Category: Semasa

  • Selepas 9 tahun melarikan diri, Datuk Paiman akhirnya meringkuk 13 tahun di penjara

    Selepas 9 tahun melarikan diri, Datuk Paiman akhirnya meringkuk 13 tahun di penjara

    ‘SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya ke tanah juga.’

    Mungkin perumpamaan ini sesuai digunakan untuk satu kes menarik yang dibicarakan di mahkamah hari ini apabila seorang ahli perniagaan yang pernah melarikan diri dari dikenakan hukuman penjara, akhirnya berjaya juga diberkas polis.

    Tidak diketahui punca ahli perniagaan itu kembali ke Malaysia selepas sekian lama di negara jiran, beliau yang menggunakan pasport Indonesia ditahan polis selepas ujian biometrik mendapati adalah ‘si pesalah’ yang pernah melarikan diri selepas dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

    Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan ahli perniagaan tersebut, Datuk Paiman Shakimon menjalani hukuman penjara 13 tahun yang pernah dijatuhkan terhadapnya sebelum ini.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memerintahkan Paiman, 62, yang hadir ke mahkamah menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadapnya yang disabitkan kesalahan menipu dan memalsukan dokumen.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh yang telah menghilangkan diri selama sembilan tahun berjaya diberkas polis.

    “Tertuduh didapati masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia. Hasil semakan menggunakan sistem biometrik cap jarinya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan dia sememangnya Paiman bin Shakimon,” katanya.

    Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria menafikan dia adalah ‘Paiman Shakimon’.

    Muhammad Jamil menolak penafian tertuduh itu atas alasan keputusan cap jari JPN jelas menunjukkan identiti sebenarnya.

    Paiman sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 13 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadapnya pada 2011 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta.

    Bagaimanapun, ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, lelaki itu menghilangkan diri dan pada 20 Julai 2012, mahkamah mengeluarkan waran tangkap serta waran pemenjaraan juga dikeluarkan terhadapnya pada 11 Oktober tahun sama kerana gagal hadir pada prosiding rayuannya.

    Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

    Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. – Bernama

  • Tanam sendiri sayur elak kenaikan harga melambung

    Tanam sendiri sayur elak kenaikan harga melambung

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan pengguna di seluruh negara menanam sayur-sayuran sendiri bagi mengurangkan beban kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini.

    Perkara itu berikutan harga sayur-sayuran telah meningkat setiap hari secara beransur-ansur dan harga yang melambung tinggi itu dijangka bertahan untuk tempoh agak lama.

    Malah, Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, Persatuan Penjual Sayur-sayuran juga telah menegaskan keadaan kenaikan harga sayur itu mungkin berterusan sehingga Tahun Baharu Cina akan datang.

    Jelas beliau, menanam sendiri sayur di rumah boleh menjimatkan kos dan mudah dengan pengguna boleh bermula dengan menanam sayur-sayuran yang biasa dimakan.

    Subbarow menanam sendiri sayur-sayuran di rumah tidak memerlukan ruang yang besar

    Apatah lagi katanya, menanam sendiri sayur-sayuran di rumah tidak memerlukan ruang yang besar.

    “Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkong, kalian, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni.

    “Barangan rumah yang biasa digunakan seperti karton susu, jus dan botol minuman serta bekas kecil boleh digunakan untuk tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang lebih kecil seperti sayur-sayuran berdaun.

    “Bagi tumbuhan yang mempunyai akar yang lebih besar seperti bendi dan terung, tin biskut bekas sejuk, botol minyak dan air lima liter boleh digunakan dengan mudah sebagai media tanam.

    “Dengan cahaya matahari yang betul, air dan kompos sesiapa sahaja boleh menanam dan menuai sayur-sayuran walaupun di tempat yang kecil,” katanya.

    Tambah beliau, CAP mengadakan latihan berkala pertanian bandar untuk mereka yang berminat untuk belajar terutamanya suri rumah menanam sayur-sayuran sendiri di rumah.

    Selain itu katanya, CAP juga mengeluarkan baja vermi dan penggalak pertumbuhan tumbuhan dan tanah yang diperkaya dengan harga yang berpatutan bagi mereka yang ingin memulakan berkebun.

    Subbarow menunjukkan bukan sahaja sayur daun tetapi juga serai ditanam di kawasan Pejabat CAP

    Tambah beliau, panduan berkebun di rumah dan pengurusan perosak yang ringkas untuk pelajar baharu juga tersedia dijual di pejabat CAP.

    “Memulakan taman rumah sendiri adalah berbaloi kerana akan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga untuk menikmati sayur-sayuran segar dan bebas kimia.

    “Mereka yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat tinggi yang mempunyai ruang terhad juga boleh mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi mereka dapat memastikan tanaman mereka mendapat cahaya matahari,” katanya.

    Mereka yang berminat untuk menyertai latihan pertanian semula jadi boleh mendaftar di pejabat CAP atau menghubungi talian 04-8299511 atau Subbarow di 012-5374899.

  • Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut dalam tanah runtuh

    Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut dalam tanah runtuh

    DUA lelaki disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley di Ipoh hari ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata mangsa yang terkorban ialah pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, manakala seorang lagi adalah pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang belum dikenal pasti identitinya.

    Beliau berkata pada masa ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang giat membawa keluar mangsa daripada kenderaan masing-masing dalam runtuhan itu dan akan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

    Mior Faridalathrash berkata pemandu lori sayur itu sedang dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Cameron Highlands manakala pemandu MPV terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Pulau Pinang.

