Category: Semasa

  • KJ buat lawatan mengejut ke HTJ Seremban

    KJ buat lawatan mengejut ke HTJ Seremban

    MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini meluangkan masa bagi mengadakan lawatan mengejut di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

    Menurut perkongsian salah seorang petugas HTJ, Ahli Parlimen Rembau itu difahamkan meluangkan hampir satu jam di hospital itu.

    Difahamkan beliau melawat beberapa wad dan sempat berbual dengan para doktor, terutama doktor-doktor kontrak bagi mendengar aduan mereka.

    Berdasarkan beberapa video yang dikongsikan oleh petugas hospital, Khairy dilihat bertanya tentang situasi menangani Covid-19 di hospital berkenaan.

    Menurut akaun rasmi Khairy di Twitter, beliau turut mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Mawar, sebuah hospital swasta di Seremban.

    Khairy sebelum ini turut pernah mengadakan lawatan mengejut di Hospital Kajang pada September lalu.

    Lawatan tersebut menjadi topik perbualan netizen yang rata-rata memuji tindakannya untuk meninjau sendiri keadaan di hospital tanpa protokol dan sambutan besar-besaran.

  • Jangan rentas negeri selagi tidak dibenarkan

    Jangan rentas negeri selagi tidak dibenarkan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SAMA ada penduduk di Kedah atau Perlis, kedua-duanya dinasihatkan supaya tidak merentas negeri secara haram bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal di dua negeri paling utara dalam semenanjung tanah air itu.

    Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor, arahan kerajaan yang masih tidak membenarkan kegiatan rentas negeri perlu terus dipatuhi supaya tidak berlaku penularan yang mungkin sukar untuk dikawal.

    Begitu pun katanya, beliau setakat ini tidak menerima laporan menyatakan bahawa penularan Covid-19 di kedua-dua negeri berpunca daripada kegiatan rentas secara haram.

    “Kita pun tak pasti kerana cuma baca perkara itu dari akhbar dan tak dapat laporan rasmi. Tetapi kalau benar berlaku, kita harap mereka yang buat demikian agar hentikanlah.

    “Orang Kedah usah ke Perlis dan penduduk Perlis pun jangan datang ke Kedah hingga rentas negeri dibenarkan nanti. Kalau masuk ke salah satu negeri ini sekarang dan dijangkiti, lalu pulang ke negeri masing-masing, tak mustahil berlaku penularan dua hala menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar dikawal,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat negeri Kedah di Dataran Pantai Chenang di Langkawi, hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, aktiviti rentas negeri secara haram menjadi punca jangkitan harian COvid-19 di Perlis melonjak hingga 200 kes pada Khamis lalu.

    Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, Noor Hisham turut tidak menolak kemungkinan individu tidak bertanggungjawab tersebut memasuki Perlis melalui jalan tikus bagi mengelak sekatan jalan raya.

  • Lelaki mabuk pandu lawan arus di Kerinchi Link ditahan

    Lelaki mabuk pandu lawan arus di Kerinchi Link ditahan

    SEORANG lelaki yang dipercayai mabuk dan memandu secara melawan arus di kilometer 6.5 Kerinchi Link dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B di Kuala Lumpur ditahan pada awal pagi tadi.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan polis bantuan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)-Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) sekitar pukul 1.15 pagi.

    “Suspek memandu sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna emas secara melawan arus dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B dengan jarak sejauh kira-kira 50 meter.

    “Suspek disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. Anggota polis yang melakukan tugas rondaan kawasan tanggung jawab di Lebuhraya LDP-Sprint telah membawa suspek dan kenderaannya ke Balai Polis Jalan Tun H.S Lee,” katanya ketika dihubungi.

    Sarifudin berkata, keputusan ujian pernafasan atau Evidential Breath Analyzer (EBA) terhadap suspek menunjukkan terdapat sebanyak 254 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah.

    Tambahnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah.

    “Kita buka siasatan di bawah Seksyen 45(a) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    KEYAKINAN pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat kembali pulih selepas beberapa isu berkaitan institusi tersebut diselesaikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    Beliau berkata, satu ketika dahulu pendeposit mengeluarkan wang mereka apabila wujud dakwaan berlaku penyelewengan dan sebagainya, namun tindakan yang sama tidak lagi berlaku.

    “Kami sedang menyusun dan merangka strategi untuk memantapkan lagi pengurusan TH, terbaru TH Plantations telah menukar pengurusan baharu.

    “Insya-Allah projek berkaitan operasi ladang TH yang menjana keuntungan besar itu juga akan lebih berdaya saing, maju dan segala keuntungan akan dipulangkan kepada pendeposit,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah di Kampung Gong Tengah, Pengkalan Chepa, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, ketika ini TH memiliki kira-kira sembilan juta pendeposit, jumlah tersebut turut memberi gambaran keyakinan masyarakat kepada institusi itu.

    “Ini juga memberi gambaran keyakinan bahawa TH sebuah institusi yang menjaga bukan sahaja persiapan ibadat haji malah satu platform pelaburan kepada orang Islam di negara ini.

