Category: Semasa

  • Jalur Gemilang dipasang terbalik

    Jalur Gemilang dipasang terbalik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat akan tetap menyiasat kejadian Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di pekarangan sebuah rumah ibadat di Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat walaupun pihak pengurusan rumah ibadat itu sudah membetulkannya.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzuddin Rungai berkata, pihaknya mengesan gambar terbabit tular dalam media sosial pukul 12.20 tengah hari semalam.

    “Bertindak atas maklumat berkenaan, pada jam 12.40 tengah hari, anggota dari IPD Batu Pahat telah ke lokasi berkenaan dan mendapati bendera tersebut telah diturunkan.

    “Pihak polis akan memanggil penjaga rumah ibadat tersebut dan individu terlibat bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan.

    Menurut Muhammad Izzuddin, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

  • 5.23 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar di seluruh dunia

    5.23 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar di seluruh dunia

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHNS Hopkins University (JHU) dari Amerika Syarikat (AS) menerusi data terbaharunya mencatatkan lebih 5.23 bilion dos vaksin Covid-19 sudah didaftar atau disuntik di seluruh dunia setakat ini.

    Menurut data berkenaan, China kini mendahului dengan lebih 2.04 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Ini diikuti India sebanyak 634 juta dos manakala AS dengan lebih 368 juta dos vaksin.

    Data berkenaan memaklumkan, negara lain yang mencatat jumlah melebihi 100 juta dos adalah Brazil dan Jerman manakala United Kingdom dan Perancis masing-masing melebihi 90 dan 80 juta dos.

    Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 96 juta dos, jauh meninggalkan negara lain.

    Ini diikuti Malaysia dengan lebih 34 juta dos manakala Singapura di tangga kelima dengan lebih 8 juta dos.

  • Sambutan Merdeka 2021 penuh semangat Keluarga Malaysia

    Sambutan Merdeka 2021 penuh semangat Keluarga Malaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SAMBUTAN Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini tetap menyerlahkan jiwa patriotisme yang jitu dalam semangat Keluarga Malaysia yang disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik Covid-19 buat tahun kedua.

    ‘Malaysia Prihatin’ menjadi tema sambutan kali ini diisi dengan aturcara serta persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme, disusun dengan rapi bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.

    Dengan ketibaan tetamu di Dataran Pahlawan Negara termasuk menteri-menteri Kabinet berlatar belakangkan pelbagai lagu patrotik, klip video Keluarga Malaysia yang menampilkan lirik ciptaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa turut ditayangkan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai sambutan itu secara maya kerana sedang menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan kontak rapat pesakit Covid-19.

    Aturcara sambutan Hari Kebangsaan 2021 itu bermula jam 8 pagi dengan tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang diiringi Lagu Negaraku.

    Ismail Sabri dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dalam siaran secara maya turut dilihat berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang.

    Usai acara tersebut, ikrar Rukun Negara dibacakan dengan diakhiri laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang disempurnakan oleh tujuh petugas barisan hadapan.

    Bacaan ikrar itu diketuai wakil dari Kementerian Pendidikan iaitu Luqman AlHakim Mohd. Tamyes selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

  • 418 Orang Asli positif Covid-19, empat maut di Johor

    418 Orang Asli positif Covid-19, empat maut di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 418 Orang Asli di seluruh Johor dikesan positif Covid-19 dan mencatatkan empat kematian sejak pandemik Covid-19 melanda sehingga 24 Ogos lalu.

    Ahli Dewan Negara (Senator Orang Asli Semenangjung), Datuk Isa Ab. Hamid berkata, jangkitan itu melibatkan 27 kampung Orang Asli di seluruh Johor yang membabitkan 12 kawasan Parlimen.

    Beliau memberitahu, kawasan Parlimen itu melibatkan Iskandar Puteri, Pontian, Pengerang, Muar, Batu Pahat, Ledang, Pagoh, Labis, Mersing, Sembrong dan Tenggara dengan terbaharu melibatkan Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang dikesan pada 25 Ogos lalu.

    “Paling ramai Orang Asli positif melibatkan 235 orang di Kampung Orang Asli Kuala Masai diikuti 88 orang di Kampung Orang Asli Peta, Endau, Mersing dikesan pada 18 Ogos lalu dan 17 orang di Kampung Orang Asli Sungai Layau di Penawar, Pengerang dikesan pada 1 Ogos lalu.

    “Selain itu 11 orang dari Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Labis dikesan pada 16 Ogos lalu selain enam orang masing-masing dari Kampung Orang Asli di Kampung Simpang Arang, Iskandar Puteri serta Kampung Orang Asli Punan di Endau, Mersing dikesan pada 15 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, empat kes kematian melibatkan Orang Asli yang didapati positif berlaku di Kampung Sungai Layau dikesan pada 1,3 dan 5 Ogos lalu dan mereka adalah satu keluarga.

