Category: Semasa

  • Dakwaan tiga remaja di Perak, Sabah meninggal dunia akibat vaksin  tidak benar

    Dakwaan tiga remaja di Perak, Sabah meninggal dunia akibat vaksin tidak benar

    DAKWAAN dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini meninggal dunia akibat vaksin COVID-19 menerusi rakaman video yang tular adalah tidak benar.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata semakan mendapati dua pelajar sekolah berkenaan dilaporkan meninggal dunia sebelum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula pada 20 Sept lepas di negeri ini.

    “Seorang pelajar perempuan meninggal dunia disebabkan positif COVID-19 pada 18 Julai manakala seorang lagi pelajar lelaki meninggal dunia akibat sakit jantung pada 17 Sept lepas.

    “Pelajar perempuan itu mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi yang kronik dan kritikal selama dua bulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Susulan itu, Mior Faridalathrash berkata pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung video yang tular itu.

    Rakaman video menunjukkan seorang wanita mendakwa empat pelajar termasuk dua pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia selepas divaksinasi tular menerusi media sosial sejak semalam.

    Sementara itu, di KOTA KINABALU, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan dalam sebuah video tular yang menyatakan kematian seorang remaja di Lahad Datu adalah disebabkan oleh suntikan vaksin COVID-19.

    Pengarah JKNS Dr Rose Nani Mudin berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan telah membuat laporan polis terhadap dakwaan itu.

    “Perbuatan individu ini boleh menimbulkan perasaan panik dan kebimbangan orang ramai terutamanya ibu bapa dan remaja yang bakal menerima suntikan vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Rose Nani mengingatkan kepada mana-mana individu atau pihak yang musykil dan masih tidak faham tentang vaksin boleh menghubungi JKNS melalui talian PICK 019-6051196 atau e-mel ke [email protected].

    Beliau turut menyeru ibu bapa atau penjaga agar mendaftarkan remaja di bawah jagaan masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin sebagai perlindungan diri dan keluarga.

    “Daripada pemantauan JKNS, 80 hingga 90 peratus pesakit di Unit Rawatan Rapi adalah individu yang belum divaksin,” katanya.

  • PGA7 rampas barang seludup bernilai RM3.04 juta

    PGA7 rampas barang seludup bernilai RM3.04 juta

    PELBAGAI barang seludup termasuk kenderaan digunakan untuk aktiviti tersebut bernilai RM3.04 juta berjaya dirampas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Kuantan sepanjang tempoh dua minggu Op Benteng Covid-19 diadakan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA (PGA7) Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, sejak mengambil alih tugas berkenaan pada 16 September lalu, pihaknya telah menahan 48 individu terlibat dengan aktiviti penyeludupan.

    Katanya, kesemua individu ditahan adalah merupakan warga tempatan dan juga Thailand.

    Beliau memberitahu demikian kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, Rantau Panjang, Kelantan hari ini.

    Menurut Azhari, sepanjang tempoh operasi, seramai lapan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan.

    Malah katanya, sepanjang tempoh tersebut, kes yang berkait Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi penyumbang tertinggi kepada nilai rampasan iaitu berjumlah RM1.027 juta.

    Menurut beliau, penyumbang kedua nilai tertinggi ialah yang berkait dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjumlah RM1.004 juta.

    “Pada pukul 4.30 semalam, kami berjaya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenis beras Siam dalam serbuan di Kampung Limau Purut.

    “Nilai rampasan kesemua beras itu dianggarkan berjumlah RM11,000,” ujar beliau.

    Azhari memberitahu, PGA akan terus memperketatkan kawalan sempadan dengan membuat pemantauan di setiap pangkalan haram sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang hingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.

  • 12,434 kes baharu COVID-19, meningkat 2 hari berturut

    12,434 kes baharu COVID-19, meningkat 2 hari berturut

    KES baharu COVID-19 di seluruh negara terus meningkat untuk dua hari berturut-turut dengan 12,434 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari ini.

    Semalam negara mencatatkan 11,332 kes.

    Menerusi hantaran di Twitter dan Facebook, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 2,232,960.

    Sarawak kekal negeri tertinggi melaporkan kes baharu harian dengan 2,967 kes, diikuti Selangor (1,362), Johor (1,289), Kelantan (1,125) dan Sabah (1,000).

