Category: Semasa

  • Lelaki kelar ibu saudara direman seminggu lagi

    Lelaki kelar ibu saudara direman seminggu lagi

    SEORANG lelaki disambung reman seminggu lagi bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Kampung Cina, Menglembu, Ipoh pada 9 November lalu.

    Mahkamah Majistret Ipoh mengeluarkan perintah reman itu disambung sehingga 23 November hadapan.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus selepas mendapat permohonan lanjutan daripada pihak polis.

    Pada 10 November lalu, suspek direman seminggu, yang berakhir hari ini, bagi membantu siasatan kes seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan pisau masih tertusuk di lehernya di sebuah rumah di Kampung Cina, Menglembu, Ipoh.

    Dalam kejadian sekitar jam 3 petang 9 November lalu, mangsa yang berusia 73 tahun dipercayai ditikam dan dikelar oleh anak saudaranya sendiri dalam rumah mereka.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa ditemui anggota polis dalam keadaan tertiarap di tepi katil.

  • Op Cahaya: 16 geng kongsi gelap dicekup

    Op Cahaya: 16 geng kongsi gelap dicekup

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 16 individu dipercayai ahli kongsi gelap daripada beberapa pertubuhan ditahan polis menerusi Op Cahaya yang dijalankan di seluruh negeri sejak 28 Oktober hingga 10 November lalu.

    Mereka antara 234 individu yang ditahan dalam 1,348 serbuan yang dijalankan di premis seperti pusat-pusat hiburan, pusat urut dan lain-lain tempat.

    Kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 50 tahun itu dikenal pasti berdasarkan tatu dan lambang geng yang terdapat pada tubuh badan masing-masing.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi berkenaan dilancarkan bertujuan untuk mengawasi dan memantau keadaan sepanjang musim perayaan lalu agar tiada gangguan dan ancaman berlaku.

    “Sementara itu, 14 lagi individu yang juga merupakan ahli kongsi gelap terlibat dalam dua insiden pergaduhan berasingan masing-masing di Kulai dan Seri Alam, tengah malam kelmarin turut ditahan polis.

    “Pergaduhan tersebut dipercayai berpunca akibat pertengkaran sesama mereka ketika berada di bawah pengaruh alkohol. Kesemua suspek lelaki tempatan yang berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan awam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Menurut Ayob Khan, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada lima individu yang menganggotai Kumpulan 36; empat ahli Kumpulan 21 dan lima lagi daripada Kumpulan 04.

    Gambar anggota pertubuhan kongsi gelap yang ditahan menerusi Op Cahaya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Mereka kini direman sehingga 17 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, sementara 16 individu yang ditahan lebih awal turut disiasat mengikut Seksyen 43 dan direman antara dua hingga empat hari daripada tarikh tangkapan.

    Dalam pada itu, ujar Ayob Khan, sejak Januari lalu hingga semalam, seramai 70 anggota kongsi gelap terdiri daripada tujuh geng berlainan telah ditahan polis.

    “Pecahan yang ditahan melibatkan Geng 21 seramai 29 orang; Geng 36 (16 orang); Geng 04 (9 orang); Geng 08 (8 orang); Hong Hong San (2 orang); Ang Kong Kia (1 orang) dan Ngo Sek Kee (5 orang).

    “Hasil daripada tindakan diambil polis, 18 daripada mereka dikenakan perintah tahanan selama dua tahun manakala dua lagi dikenakan perintah pengawasan dua tahun,” jelasnya.

    Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Polis Johor akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura berhubung kes jenayah ugutan yang dilakukan ahlong negara berkenaan terhadap pemimpin MCA negeri ini.

    Ayob Khan berkata, kerjasama itu penting kerana ugutan dibuat terhadap pemimpin politik berkenaan menggunakan nombor telefon yang berdaftar di negara berkenaan.

    Katanya, selain itu, akaun bank yang digunakan untuk memaksa mangsa membuat pembayaran juga menggunakan akaun bank negara itu.

    “Polis Johor masih menjalankan siasatan berhubung kes ugutan ahlong Singapura terhadap pemimpin MCA Johor baru-baru ini. Kita perlu faham perkara ini bukan mudah kerana ia melibatkan pihak negara luar dan perkara itu memerlukan banyak kaedah dan lapisan untuk disiasat,” katanya.

