RAKYAT Terengganu yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 boleh mendapatkan beras secara percuma menerusi mesin ATM beras yang ditempatkan di Masjid Pekan Ajil, Hulu Terengganu.
Ini kerana masjid berkenaan merupakan lokasi pertama di Terengganu yang menyediakan khidmat mesin ATM beras secara percuma untuk golongan terbabit selepas Kuala Lumpur.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, sehingga akhir tahun ini, pihaknya akan menempatkan sebanyak lima mesin ATM beras di beberapa lokasi terpilih di mana Hulu Terengganu menjadi lokasi kedua penggunaan mesin berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif peduli rakyat itu antara kesinambungan bantuan makanan asas menerusi program Gerobok Prihatin melibatkan 93 buah masjid yang dilaksanakan Pejabat Parlimen Hulu Terengganu sejak Mei lalu.
“Mesin ATM Beras dengan kapasiti 500 kilogram bagi setiap penggunaan itu dapat membantu mengurangkan bebanan penduduk kurang berkemampuan dan golongan memerlukan untuk mendapatkan bekalan makanan asas itu.
“Sesiapa sahaja yang memerlukan boleh datang pada bila-bila masa dengan mengikut arahan sepertimana dipaparkan bagi mendapatkan beras sehingga lima kilogram,” katanya selepas melancarkan Mesin ATM Beras di Masjid Pekan Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.
Menurut Rosol, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Sekretariat Food Bank Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan rakan strategik utama iaitu Kumpulan Legasi Z dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Beliau berkata, bagi menampung keperluan penduduk yang memerlukan bantuan makanan menerusi program itu, sebanyak satu tan beras diperuntukkan setiap bulan.
“Mesin ATM beras ini akan diselia oleh pihak pengurusan kariah masjid dan mempunyai dua fungsi iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti ditetapkan disamping tabung khas untuk orang ramai menderma bagi mengisi bekalan beras di dalam mesin,” jelas beliau.
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) masih belum yakin untuk kembali membenarkan aktiviti majlis sosial termasuk majlis perkahwinan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, aktiviti tersebut berkemungkinan akan menjadi sektor terakhir yang akan kembali dibuka.
“Keputusan membenarkan semula majlis sosial itu juga bergantung kepada tingkah laku rakyat selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan. Majlis sosial dalam venue tertutup mungkin antara sektor terakhir untuk dibuka.
“Saya belum yakin pada masa ini prosedur operasi standard (SOP) dapat diawasi ketika majlis perkahwinan besar-besaran diadakan di mana pelitup muka ditanggalkan dan orang ramai berbual ketika sedang makan.
“Kita lihat bagaimana tingkah laku kita setelah rentas negeri dibenarkan,” tulis beliau menerusi ciapan balas Twitter terhadap satu soalan yang diajukan mengenai isu tersebut.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan aktiviti rentas negeri akan dibenarkan selepas negara mencapai kadar vaksinasi 90 peratus populasi dewasa.
SERAMAI 5,082 pelajar baharu ditawarkan untuk mengikuti 47 program pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi sesi Akademik 2021/2022.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, mereka terdiri daripada lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta pelajar antarabangsa.
Daripada jumlah itu katanya, seramai 4,817 orang yang mengikuti pengajian di UUM adalah pelajar tempatan manakala 252 lagi merupakan pelajar antarabangsa.
HAIM HILMAN ABDULLAH
“Untuk pelajar tempatan, seramai 4,535 daripadanya menerima tawaran menerusi pengambilan UPU. Selain itu, 220 pelajar merupakan lepasan asasi pengurusan UUM, 62 saluran terbuka dan 13 lagi adalah pelajar persediaan kecemerlangan golf.
“Daripada jumlah pengambilan menerusi UPU, 3,357 daripadanya merupakan pelajar wanita manakala 1,178 pula lelaki,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini.