    “Kami akan terus tingkatkan daya saing dari segi pengurusan untuk menjana keuntungan seterusnya memberi pulangan kepada masyarakat,” katanya. – BERNAMA

  • Perak dijangka tutup 25 PPV hujung bulan ini

    Perak dijangka tutup 25 PPV hujung bulan ini

    KESEMUA 25 pusat pemberian vaksin (PPV) awam di Perak dijangka akan ditutup sepenuhnya penghujung bulan ini, kata Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin.

    Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) selepas mengambil kira kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa akan mencapai sasaran 80 peratus tidak lama lagi selain kurangnya kehadiran penerima vaksin di PPV.

    “Setakat hari ini, sebanyak sembilan PPV awam telah ditutup sejak 1 Oktober lepas antaranya PPV Dewan Merdeka Lenggong, Dewan Bandaran Kinta Batu Gajah, Dewan Serbaguna, Dewan Tan Sri Ghazali Jawi Slim River serta Dewan Besar Felcra Seberang Perak dan PPV terakhir yang akan ditutup ialah PPV Stadium Indera Mulia di Ipoh.

    “Bagaimanapun bagi mereka yang belum melengkapkan dos kedua boleh pergi ke klinik atau hospital berhampiran dengan tempat tinggal selain kami akan mempergiatkan program outreach ke merata tempat,” katanya.

    Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program pengumpulan minyak masak terpakai di Pondok Raudatul Muttaqin,
    Malim Nawar, Kampar, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Akmal berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi kempen pengumpulan minyak masak terpakai di setiap daerah bagi mengurangkan bahan itu daripada dibuang begitu sahaja ke dalam sistem perparitan awam dan sungai.

    “Minyak masak terpakai ini boleh diproses menjadi biodiesel, syampu, sabun atau lilin sekali gus mampu menjana pendapatan,” katanya. – Bernama

  • Kejayaan budak 8 tahun kumpul sumbangan RM7,000 dipuji Sultan Johor

    Kejayaan budak 8 tahun kumpul sumbangan RM7,000 dipuji Sultan Johor

    UMURNYA baru 8 tahun, tetapi itu tidak menjadi penghalang bagi Krishh Haran Nair untuk mengumpulkan sejumlah RM7,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) sekaligus menjadikan dia penyumbang termuda buat yayasan berkenaan.

    Kejayaan Krishh itu telah menarik perhatian serta pujian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Sultan Ibrahim menzahirkan kekagumannya dengan bertitah bahawa tindakan kanak-kanak itu adalah satu inspirasi buat masyarakat dan boleh dijadikan contoh ikutan.

    “Saya berasa berbangga dengan kanak-kanak lelaki ini dan ibu bapa mereka kerana telah membesarkan seorang anak yang cerdik dan baik hati.

    “Kamu adalah inspirasi kepada orang lain dan seharusnya menjadi ikutan ramai. Saya berterima kasih dengan usaha yang kamu lakukan untuk membantu orang lain yang memerlukan,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Krishh menghabiskan tempoh satu bulan untuk menulis kisah ringkas bertajuk ‘A Mysterious War to the Deep’ yang merupakan satu tugasan atas talian diberikan oleh gurunya, Alicia Bailey.

    Hasilnya kemudian ditukarkan dalam format e-buku dan juga versi cetakan dengan bantuan ibu bapanya selepas dia memaklumkan mahu menjual karya berkenaan untuk mengutip wang bertujuan untuk menyumbang kepada pihak memerlukan.

    Bapa kanak-kanak itu, N. Ramakrishnan berkata, anaknya sentiasa mempunyai perasaan belas ihsan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

    “Semasa kecil, dia selalu meminta kami membantu golongan gelandangan dan akan menangis sehinggalah kami melakukan sesuatu untuk membantu,” katanya.

  • 8,743 kes hari ini, turun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam

    8,743 kes hari ini, turun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam

    ANGKA jangkitan Covid-19 pada hari ini menurun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam apabila sebanyak 8,743 kes baharu dilaporkan di seluruh negara.

    Angka tersebut menjadikan hari ini genap seminggu berturut-turut kes berada di bawah paras 10,000 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif setakat hari ini adalah sebanyak 2,332,221 kes.

    Bagaimanapun, buat pertama kalinya Dr. Noor Hisham tidak memberi pecahan dan perincian jumlah kes mengikut negeri seperti kebiasaan.

    Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa maklumat terperinci mengenai kes harian terbaharu Covid-19 akan dimuat naik ke laman web yang dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu COVIDNOW.

    Sehingga artikel ini ditulis, pecahan mengikut negeri masih belum dikongsi dalam laman web tersebut.

    Terdahulu sebanyak 9,751 kes dilaporkan di seluruh negara pada Jumaat dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,796 jangkitan dan diikuti Sarawak dengan 1,339 kes, Kelantan (1,052) dan Johor (864 kes).

    Jangkitan COVID-19 mula menurun ke paras empat angka sejak hari Ahad lalu dengan 9,066 kes.

