Category: Semasa

  • AUKUS: Negara lain mesti hormat pendirian Malaysia

    AUKUS: Negara lain mesti hormat pendirian Malaysia

    KEMENTERIAN Pertahanan menegaskan bahawa negara-negara lain mesti menghormati pendirian Malaysia dan mematuhi undang-undang negara ini berhubung kapal selam berkuasa nuklear dan kapal perang yang memasuki perairan negara.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penegasan itu adalah selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).

    Menurut beliau, sebagai anggota ASEAN, Malaysia akan sentiasa mempertahankan prinsip mengekalkan rantau Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

    Tambah Hishammuddin, Malaysia turut mempertahankan pendiriannya dalam Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

    “Pendirian saya tentang Laut China Selatan sentiasa konsisten sejak menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini, kita mesti mengelakkan pertembungan luar jangka, salah perhitungan dan insiden yang tidak diingini di laluan laut yang penting ini, dan semua perkara hendaklah diselesaikan secara aman dan konstruktif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Malaysia menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

    Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan semalam berkata, pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

    Pada masa sama, langkah berkenaan dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

    Hishammuddin berkata, beliau akan menegaskan semula pendirian Malaysia dan menyampaikan pandangan Perdana Menteri kepada Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton melalui panggilan telefon esok.

    “Pada masa yang sama, Malaysia dan Australia akan meneruskan kerjasama pertahanan yang kukuh, terutamanya di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) serta Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang dijadualkan berlangsung pada 2022,” jelasnya.

    Beliau menambah, Malaysia dan Australia juga akan bekerjasama melalui Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang turut disertai UK, New Zealand dan Singapura.

    Menurut Hishammuddin, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah sambutan ulang tahun ke-50 FPDA dan Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-11 di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 21 Oktober ini.

  • KKMM mahu pusat internet komuniti fokus ekonomi digital

    KKMM mahu pusat internet komuniti fokus ekonomi digital

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan melakukan transformasi berkaitan peranan pusat internet komuniti di seluruh negara agar lebih memfokuskan kepada ekonomi digital bagi membantu rakyat menjana pendapatan.

    Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, KKMM akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi melaksanakan perkara itu dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menyediakan platform latihan berkaitan ekonomi digital untuk dimanfaatkan masyarakat setempat.

    “Sudah banyak sebenarnya yang dilakukan oleh pusat internet komuniti dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dalam membimbing dan membantu penduduk setempat, membolehkan mereka menyertai program digital ekonomi.

    “Tinggal lagi kami ingin memperluaskan lagi program-program itu dan menjadikan ia lebih sistematik lagi. Jadi fokus kami bukan hanya soal (liputan dan kelajuan) internet sahaja tetapi kepada aplikasi yang boleh membawa kepada penambahan pendapatan penduduk khususnya kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Internet Komuniti Kampung Padang Lalang, Langkawi hari ini.

    Annuar menjelaskan ekonomi digital menjadi satu keutamaan kepada kementerian bagi memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat meraih pendapatan selepas terjejas ekoran pandemik Covid-19.

    “Terlalu lama rakyat tertekan, hilang pendapatan dan sebagainya, jadi aspek digital ekonomi ini satu yang mesti kita ‘rakyatkan’ supaya semua orang boleh ambil bahagian.

    Tidak perlu tunggu nak buka kedai, tak perlu buka warung atau gerai, jadi benda itu ada dalam genggaman tangan mereka sendiri,” katanya.

    Dalam pada itu, Annuar berkata, KKMM juga bercadang meningkatkan bilangan pusat internet komuniti supaya lebih ramai rakyat terutama di kawasan luar bandar mendapat manfaat.

    “Kami akan menambahkan bilangannya, sekarang ini ada lebih 800 atau sudah hampir 900. Kami jangka dalam masa terdekat kita akan ada 1,000 pusat internet ini,” katanya. – Bernama

  • Hampir 9,000 kakitangan taska lengkap vaksin

    Hampir 9,000 kakitangan taska lengkap vaksin

    KIRA-KIRA 70 peratus atau 8,895 daripada 12,545 kakitangan taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara lengkap vaksinasi Covid-19.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yang berpuas hati dengan perkembangan tersebut berkata, seramai 1,853 kakitangan taska pula telah menerima satu dos suntikan Covid-19 sehingga 17 September lepas manakala 1,797 kakitangan lagi sedang menunggu janji temu untuk mendapatkan suntikan.