Beliau yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM menambah, pelajar antarabangsa paling ramai diterima ke UUM datang dari Indonesia iaitu seramai 116 orang diikuti 15 orang dari China, sembilan dari Yaman, empat dari Somalia serta negara-negara lain termasuk Nigeria, Thailand, Arab Saudi dan Algeria.
“Selain itu UUM turut menerima kemasukan 16 pelajar Orang kelainan upaya (OKU) dan tiga pelajar Orang Asli yang berasal dari Tapah, Perak serta Kuala Rompin, Pahang,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, program pengajian Sarjana Muda Perakaunan dengan kepujian menerima kemasukan pelajar terbesar kali ini iaitu berjumlah 347 orang diikuti Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan kepujian (311) serta Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan kepujian (306).
“Pelajar lama dan baharu akan mula kembali ke kampus secara fizikal mulai 15 Oktober depan secara berperingkat seperti diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.
“Kira-kira 2,600 pelajar lama dan 900 pelajar baharu dijangka kembali memasuki kampus bagi fasa pertama bermula 15 Oktober depan. Jumlah tersebut dijangka akan berubah dari semasa ke semasa kerana proses maklum balas masih berjalan,” katanya.
BEKAS Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim akan disiasat susulan kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain badminton negara, S Kisona.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Borhanuddin di seluruh negara setelah kenyataannya yang merujuk kepada pemain itu tular di laman sosial sejak kelmarin.
Katanya polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan juga akan dibuat mengikut Sekyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Saya rasa amat dukacita apabila seorang pemimpin bercakap mengenai perkauman. Isu perkauman ini banyak berlaku, termasuk kes ini.
“Kadangkala seseorang terlalu mengikut emosi hingga mengeluarkan kenyataan yang tidak elok,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bangunan IPK baharu bernilai RM104 juta setinggi sembilan tingkat itu dibina di tapak seluas dua hektar ditengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu bagi menggantikan bangunan lama yang telah berusia 84 tahun, dan ia dijangka siap hujung 2024.
Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, di peringkat parti tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Borhanuddin setelah beliau meletak jawatan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Borhanuddin sudah minta maaf dan letak jawatan…jadi saya nasihatkan pada yang lain supaya jangan melakukan perkara seperti ini. Salah tetap salah…saya rasa dia dah faham. Kita tidak suka (pada kenyataan perkauman) tetapi ia telah pun terjadi,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa lebih ramai pemimpin dan ahli Bersatu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai semula Umno, Hamzah berkata: “Saya tak tahulah…itu mungkin persepsi beliau (Ahmad Zahid).”
Beliau berkata pemimpin mempunyai hak masing-masing untuk menyertai mana-mana parti dan ia terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan.
Hmzah berkata tindakan sesetengah pemimpin yang keluar parti tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Bersatu, malah menurutnya jumlah ahli parti itu telah meningkat sehingga 520,000 ahli berbanding 300,000 ahli sahaja tahun lepas. – BERNAMA
DUA lelaki ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup pelbagai jenis produk makanan sejuk beku bernilai bernilai RM17,484 di pangkalan haram Syed Agil, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
Suspek ditahan pada jam 6.30 petang ketika sedang memunggang barang ke dalam sebuah stor dan gagal menunjukkan sebarang dokumen sah yang berkaitan.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota bertugas yang membuat rondaan ternampak sekumpulan lelaki memunggah kotak daripada sebuah lori jenis Hicom ke dalam stor di lokasi berkenaan.
Anggota kemudiannya menghampiri kumpulan lelaki itu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis, sebelum meminta dua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 55 tahun untuk mengemukakan kad pengenalan.
“Pemeriksaan ke atas tubuh badan dijalankan, namun tidak menemui sebarangan barangan yang salah. Anggota kemudian membuat pemeriksaan pada bahagian belakang lori dan menemui 480 kilogram (kg) daging sejuk beku serta 16 kotak mengandungi pelbagai produk lain.