  • 2 beradik, sepupu cari kepah ditemukan lemas

    2 beradik, sepupu cari kepah ditemukan lemas

    PENCARIAN tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mencari kepah berakhir, apabila mayat kesemua mangsa ditemukan di Sungai Kuala Baru, Kampung Mangkok, Setiu awal pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin, mayat pertama Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pada pukul 1.08 pagi manakala adiknya, Muhammad Arryan Faheem, 7, ditemui pada pukul 1.47 pagi.

    Afandi yang merupakan Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) memberitahu, mayat mangsa ketiga pula iaitu Nurul Hasya Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemui pada pukul 8.15 pagi tadi.

    “Kesemua mayat mangsa diditemui berada tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

    Menurut Afandi, sebaik sahaja ditemui, mayat dua beradik dan seorang sepupu itu dihantar ke Bilik Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 107 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), agensi berkaitan dan orang awam.

    Katanya, dengan penemuan ketiga-tiga mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan pada pukul 6 petang srmalam ditutup secara rasmi pada pukul 8.45 pagi ini.

    “Kami menasihati orang awam yang ingin berkelah di pantai atau mencari kepah supaya lebih berhati-hati disamping memahami keadaan pasang surut air di muara sungai untuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

    Terdahulu Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Jabi, Dr Azman Ibrahim turut hadir menemui keluarga mangsa di lokasi kejadian.

  • MOSTI terima 322 permohonan geran MySI: Dr Adham

    MOSTI terima 322 permohonan geran MySI: Dr Adham

    KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerima sebanyak 322 permohonan geran Malaysia Social Innovation (MySI) 2021 sejak Januari sehingga bulan lepas, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

    Beliau berkata, peruntukan sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan ditawarkan bagi pembangunan aplikasi tempatan berinovatif sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

    “Pengkhususan yang diberi keutamaan (untuk geran ini) termasuk bidang tenaga, perniagaan, perkhidmatan kewangan, budaya, kesenian dan pelancongan, serta perubatan dan kesihatan.

    “Inisiatif ini juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan produktiviti dan pendapatan komuniti terlibat dengan pulangan pelaburan yang terjamin,” katanya ketika berucap selepas melawat Tapak Projek Ternakan Moden Kelulut Modular Inovasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kluang, hari ini.

    Beliau berkata, dari 2015 hingga tahun lepas, inisiatif MySI yang membabitkan dana berjumlah RM48 juta menerusi 234 projek aplikasi teknologi tempatan berinovatif, berjaya memanfaatkan hampir 100,000 penerima di seluruh negara.

    Untuk rekod, MySI merupakan antara usaha kerajaan mengetengahkan teknologi tempatan yang berinovatif dalam menangani isu-isu komuniti setempat.

    Penawaran dana itu juga sebagai usaha melonjakkan ekonomi negara daripada negara pengguna teknologi kepada pengeluar teknologi, selain menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi dan berpendapatan tinggi.

    Sementara itu, Dr Adham berkata, Projek Teknologi Bee-Modular-UTM yang berasaskan prinsip tanggungjawab sosial menerusi aplikasi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), telah memanfaatkan 100 komuniti B40 melalui ternakan kelulut yang lebih mampan, inovatif dan berkesan.

    Katanya, projek tersebut dijangka dapat menghasilkan pendapatan sehingga RM1,500 sebulan bagi setiap set modular sarang lebah, bergantung kepada hasil jualan produk mentah seperti madu dan produk hiliran. – Bernama

  • Kebenaran rentas negeri bukan tiket rakyat leka

    Kebenaran rentas negeri bukan tiket rakyat leka

    KEPUTUSAN kerajaan memberi kebenaran rentas negeri bukan ‘tiket’ untuk rakyat berasa begitu selesa hingga mengambil mudah mengenai jangkitan COVID-19 yang masih lagi mencatatkan jumlah kes tinggi.

    Sebaliknya kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, rakyat di negeri ini mestilah sentiasa berwaspada di samping tidak leka dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebaik sahaja sempadan negeri akan dibuka dalam tempoh terdekat ini.

    “Itulah perkara yang perlu kita beri keutamaan kerana keadaan yang kita perlu hadapi ini bukan sahaja di Terengganu malah juga melibatkan di negeri lain.

    “Oleh itu, semua pihak perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapinya kerana selepas ini kita akan hidup dengan suasana endemik yang semakin mencabar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

    Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, penganjuran Hari Sukan Negara perlu dimanfaatkan rakyat Terengganu dalam menggayakan cara hidup sihat dan aktif.

    Katanya, keadaan semasa yang melanda tidak seharusnya menghalang masyarakat daripada mengamalkan gaya hidup sihat.

    “Saya berharap semua rakyat Terengganu untuk mengambil peluang dan semangat Hari Sukan Negara dengan terus mengaktifkan anggota keluarga masing-masing supaya kita sihat dan mampu melawan apa jua virus di sekeliling kita,ujar,” ujar beliau.