SEBANYAK 250 kematian akibat jangkitan Covid-19 direkodkan di daerah Sepang dari 16 hingga 24 September lalu dengan sebahagian besarnya dilapor di kawasan Dengkil.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain ketika mendedahkan perkara itu berkata, 170 daripada 250 kematian itu berlaku di Dengkil, sekali gus kawasan tertinggi di daerah terbabit terjejas Covid-19.

Menurutnya, secara kumulatif kes Covid-19 di daerah Sepang setakat ini ialah sebanyak 36,925 kes.

“Saya harap mereka yang datang dari luar Sepang ini perlu berhati-hati, kerana kita tidak pasti virus itu berada di mana dan kita harap melalui penjagaan SOP yang ada ini maka kita dapat elakkan penularan COVID-19,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan di Pantai Bagan Lalang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abd Hamid berkata, pihaknya telah meningkatkan kapasiti pengawasan bagi pengoperasian di Pantai Bagan Lalang dengan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Untuk itu ujar beliau, MPSepang menyediakan tambahan pekerja untuk membersihkan pantai dan meminta pihak yang menguruskan sampah untuk kapasiti dan pengutipan sampah bagi memastikan kawasan ini sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur.

“Malah, kita juga turut menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai,” katanya.

Abd Hamid menambah, beliau berharap orang ramai dapat melaksanakan pematuhan kendiri tanpa menunggu penguatkuasaan pihak berkuasa dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here