    Menurutnya, hanya Kampung Orang Asli Kuala Masai dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 25 Ogos lalu manakala Kampung Orang Asli Peta tidak dikenakan PKPD walaupun 88 penduduknya positif pada 20 Ogos lalu.

    Isa berkata, sehingga kini seramai 4,020 Orang Asli sudah menerima dos pertama manakala 1,759 lagi sudah menerima dos kedua sementara7,866 masih belum divaksin dengan 5,523 sudah setuju untuk divaksin dan 1,651 tidak setuju divaksin.

    Katanya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pihak berkaitan sudah mengedarkan 8,219 borang suntikan vaksin di semua kampung Orang Asli di negeri ini dan setakat ini 7,174 borang sudah dikembalikan.

    “Ketika ini Jakoa dan pihak berkaitan akan memberi tumpuan untuk proses vaksinasi kepada Orang Asli namun usaha ini kita lihat masih perlahan. Selain itu juga terdapat Orang Asli tidak menyedari kepentingan vaksin,” katanya.

    Tambahnya, ini kerana ada dalam kalangan mereka percaya mempunyai imunisasi kerana minum air Tongkat Ali atau air ketum sekali gus mempunyai persepsi tidak perlukan vaksinasi.

    “Lagipun kebanyakan kampung Orang Asli di Johor tidak jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV), tidak seperti di Perak yang perlu naik kenderaan pacuan empat roda selama empat atau lima jam sejauh 40 hingga 80 kilometer untuk ke PPV,” katanya.

  • Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong ucap Selamat Hari Kebangsaan

    Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong ucap Selamat Hari Kebangsaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

    Ucapan berkenaan dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara hari, ini.

    Sambutan Hari Kebangsaan 2021 pada hari ini berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik Covid-19.

    Bertemakan Malaysia Prihatin, atur cara dan persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi agar bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.

  • PM seru rakyat dalami tema Hari Kebangsaan 2021 Malaysia Prihatin

    PM seru rakyat dalami tema Hari Kebangsaan 2021 Malaysia Prihatin

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyeru rakyat mendalami tema sambutan Hari Kebangsaan 2021 iaitu Malaysia Prihatin serta memupuk sifat keprihatinan dalam diri.

    Beliau menerusi catatan di Facebook rasminya berkata, prihatin adalah satu sifat yang perlu ada dalam diri setiap masyarakat di negara ini.

    “Bila kita prihatin, kita empati dengan kesusahan orang lain. Bila kita prihatin, kita jaga keselamatan dan kesihatan komuniti kita. Bila kita prihatin, kita bersatu hati memerangi musuh negara.

    “Kerana itu, saya menyeru agar kita dalami tema ini dan pupuk sifat prihatin dalam diri kita. Saya pasti dengan keprihatinan kita, Malaysia pasti dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan terus kekal aman makmur,” katanya.

    Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan 2021 kepada seluruh masyarakat.

    Sambutan Hari Kebangsaan 2021 pada hari ini berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik Covid-19.

    Bertemakan Malaysia Prihatin, atur cara dan persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi agar bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.

    Bagaimanapun, Ismail Sabri menyertai sambutan tersebut secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula Isnin (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit Covid-19. – Bernama

  • Ucapan Hari Kebangsaan Ke-64 Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin

    Ucapan Hari Kebangsaan Ke-64 Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat Malaysia memperingati sejarah lampau, terutama perjuangan pengasas-pengasas negara ini untuk dijadikan semangat menempuh cabaran lebih hebat terutama pandemik Covid-19.

    Sempena Hari Kebangsaan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia.

    “Hari yang amat penting dalam sejarah negara kita. Saya mendoakan semoga Malaysia dirahmati, manakala rakyatnya pula menjadi satu bangsa yang berjaya dalam sebuah negara yang lebih maju.

    “Hari di waktu mana kita meraikan sambutan kemerdekaan negara kita daripada penjajah,” kata beliau dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2021 yang disiarkan menerusi Facebook beliau malam tadi.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengakhiri perutusan dengan sepotong doa:

    “Ya Allah kau rahmatilah negara ini, kau berikan kami kekuatan untuk terus maju sebagai satu bangsa yang merdeka.”

  • Pertumbuhan pasaran pelaburan amat memberangsangkan

    Pertumbuhan pasaran pelaburan amat memberangsangkan

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasaran pelaburan telah menunjukkan kadar pertumbuhan yang amat memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

    Perdana Menteri berkata, salah satu misi utama kerajaan adalah untuk mengembalikan ekonomi negara di landasan yang betul setelah terjejas sebegitu lama akibat pandemik COVID-19.

    “Saya yakin faktor kestabilan politik dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi dan meluas menjadi pemangkin untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan bakal dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia. Insya-Allah.

    “Sejajar dengan perkembangan ini, saya akan adakan pertemuan dalam masa terdekat dengan pelbagai wakil sektor perindustrian, dewan perniagaan dan juga usahawan belia bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran Facebook, malam ini.