“Anggota menyemak dokumen barangan yang dibawa namun semakan mendapati ia meragukan dan tidak lengkap kerana tiada surat pelepasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Kedua-dua suspek ditahan manakala lori dan barangan dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi siasatan lanjut ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu Azhari turut berkongsi kejayaan PGA7 merampas 200 biji pil kuda bernilai RM2,000 ketika serbuan dijalankan di sebuah rumah di Kampung Kubang Kedepel, di sini semalam.
KETIKA UMNO dan Pas membuat keputusan untuk mewujudkan Muafakat Nasional (MN) pada tahun 2019, Pakatan Harapan (PH) berasa gerun kerana ia menggabungkan dua parti terbesar orang Melayu dan kegerunan mereka semakin bertambah apabila Bersatu pula bersama kedua-dua parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
PH sudah membayangkan apa akan berlaku jika ketiga-tiga parti Melayu itu bergabung dalam PRU-15.
Bagaimanapun dari semasa ke semasa, kegerunan itu semakin luntur apabila kerajaan PN yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja diasak dari luar tetapi juga oleh segelintir pemimpin UMNO sehinggalah beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Ketika ini ketiga-tiga parti masih berada dalam kerajaan, cuma Perdana Menteri sahaja bertukar kerana ia diambil alih oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sudah membuat keputusan apabila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tiada lagi kerjasama dengan Bersatu manakala kerjasama UMNO dengan Pas pula masih menjadi persoalan kerana Presiden UMNO itu baru-baru ini bertanya, “adakah lagi Muafakat Nasional’ dan menegaskan, ‘’lebih elok jika kerusi free for all’’.
Terbaru beliau berkata, UMNO akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi dalam PRU-14 lalu. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO mahu kembali menjadi dominan dalam persada politk tanah air.
Kenyataan beliau itu pastinya ‘menggembirakan’ PH kerana perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu akan menguntungkan mereka kerana ia sudah terbukti dalam pilihan raya umum lalu. Banyak kawasan yang sepatutnya dimenangi oleh parti Melayu terlepas ke tangan PKR kerana pertembungan antara UMNO dan Pas.
Kali ini keadaan yang sama akan berulang apabila kemungkinan UMNO dan Bersatu bertembung (sekali lagi) sekaligus akan menyebabkan undi orang Melayu berpecah. Walaupun Pas akan berusaha menjadi ‘orang tengah’ penulis percaya ia tidak akan ke mana.
Ia memandangkan UMNO begitu yakin dengan kekuatan mereka dan begitu percaya Bersatu tidak ada apa-apa kekuatan bagi menggugat kedudukan mereka. Pemimpin UMNO masih lagi dibuai dengan mimpi indah bahawa mereka mampu untuk bangkit semula sedangkan senario politik sudah berubah.
Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu akan terus berunding bersama PN dan MN bagi mengelakkan pertembungan kerusi memang niat yang baik tetapi dengan sikap ‘angkuh’ UMNO, penulis tidak yakin usaha itu akan berjaya.
Begitu juga apabila Pas menyatakan akan menyokong kerusi penyandang. Penulis tidak pasti sejauh manakah langkah akan berjaya dan adakah UMNO serta Bersatu akan selesa dengan pendirian Pas itu. Ia kerana Pas adalah anggota RASMI PN dan bekerjasama dengan UMNO dalam MN.
Justeru cara terbaik ialah mencari jalan supaya kedua-dua parti itu tidak bertembung sesama sendiri. Biarpun ia nampak sukar tetapi sekurang-kurangnya ruang perbincangan harus dibuka. Jangan biarkan apa yang berlaku dalam pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat berulang.
Bila mahu menyingkirkan Muhyiddin tidak mahu berbincang terlebih dahulu tetapi apabila mahu mencalonkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker pandai pula bercakap soal masih ada ruang berbincang dengan Bersatu.
Namun begitu penulis tidak menaruh harapan bahawa UMNO dan Bersatu akan mencapai persetujuan apatah lagi persefahaman selagi kepemimpinan UMNO tidak berubah. Oleh kerana UMNO sudah membuat keputusan tidak akan mengadakan pemilihan dalam masa terdekat, maknanya parti itu akan dipimpin oleh Ahmad Zahid dalam PRU-15 dengan dibantu oleh Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO.