    Perak pula merekodkan 971 kes, disusuli Pulau Pinang (863), Pahang (663), Kedah (652), Terengganu (612), Melaka (375), Kuala Lumpur (284) dan Negeri Sembilan (169).

    Tiga negeri pula melaporkan dua digit kes iaitu Perlis (79), Putrajaya (18) dan Labuan (lima).

    Sementara itu, penggunaan katil COVID-19 setakat 5 petang semalam ialah sebanyak 64 peratus untuk katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 56 peratus untuk katil bukan ICU. – BERNAMA

  • Seri Perdana banyak kerosakan, mesti baik pulih

    Seri Perdana banyak kerosakan, mesti baik pulih

    KERAJAAN perlu membaik pulih Kompleks Seri Perdana kerana kediaman rasmi Perdana Menteri sejak 1999 itu mengalami banyak kerosakan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta, termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.

    “Projek ini telah diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021. Ia dijangka siap pada 7 Disember 2021.

    “Setakat hari ini (29 September 2021), kerja-kerja baik pulih telah mencapai 74 peratus kemajuan, berbanding 71 peratus seperti dalam jadual,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Abd Latiff turut menjelaskan, soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang Dewan Rakyat tentang projek tersebut dijawab oleh beliau selaku menteri yang bertanggungjawab dan bukannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Usaha kesan lebih 100,000 bekas tentera tak daftar dengan JHEV

    Usaha kesan lebih 100,000 bekas tentera tak daftar dengan JHEV

    JABATAN Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengesan lebih 100,000 bekas anggota dan pegawai ATM yang tidak berdaftar dengan jabatan itu di seluruh negara.

    Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata usaha itu bagi membolehkan bekas ATM menikmati segala kemudahan dan bantuan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan termasuk kemudahan perubatan.

    “Mungkin ada ahli keluarga yang tidak menyedari datuk atau ayah mereka adalah veteran jadi bolehlah bantu mereka untuk mendaftar secepat mungkin dengan JHEV.

    “Pada masa ini, terdapat lebih 300,000 bekas anggota ATM dikenal pasti namun hanya 211,924 sudah mendaftar dengan jabatan itu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pusat perkhidmatan setempat JHEV ATM di Menara TH Perdana di sini hari ini.

    Beliau berkata daripada jumlah yang mendaftar JHEV, seramai 104,760 adalah anggota yang berpencen, 82,031 tidak berpencen manakala 25,133 lagi menerima pencen terbitan.

    Sementara itu, Ikmal Hisham berkata kementeriannya melalui JHEV ATM bercadang untuk mewujudkan pusat perkhidmatan setempat bergerak bagi menyampaikan perkhidmatan kepada warga veteran ATM di seluruh negara.

    Menurut beliau pusat itu secara tidak langsung akan membantu dalam proses menjejaki veteran yang belum berdaftar dengan jabatan berkenaan.

    Katanya hasrat penubuhan pusat itu untuk memberikan perkhidmatan yang menyeluruh dengan lebih efektif merangkumi perkhidmatan permohonan atau semakan, faedah kematian, menguruskan kemudahan perubatan dan tanggungan serta banyak lagi.

    Beliau berkata sistem penyampaian perkhidmatan yang diintegrasikan dengan kemudahan digital bukan sahaja memudahkan para veteran serta memberi impak positif kepada JHEV tetapi juga menjimatkan masa.

    Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

  • Pegawai syariah perlu hayati semangat ‘Keluarga Malaysia’ – PM

    Pegawai syariah perlu hayati semangat ‘Keluarga Malaysia’ – PM

    PERDANA MENTERI Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru pegawai syariah menghayati semangat ‘Keluarga Malaysia’ serta tanggungjawab bagi memastikan hukum syarak dilaksanakan dengan adil dan saksama dengan meletakkan standard yang tinggi dalam melaksanakan usaha keadilan Islam.

    Ismail Sabri berkata walaupun mahkamah syariah di Malaysia mempunyai bidang kuasa yang eksklusif dan tersendiri di setiap negeri, namun ia bukan penghalang bagi institusi tersebut bergerak secara bersama atas semangat ‘Keluarga Malaysia.’

    “Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbiran saya meletakkan kepentingan masyarakat dan rakyat di tempat yang utama.