  • Imigresen berkas warga Pakistan – dalang sindiket dokumen palsu

    Imigresen berkas warga Pakistan – dalang sindiket dokumen palsu

    JABATAN Imigresen menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki menjadi dalang sindiket memalsukan pelbagai dokumen yang diagihkan kepada warga asing di Malaysia.

    Suspek yang berusia 37 tahun itu dikatakan mengenakan bayaran di antara RM50 hingga RM300 bagi menyediakan dokumen palsu termasuk lesen memandu, pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan visa negara asing.

    Lelaki itu menjadikan bilik di sebuah kondominium sebagai makmal memproses dokumen palsu berkenaan sebelum kegiatannya dikesan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan menyerbu lokasi terbabit pada Jumaat lalu.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pemeriksaan di kediaman terbabit menemui set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan negara asing dan lain-lain peralatan yang digunakan dalam aktiviti haram terbabit.

    “Pemeriksaan lanjut turut menemui pelekat-pelekat PLKS, lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak dan disusun rapi dipercayai sedia diserahkan kepada pelanggan.

    “Turut ditemui adalah stok pelekat yang masih kosong dan wang tunai berjumlah RM13,710 yang disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata, susulan tangkapan suspek membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Kelang yang turut disewa untuk kegiatan ini.

    “Pemeriksaan di premis ini menemui cap PLKS dan lain-lain cap rasmi JIM palsu yang digunakan dalam pemalsuan dokumen.

    “Modus operandi suspek adalah mengguna PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,”katanya.

    Menurutnya, suspek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dikesan pihak berkuasa.

    “Sindiket ini dikesan menjalankan kegiatan sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki oleh pelanggan.

    “Bagi lesen memandu, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50. Kegiatan haram ini menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit,” katanya.

    Suspek kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas.

  • Rakyat Malaysia dihukum mati di Singapura

    Rakyat Malaysia dihukum mati di Singapura

    MAHKAMAH Tinggi Singapura menjatuhkan hukuman mati kepada seorang lelaki Malaysia, yang didapati bersalah memiliki serbuk seberat 6.3 kilogram (kg) yang kemudian didapati mengandungi heroin seberat 57.54 gram (g).

    Hakim Audrey Lim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Munusamy Ramarmurth, 39, pada satu prosiding, Rabu lalu.

    Undang-undang Singapura memperuntukkan hukuman mati jika jumlah heroin yang diperdagangkan melebihi 15 g.

    Lim dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada Isnin (semalam) berkata, mahkamah menolak pembelaan tertuduh dalam kes itu.

    Munusamy, yang bekerja di Singapura selama 14 tahun, ditahan pada tengah hari 26 Januari 2018, di dalam bilik pekerja pembersihan di Harbourfront Centre Tower 2, di sini.

    Dia kemudian dibawa ke motosikalnya yang diparkir di kawasan parkir terbuka di Keppel Bay Tower.

    Polis menemukan plastik merah yang mengandungi dadah berkenaan di kotak belakang motosikalnya.

  • Lagi pemimpin MCA Johor jadi sasaran diugut ahlong

    Lagi pemimpin MCA Johor jadi sasaran diugut ahlong

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lagi pemimpin MCA Johor mendedahkan turut menerima ugutan oleh dalang di sebalik ancaman ahlong terhadap Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon.

    Menceritakan perkara itu, Ketua Biro Aduan Awam Pasir Gudang, Lim Thow Siang berkata, dalang sebenar di sebalik ugutan berkenaan adalah seorang lelaki warganegara Singapura yang dikenali dengan nama panggilan ‘Sky’.

    Beliau berkata, dia telah berurusan dengan lelaki yang dianggarkan berusia 30-an itu sejak lebih setahun lalu untuk menyelesaikan masalah dihadapi mangsa, namun hanya menerima ugutan itu, baru-baru ini.

    “Lelaki itu membuat ugutan meminta kami tidak lagi menguruskan mangsa-mangsa yang menjadi sasaran mereka.

    “Dia mengugut melalui panggilan suara dan beritahu akan membakar rumah saya sambil memaklumkan alamat kediaman peribadi saya di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Baru-baru ini, seorang lelaki dipercayai orang upahan ‘Sky’ yang membuat ugutan terhadap Jian Boon iaitu Teng Chee Sing, 34, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai kerana kesalahan berkenaan.

    Sementara itu, ujar Thow Siang, sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu, Biro Aduan Awam MCA telah menerima lebih 50 aduan mangsa ahlong yang majoriti 80 peratus daripadanya membabitkan sindiket ahlong dari Singapura.