    “Saya minta pengusaha taska untuk pastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi bagi memastikan persekitaran taska selamat untuk kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan operasi taska di Sepang, hari ini.

    Rina (kanan) beramah mesra dengan Pengusaha Taska Nur Hidayu, Sabariah Abu ketika meninjau dan pemantauan taska yang akan beroperasi dalam negeri-negeri Fasa Satu dan Dua PPN bermula esok di Taman Mawar Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 September lepas mengumumkan tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 September.

    Rina berkata, 2,618 pengusaha taska di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada Bantuan Khas Taska di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang disediakan untuk kelangsungan operasi taska berdaftar JKM.

    Katanya, bayaran telah dibuat mulai 1 September lepas yang menyediakan bantuan sebanyak RM3,000 bagi taska institusi, taska di tempat kerja dan taska komuniti manakala RM800 untuk pengusaha taska di rumah.

    Beliau berkata, bantuan itu adalah untuk meringankan beban pengurusan taska dan membantu proses pengoperasian mereka seperti menanggung kos disinfeksi taska atau barang-barang keperluan lain agar taska dapat mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara. – Bernama

  • Dos ketiga vaksin Covid-19 dijangka mula awal Oktober

    Dos ketiga vaksin Covid-19 dijangka mula awal Oktober

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 kepada golongan rentan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini dijangka akan dilaksanakan bermula awal Oktober depan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, golongan itu diberi keutamaan memandangkan data sedia ada menunjukkan mereka paling terdedah untuk dijangkiti Covid-19 tahap lima dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

    Begitu pun katanya, setakat ini masih belum ada keputusan sama ada dos penggalak itu akan diberikan kepada semua rakyat Malaysia kerana perkara itu masih berada dalam perbincangan melibatkan pakar bidang berkaitan.

    “Ada yang bertanya mengapa perlu dos ketiga dan adakah dua dos saja tidak berkesan? Sebenarnya dah banyak negara mulakan dos penggalak ini termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura kerana ini merupakan usaha untuk tingkatkan lagi sistem imun terhadap Covid-19.

    “Kita utamakan dulu golongan rentan ini, selepas itu mungkin akan buka kepada golongan lain. Begitupun belum ada keputusan sama ada dos penggalak ini diperlukan untuk semua kerana perbincangan masih berlangsung melibatkan pakar-pakar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerjanya ke Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Tambahnya, kesemua syarikat vaksin yang terlibat sudah diminta menghantar maklumat berkaitan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk penilaian sebelum sebarang polisi mengenainya dimuktamadkan.

    “Setiap negara memiliki polisi berbeza dalam pelaksanaan dos ketiga vaksin ini. Jadi kita akan muktamadkan selepas semua perkara diteliti pihak berkaitan,” katanya.

    Sementara itu katanya, kalangan pemilik premis dan pengawal bangunan diminta untuk melakukan pemeriksaan teliti terhadap mana-mana individu yang mahu masuk ke premis masing-masing memandangkan terdapat kes melibatkan mereka yang menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO), mendaftar masuk ke lokasi lain.

    Katanya, individu tersebut yang terdiri daripada mereka yang postif Covid-19 atau kontak rapat jelas melanggar perintah HSO yang memerlukan mereka berada di rumah sendiri sepanjang masa.

    “Di Kedah saja, terdapat 523 kes seperti itu yang berlaku dalam tempoh seminggu ini. Di pihak Kementerian Kesihatan, kita telah menyerahkan nama mereka ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan lanjut.

    “Kita minta kerjasama semua pemilik premis dan pengawal agar menjalankan pemeriksaan yang teliti. Jangan benarkan mereka yang berstatus merah dan berisiko tinggi dalam aplikasi MySejahtera daripada memasuki premis anda,” katanya.

