KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mahu isu pemutihan tanah di seluruh negara diselesaikan dengan kadar segera bagi membolehkan projek menaik taraf dan pembinaan semula sekolah daif dapat disegerakan, terutamanya di Sarawak.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sekiranya tanah tapak pembinaan bangunan sekolah daif tidak menjadi tanah hak milik persekutuan, maka kerja-kerja pembinaan tidak akan dapat dijalankan.
“Itu adalah antara perkara yang telah dibincangkan oleh saya semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia (pusat pentadbiran kerajaan Sarawak di Kuching), semalam.
“Jika kita lihat kepada perkara paling asas untuk diselesaikan, insya-Allah pada masa akan datang apabila isu tanah itu selesai, maka prosesnya akan lebih cepat serta teratur,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Samariang, Sarawak, hari ini.
GURU yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 diberi tempoh sehingga 1 November ini untuk berbuat demikian atau berdepan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah itu selaras dengan pengumuman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan kakitangan kerajaan melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini dan tindakan tatatertib akan diambil selepas itu.
Beliau berkata, sejak pengumuman JPA itu, guru yang sebelum ini enggan divaksin, kini sudah berubah fikiran dan bersetuju untuk menerima dos pertama.
“Paling penting sekarang ialah ia (guru enggan divaksin) boleh menjejaskan operasi sekolah dan tindakan segera perlu diambil termasuk menukar guru terbabit,” kata beliau seperti yang dilaporka portal UtusanTV hari ini.
Dalam pada itu, Radzi menjelaskan, tindakan menukar guru perlu bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas dan guru lain yang lengkap vaksin tidak terbeban dengan tindakan mereka.
Memberi contoh murid berkeperluan khas ujarnya, kanak-kanak itu sepanjang masa memerlukan guru berada di samping mereka.
“Jika ada kalangan guru itu (guru berkeperluan khas) enggan divaksin, tentu ia akan menjejaskan operasi sekolah, kerana kita berpegang kepada prinsip asas, iaitu jika tidak divaksin, tidak boleh mengajar secara bersemuka,” katanya.
Mengulas mengenai program imunisasi pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, Radzi memberitahu, sebanyak 80 peratus pelajar sudah menerima dos pertama malah ada negeri yang sudah berjaya mencapai 90 peratus.
Menurutnya, pelajar tingkatan 6 dan tingkatan 5 sebahagian besarnya sudah lengkap vaksinasi dan pihak kementerian berpuas hati dengan kelancaran proses imunisasi.
“Bagi vaksinasi untuk pelajar sekolah rendah, kita akur dengan apa sahaja keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketika ini KKM menjelaskan tiada vaksin sesuai untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan jika sudah ada, KKM bersedia untuk memberi vaksin kepada golongan itu, kami akan bekerjasama penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang, di Kuching, Sarawak.
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa pihak berkenaan membuat laporan polis berhubung pendedahan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dibongkar pengguna Twitter serta Telegram menggunakan nama ‘Edisi Siasat’ sejak beberapa minggu lalu.
Menurut Hamzah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.
Namun begitu, beliau menyatakan baru sahaja mendengar dan tidak mengetahui mengenai dakwaan melibatkan pegawai kanan kerajaan, menteri dan bekas menteri itu.
“Saya baru dengar,… saya tak tahu pun perkara ini. Bagaimanapun, segala kesalahan, sesiapa saja kalau ada laporan polis, ada siasatan, kita akan berikan kerjasama.
““Buat masa ini, saya tidak tahu,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-6, di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa pihak polis supaya menyiasat kenyataan dimuat naik pengguna akaun Twitter tersebut yang mendakwa segelintir pegawai kanan polis dipercayai terlibat dengan kes penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.
Menurut Musa, sebelum mengambil tindakan lanjut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu perlu mengesahkan sama ada dakwaan yang tular dalam media sosial itu benar atau sebaliknya.
Kata beliau, pegawai dikatikan dengan dakwaan berkenaan boleh mengambil tindakan saman sivil sekiranya maklumat itu terbukti palsu.
TANGKAPAN terhadap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan Mersing, baru-baru ini membongkar kegiatan suspek yang turut melakukan jenayah sama dalam enam kes lain.
