Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

TINDAKAN enam individu termasuk seorang wanita yang bercuti ke Pulau Redang, Kuala Nerus membawa padah, apabila mereka dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang atas kesalahan merentas negeri.

Menurut Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, kesemua individu terbabit datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka berusia antara 32 hingga 47 tahun didapati telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya semata-mata untuk melancong.

Menurut beliau, pihaknya berjaya mengesan kesalahan itu menerusi operasi bersepadu selama dua hari yang berakhir semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa

Katanya, operasi tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, pegawai kesihatan dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang diadakan di pulau peranginan itu.

Justeru katanya, operasi pematuhan SOP ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan orang awam tidak melanggar garis panduan sekali gus dapat mengelak penularan Covid-19 di negeri ini.

“Kami sekali lagi ingin mengingatkan tindakan tegas juga akan diambil ke atas mana-mana pengusaha resort yang membenarkan pengunjung dari negeri luar menginap bagi tujuan melancong dan juga gagal pastikan hanya pelanggan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin sahaja diterima menginap,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Rohaimi seterusnya meminta orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini SOP melibatkan setiap fasa PPN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here