Category: Semasa

  • RMK12: Kerajaan perkenal kaedah baharu tangani kemiskinan

    RMK12: Kerajaan perkenal kaedah baharu tangani kemiskinan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah baharu untuk menangani kemiskinan di negara ini pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    Kerajaan katanya, akan menumpukan kepada usaha untuk membuat beberapa pembaharuan atau reformasi struktur ekonomi antaranya kaedah pendigitalan.

    Jelas beliau, apabila negara berjaya mengurangkan golongan itu, sudah pasti akan dapat membantu dalam merapatkan jurang pendapatan dalam negara.

    “Berkaitan dengan dasar, kami (kerajaan) akan tumpu kepada usaha untuk membuat beberapa pembaharuan atau reformasi struktur ekonomi umpamanya pendigitalan. Ini penting. Jadi kami kenalkan kaedah baharu untuk tangani kemiskinan.

    “Daripada segi peruntukan pula, saya terus terang, kita hadapi cabaran. Jadi, harapan untuk perbelanjaan yang besar untuk struktur atau seumpamanya di luar kemampuan kita.

    “Tapi insya-Allah selepas tahun 2022 ekonomi akan berkembang pada kadar yang lebih tinggi,” katanya pada program Agenda Awani: RMK12 Asas untuk Memulihkan Negara.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, RMK12 akan menumpukan kepada dua aspek iaitu memastikan sistem kesihatan berada dalam keadaan yang terbaik dan juga meringankan beban rakyat.

    Jelasnya, kerajaan juga ingin memastikan ekonomi pulih seperti keadaan sebelum Covid-19 dan memantapkan ekonomi supaya lebih berdaya saing sebagai keutamaan pada masa kini.

    “Kita nak pastikan ekonomi kita lebih berdaya saing kerana kita menghadapi banyak saingan. Kita sebuah negara yang mana bergantung kepada luar negara kerana ekonomi terbuka.

    “Jadi kalau kita tidak cukup daya saing, kita tidak mampu bina kekuatan sebagai sebuah negara yang maju. Ini keutamaan yg akan berikan,” ujarnya.

    Selain itu, katanya, kerajaan juga menyasarkan kadar pertumbuhan sekitar 5.6 peratus bagi RMK12 ini.

    “Tapi kadar pertumbuhan pada tahun lepas menguncup.

    Jadi, kita perlu tangani dengan merancakkan ekonomi. Ini satu tumpuan yang akan diberikan iaitu sektor-sektor yang perlu dipulihkan contohnya pelancongan.

    “Menteri pelancongan ada perancangan dan akan bincang dengan kerajaan. Jadi, kena siapkan tenaga kerja,” ujarnya.

  • Polis siasat kutipan derma yang menyamar sebagai pelindung haiwan

    Polis siasat kutipan derma yang menyamar sebagai pelindung haiwan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sudah membuka kertas siasatan melibatkan penipuan kutipan derma yang oleh pihak yang menyamar sebagai pelindung haiwan menerusi Facebook.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, beberapa laporan polis telah diterima melibatkan penipuan kes kutipan sumbangan dan derma itu.

    “Laporan pertama diterima pada Rabu melibatkan seorang mangsa yang kerugian hampir RM15,000 di mana pembayaran telah dibuat ke dalam dua akaun bank berbeza.

    “Susulan kejadian, satu laporan lagi diterima melibatkan satu artikel di Facebook mengenai satu pihak yang menyamar sebagai organisasi yang terlibat dalam memelihara, memberi pertolongan dan perlindungan kepada haiwan selain mendapatkan sumbangan derma,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Katanya, kertas siasatan telah dibuka berkaitan laporan polis yang diterima pihaknya.

    “Setakat ini sebanyak lima laporan polis diterima berkaitan penipuan kutipan derma ini.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Menurutnya, orang ramai diminta agar tidak mudah terperdaya dengan sebarang kenyataan kutipan derma di media sosial.

