Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

LAGI kejadian penyu mati terdampar dilaporkan berlaku di pantai Terengganu.

Kali ini seekor penyu dari spesis Agar ditemukan mati terdampar di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, petang semalam.

Penyu betina seberat 15 kilogram itu ditemui orang awam di pantai berkenaan pada pukul 5 petang.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, maklumat mengenai penemuan penyu tersebut diterima pihaknya pada pukul 5.18 petang, sebelum anggota bertugas tiba di lokasi setengah jam kemudian.

Katanya, setelah pemeriksaan dilakukan pada bangkai penyu dianggarkan berusia antara empat hingga lima tahun itu mendapati, terdapat pendarahan pada bahagian mata.

“Kita belum dapat mengenal pasti punca kematian penyu itu, tetapi kita percaya ia mungkin lemas akibat terperangkap dalam pukat,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Ruzaidi memberitahu, bangkai penyu itu kemudian ditanam di kawasan Pantai Pandak pada pukul 7 petang semalam.

Keadaan seekor bangkai penyu Agar yang ditemui terdampar di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, petang semalam

Menurut beliau, sepanjang tahun ini iaitu sehingga semalam, pihaknya merekodkan sebanyak 38 ekor penyu jenis Agar ditemui mati di pantai Terengganu.

“Selain penyu, kita turut merekodkan kematian seekor tuntung laut,” jelas beliau.

Sebelum ini, seekor penyu Agar ditemui mati terdampar di Pantai Kuala Abang, Dungun oleh penduduk kampung, pada 17 Julai lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here