Ia bermakna kalau UMNO menang besar atau dominan maka ia akan membuka laluan kepada Ahmad Zahid untuk menjadi Perdana Menteri sekaligus akan menutup peluang Ismail Sabri menyambung tugasnya. Ketika ini Ismail Sabri tidak boleh berbuat apa-apa kerana beliau hanya bertanggungjawab menguruskan negara manakala Ahmad Zahid menguasai parti. Ahmad Zahid akan menentukan segala-galanya termasuk hala tuju parti dalam berhadapan pilihan raya termasuklah pemilihan calon.
Ahmad Zahid sudah tegas menolak Bersatu atas alasan ia keputusan Majlis Tertinggi dan akar umbi UMNO manakala dengan Pas, ia masih menjadi persoalan kerana kenyataan beliau berkaitan Muafakat Nasional baru-baru ini dikatakan tidak dirujuk kepada Majlis Tertinggi.
Sebab itulah di peringkat akar umbi masih ada menaruh harapan supaya ketiga-tiga parti Melayu itu tidak berpecah sebaliknya terus bergabung dalam usaha mempertahankan kerajaan sedia ada selepas PRU-15, jika ia gagal dicapai percayalah PH akan ‘berpesta’…. Apa yang berlaku di Melaka hari ini adalah petanda awal!
POLIS sudah membuka kertas siasatan terhadap seorang ahli politik yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap seorang atlet badminton negara.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, kertas siasatan itu dibuka susulan daripada laporan polis yang telah diterima pihaknya baru-baru ini.
“Kita siasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika ditemui ketika lawatan kerja di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Sungai Koris, Batu Pahat, hari ini.
Ketika ini tular dalam media sosial satu hantaran yang didakwa berbaur perkauman ditulis pemilik akaun Facebook, Borhan Che Rahim terhadap pemain badminton perseorangan negara, S. Kisona selepas pemain itu tewas di tangan pemain Jepun pada aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland.
Pemilik akaun Facebook itu dipercayai didakwa adalah Ketua Bersatu Pasir Puteh, Kelantan yang mana dilihat memberikan kritikan keras melibatkan bangsa atlet badminton berkenaan.
Hantaran Facebook itu kemudiannya menerima pelbagai reaksi daripada pelayar laman sosial negara ini termasuk kecaman daripada Persatuan Badminton Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan terbabit.
TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba, seorang wanita dilihat membuka pintu kereta dan terjun ketika kenderaan sedang bergerak.
Kejadian itu berjaya dirakam menerusi rakaman kamera perakam video (dash cam) dan tular di media sosial selepas dimuat naik oleh Master Kecik di Facebook.
Video yang berdurasi dua minit itu menunjukkan kereta tersebut memperlahankan kenderaan dengan memberikan lampu isyarat kecemasan sebelum wanita itu bertindak terjun keluar.
Wanita itu juga kelihatan nyaris dilanggar oleh kenderaan yang dipandu Master Kecik dan kejadian itu dipercayai berlaku di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor berdekatan Universiti Selangor (UNISEL).
Wanita yang berpakaian hitam dan bertudung merah itu kemudian dilihat bangun dan berjalan melintasi jalan menuju ke kawasan perumahan berdekatan.
Setakat ini, belum dapat dipastikan punca sebenar kejadian sama ada berlaku secara tidak sengaja ataupun masalah teknikal kenderaan.
Ada juga maklumat mendakwa, berlaku pertengkaran antara wanita itu dengan pemandu Myvi.
Namun, ada juga netizen menegur sikap perakam video itu yang tidak berhenti membantu kerana berkemungkinan berlaku kes jenayah seperti culik.
“Kenapa tak berhenti dan tanya? Mana tau dia kena culik ke,” kata Ren Doris di ruangan komen.
