Category: Semasa

  • 19,550 kes positif baharu seluruh Malaysia

    19,550 kes positif baharu seluruh Malaysia

    SEBANYAK 19,550 kes positif baharu COVID-19 di seluruh negara hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sejak Januari tahun lalu hingga kini, 1,960,500 kes.

    Maklumat itu dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook beliau, hari ini.

    Sarawak masih mencatatkan jumlah kes positif harian tertinggi iaitu sebanyak 3,743 kes diikuti Selangor dengan 2,416 kes baharu hari ini manakala Johor (2,282 kes), Sabah (2,163 kes), Pulau Pinang (1,865 kes), Kedah (1,390 kes), Perak (1,354 kes) dan Kelantan (1,320 kes).

    Terengganu pula mencatatkan sebanyak 953 kes baharu diikuti Pahang (722 kes), Kuala Lumpur (555 kes), Melaka (490 kes), Negeri Sembilan (198 kes), Perlis (73 kes), Putrajaya (24 kes) dan Labuan (2 kes).

    Berhubung penggunaan katil hospital, Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak 82 peratus melibatkan unit rawatan rapi (ICU) manakala 76 peratus adalah bukan ICU.

  • Kait penjawat awam dengan politik, pandangan Tommy jelik

    Kait penjawat awam dengan politik, pandangan Tommy jelik

    KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mengaitkan penjawat awam dengan parti politik sebagai jelik.

    Presidennya, Adnan Mat berkata, Tommy sepatutnya tidak perlu mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik atau ideologi kerana prinsip yang didukung oleh penjawat awam adalah neutral dan profesional dalam perkhidmatan masing-masing.

    Menurut beliau, penjawat awam sentiasa mendukung mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan kerajaan.

    “Sebagai jentera kerajaan, fokus penjawat awam adalah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat selaras dengan dasar kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Adnan Mat Cuepacs
    ADNAN MAT

    Baru-baru ini, Tommy telah mengaitkan penjawat awam melalui ucapannya dalam sebuah webinar yang bertajuk ‘UMNO Redux: What Next For Malaysia?

    Adnan menambah, Tommy dilihat telah membuat kesimpulan mengenai pemikiran politik penjawat awam tanpa dapatan atau kajian yang kukuh bagi membuktikan apa yang didakwa oleh beliau.

    Beliau memberitahu, Tommy mendakwa bahawa penguasaan sebuah parti politik ketika ini begitu utuh sehingga ribuan penjawat awam yakin bahawa parti tersebut sinonim dengan Malaysia.

    “Sebagaimana larangan penjawat awam untuk tidak menyentuh atau mengeluarkan pendapat mengenai isu politik, CUEPACS berharap perkara tersebut turut dihormati oleh pemimpin politik dengan tidak mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana pertikaian politik.

    :Penjawat awam juga rakyat Malaysia dan mempunyai kecenderungan politik tetapi mereka semua tetap profesional dan neutral dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” jelasnya.

    Adnan berkata, tindakan mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik hanya memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan.

    “Pada masa yang sama, CUEPACS menyeru seluruh penjawat awam untuk kekal fokus melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara kembali di landasan yang terbaik,” katanya.

  • Noh Omar, Mohamad Alamin angkat sumpah jawatan

    Noh Omar, Mohamad Alamin angkat sumpah jawatan

    MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin hari ini masing-masing mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

    Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

    Berlangsung di Singgahsana Kecil kira-kira 2.35 petang, istiadat itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah. 

    Ia kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan Noh dan Mohamad disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Noh, Ahli Parlimen Tanjung Karang tidak menyertai majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri 30 Ogos lepas kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 manakala Mohamad, Ahli Parlimen Kimanis disahkan positif wabak berkenaan ketika itu. 

    Noh dan Mohamad diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri pada 27 Ogos yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri. 

  • Hentikan perbuatan khurafat di Gunung Jerai – Idris

    Hentikan perbuatan khurafat di Gunung Jerai – Idris

    Segala aktiviti pemujaan dan khurafat yang dikesan berlaku di kawasan Gunung Jerai perlu dihentikan segera memandangkan ia satu perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam serta boleh merosakkan akidah.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Senator Idris Ahmad berkata kegiatan itu juga boleh mengundang ‘bala’ kepada masyarakat kerana bukan sahaja pelaku akan menerima kesan malah akan melibatkan keseluruhan penduduk di sekitar kawasan itu.

    “Sebab itu ada sahabat tanya kepada Nabi (Muhammad) SAW, adakah kami orang baik akan kena juga kalau datang bala dan Nabi kata ya, termasuk juga kamu…cuma esok bila dibangkitkan, mereka akan dibangkitkan berdasarkan kepada niat mereka.