    Lim Thow Siang

    “Berdasarkan siasatan kami, sindiket ahlong Singapura itu menyasarkan rakyat Malaysia yang berada di republik itu khususnya atas tujuan kerja.

    “Modus operandi mereka adalah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa namun apabila mangsa ingin memulangkan wang berkenaan, sindiket terbabit meminta dua kali ganda daripada jumlah asal,” ujarnya.

    Katanya, jika mangsa enggan membayar jumlah yang diminta, sindiket itu akan mengugut ahli keluarga mangsa yang berada di negara ini melalui panggilan telefon dan juga tindakan membaling cat.

    Namun tegas Thow Siang, pihaknya akan terus membantu mangsa-mangsa yang menjadi sasaran sindiket ahlong walaupun berdepan ugutan pihak-pihak tertentu.

    “Saya tahu masih ramai individu yang menjadi mangsa ugutan sindiket tetapi takut untuk mendedahkan diri, maka saya mengajak agar lebih ramai lagi tampil membuat laporan polis supaya jenayah ini dapat dihentikan.

    “Saya sendiri sudah membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima dan akan terus bersuara untuk membela mereka yang menjadi mangsa sindiket ini,” jelasnya.

  • Bekas tukang cuci kereta jolok pen dalam kemaluan kanak-kanak dijel 7 tahun

    Bekas tukang cuci kereta jolok pen dalam kemaluan kanak-kanak dijel 7 tahun

    PERBUATAN seorang bekas pencuci kereta memasukkan sebatang pen ke dalam kemaluan seorang kanak-kanak pada 11 tahun lalu menerima padah apabila Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan terhadapnya.

    Lim Ming Soon, 41, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan dihadapan Hakim Mohd. Kafli Che Ali.

    Mahkamah mengarahkan Ming Soon menjalani hukuman penjara bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 11 September tahun lalu.

    Ming Soon mengaku bersalah dengan sengaja melakukan perhubungan seksual dengan memasukkan sebatang pen ke dalam kemaluan kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun tanpa kerelaannya.

    Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Lorong Air Putih di sini pada jam 1 hingga 7 petang antara tahun 2011 hingga 2012.

    Tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

    Sebelum itu, peguam mewakili tertuduh, Mohamad Hamizey Mat Taib memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh telah menjimatkan masa pendakwaan dan mahkamah.

    Mohamad Hamizey berkata, tertuduh telah memberi kerjasama yang baik terhadap pihak polis sepanjang siasatan dilakukan.

    “Anak guam saya meminta mahkamah mengambil kira faktor ini dalam menjatuhkan hukuman,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Nursyuhada Tuan Mamat mahu mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira fakta kes.

  • Tiada gangguan bekalan minyak masak peket 1kg di Pulau Pinang

    Tiada gangguan bekalan minyak masak peket 1kg di Pulau Pinang

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang memaklumkan tidak berlaku keadaan minyak masak peket sekilogram (1kg) terputus bekalan di negeri itu ketika ini seperti dilaporkan akhbar dan menjadi rungutan banyak pihak.

    Menurut Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 24 syarikat pembungkus yang membekalkan 3.434 juta kilogram minyak masak bersubsidi 1kg di Pulau Pinang setiap bulan dan mendapati tidak berlaku gangguan di peringkat pengeluaran dan pengedaran ke pasaran. 

    Jelasnya, sejumlah 1.9 juta kilogram minyak masak bersubsidi 1kg telah diedar ke pasar raya dan peruncit untuk kegunaan domestik di seluruh Pulau Pinang dengan baki berjumlah 1.5 juta kilogram akan diedarkan dalam bulan ini.

    Tambahnya, tiga daripada 24 syarikat pembungkus beroperasi di Georgetown dengan kuota pengeluaran bulanan sebanyak 247,000 kilogram bagi kegunaan pengguna domestik di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

    “Selain dari tiga syarikat di atas, syarikat pembungkus lain yang beroperasi di Seberang Perai, Pulau Pinang turut mengedarkan minyak masak bersubsidi 1kg ke daerah Timur Laut dan Barat Daya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu tambah beliau, merujuk kepada dakwaan had pembelian yang menyukarkan peniaga-peniaga kecil semasa membeli minyak masak subsidi 1kg, perkara tersebut bertujuan memastikan lebih ramai isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan.