    “Semak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sekaligus sebagai pencegahan awal mengelakkan menjadi mangsa penipuan aktiviti ini,” katanya.

  • PBB perlu senada tamatkan keganasan dunia – PM

    PBB perlu senada tamatkan keganasan dunia – PM

    ANGGOTA Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu senada dalam usaha menghentikan keganasan di seluruh pelusuk dunia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya selaku Perdana Menteri pada Debat Umum Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York hari ini, menerusi rakaman video.

    Perdana Menteri berkata, adalah malang bagi dunia ini kerana masih jauh daripada usaha merealisasikan impian gencatan senjata global ekoran banyak lagi tempat masih tidak stabil.

    “Malaysia akan terus melakukan apa yang terdaya dalam memupuk keamanan dan mencegah konflik menerusi dasar luarnya.

    “Sehubungan itu, Malaysia turut mengukuhkan komitmennya terhadap keamanan, keselamatan dan kemakmuran global dengan terus menerajui usaha mengeluarkan Kenyataan Bersama mengenai gencatan senjata global pada Jun tahun ini,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, Malaysia sentiasa mengambil pendirian teguh terhadap sebarang usaha dan inisiatif bagi kewujudan bersama secara aman antara negara-negara dunia, hidup harmoni berbilang kaum, kepercayaan dan agama.

    Mengulas lanjut mengenai gencatan global serta konflik di Myanmar sejak tentera merampas kuasa daripada kerajaan awam pada 1 Februari lalu, beliau berkata, Malaysia bimbang dengan keadaan yang berlaku di sana.

    “Malaysia bimbang terutamanya mengenai situasi kemanusiaan di sana, kini diburukkan lagi dengan sistem penjagaan kesihatan Myanmar yang bergelut dengan pandemik COVID-19. 

    “Amat penting supaya bantuan dapat sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata Ismail Sabri, sambil menambah, Malaysia ketika ini menempatkan 154,000 pelarian Myanmar atau 84 peratus daripada populasi pelarian dari negara itu.

    Beliau berkata, Malaysia menyokong kuat usaha yang dilakukan Duta Khas ASEAN ke Myanmar, tetapi tetap berasa bimbang kerana pihak berkuasa negara itu belum lagi memberi kebenaran untuk utusan berkenaan melawat ke sana.

      “Kami mendesak pihak berkuasa memberi kebenaran dan membantu Duta Khas ini menjalankan tugasnya serta mempercepatkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang sudah dipersetujui ASEAN,” katanya.

    Sebanyak 10 negara anggota blok serantau itu melantik Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof menjadi duta khas ASEAN ke Myanmar, berperanan sebagai orang tengah serta mengatur proses dialog.

    Menyentuh isu Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT), Perdana Menteri berkata, Malaysia amat kecewa dan dukacita disebabkan ramai orang awam Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh akibat serangan kejam Israel pada Mei lalu.

    “Kezaliman sistematik ke atas penduduk Palestin sejak sekian lama menerusi dasar diskriminasi, mengetepikan hak asasi rakyat, mengenakan peraturan kejam, rampasan tanah besar-besaran serta perlakuan tidak berperikemanusiaan ke atas mereka, jelas menunjukkan ia jenayah aparteid.” katanya. 

     Selain itu, Malaysia mengulangi gesaannya kepada Israel supaya dipertanggungjawabkan terhadap segala salah laku, termasuk tindakan rejim itu yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa.

    Malaysia turut mengalu-alukan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa oleh Majlis Hak Asasi Manusia, bagi menyiasat pencabulan undang-undang hak asasi antarabangsa berhubung krisis 11 hari itu, katanya.

  • Pengurusan kuil Hindu kesal terlanjur ceroboh tapak masjid

    Pengurusan kuil Hindu kesal terlanjur ceroboh tapak masjid

    PENGURUSAN kuil Hindu yang dikatakan menceroboh tanah tapak masjid di Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan kesal dengan perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja itu.

    Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi Kuil Sri Murugan Alayam, M Partiban berkata, mereka bersedia mengosongkan kawasan tersebut.

    Pada masa yang sama, beliau menggesa kerajaan Negeri Sembilan supaya mewartakan segera tapak kuil Hindu sedia ada.

    Partiban memberitahu, keputusan memindahkan kuil tersebut dibuat selepas pertemuan diadakan dengan dua Exco kerajaan Negeri Sembilan iaitu S Veerapan dan J Arul Kumar semalam.

    “Kami kesal kerana terlanjur membina kuil di tapak masjid dan ia dibuat secara tidak sengaja,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, ahli jawatankuasa surau di Taman Indah Baru, Tampin, menghantar memorandum kepada Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah bagi membantah pembesaran kuil di atas tapak yang dicadangkan untuk pembinaan masjid.

    Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) merupakan antara pihak yang membangkitkan dakwaan itu dan mahu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memberikan penjelasan.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula berkata, kerajaan negeri tidak pernah meluluskan penggunaan tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) itu bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam.

    Pengarah JHEAINS, Zaidi Ramli sebelum ini berkata, tanah kira-kira 0.6 hektar itu telah diwartakan sebagai tapak Masjid Taman Indah Baru sejak 2011.

    Partiban turut menggesa kerajaan Negeri Sembilan mewartakan tapak kuil yang sedia ada selepas ia wujud lebih 30 tahun.

    “Isunya sekarang, kerajaan negeri mewartakan tapak masjid tetapi tapak kuil dibiarkan begitu sahaja.

    “Kuil itu berada di situ lebih 35 tahun. Kegagalan kerajaan mewartakan tapak kuil inilah punca kekeliruan yang berlaku sekarang.

    “Ini kerana pihak kuil tidak pasti keluasan tapak kuil dan sempadan kami sehingga secara tidak sengaja menceroboh tapak masjid,” katanya.

  • Rekod kes sembuh Covid-19 terus tinggi melebihi kes baharu

    Rekod kes sembuh Covid-19 terus tinggi melebihi kes baharu

    JUMLAH harian pesakit yang sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus mengatasi jangkitan baharu apabila 18,074 kes pulih dilaporkan hari ini berbanding 13,899 kes baharu.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini seramai 1,968,541 orang.

    Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 211 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 13,688 kes atau 98.5 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

    Selain itu, beliau berkata terdapat 1,071 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 847 kes disahkan COVID-19 manakala 224 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    “Sebanyak 601 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 359 kes positif sementara 242 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata 12 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan lima kluster tempat kerja, tiga kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi, dua kluster komuniti serta masing-masing satu kluster pendidikan lain dan keagamaan. 

    Kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) seluruh negara pula ialah 0.90 dengan Pahang muncul sebagai negeri yang mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.01 manakala Labuan menjadi satu-satunya negeri merekodkan R-Naught sifar.

    Beliau juga berkata enam kajian tempatan terhadap mutasi protein pepaku COVID-19 mengesan 475 varian yang membimbangkan (VOC) antara 13 Sept lepas hingga hari ini membabitkan 472 varian Delta dan tiga varian Beta.

    Katanya ia dikenal pasti melalui kajian berterusan oleh Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS), Institut Genom Malaysia (MGI), Institut Farmakogenomik Integratif Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM) serta Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (TIDREC-UM) 

    Dr Noor Hisham berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang perlu diberi perhatian (VOI) ialah 1,860 setakat hari ini dengan 1,840 kes adalah VOC manakala 20 adalah VOI.

    “Secara keseluruhan sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 1,612 kes varian Delta, 214 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

    “Bagi VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa tiga kes varian Eta,” katanya. 

    Beliau berkata data kematian dan data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman GitHub dan laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my.- BERNAMA

  • PKPD Kampung Bambangan di Sabah mulai Isnin – MKN

    PKPD Kampung Bambangan di Sabah mulai Isnin – MKN

    KAMPUNG Bambangan di Telupid,  Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin ini sehingga 10 Oktober, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad.

    Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di lokaliti berkenaan.

    Dalam pada itu, PKPD di Ladang Insanjaya dan Ladang Darabif di Pekan, Pahang dan Taman Semarak Mega di Tawau, Sabah masing-masing ditamatkan hari ini mengikut jadual.

    PKPD di Perumahan IOI Plantation Unico Oil Mill Sdn Bhd di Segama dekat Lahad Datu dan Kampung Dumpiring Bawah, Ranau di Sabah serta Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Simpangan di Pengkalan Kubur dekat Tumpat, Kelantan, turut ditamatkan hari ini sehari lebih awal daripada jadual.- BERNAMA

  • 250 kematian Covid-19 direkod di Sepang dalam sembilan hari

    250 kematian Covid-19 direkod di Sepang dalam sembilan hari

    SEBANYAK 250 kematian akibat jangkitan Covid-19 direkodkan di daerah Sepang dari 16 hingga 24 September lalu dengan sebahagian besarnya dilapor di kawasan Dengkil.

    Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain ketika mendedahkan perkara itu berkata, 170 daripada 250 kematian itu berlaku di Dengkil, sekali gus kawasan tertinggi di daerah terbabit terjejas Covid-19.

    Menurutnya, secara kumulatif kes Covid-19 di daerah Sepang setakat ini ialah sebanyak 36,925 kes.

    “Saya harap mereka yang datang dari luar Sepang ini perlu berhati-hati, kerana kita tidak pasti virus itu berada di mana dan kita harap melalui penjagaan SOP yang ada ini maka kita dapat elakkan penularan COVID-19,” katanya.

    Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan di Pantai Bagan Lalang di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Abd Hamid berkata, pihaknya telah meningkatkan kapasiti pengawasan bagi pengoperasian di Pantai Bagan Lalang dengan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Untuk itu ujar beliau, MPSepang menyediakan tambahan pekerja untuk membersihkan pantai dan meminta pihak yang menguruskan sampah untuk kapasiti dan pengutipan sampah bagi memastikan kawasan ini sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur.

    “Malah, kita juga turut menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai,” katanya.

    Abd Hamid menambah, beliau berharap orang ramai dapat melaksanakan pematuhan kendiri tanpa menunggu penguatkuasaan pihak berkuasa dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19.

  • AUKUS: Hishammuddin nafi kerajaan ikut arahan China

    AUKUS: Hishammuddin nafi kerajaan ikut arahan China

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan dakwaaan Pakatan Harapan (PH) bahawa kerajaan mengikut arahan China, susulan cadangannya untuk mendapatkan pandangan kuasa besar itu.

    Beliau menegaskan, cadangan tersebut hanya mahu mendapatkan maklum balas dan pandangan republik itu berkenaan pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS.

    Jelas Hishammuddin, cadangan itu adalah supaya Malaysia dan negara Asia Tenggara lain boleh ambil tindakan proaktif.

    “Tidak akanlah kementerian disalahkan apabila kita nak jumpa China dapatkan maklum balas dan apa tindakan republik itu terhadap AUKUS.

    “Malaysia baik dengan dua-dua pihak, China atau pun Amerika Syarikat, saling menghormati. Tidak ada yang boleh laga-lagakan hubungan baik negara dengan dua kuasa besar itu.

    Hishammuddin diberi tabik hormat semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

    “Namun, kemesraan kita itu tidak bermakna kita akan berkompromi terhadap kedaulatan negara kita,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

    Rabu lalu, Hishammuddin dilaporkan memaklumkan Malaysia akan mendapatkan pandangan China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung isu pembentukan AUKUS.

    Hishammuddin dilaporkan berkata, pihaknya bercadang untuk melakukan lawatan kerja ke negara republik itu dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.