    “Keluarga Malaysia akan saling bertolak ansur, menggalakkan persefahaman, bekerjasama untuk kebaikan, mengelakkan konflik yang merosakkan dan memfokus kepada persamaan matlamat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa 2021 (PKA 2021) secara rakaman video di sini hari ini.

    Ismail Sabri juga mahu hakim syarie dan pegawai syariah negara ini mengamalkan sikap integriti yang tinggi dan sentiasa dalam keadaan tenang dalam membuat sesuatu keputusan atau melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

    Perdana menteri berkata mereka juga perlu merapatkan saf dan bersama-sama dengan kepimpinan semasa dalam mencapai usaha memartabatkan sistem Kehakiman Syariah di negara ini.

    “Sifat kebersamaan dan nilai musyawarah inilah merupakan tunjang bagi prinsip kekeluargaan yang saya hasratkan dan bersama-samalah untuk kita menzahirkannya di dalam Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah,” katanya.

    Ismail Sabri juga menyarankan agar Institusi kehakiman Syariah terus proaktif dalam meneroka norma perkhidmatan baru yang lebih efektif.

    Ini termasuk memanfaatkan teknologi komunikasi jarak jauh dalam penyampaian perkhidmatan di mahkamah syariah selaras dengan situasi semasa negara berada dalam fasa pemulihan akibat penularan pandemik COVID-19, katanya.

    PKA 2021 dianjurkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

    Persidangan dua hari itu diadakan secara maya bermula hari ini.

    Peserta persidangan termasuk pegawai syariah seluruh Malaysia dan jemputan luar negara melibatkan Singapura, Palestin, Brunei, Indonesia, Maldives, Papua New Guinea, Australia,Yaman dan Qatar.

  • Pengasuh didakwa cuba bunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan

    Pengasuh didakwa cuba bunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan

    SEORANG pengasuh wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan, minggu lepas.

    Nursahidah Amran, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

    Mengikut kertas pertuduhan, Nursahidah didakwa telah menghentak dan menyebabkan kecederaan pada kepala mangsa yang tertuduh mengetahui perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian kepada bayi itu.

    Nursahidah dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2 di sini antara pukul 7 pagi dan 2.45 petang pada 22 Sept lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu sebagai pengasuh kepada bayi itu telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di tempat dan masa yang sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Razman dan Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi dan Mohamad Salihen Astor.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi dan menetapkan 30 Nov ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Ahmad pernah ditawar kompaun, tetapi pilih bicara

    Ahmad pernah ditawar kompaun, tetapi pilih bicara

    AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah ditawarkan kompaun pada Oktober 2019 namun beliau memilih untuk dibicarakan di mahkamah ketika itu.

    Perkara itu dijelaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan media, hari ini.

    “Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 pada 20 Januari 2020.

    “Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju kembali untuk membayar kompaun tersebut,” kata SPRM.

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Ahmad dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan terhadapnya setelah beliau membayar kompaun mengikut Seksyen 92(1) AMLATFPUAA 2001.

    SPRM turut menjelaskan bahawa tindakan kompaun yang dikenakan ini merupakan satu tindakan punitif terhadap mana-mana individu yang terlibat dan merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah AMLATFPUAA 2001.

  • Sekolah memerlukan pemimpin berdaya tahan – Radzi

    Sekolah memerlukan pemimpin berdaya tahan – Radzi

    SEKOLAH memerlukan pemimpin berdaya tahan yang boleh bersikap fleksibel, adaptif dan inovatif dalam menghadapi cabaran untuk memastikan para pelajar dapat meneruskan pembelajaran mereka, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Oleh itu katanya, satu daripada cabaran yang menguji kecekalan pemimpin berdaya tahan semasa pandemik COVID-19 ialah pelaksanaan pembelajaran jarak jauh yang meluas dan mereka perlu memastikan guru-guru mendapat latihan dalam strategi pembelajaran dalam talian.

    Satu lagi cabaran ialah untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan, katanya ketika melancarkan Persidangan Antarabangsa kedua mengenai Kepemimpinan dan Pengurusan Pendidikan 2021 (2nd ICELAM 2021) secara maya, hari ini.

    “Kesediaan beberapa pelajar untuk bertanya soalan dianggap terhalang menerusi pembelajaran dalam talian, dan mereka yang tidak dapat mengikuti tahap perbincangan berisiko merasa tersisih dan hilang keyakinan.