    Malah jelasnya, mana-mana peniaga tidak termasuk dalam golongan sasar untuk mendapatkan bekalan minyak bersubsidi 1kg bagi kegunaan perniagaan.

    “Sehubungan itu, pemeriksaan juga telah dijalankan ke atas beberapa premis runcit di kedua-dua daerah di atas mendapati bekalan minyak masak ada di pasaran.

    “Bagaimanapun, isu kekurangan bekalan minyak masak 1kg bersubsidi dibangkitkan kerana keinginan peniaga atau pengusaha makanan untuk membuat pembelian secara pukal atau dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan dan pemantauan kepada rantaian bekalan minyak masak subsidi 1kg akan terus dilaksanakan bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi ada di pasaran untuk kegunaan pengguna domestik.

    Usaha itu juga jelasnya, bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan ke atas subsidi yang diberikan dalam pengeluaran dan pengedaran minyak masak bersubsidi 1kg.

  • Bayi pramatang perlu RM90,000 untuk rawatan jantung

    Bayi pramatang perlu RM90,000 untuk rawatan jantung

    SEORANG bayi pramatang berusia sebulan, Muhammad Habiburrahman Muhamad Arshad di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mempunyai masalah frekuensi pernafasan yang aneh dan cepat memerlukan bantuan orang ramai untuk menjalani pembedahan jantung yang menelan kos RM90,000.

    Muhammad Habiburrahman pernah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah sehari selepas dilahirkan untuk menjalani pembedahan jantung ‘Percutaneous Coronary Intervention’ (PCI) untuk melebarkan setenosis arteri koronari.

    Pembedahan itu bertujuan melanjutkan nyawanya untuk sementara waktu dan kini Muhammad Habiburrahman ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dengan bantuan pernafasan ventilator.

    Menurut Pengerusi One Hope Charity and Welfare Bhd., Datuk Chua Sui Hau, bayi berkenaan dikenal pasti mempunyai beberapa masalah kecacatan jantung dan memerlukan pembedahan segera.

    Katanya, atas nasihat pakar jantung, pembedahan jantung secara ‘arterial switch operation’ (ASO) perlu dijalankan dalam tempoh masa antara tiga hingga empat minggu selepas dilahirkan dengan kos pembedahan dianggarkan RM90,000.

    “Bagaimanapun, bapa kepada Muhammad Habiburrahman iaitu Muhamad Arshad Saib, 44, dan isterinya, Raihanah Khalid, 34, tidak mampu menanggung kos tersebut dan memohon kepada One Hope Charity and Welfare untuk membantu mereka.

    “Bantuan itu bertujuan mengumpul kos perubatan berkenaan selain menguruskan hal rawatan dengan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bapa bayi itu hanya bekerja sebagai penjaja air minuman di Jitra, Kedah dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan manakala ibunya suri rumah.

    “Selain Muhammad Habiburrahman, pasangan itu juga dikurniakan tiga anak perempuan yang berumur antara empat hingga tujuh tahun dan mengikut Muhamad Arshad, mereka sekeluarga jarang melancong atau merantau ke negeri lain kerana kehidupan yang sempit,” katanya.

    Sehubungan itu, mereka yang ingin membantu bayi berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyumbang melalui akaun Public Bank atas nama One Hope Charity and Welfare di nombor 3201428817 atau menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 dan 04-5399212 untuk maklumat lanjut.

  • 1MDB: Jho Low arah Najib jangan cakap banyak

    1MDB: Jho Low arah Najib jangan cakap banyak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak bercakap banyak dengan firma audit KPMG Malaysia sebagai strategi sebelum mesyuarat bersama firma audit itu diadakan.

    Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir, 48, ketika mendedahkan perkara itu berkata, Jho Low berbuat sedemikian dalam e-mel bertajuk “Urgent: Briefing Package for YAB PM” yang dihantarnya kepada bekas perdana menteri itu dan wakil-wakil 1MDB termasuk dirinya sebelum mesyuarat bertarikh 15 Dis 2013 diadakan di kediaman Najib.

    “Dalam e-mel berkenaan, bagi strategi untuk bermesyuarat dengan KPMG, Jho Low mengarahkan Najib agar tidak bercakap banyak dengan KPMG, dan mesti mengungkapkan bahawa Najib telah diterangkan dan mengetahui segala pelaburan dan transaksi di 1MDB dan yakin dengan dokumen yang ada. Jho Low juga mengarahkan agar Najib menyatakan keyakinan beliau terhadap BSI Bank berdasarkan fakta yang diberikan.