    Hari ini, Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) dilaporkan mendakwa bahawa cadangan Malaysia mendapatkan pandangan China itu, sebagai menerima arahan daripada kuasa besar itu.

    Sementara itu, Hishammuddin turut menafikan dakwaan kerajaan akan memansuhkan ‘MyTravel Pass’ dalam masa terdekat seperti yang dilaporkan sebuah portal berita dan perkara itu tidak benar.

    Jelas beliau, pada waktu ini tumpuan kerajaan adalah untuk kebenaran rentas negeri.

    “Bagaimana kita nak fikirkan rentas negara, apabila rentas negeri pun belum kita putuskan. Namun saya tidak menafikan bahawa perancangan untuk melihat ‘MyTravel Pass’ serta pendekatan lebih baik untuk rentas negara sudah difikirkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Insya-Allah, kita akan bentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Endemik yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan, bagi memperincikan SOP rentas negeri dan negara,” katanya.

    Skim MyTravel Pass diperkenalkan kerajaan ketika negara dilanda wabak COVID-19, yang memerlukan rakyat tempatan membuat permohonan sebelum dibenarkan ke luar negara.

    Skim terbabit dikatakan rumit kerana prosesnya mengambil masa sehingga 14 hari, sebelum permohonan itu dimaklumkan sama ada diluluskan atau ditolak.

  • PM melakukan lawatan kerja di Johor, menghadap Sultan Ibrahim

    PM melakukan lawatan kerja di Johor, menghadap Sultan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan kerja sehari di Johor hari ini.

    Ahli Parlimen Bera itu memulakan lawatan kerja dengan menghadap Sultan Ibrahim Iskandar, di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pagi tadi.

    Lawatan di negeri itu merupakan kali pertama beliau turun ke Johor sebagai Perdana Menteri selepas dilantik pada 21 Ogos lalu.

    Ismail Sabri tiba di istana berkenaan pada jam 11.44 pagi dengan diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

    Beliau turut diraikan dalam majlis santapan tengah hari bersama-sama Sultan Johor.

    Selain itu Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira sejam pada kunjungan rasmi pertama itu.

    Selepas pertemuan itu, beliau mendengar taklimat mengenai pembangunan negeri secara tertutup di Hotel Thistle di sini.

    Beliau juga dijadualkan bertemu pemimpin masyarakat pada satu majlis tertutup di hotel sama selepas itu.

  • Rentas negeri: Kerajaan jangka umum 3 minggu lagi

    Rentas negeri: Kerajaan jangka umum 3 minggu lagi

    PASTI ramai rakyat Malaysia yang gembira apabila kerajaan menjangka kebenaran rentas negeri dapat diberi dalam masa tiga minggu lagi.

    Berita gembira itu dijangka akan diumumkan susulan langkah-langkah yang diambil bagi mempercepatkan vaksinasi populasi dewasa di negara ini.

    Memetik laporan BH, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat.

    Menurut beliau, arahan itu bertujuan memastikan sasaran vaksinasi 90 peratus populasi dewasa dapat dicapai dalam masa terdekat.

    rentas negeri Hishammudin Hussein
    Gambar: Facebook Hishammuddin Hussein

    Hishammuddin menambah, antara tindakan segera akan dilaksanakan ATM adalah menggerakkan lebih banyak Pasukan Vaksinasi Perubatan Tempur (CMVT) untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pedalaman.

    Beliau berkata, ATM turut diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi warga ATM kepada orang awam, bagi menyegerakan sasaran.

    “Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu kita harap dapat dijayakan dalam tiga minggu ini.

    “Jadi sebelum ia (rentas negeri diumumkan) banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.

    “SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

    Ismail Sabri Yaakob rentas negeri

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan oleh kerajaan dalam beberapa minggu lagi.

    Ismail Sabri dilaporkan berkata ini kerana sehingga Rabu lalu (22 September), 81 peratus populasi dewasa dalam negara sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu.