Category: Semasa

  • 30.1 peratus daripada 2.53 juta pelajar terima dos pertama vaksin Covid-19

    30.1 peratus daripada 2.53 juta pelajar terima dos pertama vaksin Covid-19

    SEBANYAK 30.1 peratus daripada keseluruhan 2.53 juta murid berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 sehingga semalam, kata Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

    Beliau berkata daripada jumlah itu juga 4.4 peratus murid telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 yang dilaksanakan di 687 pusat pemberian vaksin (PPV) awam, sekolah, institusi pengajian tinggi, klinik kerajaan dan balai polis.

    “Sebanyak 63.3 peratus daripada 834,857 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama manakala 10.9 peratus daripada 1.64 juta murid berusia 12 hingga 15 tahun mendapat dos pertama mereka.

    “Secara keseluruhan program pemberian vaksin melibatkan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PPV Encore Melaka sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Kota Syahbandar di Melaka, hari ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Senator Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Dr Mohd Azam Ahmad.   

    Mengulas lanjut Mah berkata di Melaka, sebanyak 50.1 peratus daripada 26,683 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah mendapat dos pertama manakala bagi murid berusia 12 hingga 15 tahun, sebanyak 11.5 peratus daripada 51,284 murid telah menerima dos pertama di sembilan PPV awam melibatkan 76 sekolah menengah.

    Beliau berkata pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sedang melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

    “Kita masih berada di peringkat awal PICK Remaja ini dan kita sedang memantau pelaksanaan program ini untuk melihat usaha yang boleh dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai murid menerima vaksin,” katanya. -BERNAMA

  • Pemandu teksi, e-hailing carum Perkeso di Johor kurang 50 peratus

    Pemandu teksi, e-hailing carum Perkeso di Johor kurang 50 peratus

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri ini hanya merekodkan seramai 2,374 pencarum dalam kalangan penyedia perkhidmatan pengangkutan seperti teksi, e-hailing dan kereta sewa.

    Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang berkata, angka itu masih kurang 50 peratus berbanding lebih 5,000 mereka yang terlibat dalam perkhidmatan itu yang sepatutnya mencarum di bawah skim perlindungan ditawarkan.

    “Kita telah memperkenalkan caruman buat mereka yang melakukan pekerjaan ini, namun setakat ini jumlah yang telah mencarum di Johor masih rendah.

    “Kita juga faham kekangan dan bebanan yang mereka hadapi, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang mencabar ketika ini, namun kita akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan caruman Perkeso,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Sinergi CSR Infaq Rezeki Jelajah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Bersama Perkeso di Menara Perkeso Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Menurut beliau, daripada jumlah yang tel tersebut pula, hanya seramai 504 orang adalah pemandu teksi.

    Sing Chuang berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu, Perkeso telah menerima lebih 1,000 permohonan dalam pelbagai kategori daripada pencarum bagi mendapatkan pampasan akibat wabak berkenaan.

    “Daripada jumlah tersebut, lebih 20 kes tuntutan adalah melibatkan kematian pencarum akibat dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Cawangan Dasar dan Strategi Sumber Manusia Perkeso, Mohd. Razmi Khalid berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan pemandu perkhidmatan awam untuk melakukan caruman bersama Perkeso.

    “Keutamaan mereka ketika ini adalah untuk menyediakan keperluan asas buat keluarga, seperti makanan harian dan juga keperluan bagi persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

  • Pastikan penyampaian maklumat tepat mengenai PPN, endemik – Annuar

    Pastikan penyampaian maklumat tepat mengenai PPN, endemik – Annuar

    SEMUA pihak termasuk pempengaruh media sosial perlu membantu memastikan penyampaian maklumat yang tepat mengenai perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara ketika peralihan negara kepada fasa endemik.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pempengaruh bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat dengan penyampaian maklumat menerusi naratif yang tepat mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan dalam PPN.

    “Mendidik masyarakat berada dalam endemik itu penting sebab kadang-kadang orang masih tidak faham…kita mesti sampaikan dengan cara yang mudah dalam berkomunikasi… ia juga boleh disampaikan oleh influencers (pempengaruh) yang mempunyai ramai followers, kalau dia turut mengambil peranan mengingatkan masyarakat mengenai peralihan ke endemik (sebagai) pemerkasaan komuniti,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam Segmen Optik: Pelan Pemulihan Negara menerusi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

    Selain penggunaan media konvensional seperti televisyen dan radio, Annuar berkata medium sebaran termasuk media sosial seperti TikTok dan Facebook boleh digunakan bagi menyebarkan maklumat secara berkesan sekali gus mendidik masyarakat mengenai peralihan kepada fasa endemik.