    “Iaitu maksudnya orang baik akan dibangkitkan dalam keadaan baik manakala orang yang buat benda tidak baik, mereka akan terima hukuman,” katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan kesan banjir akibat fenomena kepala air yang berlaku pada 18 Ogos lepas di Titi Hayun di Yan hari ini.

    Idris turut menyampaikan sumbangan akibat bencana itu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)/ Yayasan Taqwa bernilai RM516,600.

    Pada 22 Ogos lepas, akhbar tempatan melaporkan penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Jerai mengharapkan segala aktiviti pemujaan dan khurafat di kawasan itu dapat dihentikan dan dibersihkan.

    Malah, sebilangan penduduk dilaporkan menganggap bencana yang melanda daerah Yan dan Kuala Muda itu merupakan ‘amaran’ kepada mereka yang terlibat supaya menghentikan perbuatan berkenaan.

    Aktiviti seperti bertapa dan memuja nombor ekor selain mandi bunga dikatakan banyak dilakukan mereka tidak bertanggungjawab terutama di kawasan Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.

    Ditanya mengenai tindakan penguatkuasaan, Idris percaya bahawa pihak Jabatan Agama Islam Negeri akan bertindak sebaik mungkin untuk menghalang perbuatan itu daripada terus berleluasa.

  • Muhyiddin sifatkan pemergian Zaman Khan kehilangan besar untuk negara

    Muhyiddin sifatkan pemergian Zaman Khan kehilangan besar untuk negara

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kembalinya ke rahmatullah Tan Sri Zaman Khan hari ini adalah satu kehilangan besar kepada negara.

    Kata bekas Perdana Menteri itu, ia mengambil kira sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan okeh Allahyaham dalam memastikan ketenteraman awam sentiasa terjaga sepanjang masa perkhidmatan.

    ‘’Semoga seluruh keluarga Allahyarham tabah melalui detik menyedihkan ini.Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh,’’ katanya dalam melalui Facebook beliau hari ini.

    Allahyarham Zaman Khan yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Pengarah Penjara meninggal dunia  di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 10.15 pagi hari ini.

    Perkara itu disahkan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd Hanif Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM)

    Difahamkan Zaman Khan mengalami komplikasi penyakit dalam memerlukan pemantauan rapi pasukan perubatan sepanjang dirawat di IJN.

  • Azhar mahu Jawatankuasa Khas Parlimen diperkasa

    Azhar mahu Jawatankuasa Khas Parlimen diperkasa

    SEIRING ulang tahun Parlimen ke-62 hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mahu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diperkasakan kerana ia mempunyai peranan yang amat penting dalam menjalankan proses semak dan imbang pentadbiran negara.

    Beliau berkata jawatankuasa bipartisan akan disifatkan lebih eksklusif dan khusus bagi membincangkan sesuatu perkara secara mendalam tanpa melibatkan aspek politiking.

    “Saya mahu membudayakan penggunaan Jawatankuasa Pilihan Khas ini kerana saya amat percaya jawatankuasa ini mempunyai fungsi penting untuk semak dan imbang kerana ia dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang.

    “Jawatankuasa ini turut mempunyai kuasa untuk memanggil menteri, penjawat awam untuk ditanya soalan dan saya rasa inilah proses penambahbaikan yang amat signifikan bagi Parlimen Malaysia,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.

    Azhar berkata sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau turut melaksanakan beberapa reformasi Parlimen antaranya memperuntukkan masa yang sama dan adil kepada Ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

    Berhubung pandangan Parlimen perlu berdiri sebagai sebuah badan bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak, beliau berkata institusi itu sememangnya memainkan peranan yang sama seperti badan kehakiman yang bersifat bebas.

    “Malah semasa saya menjadi Yang Dipertua, kita tidak pernah disuruh atau diberi arahan oleh pihak eksekutif untuk berbuat atau tidak berbuat sesuatu.

    “Ia sememangnya bergantung kepada Ahli-ahli Parlimen untuk membahaskan apa-apa polisi yang dibentangkan di Parlimen secara ilmiah dan tidak beremosi,” katanya.

    Sempena persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin ini, Azhar berkata pelbagai inisiatif dijalankan bagi meminimumkan risiko jangkitan Covid-19 antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.

    Katanya dengan melalui usaha itu, tahap pengudaraan di Parlimen kini adalah setaraf hospital dan amat bersih. 

    Mengenai persidangan secara hibrid, Azhar berkata draf bagi tujuan itu yang antara lain merangkumi kaedah perjalanan mesyuarat, peraturan, perbahasan, proses undi serta intervensi telah disediakan dan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Dewan, pada Isnin.

    Sekiranya mendapat persetujuan, beliau berharap mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas setidak-tidaknya dapat dijalankan secara dalam talian dengan tidak memerlukan penjawat awam terlibat untuk hadir selain dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19.

