SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung isu sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) kerana gagal disiapkan sejak projek itu bermula pada Oktober 2013.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya akan mengetuai siasatan berkenaan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan menjurus kepada sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM telah mendapatkan dokumen-dokumen mengenai sistem uCUSTOMS daripada JKDM hari ini bagi membantu siasatan isu berkenaan.

“Setakat ini, belum ada mana-mana individu yang dipanggil bagi membantu siasatan isu sistem uCUSTOMS ini.

“SPRM juga akan mendapat penerangan daripada pihak Jabatan Audit Negara berhubung isu itu,” katanya, hari ini.

LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendedahkan sistem uCustoms oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.

Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh menggesa SPRM melakukan siasatan segera terhadap sistem uCustoms yang gagal disiapkan itu tetapi pembayaran telah dibuat.

Menurut Wong, itu merupakan salah satu daripada 25 isu dalam LKAN 2019 Siri 2 yang bersifat tindakan pembaziran atau punitif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here