  • Keluarga Malaysia bulat tekad pulih negara

    Keluarga Malaysia bulat tekad pulih negara

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat sebagai sebuah Keluarga Malaysia untuk bersama-sama membulatkan tekad bagi memulihkan negara sempena Hari Kebangsaan ke-64 yang disambut esok.

    Menurut beliau, situasi pandemik COVID-19 yang dihadapi negara hari ini adalah cabaran yang belum pernah ditempuhi mana-mana kepemimpinan dan kerajaan terdahulu.

    Ismail Sabri berkata, beberapa cabaran serentak, iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi, menyebabkan kestabilan politik negara dan di seluruh dunia tergugat.

    “Sempena Hari Kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik COVID-19 sebagai musuh yang paling utama.

    “Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

    “Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, manakala keyakinan pelabur harus dikembalikan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Hari Kebangsaan Negara ke-64, malam ini.

    Sambutan Hari Kebangsaan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya bermula pukul 8 sehingga 8.50 pagi esok akan disiarkan secara langsung menerusi semua stesen penyiar tempatan.

    Siaran langsung itu memaparkan penggunaan elemen teknologi terkini berkonsepkan ‘mix reality’, iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) dan juga XR (Extended Reality) berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

    Dalam perutusan itu juga, Ismail Sabri mengajak seluruh Keluarga Malaysia agar segera mendapatkan vaksin sebagai satu ikhtiar dalam menyokong pemulihan negara.

    Beliau memberitahu, vaksin sudah terbukti memberi impak positif, terutama dalam usaha memerangi wabak berkenaan.

    “Berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan,” tegasnya.

    Ismail Sabri juga amat berharap, hasil kerjasama seluruh lapisan masyarakat, sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini menjadi yang terakhir disambut dalam suasana peperangan melawan pandemik COVID-19.

    “Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri dengan penuh keinsafan dan kesyukuran mengajak semua pihak menyusuri sejarah perjuangan bangsa mempertahankan kemerdekaan dan merebut kembali tanah air selepas dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

    Beliau berkata, walaupun ia sering diperkatakan, namun sesuatu yang penting perlu diulang-ulang supaya sentiasa terpahat dalam fikiran terutama dalam kalangan generasi muda.

    “Dalam mempertahan dan memperjuangkan kemerdekaan negara ini, ia telah menumpahkan air mata, keringat dan darah para pejuang yang bukan sedikit. Bermula dengan runtuhnya Kerajaan Melaka di tangan kekuasaan Portugis pada tahun 1511.

    “Sejak itu, peta pemerintahan dan kekuasaan kita mula dirobekkan oleh penjajah Barat. Ratusan perjuangan yang ditandai peperangan, perundingan, dan pengorbanan telah memakan masa selama 446 tahun.

    “Ia terpaksa dihadapi demi mengembalikan semula kemerdekaan tanah air ini,” katanya.

    Beliau berkata, bukan sedikit pahlawan negara yang gugur dan terkorban dalam mencapai dan mempertahankan kemerdekaan dan sumbangan mereka terutama anggota keselamatan, tentera dan polis sejak dahulu sehingga kini amat dihargai.

    “Saya perlu menyebut beberapa fakta sejarah tadi kerana setiap negara yang mahu bangkit daripada sebarang kemelut perlu mengenali sejarah. Individu yang mengenali sejarah akan memiliki jati diri yang kukuh dan saling menghormati.

    “Yang paling utama ialah, mereka akan memiliki fikiran yang fokus dalam mengatasi apa pun cabaran sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia,” jelasnya.

  • Pemerkasaan luar bandar agenda utama Mahdzir

    Pemerkasaan luar bandar agenda utama Mahdzir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pemerkasaan masyarakat di luar bandar bakal menjadi salah satu agenda utama yang akan diterapkan ke dalam perancangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di bawah pimpinan menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Menurut Ahli Parlimen Padangan Terap itu, pelantikannya sebagai menteri merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul, demi memastikan kelancaran pentadbiran negara dan kemajuan luar bandar serta masyarakatnya.

    Justeru katanya, pengalaman sepanjang berkecimpung dalam dunia politik bakal menjadi bekalan buatnya untuk mencapai matlamat ditetapkan.

    “Dengan rasa rendah diri, saya memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga segalanya dipermudahkan dan negara kita berjaya bangkit serta pulih daripada krisis kesihatan, ekonomi yang sedang dihadapi sekarang dalam tempoh masa terdekat.

    “Saya beriltizam untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan, jujur dan berintegriti demi memastikan negara terus bergerak maju terutamanya dalam usaha menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Setelah selesai mengangkat sumpah di Istana Negara petang tadi, Mahdzir terus menuju ke bangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya dan tiba kira-kira pukul 5.45 petang.

    Ketibaan beliau disambut kedua-dua timbalan menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Dauk Hasbi Habibollah serta Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus.

    Mahdzir menambah, beliau menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan mengadap bagi Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Kabinet hari ini.

    “Saya mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan diberikan.

    “Saya juga memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah atas pelantikan ini,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta seluruh kepimpinan parti.