  • Dakwaan layanan berbeza, Masjid Putra beri penjelasan

    Dakwaan layanan berbeza, Masjid Putra beri penjelasan

    MASJID Putra di Putrajaya sentiasa berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

    Penjelasan itu diberi susulan rakaman video yang tular dalam media sosial mendakwa berlaku layanan berbeza terhadap jemaah tertentu dalam menentukan kuota solat Jumaat di masjid berkenaan.

    Kenyataan penuh masjid berkenaan adalah seperti berikut:

    Masjid Putra Putrajaya merujuk sebuah video yang tular mengenai layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat pada 10 September 2021 di Masjid Putra.

    Ingin dijelaskan bahawa pengurusan kehadiran jemaah di masjid ini sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di masjid ini telah ditetapkan seramai 300 orang.

    Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang dtetapkan.

    Tidak dapat dinafikan, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran para jemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan sejak pukul 11 pagi untuk menunaikan solat
    Jumaat.

    Apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak
    dapat memasuki masjid.

    Pihak masjid memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.

    Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

    Justeru, kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan
    khidmat yang diberi.

    Sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra. Pihak Masjid Putra memohon kemaafan atas kekhilafan yang berlaku dalam hal ini.

  • 2 pencuri kayu balak kantoi dicekup penguat kuasa

    2 pencuri kayu balak kantoi dicekup penguat kuasa

    CUBAAN dua lelaki untuk mencuri dan membawa keluar 77 batang kayu pelbagai spesis dan saiz bernilai RM13,000 di Kampung Pela, Hulu Terengganu terkantoi, apabila tindakan mereka berjaya dihidu anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu, Rabu lalu.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, penguat kuasa yang membuat pemantauan pada pukul 5 petang di laluan utama Jerangau-Jabor, terserempak dengan sebuah lori yang membawa muatan kayu bulat pelbagai spesis dan saiz.

    Menurut beliau, selepas pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati lori jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun itu membawa pelbagai spesis kayu seperti kayu berpaya, gerongang, jubin, bintangor, terap, pulai dan kelat.

    “Hasil pemeriksaan dibuat, mendapati mereka tidak memiliki sebarang pas pemindah atau kebenaran bertulis daripada pihak kami,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Berikutan itu kata Roslan, pihaknya telah menahan pemandu lori berkenaan bersama kelindan berusia 19 tahun.

    Selain itu tambah beliau, pihaknya turut merampas lori itu bersama 77 batang kayu berkenaan untuk siasatan lanjut.

    Katanya, kes disiasat mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu mengikut peruntukan Seksyen 68 (1) di mana terdapat hasil hutan dalam milikannya atau kawalannya tanpa memiliki pas bagi pemindahan hasil hutan.

  • Shabudin dilantik Pengerusi AIM, ganti Allahyarham Lajim

    Shabudin dilantik Pengerusi AIM, ganti Allahyarham Lajim

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dilantik sebagai Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang baharu.

    Beliau menggantikan Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia bulan lalu.

    AIM berkata, Shabudin, 56, berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan pengurusan tertinggi sebagai hakim mahkamah syariah dan Pengerusi Felcra Berhad.

    Beliau juga pernah menjadi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang).

    “AIM percaya kepimpinan dan pengalaman yang dimiliki Shabudin akan membantu AIM dan 356,024 Sahabat AIM kepada satu tahap yang lebih baik dan cemerlang.

    “Terutamanya dalam meningkatkan lagi peranan dan fungsi AIM bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan serta meningkatkan taraf ekonomi isi rumah golongan yang berpendapatan rendah,” kata AIM dalam kenyataan media, hari ini.

  • Tan Sri Zaman Khan meninggal dunia hari ini

    Tan Sri Zaman Khan meninggal dunia hari ini

    BEKAS Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan meninggal dunia pada pukul 10.15 pagi tadi.

    Memetik laporan Astro Awani, difahamkan jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar hari ini.

    Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh Pengerusi dan Pemandu MPM, Tun Hanif Omar.

    Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal bulan lepas selepas dilaporkan pengsan ketika menunggu janji temu dengan doktor.

    Allahyarham juga pernah menjalani rawatan di hospital yang sama pada Januari tahun lalu susulan mengalami pendarahan dalam usus.

    Sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman, Allahyarham terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu, yang dikenali sebagai Bentong Kali.

    Beliau juga antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.

    Zaman Khan pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997.

    Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Zaman Khan.

    Menerusi kenyataan yang dikongsi di laman Facebook rasmi PDRM, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim turut menzahirkan ucapan sama kepada keluarga Zaman Khan yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

    “Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Bukit Aman sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, petang ini.

    • “Didoakan agar roh Allahyarham Tan Sri Zaman Khan dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.