    Sementara itu, dalam sidang media bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, Khairy berkata, kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan majikan dalam sektor tertentu untuk mengenakan syarat supaya pekerja mereka mendapatkan vaksinasi sebelum kembali dibenarkan bekerja.

    Beliau menambah, perbincangan akan turut dijalankan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang memilih untuk tidak divaksin.

    “Di samping itu, kita minta juga kerjasama semua pihak seperti masjid contohnya supaya betul-betul melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan hanya membenarkan mereka yang sudah divaksin memasuki rumah ibadat tersebut.

    “Ini juga merupakan salah satu cara untuk memastikan mereka yang belum menerima suntikan vaksin. divaksinkan,” jelasnya.

    Khairy turut meminta agar tumpuan diberikan terhadap program turun padang bagi memberi vaksin kepada orang ramai yang belum lagi disuntik.

    “Kita sudah sampai ke penghujung dan semacam dah tak ada orang hendak pergi ke PPV. Kita dah berusaha sehabis mungkin dengan buka PPV, hantar tarikh temu janji untuk orang ramai dapatkan suntikan tetapi rata-rata PPV kini agak kosong.

    “Oleh itu kita perlu betul-betul laksanakan program ‘outreach’ sekarang ini. Pergi rumah orang dan periksa betul-betul golongan tegar anti-vaksin ini macam mana untuk kita beri fokus kepada golongan tersebut,” katanya.

    Beliau berkata, tumpuan juga akan diberikan kepada kawasan mahu pun negeri-negeri tertentu yang masih memiliki tahap vaksinasi rendah.

    “Contohnya kawasan Pendang dan Baling di Kedah serta negeri Sabah. Sekarang ini mungkin dah tak ada sesiapa nak keluar ke PPV jadi kita kena jejaki mereka yang belum divaksin ketika ini,” ujarnya.

  • Tadika swasta dibenar operasi di negeri Fasa 1, Fasa 2

    Tadika swasta dibenar operasi di negeri Fasa 1, Fasa 2

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEMUA tadika swasta dan pusat perkembangan minda kanak-kanak di negeri Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini sudah dibenarkan beroperasi semula sejak Jumaat lalu.

    Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pihaknya mendapati masih terdapat kekeliruan berkaitan pengoperasian tadika swasta dan pusat perkembangan minda di negeri berkenaan.

    “KPM ingin menjelaskan bahawa semua tadika swasta, tadika di sekolah swasta, tadika di sekolah antarabangsa dan tadika di sekolah ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi murid berumur empat hingga enam tahun di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 telah dibenarkan beroperasi mulai 17 September 2021 untuk anak-anak yang ibu bapa atau penjaga bekerja.

    “Pengoperasian ini tertakluk kepada kapasiti bilik darjah dengan penjarakan fizikal yang ditetapkan. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.

    Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk beberapa sektor sosial, pendidikan dan reakrasi.

  • PGA rampas 2.15 tan daun ketum bernilai RM64,500

    PGA rampas 2.15 tan daun ketum bernilai RM64,500

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TINDAKAN sekumpulan penyeludup menyimpan daun ketum seberat 2.15 tan di dalam bangsal, garaj dan ruang tamu sebuah rumah di Kampung Air Merbo, Tanah Merah Kelantan membawa padah, apabila lokasi berkenaan diserbu anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) petang semalam.

    Dalam serbuan pada pukul 7 petang itu, anggota tersebut berjaya merampas daun ketum bernilai RM64,500 selepas sejam membuat intipan di lokasi berkenaan.

    Menurut Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh, intipan dilakukan setelah pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan daun ketum di lokasi berkenaan.

    Justeru katanya, pihaknya terus membuat intipan dan dalam tempoh sejam, kelihatan beberapa kenderaan didapati berulang-alik masuk dan keluar di kawasan tersebut.

    “Semasa anggota PGA bertindak menyerbu rumah tersebut, beberapa lelaki telah melarikan diri ke dalam semak.

