Oleh RAHIMI MOHAMAD

TANGKAPAN terhadap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan Mersing, baru-baru ini membongkar kegiatan suspek yang turut melakukan jenayah sama dalam enam kes lain.

Suspek berusia 33 tahun yang diburu polis itu akhirnya ditahan di rumahnya di Kampung Sri Lumpur selepas serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, lelaki dipercayai penagih dadah itu sebelum ini sanggup berulang-alik mengangkut hasil curi menaiki motosikal selepas memecah masuk PPV berkenaan.

“Aduan berkenaan kejadian pecah bangunan di PPV tersebut diterima pada 16 Oktober lalu yang melibatkan kerugian kira-kira RM4,900.

“Dengan tertangkapnya suspek kita percaya dapat menyelesaikan enam kes pecah rumah dan kedai di lokasi lain yang dianggarkan melibatkan kerugian kira-kira RM60,4000,” katanya pada sidang akhbar di IPD Mersing, hari ini.

Hasil serbuan turut menemukan barangan dipercayai dicuri dari PPV berkenaan iaitu dua buah monitor dan sebuah CPU jenama HP, sebuah televisyen berjenama Hisense, sebuah stand monitor dan sebuah portable aircond jenama Midea.

Cyril Edward berkata, polis turut merampas pelbagai barangan lain yang disyaki hasil jenayah yang dilakukan suspek di tempat lain.

Katanya, semasa tangkapan dilakukan polis juga menemukan dadah disyaki jenis heroin dengan anggaran berat 0.49 gram dan methamphetamine dianggarkan 0.22 gram.

“Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, semakan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau bagi kes jenayah dan lapan bagi kes narkotik,” katanya.

Sementara itu, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan: Seksyen 379A kanun sama; Seksyen 12(3); Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 38B di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Malah, polis kini sedang memburu beberapa rakan sejenayah suspek yang sedang kenal pasti kerana dipercayai melakukan kegiatan itu bersama-sama lelaki terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here