    “Mesyuarat itu dibuat kerana pihak KPMG hendak mendengar sendiri pengetahuan Najib berkenaan pelaburan 1MDB sebanyak US$2.3 bilion di luar negara khususnya pelaburan oleh Brazen Sky Limited,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 127 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

    Brazen Sky Limited merupakan syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) yang ditubuhkan pada 12 Julai 2012 bagi tujuan mendapatkan balik dana pelaburan milik 1MDB.

    Ketika menjelaskan mengenai mesyuarat yang diadakan di rumah Najib pada malam 15 Dis 2013, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, beliau mendapati Najib juga menerima e-mel yang sama daripada Jho Low dan perkara yang digariskan oleh Jho Low dalam e-mel tersebut telah dibincangkan oleh Najib dengan Datuk Johan Idris iaitu wakil KPMG.

    Azmi berkata, terdapat juga wakil lain daripada KPMG yang ingin menghadiri perjumpaan tersebut namun Najib tidak membenarkan mereka masuk ke rumahnya.

    Katanya, dalam mesyuarat berkenaan, Johan telah bertanyakan kepada Najib berkenaan pelaburan di Bridge Global Absolute Return Fund SPC dan Najib menjawab bahawa beliau tahu berkenaan pelaburan Brazen Sky Limited di Bridge Global Absolute Return Fund SPC.

    “Dalam mesyuarat ini juga, Najib bertanya kenapa KPMG tetap menimbulkan isu syak wasangka berkenaan aset pendasar pelaburan tersebut sedangkan BSI Bank sendiri sudah menunjukkan penyata pelaburan berkenaan. Najib juga memberitahu KPMG untuk menutup akaun 1MDB sebelum 31 Dis 2013.

    “Selepas mesyuarat berkenaan, KPMG masih tidak menutup laporan kewangan tahun 2013 kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan,” kata Azmi sambil menambah bahawa tidak lama kemudian, KPMG digantikan dengan firma audit Deloitte selepas KPMG ditamatkan kontraknya oleh 1MDB pada akhir tahun 2013.

    Tambah Azmi, walaupun beliau merupakan CFO dalam 1MDB, iaitu audit di bawah bidang kuasanya, namun Jho Low yang telah mengaturkan segala dokumentasi dan tajuk perbincangan kepada Najib untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh KPMG.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

  • Pas Pulau Pinang sokong Kedah hentikan lesen judi, penjualan arak

    Pas Pulau Pinang sokong Kedah hentikan lesen judi, penjualan arak

    BADAN Perhubungan Pas Pulau Pinang menyokong tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menamatkan dan mengehadkan pemberian lesen penjualan arak dan lesen premis perjudian di negeri tersebut bermula tahun hadapan.

    Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, inisiatif Kerajaan Negeri Kedah tersebut merupakan langkah terbaik dalam mengekang dan mengawal isu sosial serta masalah jenayah yang berleluasa melibatkan kumpulan jenayah terancang seperti kongsi gelap yang semakin membarah dalam masyarakat masa ini.

    Sehubungan itu, Pas Pulau Pinang mempersoalkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang disuarakan oleh Timbalan Ketua Menteri ll, Dr. P. Ramasamy yang membantah tindakan itu dengan alasan mengawal hak bukan Islam yang disifatkan sangat beremosi.

    “Berdasarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada sesi lepas, jumlah pusat perjudian dan pusat penjualan arak berlesen dan tidak berlesen amat membimbangkan dan laporan menjelaskan ia mula menjadi industri yang semakin berkembang di negeri Pulau Pinang.

    “Justeru, kami turut menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul mengkaji dan menjadikan tindakan Kerajaan Negeri Kedah ini sebagai langkah awal bagi mengurangkan lesen perjudian di negara ini, seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kelmarin, Kerajaan Negeri Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumumkan tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuat kuasa serta-merta.

    Muhammad Sanusi berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih besar kepada penduduk.

    Dalam pada itu tambah Muhammad Fauzi, Pas Pulau Pinang sekali lagi menegaskan bersama-sama dan menyokong usaha serta tindakan Kerajaan Negeri Kedah demi kepentingan Keluarga Malaysia dan masa depan generasi pemuda di masa hadapan.