Suspek berusia 33 tahun yang diburu polis itu akhirnya ditahan di rumahnya di Kampung Sri Lumpur selepas serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, lelaki dipercayai penagih dadah itu sebelum ini sanggup berulang-alik mengangkut hasil curi menaiki motosikal selepas memecah masuk PPV berkenaan.
“Aduan berkenaan kejadian pecah bangunan di PPV tersebut diterima pada 16 Oktober lalu yang melibatkan kerugian kira-kira RM4,900.
“Dengan tertangkapnya suspek kita percaya dapat menyelesaikan enam kes pecah rumah dan kedai di lokasi lain yang dianggarkan melibatkan kerugian kira-kira RM60,4000,” katanya pada sidang akhbar di IPD Mersing, hari ini.
Hasil serbuan turut menemukan barangan dipercayai dicuri dari PPV berkenaan iaitu dua buah monitor dan sebuah CPU jenama HP, sebuah televisyen berjenama Hisense, sebuah stand monitor dan sebuah portable aircond jenama Midea.
Cyril Edward berkata, polis turut merampas pelbagai barangan lain yang disyaki hasil jenayah yang dilakukan suspek di tempat lain.
Katanya, semasa tangkapan dilakukan polis juga menemukan dadah disyaki jenis heroin dengan anggaran berat 0.49 gram dan methamphetamine dianggarkan 0.22 gram.
“Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, semakan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau bagi kes jenayah dan lapan bagi kes narkotik,” katanya.
Sementara itu, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan: Seksyen 379A kanun sama; Seksyen 12(3); Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 38B di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Malah, polis kini sedang memburu beberapa rakan sejenayah suspek yang sedang kenal pasti kerana dipercayai melakukan kegiatan itu bersama-sama lelaki terbabit.
JABATAN Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) merampas 90 jenis ubat dan kosmetik tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai RM217, 461 dalam serbuan di Seremban, minggu lalu.
Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di dua buah rumah dan pemeriksaan pada sebuah kenderaan.
Timbalan Pengarah JKNS (Kesihatan Awam), Dr. Mohammad Faid Ab. Rashid berkata, hasil maklumat diperolehi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Sembilan mendapati tiga lokasi serbuan itu dipercayai mempunyai rangkaian pasaran melibatkan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
“Produk yang telah dirampas merangkumi pelbagai jenis termasuk produk tradisional yang tidak berdaftar dan ‘over-the-counter’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat-ubatan dan kosmetik berkenaan akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952.
Antara ubat dan kosmetik tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi yang dirampas JKNS Negeri Sembilan di Seremban, minggu lalu. – Foto Ihsan Facebook JKNS Negeri Sembilan
Beliau berkata, sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Mohammad Faid berkata, sejak September 2019, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkenalkan label keselamatan hologram FarmatagTM untuk semua produk berdaftar.
Beliau berkata, label keselamatan hologram itu dilengkapi ciri keselamatan tambahan yang dapat membantu semua pihak dalam memastikan ketulenan produk di pasaran.
“Pengguna boleh menyemak ketulenan label hologram FarmaTagTM pada produk dengan menggunakan aplikasi Farmachecker yang boleh dimuat turun secara percuma dari Google Playstore, AppStore dan juga Huawei App Gallery.
“Justeru orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik,” katanya.
SEORANG pelajar lelaki yang menunggang motosikal maut selepas digilis sebuah kenderaan dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer (Km) 60.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, malam tadi.
Kejadian pada pukul 9.50 malam itu mengakibatkan pelajar Tingakatan Dua tersebut, Muhamad Danial Hakim Azmi, 14, meningga dunia di tempat lokasi selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Semasa kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis EX5 sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar pembahagi jalan lalu terbabas ke lorong kiri jalan.
Pada masa sama, sebuah kenderaan dari arah yang sama tidak dapat mengawal kenderaan lalu menggilis mangsa, namun pemandunya tidak memberhentikan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Mohd. Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
MENGGUNAKAN van sebagai stor penyimpanan arak seludup sebelum dijual kepada pembeli di sekitar kawasan Klang.