“Silap besar! Kalau perempuan tu mangsa culik atau dera, macam mana? Patutnya berhenti dan tanya,” kata Suraini Ibrahim.
“Apa ketahian ini? Kalau kena lenyek anak orang, buta je masuk dalam (penjara), nak gaduh balik rumah la,” tegas Aizatul Aisyah.
AGENSI Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang melupuskan sebanyak empat buah bot milik nelayan tempatan yang disita atas beberapa kesalahan di vesel Limbongan Batu Maung hari ini.
Kesemua bot yang bernilai kira-kira RM90,000 yang telah dilucut hak itu dilupuskan menggunakan jentolak dan dibuat secara musnah tanam.
Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot-bot itu merupakan barang kes yang telah selesai dan mendapat kebenaran mahkamah untuk dimusnahkan.
Jelas beliau, tiga bot yang dimusnahkan itu didapati melakukan kesalahan menggunakan pukat rawa sorong yang merupakan peralatan yang dilarang di antara Januari 2020 hingga Januari tahun ini manakala sebuah lagi adalah bot nelayan tempatan kelas A yang telah tamat tempoh lesen.
Tambahnya, kesemua bot itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985.
“Enjin keempat-empat bot ini telah dilelong bulan lalu dan menyumbangkan hasil kepada kerajaan sebanyak RM8,500.
“Badan bot-bot ini perlu dimusnahkan dengan jengkaut kerana tidak boleh dijadikan sebagai tukun tiruan seperti mana bot-bot besar,” katanya kepada pemberita selepas proses pelupusan tersebut hari ini.
Sementara itu, Abd. Razak berkata, sebanyak tujuh buah bot pelbagai jenis sedang menunggu perintah mahkamah untuk dilucut hak termasuk barang eksibit lain iaitu dadah dan bubu naga bernilai RM116.3 juta.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau kecemasan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 bagi tindakan segera,” tambahnya.
SERAMAI 143,000 pelajar di sekolah seluruh negara, kecuali Kedah dan Johor, memulakan sesi persekolahan secara bersemuka setakat semalam dan hari ini, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan COVID-19.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata daripada jumlah itu seramai 94,000 pelajar dari negeri Kumpulan B – Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan – memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.
Bakinya melibatkan pelajar dari negeri Kumpulan A melibatkan Terengganu, Kelantan dan Langkawi semalam.
“Secara keseluruhannya, tatacara pelaksanaaan pembukaan sekolah dan juga kehadiran murid untuk sesi pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka berjalan lancar dan perkara ditetapkan dalam garis panduan pengoperasian pembukaan sekolah dipatuhi dengan baik.
“Hampir semua negeri buka sekolah kecuali Kedah dan Johor, pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) ialah membawa murid kembali ke sekolah, kita mahu sistem pendidikan kembali bergerak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah di sini hari ini.
Terdahulu, Radzi turut meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di beberapa sekolah termasuk di SMK Tuanku Ampuan Durah, Seremban dan SMK Tunku Muhammad dan Sekolah Menengah Sains Tunku Jaafar di Kuala Pilah.
Dalam pada itu, beliau berkata respons daripada ibu bapa amat baik namun masih ada segelintir ibu bapa merasakan masa ini belum sesuai untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana khuatir dengan penularan COVID-19.
Bagaimanapun, katanya tiada sebarang tindakan dikenakan kepada ibu bapa dan mereka diberi pilihan sama ada untuk menghantar anak mereka atau tidak tetapi ia perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu.
“Kalau kita lihat trend sebelum ini, apabila kita mula buka sekolah pada Jun tahun lepas dan awal Mac lepas, memang begitulah trendnya, peringkat awal sebahagian ibu bapa ambil pendekatan untuk tidak hantar terlebih dahulu namun apabila masa berlalu untuk satu tempoh kita lihat kehadiran amat baik,” katanya.
Beliau berkata kehadiran pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua adalah menggalakkan dan mereka dilihat bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. – BERNAMA