    Beliau berkata sehubungan itu kementerian, agensi kerajaan dan jawatankuasa terlibat perlu menambah baik aspek penyampaian maklumat bagi memastikan keberkesanannya kepada orang ramai dengan mengadakan ‘engagement’ (libat urus) yang berterusan.

    Pada 22 September, Annuar memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai cadangan menubuhkan satu pusat kawalan komunikasi dalam usaha menyampaikan maklumat diputuskan kerajaan kepada masyarakat dengan lebih tepat, pantas dan mudah difahami.

    Beliau berkata cadangan itu susulan cabaran-cabaran dihadapi dalam pelaksanaan program kerajaan yang didapati antara lain berpunca daripada maklumat salah dan maklumat palsu. – Bernama

  • 6 dikompaun RM5,000 bercuti ke Pulau Redang

    6 dikompaun RM5,000 bercuti ke Pulau Redang

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TINDAKAN enam individu termasuk seorang wanita yang bercuti ke Pulau Redang, Kuala Nerus membawa padah, apabila mereka dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang atas kesalahan merentas negeri.

    Menurut Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, kesemua individu terbabit datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka berusia antara 32 hingga 47 tahun didapati telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya semata-mata untuk melancong.

    Menurut beliau, pihaknya berjaya mengesan kesalahan itu menerusi operasi bersepadu selama dua hari yang berakhir semalam.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa

    Katanya, operasi tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, pegawai kesihatan dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang diadakan di pulau peranginan itu.

    Justeru katanya, operasi pematuhan SOP ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan orang awam tidak melanggar garis panduan sekali gus dapat mengelak penularan Covid-19 di negeri ini.

    “Kami sekali lagi ingin mengingatkan tindakan tegas juga akan diambil ke atas mana-mana pengusaha resort yang membenarkan pengunjung dari negeri luar menginap bagi tujuan melancong dan juga gagal pastikan hanya pelanggan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin sahaja diterima menginap,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

    Rohaimi seterusnya meminta orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini SOP melibatkan setiap fasa PPN.

  • Bangkai penyu Agar terdampar di Pantai Pandak, Chendering

    Bangkai penyu Agar terdampar di Pantai Pandak, Chendering

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    LAGI kejadian penyu mati terdampar dilaporkan berlaku di pantai Terengganu.

    Kali ini seekor penyu dari spesis Agar ditemukan mati terdampar di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, petang semalam.

    Penyu betina seberat 15 kilogram itu ditemui orang awam di pantai berkenaan pada pukul 5 petang.

    Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, maklumat mengenai penemuan penyu tersebut diterima pihaknya pada pukul 5.18 petang, sebelum anggota bertugas tiba di lokasi setengah jam kemudian.

    Katanya, setelah pemeriksaan dilakukan pada bangkai penyu dianggarkan berusia antara empat hingga lima tahun itu mendapati, terdapat pendarahan pada bahagian mata.

    “Kita belum dapat mengenal pasti punca kematian penyu itu, tetapi kita percaya ia mungkin lemas akibat terperangkap dalam pukat,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Ruzaidi memberitahu, bangkai penyu itu kemudian ditanam di kawasan Pantai Pandak pada pukul 7 petang semalam.

    Keadaan seekor bangkai penyu Agar yang ditemui terdampar di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, petang semalam

    Menurut beliau, sepanjang tahun ini iaitu sehingga semalam, pihaknya merekodkan sebanyak 38 ekor penyu jenis Agar ditemui mati di pantai Terengganu.

    “Selain penyu, kita turut merekodkan kematian seekor tuntung laut,” jelas beliau.

    Sebelum ini, seekor penyu Agar ditemui mati terdampar di Pantai Kuala Abang, Dungun oleh penduduk kampung, pada 17 Julai lalu.

  • Populasi dewasa lengkap dos vaksin COVID-19 kini 83.1 peratus

    Populasi dewasa lengkap dos vaksin COVID-19 kini 83.1 peratus

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKAV) mendedahkan, populasi dewasa yang telah melengkapkan dua dos vaksin kini direkodkan sebanyak 83.1 peratus atau seramai 19,454,273 individu seluruh negara.

    Berdasarkan data JKAV itu lagi,  sehingga kini dicatatkan sebanyak 42,106,397 dos sudah diberikan setekat semalam.

    Sementara 21,923,560 individu atau 93.7 peratus populasi dewasa sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Setakat semalam, sejumlah 259,141 dos vaksin Covid-19 diberikan membabitkan 114,618 penerima dos pertama dan 144,523 dos lagi kepada penerima dos lengkap.