Bagaimanapun taktik tersebut terbongkar selepas suspek yang merupakan seorang lelaki warga asing diberkas dalam serbuan di Pandamaran pada pukul 3 petang semalam.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Mohd. Shamsol Kassim, pihaknya menahan suspek berusia 29 tahun itu dalam Ops Kontraband.
“Semasa pemantauan, kita mendapati seorang lelaki dalam keadaan yang mencurigakan sedang membuka sebuah van yang di parkir di kawasan belakang kawasan perumahan.
“Pihaknya telah membuat serbuan dan berjaya menahan lelaki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai berada dalam lima daripada enam buah van yang diparkir di kawasan terbabit. – Foto ihsan Pasukan Polis Marin Wilayah 1
Mengulas lanjut, Mohd Shamsol berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Hasil soal siasat katanya, mendapati pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai tidak bercukai berada dalam lima daripada enam buah van yang diparkir di kawasan terbabit.
“Kita merampas enam buah van dan 4,125 tin dan botol minuman keras dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1juta,” katanya.
Mohd. Shamsol berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke markas operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
“Kita akan meneruskan siasatan bagi mengesan kumpulan atau sindiket terlibat,” ujarnya.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 pengarah syarikat disyaki terlibat penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), agensi di bawah sebuah kementerian, tengah malam tadi.
Sumber SPRM berkata kesemua suspek ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula semalam.
Sumber itu menyebut dianggarkan puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan ini yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program-program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.
Menurut sumber, kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh MITRA bermula 2018 hingga kini.
“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya.
“Peruntukan ini dipohon daripada MITRA dan kemudian diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu,” kata sumber itu.
Sumber menjelaskan tiada program dibuat serta tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan oleh pihak berkuasa.
“MITRA telah distruktur semula pada 2018 semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Namun pada April 2020 hingga kini, MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan dianggarkan MITRA memperoleh bajet RM100 juta setahun,” katanya.
Sumber berkata kesemua suspek berumur lingkungan 24 hingga 68 tahun itu akan dihadapkan Ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kesemua penahanan berkenaan.
“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 16 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.
HAJAT seorang wanita untuk mendapatkan pokok keladi hancur apabila penjualnya lesap bersama wangnya yang kononnya perlu dibayar untuk memastikan kesegaran pokok hiasan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd Yusof dalam kenyaataan yang dikeluarkan hari ini berkata, seorang suri rumah berusia 36 tahun mendakwa ditipu dalam pembelian pokok keladi hiasan menerusi laman sosial, sehingga kerugian RM4,240, dua hari lepas.
Mangsa mendakwa melihat iklan penjualan pokok itu, yang diiklan pada harga RM140 menerusi aplikasi Tik Tok sebelum menghubungi nombor WhatsApp bagi urusan jual beli, diikuti pembayaran secara dalam talian pada sebelah petang.
“Mangsa mendakwa dihubungi oleh seorang wanita pagi semalam, mendakwa dirinya wakil syarikat penghantaran dan meminta wang sebanyak RM4,100 yang didakwa sebagai bayaran penjagaan pokok.
“Suspek mendakwa pokok itu perlu disembur dengan baja dan bahan kimia khas untuk memastikan pokok tidak layu sepanjang proses penghantaran, yang dijelaskan mangsa pada tengah hari sama menerusi pemindahan dalam talian,” katanya.
Mohd. Wazir berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila sekali lagi dihubungi suspek pada sebelah petang, meminta bayaran RM2,000 kononnya sebagai tambahan kepada kos penghantaran. – Bernama
SEORANG penjaja minuman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya Disember tahun lalu dan Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 40 tahun mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan melalui panggilan video aplikasi Whatsapp.
Tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah berikutan menjalani kuarantin di lokap.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan memasukkan jari dan menjilat kemaluan anak perempuannya yang berusia 16 tahun ketika berada di rumah mereka di Gurun, pada pukul 3 pagi 25 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jun lalu pukul 5.30 petang di lokasi sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) AKSTKK 2017.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) AKSTKK 2017, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.
Seksyen 16(1) AKSTKK 2017 pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada dua sebatan.
Mahkamah menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan perubatan dan juga fakta hukum.
Kes dikendalikan Pegawai Siasatan dan Perundangan Ibupejabat Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superintendan Mohd. Fakruzi Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.