NASIB pengusaha bas yang terjejas akibat penguatkuasaan larangan merentas negeri bagi mengekang penularan COVID-19 mendapat perhatian daripada kerajaan.

Memetik laporan BH, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kementeriannya bersedia mempertimbangkan bantuan dalam bentuk pinjaman kepada golongan berkenaan.

Menurut beliau, walaupun industri bas bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), bantuan boleh disalurkan dari segi keusahawanan.

Noh turut mencadangkan supaya persatuan pengusaha bas bertemu pihaknya bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Dari segi pinjaman, boleh kita pertimbangkan di bawah MEDAC, bukan sahaja untuk (pengusaha) bas tetapi perniagaan lain seperti kedai gunting rambut.

“Kita akan cuba semampu yang boleh, sebab itu saya kata kena ada persatuan. Kalau ada persatuan dan kemudian jumpa (MEDAC), kita akan bertukar-tukar fikiran dan mungkin dapat bantu untuk ringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (ACCI) Kedua, yang berlangsung secara maya, hari ini.

Noh mengulas laporan BH berkenaan perkhidmatan bas yang berisiko lumpuh sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini apabila pengusahanya kehabisan modal kerana tidak dapat beroperasi sepenuhnya berikutan penularan COVID-19 dan larangan rentas negeri.

Masalah itu berlaku ekoran jumlah penumpang yang susut teruk sehingga ada pengusaha terutama pengusaha kecil terpaksa menjual bas atau menunggu masa bas mereka ditarik semula oleh institusi kewangan akibat tidak mampu membayar pinjaman.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM), Che Ibrahim Che Ismail berkata, ramai pengusaha bas semakin tenat sehingga hampir muflis selepas tidak dapat beroperasi dalam tempoh yang lama.

“Kewangan semakin meruncing, modal habis apabila tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), manakala kos lain termasuk gaji pekerja, sewa kaunter dan tapak bas tetap perlu dibayar setiap bulan.

“Jika kerajaan tak bantu, termasuk beri modal pusingan atau one off, kami akan muflis” katanya.

Sementara itu, Noh memberitahu, MEDAC akan menubuhkan enam jawatankuasa bagi menyelaras peranan 11 agensi di bawah kementerian itu supaya gerak kerjanya benar-benar dapat membantu usahawan.

Beliau menambah, jawatankuasa-jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh wakil kementerian bagi menyelaras kemudahan kepada usahawan kerana setiap agensi mempunyai program sendiri dan ada yang mempunyai persamaan.

“Begitu juga dengan pemberian geran dan pinjaman kepada usahawan yang kini diagihkan melalui agensi tertentu, namun jumlahnya adalah berbeza-beza.

“Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) ada geran untuk bantu usahawan eksport produk mereka tetapi jumlah maksimum adalah RM500,000.

“SME Bank juga ada geran tetapi jumlahnya RM200,000. Sebab itu saya nak selaraskan pemberian geran ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here