    “Apabila pemeriksaan dilakukan dalam sebuah bangsal di belakang rumah, bahagian garaj dan ruang tamu berjaya menemui plastik lutsinar mengandungi daun ketum,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Ku Majidin memberitahu, selain daun ketum, pihaknya turut merampas lima buah kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan empat motosikal dianggarkan bernilai RM178,750.

    Beliau berkata, turut dirampas ialah lima unit telefon bimbit pelbagai jenama yang ditinggalkan suspek ketika melarikan diri.

    “Berdasarkan siasatan mendapati rumah berkenaan dipercayai dijadikan sebagai pusat transit sebelum daun ketum diseludup ke negara jiran,” ujar beliau.

    Ujarnya, kesemua barang rampasan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. 

  • Lelaki ditemukan maut dalam kereta tenggelam di muara sungai

    Lelaki ditemukan maut dalam kereta tenggelam di muara sungai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki ditemukan maut dalam kereta yang tenggelam di muara sungai dekat Batu Tujuh, Sandakan hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.44 pagi.

    Katanya, panggilan dibuat orang awam yang memaklumkan ada kenderaan timbul di muara sungai berkenaan.

    “Sepasukan tujuh anggota bersama jentera penyelamatan bergegas ke lokasi untuk kerja menaikkan kenderaan ke darat.

    “Bagaimanapun, sebaik tiba dan pemeriksaan dibuat mendapati terdapat lelaki berada di kerusi pemandu kereta itu dan mangsa dikenali Thien Nyuk Kong yang berusia 62 tahun.

    “Kenderaan berjaya dinaikkan dan pemeriksaan ke atas mangsa mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Pesawah dapat motosikal jadi penerima vaksin ke-49,400

    Pesawah dapat motosikal jadi penerima vaksin ke-49,400

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pesawah tidak menyangka kehadirannya untuk mendapatkan vaksin Covid-19 di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang, Padang Terap pada 10 September lalu, mendatangkan tuah apabila dia membawa pulang sebuah motosikal baharu sumbangan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid kerana menjadi penerima vaksin ke 49,400 di daerah ini.

    Menurut pesawah itu, Mohd. Isham Md. Isa, 44, dia amat bersyukur dengan pemberian terbabit memandangkan motosikal digunakannya ketika ini berada dalam keadaan agak ‘uzur’ kerana sudah terlalu lama digunakan.

    Menurutnya, motosikal baharu bernilai kira-kira RM4,500 itu akan dijaga sebaik mungkin dan hanya digunakan apabila memerlukan perjalanan jarak jauh seperti mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah 2, Alor Setar.

    “Sebenarnya sejak beberapa tahun lalu memang saya ada mengumpul wang sedikit demi sedikit bagi membeli motosikal baharu. Lagi pun keadaan motosikal Honda EX5 yang saya beli secara terpakai sejak lima tahun lalu, sudah agak teruk.

    “Syukur, Alhamdulillah di atas pemberian ini. Saya berterima kasih kepada Mahdzir kerana sudi menyumbangkan motosikal ini,” katanya.

    Terdahulu Mohd. Isham yang berasal dari Kampung Seberang, Padang Sanai, menerima replika kunci motosikal terbabit dari Mahdzir yang hadir mengunjungi PPV tersebut, pagi ini.

    Mohd. Isham menerima motosikal baharu bernilai kira-kira RM4,500

    Sementara itu Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, beliau terdorong untuk menyumbangkan motosikal bernilai kira-kira 4,500 itu setelah melihat usaha semua pihak terlibat dalam menjayakan misi vaksin di daerah berkenaan.

    Angka 49,400 ini cukup siginfikan bagi kita kerana itu adalah jumlah penduduk berisua 18 tahun ke atas dalam kawasan Parlimen ini, yang layak untuk divaksin berdasarkan bancian pada 2010.

    “Selama ini memang kita menyasarkan untuk mencapai jumlah itu dan akhirnya hari ini, kita berjaya melakukannya.

    “Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak terutamanya penduduk Padang Terap kerana berusaha mengambil vaksin bagi melindungi diri dan masyarakat sekitar. Selain itu, terima kasih juga kepada semua pihak yang menjalankan pelbagai program termasuk pandu lalu serta ‘outreach’ di kawasan kampung,” katanya.

  • Lampu hijau untuk dos ketiga vaksin- Ismail Sabri

    Lampu hijau untuk dos ketiga vaksin- Ismail Sabri

    KERAJAAN bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 dalam usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan pemberian dos ketiga akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

    Menurut beliau, langkah itu akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

    “Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

    “Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini.

    “Kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan COVID-19 dan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menmberitahu, kerajaan akan memperuntukkan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia kategori B40 dalam usaha memastikan diri dan keluarga bebas dari jangkitan COVID-19.

    Beliau menambah, langkah itu adalah sebagai persediaan ke arah era endemik COVID-19,

    “Usaha ini antara lain bertujuan untuk meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40 dan melatih diri membudayakan norma baharu, sekali gus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus COVID-19,” katanya.

    Menurut beliau, kerajaan akan mengagihkan bantuan PPC yang mengandungi pek pelitup muka guna semula (4 keping setiap keluarga), kit ujian kendiri COVID-19 (4 kit setiap keluarga), 1 pulse oximeter, 1 termometer serta risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

    Ismail Sabri memberitahu, pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.

    Beliau menambah, mereka adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak atau ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak.

    “Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40. Secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR,” jelasnya.

  • 1,665 jawatan kosong bomba

    1,665 jawatan kosong bomba

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 1,665 kekosongan melibatkan pelbagai jawatan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu diisi sepenuhnya segera bagi memastikan perkhidmatan jabatan itu berada pada tahap optimum.

    Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, kekosongan jawatan melibatkan pengurusan tertinggi dan profesional serta kumpulan pelaksana akan diisi dalam terdekat kerana JBPM merupakan satu perkhidmatan penting.

    “Setakat ini, terdapat sebanyak 55 kekosongan daripada 490 perjawatan bagi pengurusan tertinggi dan profesional, manakala sebanyak 1,610 kekosongan daripada 14,026 perjawatan melibatkan kumpulan pelaksana.

    “Kita masih kekurangan anggota kerana proses pengambilan sedikit perlahan ketika ini akibat pandemik Covid-19. InshaAllah kita akan cari jalan mengisi kekosongan kerana tidak mahu perkhidmatan tergendala atau terencat kerana kekurangan kakitangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Johor, di Kangkar Tebrau, Johor Bahru hari ini.

    Tambah Ismail, kementerian berharap tempoh masa bertindak dapat ditingkatkan ke tahap antarabangsa selaras dengan pengisian kekosongan jawatan di JBPM.

    Dalam pada itu, pihaknya turut menyasarkan kira-kira 30 peratus perjawatan di JBPM dapat diisi oleh kaum wanita kerana terdapat bidang kerja yang memerlukan kelebihan dimiliki mereka.

    “Memang matlamat kita untuk memastikan 30 peratus anggota terdiri daripada kaum wanita kerana ada tugas tertentu yang memerlukan kepakaran mereka, disebabkan itu ada tempat ketuanya wanita.

    “Umpamanya apabila berlaku insiden yang menyebabkan mangsa berdepan tekanan psikologi, keperibadian dan personaliti anggota wanita boleh membantu menenangkan mangsa.

    “Kita akan lihat dimana tempat kelebihan mereka itu diperlukan dan mereka akan bertugas di samping anggota lelaki, namun buat masa ini sasaran itu masih belum dicapai,” ujarnya.

    Sementara itu, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, terdapat sebanyak 174 kekosongan melibatkan pelbagai jawatan di peringkat negeri dan pihaknya juga berharap kekosongan itu akan dapat diisi segera.

    “Kekosongan ini turut melibatkan anggota yang memikul tanggungjawab selaku Ketua Balai dan Penolong Ketua Balai, jadi kita berharap ia akan dapat dipenuhi bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberi kepada masyarakat,” katanya. – SB