    Pecahan jumlah pemberian dos yang diberikan semalam, Johor menjadi negeri tertinggi menerima dos lengkap iaitu sebanyak 28,286 dos, Pahang (18,134), disusuli Sabah (13,365), Perak (13,295), Kelantan (13,286), Kuala Lumpur (12,613), Selangor (10,912), Melaka (10,664) dan Pulau Pinang (8,6080).

    Seterusnya, diikuti Kedah dengan 7,713 dos, Terengganu (5,331), Perlis (1,167), Sarawak (556), Negeri Sembilan (553) dan Labuan (40).

    Hanya Putrajaya tidak merekodkan penerimaan vaksin semalam.

    Sabah direkodkan sebagai negeri tertinggi yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19  dengan 19,860 dos diikuti Sarawak (18,708), Selangor (10,819), Johor (9,586), Kedah (9,345), Perak (9,208) dan Kelantan (6,913).

    Selain itu Kuala Lumpur dengan 6,906 dos, Pulau Pinang (6,807), Melaka (5,282), Pahang (3,838), Terengganu (3,245), Negeri Sembilan (2,903), Labuan (738), Perlis (460).

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang diperkenalkan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin Februari lalu, telah mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa menerima vaksinasi lengkap seluruh negara sejak Selasa lalu.

    Dijangkakan, menjelang Oktober ini, 100 peratus populasi dewasa Malaysia lengkap vaksinasi dan apabila kadar ini tercapai, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka dengan pematuhan SOP yang lebih dipermudahkan.

  • KKM-JPBNS bincang pengurusan Covid-19 di Sarawak

    KKM-JPBNS bincang pengurusan Covid-19 di Sarawak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MESYUARAT khas Imunisasi dan pengurusan pandemik diketuai Kementerian Kesihatan (KKM) bersama-sama ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Sarawak dimulakan di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching, hari ini.

    Mesyuarat tersebut dihadiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

    Turut bersama, Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Penasihat JPBNS, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed.

    Mesyuarat tersebut memberi fokus kepada beberapa perkara mengenai pengurusan Covid-19 dan perkembangan terkini Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sarawak.

    Terdahulu, Dr. Sim mendedahkan, pihaknya juga akan berbincang dengan KKM mengenai pemberian ‘booster dose’ (dos penggalak) kepada kumpulan pertama penerima vaksin COVID-19 di Sarawak.

    Selepas mesyuarat, Khairy dijadualkan akan melakukan lawatan ke Hospital Medan MERCY – CATIE dan taklimat oleh Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Ngian Hie Ung disusuli dengan walk-about.

    Beliau kemudiannya akan melawat Pusat Tabung Darah HUS dan kawasan Surgical Daycare Area untuk bertemu dengan pesakit sebelum berangkat pulang ke ibu negara pada pukul 3.30 petang.

  • 228 kematian akibat Covid-19

    228 kematian akibat Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LAPORAN COVIDNOW hari ini memaklumkan, jumlah kematian akibat Covid-19 yang direkodkan semalam adalah sebanyak 228 orang dan daripada angka tersebut, 139 adalah kes kematian tertunggak.

    Jelas laporan tersebut, keseluruhan kes kematian disebabkan oleh Covid-19 di negara ini meningkat kepada 25,159 kes.

    Daripada jumlah kes kematian berkenaan, 36 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan kes keseluruhan pesakit yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan ialah sejumlah 4,923 kes.

    Secara keseluruhannya termasuk penambahan kes tertunggak, Lembah Klang kekal mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu sebanyak 78 kes yang merangkumi Selangor (75) dan Kuala Lumpur (tiga).

    Selain itu ialah Johor dengan 56 kes kematian, disusuli Sabah (19), Kelantan (18), Kedah (15), Perak (14), Sarawak (sembilan), Pulau Pinang (lapan), masing-masing empat kes kematian dicatatkan di Melaka dan Terengganu dan Pahang (tiga).

    Dua negeri dan wilayah masing-masing tidak melaporkan sebarang pertambahan kes kematian iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Perlis.

    Dalam pada itu, data yang disiarkan COVIDNOW juga menunjukkan, kini masih terdapat 191,434 kes dengan kebolehjangkitan Covid-19.

    Daripada jumlah yang dipaparkan itu, terdapat 161,889 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah, manakala di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (18,589) dan hospital (9,886).

    Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kejayaan menguruskan pendemik Covid-19 hari ini adalah hasil langkah berani yang diambil kerajaan sebelum ini dan diteruskan sehingga sekarang.

    Bekas perdana menteri itu berkata, tuduhan kerajaan gagal adalah fitnah semata-mata yang bermotifkan politik sedangkan, negara kini beralih ke fasa pemulihan yang baik hasil perancangan ketika zaman pemerintahannya.

