabri dijangka akan membuat keputusan bagi memilih pasukannya selepas mengangkat sumpah jawatan kelak.

    Bagaimanapun, semua pihak masih menanti pengumuman rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Mengenai jawatan TPM, antara nama yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang juga bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

    Turut disebut ialah ahli Parlimen Gombak iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali iaitu bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    Calon ketiga ialah ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Hamzah Zainuddin iaitu bekas Menteri Dalam Negeri.

    Jika diambil dari sudut susunan dan kedudukan dalam Bersatu maka Hamzah iaitu Setiausaha Agung Bersatu merupakan pemimpin paling kanan diikuti Mohd. Redzuan yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

    Sementara Mohamed Azmin juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu namun beliau menyertai parti itu selepas Pakatan Harapan tumbang dan menjadikannya sebagai ‘junior’ dalam parti itu.

    Bagaimanapun, Mohd. Redzuan dilihat sudah memulakan langkah awal untuk berkempen bagi jawatan tersebut.

    Buat masa ini, Bersatu masih mempunyai banyak masa untuk menentukan calon mereka kerana Ismail Sabri masih perlu melalui satu lagi ujian yang akan menentukan keabsahan beliau di Parlimen.

    Selepas itu barulah beliau boleh menentukan barisan Kabinet baharu.

    Antara cabaran Ismail Sabri ialah Bersatu telah mengeluarkan satu kenyataan dan mengesahkan kesemua 50 ahli Parlimen dari parti gabungan Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah secara bersyarat.

    Antara syarat tersebut ialah Ismail Sabri hendaklah memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

    Pada masa sama, kerajaan PN di bawah beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berperlembagaan. – Sinar Harian

  • Malaysia terima 200,000 dos vaksin CanSino rancakkan PICK

    Malaysia terima 200,000 dos vaksin CanSino rancakkan PICK

    MALAYSIA hari ini menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 berdos tunggal jenis CanSino buatan China bagi merancakkan momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutama di kawasan pedalaman.

    Sebanyak 200,000 dos vaksin CanSino yang dibangunkan oleh CanSino Biologics Inc dari China itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 8.45 pagi melalui penerbangan Malaysia Airlines MH361.

    Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan hari ini berkata 200,000 dos vaksin berbentuk produk akhir yang diterima hari ini adalah sebahagian daripada 3.5 juta dos vaksin CanSino yang telah ditempah oleh Malaysia dengan penghantarannya dibuat secara berperingkat.

    “Bekalan ini dapat memperhebat lagi PICK terutamanya di kawasan yang rendah akses dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara mengikut garis masa yang ditetapkan,” menurut CITF.

    Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga. Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan KSU Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah hadir di KLIA untuk menyambut ketibaan vaksin itu.

    Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO),  anak syarikat Solution Group Bhd (SGB), pada 30 Julai menandatangani perjanjian produk akhir serta perjanjian produk pukal dengan CanSino Biologics Inc untuk pembekalan vaksin ‘Recombinant Ad5-nCoV’ bagi penggunaan vaksin CanSino di Malaysia.

    Menerusi pemeteraian kedua-dua perjanjian itu, SOLBIO boleh memenuhi obligasinya untuk membekalkan 3.5 juta dos vaksin COVID-19 kepada KKM dan menerima pesanan tambahan daripada KKM, kerajaan negeri, sektor swasta dan negara ASEAN lain.

    Vaksin CanSino telah mendapat kelulusan penggunaan bersyarat untuk kegunaan kecemasan di Malaysia oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 15 Jun lepas.

    Pada 17 Jun, Menteri Penyelaras PICK ketika itu Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata vaksin jenis CanSino akan ditawarkan kepada negeri-negeri yang mempunyai kawasan pedalaman yang sukar diakses seperti Pahang, Sabah dan Sarawak. 

