BEKAS Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan meninggal dunia pada pukul 10.15 pagi tadi.

Memetik laporan Astro Awani, difahamkan jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar hari ini.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh Pengerusi dan Pemandu MPM, Tun Hanif Omar.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal bulan lepas selepas dilaporkan pengsan ketika menunggu janji temu dengan doktor.

Allahyarham juga pernah menjalani rawatan di hospital yang sama pada Januari tahun lalu susulan mengalami pendarahan dalam usus.

Sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman, Allahyarham terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu, yang dikenali sebagai Bentong Kali.

Beliau juga antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.

Zaman Khan pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Zaman Khan.

Menerusi kenyataan yang dikongsi di laman Facebook rasmi PDRM, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim turut menzahirkan ucapan sama kepada keluarga Zaman Khan yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

“Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Bukit Aman sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, petang ini.

  • “Didoakan agar roh Allahyarham Tan Sri Zaman Khan dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here