  • RMK-12 libat urus pelbagai pihak-Mustapa

    RMK-12 libat urus pelbagai pihak-Mustapa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin ini
    akan melibatkan pelbagai pihak antaranya pihak industri, ahli akademik, ahli Parlimen dan juga blok pembangkang.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya ada cadangan atau perkara yang perlu ditambah baik, kerajaan terbuka untuk pertimbangkannya.

    “Jadi, peluang terbuka. Maknanya bukan sahaja buat yang ditetapkan,” katanya pada program Agenda Awani: RMK12 Asas untuk Memulihkan Negara.

    Beliau berkata, RMK12 mempunyai tiga tonggak iaitu kemakmuran, inklusif dan kemampanan.

    Beliau berkata, selain daripada memberikan perhatian lebih kepada sektor kesihatan, golongan rentan yang tidak mempunyai perlindungan sosial juga antara fokus utama.

    “Mereka ini adalah golongan yang tiada simpanan kalau sesuatu perkara berlaku. Jadi, kita perlu tingkatkan liputan kepada mereka yang terkeluar daripada perlindungan sosial ini.

    “Kami kena pastikan ekonomi berdaya tahan, mampu tangani krisis. Bukan maksud kami bagi jaminan,” katanya lagi.

  • Lebih banyak R&R Plus dibuka semula untuk ‘dine-in’

    Lebih banyak R&R Plus dibuka semula untuk ‘dine-in’

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan pembukaan kemudahan ‘dine in’ kepada pelanggan di 12 lagi medan selera di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah lebuh raya kendaliannya.

    Antara kawasan yang dibuka adalah R&R Ulu Bernam (arah selatan) bermula 20 September lalu.

    Turut dibuka R&R Seremban di kedua-dua arah, Hentian Sebelah Nilai (kedua-dua arah), Hentian Sebelah Serdang (arah utara), R&R Machap (kedua-dua arah), R&R Ayer Keroh (kedua-dua arah), Restoran Jejantas Ayer Keroh dan R&R Pagoh (arah utara).

    Menurut Ketua Pegawai Komersial (CCO) PLUS Christine Liew, pelanggan lengkap vaksinasi dan layak melakukan perjalanan dengan kebenaran polis kini boleh menikmati pilihan makanan yang lebih menyelerakan bagi memenuhi keinginan ketika berehat di sepanjang lebuh raya.

    “Saya sangat gembira untuk mendengar seorang penggemar makanan tempatan menikmati makanan di R&R kerana kami yakin, makanan yang disediakan mencerminkan kasih sayang dan kesungguhan rakan niaga tempatan kami dalam menyediakannya untuk menepati cita rasa pelanggan.

    Antara peniaga di R&R di lebuh raya kendalian PLUS.
    Antara peniaga di R&R di lebuh raya kendalian PLUS.

    “Kami berharap lebih ramai pelanggan dapat mencuba makanan kegemaran rakyat Malaysia dan seterusnya membantu peniaga serta rantaian pembekal kami,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

    Beliau berkata, R&R di lebuh raya kendalian PLUS terkenal dengan variasi makanan tempatan yang menyelerakan seperti nasi ambeng yang terkenal di R&R Pagoh, Pau Yik Mun di Tanjong Malim, D’Famous Zul Mee Kari yang sentiasa menjadi bualan di R&R Ulu Bernam dan hidangan ikonik, Senyum Sokmo di R&R Gunung Semanggol.

    Menurutnya, pelanggan digalakkan untuk berehat seketika dalam perjalanan dengan mengunjungi gerai klasik terbabit.

    Tambah beliau, PLUS mengingatkan pelanggan supaya menunjukkan status vaksinasi Covid-19 pada aplikasi MySejahtera ketika memesan makanan dan minuman di gerai kendalian Rakan Niaga untuk menerima tag pelekat hijau sebelum dibenarkan memasuki ruang makan medan selera.

    “Menyedari bagaimana setiap pembelian dapat menguatkan azam komuniti jajaran dalam menghidupkan kembali sosio-ekonomi, kempen PLUS ‘Satu Pembelian Seribu Harapan’ terbukti menjadi inisiatif penting dalam memastikan kelestarian punca pendapatan rakan niaga dan rantaian ekosistem bekalan di sepanjang 1,130 kilometer lebuh raya.

    “Sungguhpun pelanggan kini dapat mengunjungi restoran kegemaran, kami gembira kempen berkenaan mendapat sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia dan memberi kesan positif kepada seluruh komuniti di sepanjang lebuh raya kami,” katanya.