    “Di sinilah pemimpin yang berdaya tahan dapat membantu dan mencari jalan untuk mendapatkan maklum balas pelajar mengenai pengalaman pembelajaran mereka dan menyesuaikan penyampaian menerusi kaedah fizikal dan dalam talian,” katanya.

    Sepanjang pandemik, Radzi berkata pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan kaedah pengajaran dan membantu kaedah baharu untuk pemindahan pengetahuan.

    Beliau berkata guru perlu mengambil inisiatif dalam menyiapkan platform dalam talian dan menaik taraf peranti untuk penyiaran yang lancar, namun, kemampuan untuk membuat keputusan segera dalam operasi sekolah harian akan menjadi sama penting selari dengan pemulihan krisis dan dalam kebiasaan baharu.

     Radzi berkata semasa krisis, perubahan signifikan dalam masyarakat, organisasi dan individu telah membawa ketidaktentuan yang cukup besar ke dalam sistem konvensional yang perlu ditangani pemimpin berdaya tahan.

    Beliau berkata pemimpin berdaya tahan akan mengambil peluang itu untuk berkembang dan menyesuaikan diri ketika negara memasuki fasa pemulihan serta memotivasikan pasukan mereka untuk bertahan dalam menghadapi kesukaran.

    “Kepimpinan yang hebat memerlukan lebih banyak pengikut yang dipupuk oleh kepercayaan kerana ia menghasilkan kesan ketara dari segi pertumbuhan ekonomi dan nilai pemegang saham, meningkatkan kreativiti, kestabilan komuniti lebih kuat dan manfaat kesihatan yang lebih baik.

    “Sifat berdaya tahan mempunyai peranan utama untuk dimainkan di sini, sekolah perlu yakin dalam struktur dan operasinya bagi membolehkan ia terus cekap untuk mengubah sekatan dasar dalam masa singkat sambil mengawasi kejayaan jangka panjang para pelajar,” katanya.

    Radzi berkata adalah penting untuk semua guru dan pelajar menghargai pentingnya peranan mereka dan memupuk pemikiran seorang peneroka yang berdaya tahan dalam usaha mereka mencari pengetahuan.

    Sementara itu, beliau berkata dengan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada semua peringkat dalam sektor pendidikan, kementerian memuji usaha guru-guru dan pentadbir yang bersikap fleksibel dan kreatif ketika mengajar secara dalam dan luar talian.

    Radzi berkata kerajaan dan pihak berkepentingan pendidikan juga perlu kekal bekerjasama dalam memastikan pelajar dapat terus belajar dan berkembang.

  • Sultan Johor kurnia lebihan bayaran cukai kepada YSIJ untuk bantu rakyat

    Sultan Johor kurnia lebihan bayaran cukai kepada YSIJ untuk bantu rakyat

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah lebihan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bernilai RM1.4 juta bagi tahun 2019 yang diterima Baginda akan dikurniakan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

    Baginda bertitah YSIJ secara aktif menghulurkan pelbagai sumbangan kepada rakyat termasuk sumbangan makanan setiap minggu dan pelbagai bantuan lain.

    Sultan Ibrahim bertitah lebih bayaran itu diserahkan kepada baginda bagi pembayaran cukai di atas syarikat-syarikat milik Keluarga Diraja Johor.

    “Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada LDHN di atas pemulangan lebihan bayaran cukai ini, di mana saya akan mengurniakan wang berkenaan kepada YSIJ.

    “Ini juga bagi membolehkan YSIJ terus menyampaikan pelbagai sumbangan untuk rakyat bagi meringankan beban mereka khususnya yang banyak terkesan akibat pandemik COVID-19,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini .

    Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Mohd Jaafar Embong dan Pengarah LHDN Johor, Encik Md Kamal Johan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

    Bermula pada April tahun lalu, Sultan Johor  secara berterusan mengurniakan bantuan bekalan makanan kepada golongan memerlukan di seluruh negeri itu setiap minggu.

    Bantuan juga disampaikan kepada mangsa-mangsa bencana alam, selain warga emas dan juga pesakit-pesakit kronik tanpa mengira agama dan bangsa.

    Selain itu, beberapa kediaman yang rosak akibat bencana alam turut dibaikpulih menerusi YSIJ bagi meringankan beban rakyat.