    Vaksin satu dos akan memudahkan petugas kesihatan yang tidak perlu memasuki kawasan pedalaman untuk kali kedua bagi melengkapkan vaksinasi kepada penerima, kata Khairy.

    Setakat ini, Malaysia menggunakan vaksin dua dos jenis Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca. Vaksin dos tunggal CanSino adalah yang terbaharu akan digunakan dalam PICK.- BERNAMA

  • PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    POLIS Diraja Malaysia mengesahkan membuat pemeriksaan di kediaman pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew, pada petang semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya hanya melakukan pemeriksaan bagi tujuan siasatan selepas polis merakam keterangan dari pendakwah berkenaan di Bukit Aman, di sini semalam.

    “Ia adalah proses pemeriksaan biasa bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

    Semalam, Ebit telah dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Sementara itu, Ebit semasa bercakap kepada media semalam memaafkan semua pihak yang memfitnahnya.

    Beliau berkata, kemaafan itu diberikan susulan beliau dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Saya percaya hidup ini Allah sayang, saya maafkan apa yang terjadi, saya maafkan sesiapa sahaja pun dengan apa yang terjadi.

    “Perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat dan saya akan terus membuat kebaikan sampai saya mati,” katanya.

  • Raja-Raja Melayu bincang calon PM, kerajaan baharu hari ini

    Raja-Raja Melayu bincang calon PM, kerajaan baharu hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini akan mempengerusikan perbincangan khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan calon Perdana Menteri Kesembilan dan pembentukan kerajaan baharu.

    Perbincangan tersebut akan berlangsung pada pukul jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur dan perkara itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

    Perbincangan khas berkaitan kemelut politik semasa negara itu merupakan kali kedua diadakan di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda berikutan peletakan jawatan dua Perdana Menteri yang hilang sokongan majoriti.

    Semalam, Agong bertemu dengan pemimpin parti politik termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Yang turut hadir menghadap Agong, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Parti Pejuang (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Difahamkan hanya dua nama calon Perdana Menteri yang mendapat saingan sengit iaitu Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Terdahulu pada 28 Februari 2020, Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara berhubung tindakan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya pada 24 Februari.

  • Dakwaan sokongan PN kepada Ismail Sabri tidak sah tidak masuk akal – Ali Biju

    Dakwaan sokongan PN kepada Ismail Sabri tidak sah tidak masuk akal – Ali Biju

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    DAKWAAN pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan sokongan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Nasional (PN) kepada Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak sah merupakan satu tuduhan yang tidak masuk akal.

    Tuduhan itu menurut Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju, jelas menunjukkan ketidakfahaman mereka kepada Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau juga mengatakan, dengan mengatakan sokongan PN tidak sah kerana ianya bersyarat juga menunjukkan pimpinan PH kini amat terdesak mencari sokongan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

    Menurut Ali Biju, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya menetapkan untuk sokongan PN, Ismail Sbari perlu memastilan kerajaannya bersih; menjaga kuasa dan kebebasan badan perundangan dan mempertahankan institusi raja berpelembagaan.

    “Tidak masuk akal untuk mengatakan apa yang diminta Muhyiddin salah dan menjadikan sokongan PN kepada Ismail Sabri tidak sah kerana mana-mana kerajaan yang akan ditubuhkan perlu melakukan apa yang bekas Perdana Menteri katakan.

    “Tiada orang mahupun Ahli Parlimen atau parti politik yang waras akan menolak perkara ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

    Selanjutnya beliau menjelaskan, dakwaan para pemimpin PH juga salah kerana surat akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong telah mengatakan sokongan mereka tidak bersyarat dan diserahkan sendiri kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

    Semalam, dua pemimpin kanan pakatan harapan iaitu Mahfuz Omar dan Hanipa Maidin bersama peguam, Ambiga Sreenevasan dilaporkan media tempatan menuduh sokongan PN kepada Ismail Sabri sebagai tidak sah kerana bersyarat seperti yang diumumkan Muhyiddin.