HAJAT seorang wanita untuk mendapatkan pokok keladi hancur apabila penjualnya lesap bersama wangnya yang kononnya perlu dibayar untuk memastikan kesegaran pokok hiasan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd Yusof dalam kenyaataan yang dikeluarkan hari ini berkata, seorang suri rumah berusia 36 tahun mendakwa ditipu dalam pembelian pokok keladi hiasan menerusi laman sosial, sehingga kerugian RM4,240, dua hari lepas. 

Mangsa mendakwa melihat iklan penjualan pokok itu, yang diiklan pada harga RM140 menerusi aplikasi Tik Tok sebelum menghubungi nombor WhatsApp bagi urusan jual beli, diikuti pembayaran secara dalam talian pada sebelah petang. 

“Mangsa mendakwa dihubungi oleh seorang wanita pagi semalam, mendakwa dirinya wakil syarikat penghantaran dan meminta wang sebanyak RM4,100 yang didakwa sebagai bayaran penjagaan pokok.

“Suspek mendakwa pokok itu perlu disembur dengan baja dan bahan kimia khas untuk memastikan pokok tidak layu sepanjang proses penghantaran, yang dijelaskan mangsa pada tengah hari sama menerusi pemindahan dalam talian,” katanya. 

Mohd. Wazir berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila sekali lagi dihubungi suspek pada sebelah petang, meminta bayaran RM2,000 kononnya sebagai tambahan kepada kos penghantaran. – Bernama 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here