    “Tiada penumpang lain di dalam lori dan MPV yang terperangkap dalam runtuhan itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian .

    Terdahulu, pasukan penyelamat berjaya mengesan kepala lori dan berusaha menarik pintu lori itu serta melakukan kerja mengangkat timbunan tanah menggunakan jengkaut selain menggunakan dron bagi melihat pergerakan tanah dari pandangan atas.

    JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.44 tengah hari dan tiga kenderaan didapati tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan termasuk sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti jenisnya.

    Mior Faridalathrash berkata orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif di Jalan Persekutuan FT059 Tapah-Ringlet yang dibuka sepenuhnya untuk semua kenderaan bermula pukul 5 petang tadi untuk melakukan perjalanan ke Cameron Highlands.

    Tinjauan Bernama mendapati ahli keluarga mangsa terlibat turut tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.30 malam walaupun dalam keadaan hujan renyai.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata hujan yang berterusan dipercayai menyebabkan berlaku hakisan tanah di kawasan cerun potong di laluan berkenaan.

    “Runtuhan tanah berlaku sepanjang 100 meter dan laluan utama ke Cameron Highlands itu tidak selamat untuk semua jenis kenderaan dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi.

    “Bagaimanapun, punca tanah runtuh masih dalam siasatan dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan pihak konsesi jalan persekutuan,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Kampung Pawong Ismail Baloh, 51, berkata kejadian tanah runtuh itu disedari pada kira-kira pukul 2 petang semasa dia dalam perjalanan untuk ke Simpang Pulai.

    “Saya nampak ada dua kenderaan bomba naik sebelum orang kampung cemas memberitahu tentang kejadian tanah runtuh ini,” kata Ismail.

  • Dua pengasuh ditahan baling bungkusan mampat pada bayi

    Dua pengasuh ditahan baling bungkusan mampat pada bayi

    POLIS menahan dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pengasuh dipercayai membaling sebuah objek disyaki bungkusan mampat pada bayi asuhan di sebuah taska di Bayan Baru, dekat sini.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata dua wanita berumur 20-an yang juga pengasuh di taska itu ditahan hari ini untuk siasatan lanjut selepas video berdurasi 44 saat berhubung kejadian tersebur tular dalam laman sosial sejak semalam.

    “Video kejadian tersebut tular selepas dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook iaitu ibu kepada bayi (lelaki) dan ekoran itu kami menerima dua laporan polis berhubung insiden berkenaan sebelum menjalankan siasatan lanjut.

    “Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 6.45 petang, 24 Nov lepas namun videonya baru tular sejak semalam selepas ibu mangsa memuat naik di Facebook miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarul Rizal berkata dua wanita yang ditahan itu direman untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 3(1) Akta Kanak Kanak 2001.

    Terdahulu, video kejadian dipercayai berlaku di sebuah taska di Bayan Baru itu mendapat perhatian orang ramai dan menerusi hantaran dipercayai dimuat naik oleh ibu bayi itu, seorang wanita dilihat membaling objek ke atas bayi ketika mangsa sedang merangkak.

  • Penjawat awam Kelantan terima bantuan khas RM1,000 – Ahmad Yakob

    Penjawat awam Kelantan terima bantuan khas RM1,000 – Ahmad Yakob

    KERAJAAN Kelantan mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada penjawat awam negeri itu manakala RM500 bagi kakitangan lantikan politik sebagai menghargai jasa dan komitmen mereka.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata bagi lantikan politik, bantuan khas tersebut termasuk kepada penghulu dan kakitangan Bahagian Dakwah Halaqat.

    “Guru al-Quran dan fardu ain di bawah Bahagian Halaqat pula menerima RM250,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini. 

    Ahmad berkata bagi memacu pertumbuhan ekonomi, kerajaan Kelantan memperuntukkan RM68.65 juta untuk pelaksanaan beberapa projek mega.

    Beliau berkata antara projek tersebut ialah Madinah As-Salam di Pasir Tumboh melibatkan kos sebanyak RM50.45 juta, Madinah Ramadhan di Tunjong (RM15 juta) dan Infrastruktur Bandar Perabot di Gua Musang (RM3.2 juta) manakala RM8.2 juta diperuntukkan untuk projek kecil dan sederhana.

    “Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.5 juta untuk Program Khas Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Ekonomi Jajahan dan RM3.7 juta diperuntukkan untuk Program Usahawan Berdikari termasuk program Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan (MPUK),” katanya.

    Sementara itu, Ahmad membentangkan Belanjawan 2022 bertemakan “Kelantan Maju Rakyat Sejahtera” dengan unjuran defisit lebih tinggi iaitu RM90.49 juta.

    Beliau berkata, jumlah defisit tersebut meningkat sebanyak RM24.47 juta berbanding Belanjawan 2021 sebanyak RM66.02 juta.

    “Walaupun setiap tahun anggaran belanjawan negeri mencatat defisit, namun untuk empat tahun berturut-turut, kerajaan negeri telah mencatatkan perbelanjaan sebenar yang surplus (lebihan).

    “Pada 2017, surplus sebanyak RM38.82 juta, 2018 surplus RM40.46 juta, 2019 surplus RM445.69 juta dan pada 2020 surplus sebanyak RM45.44 juta,” katanya.

    Ahmad berkata Belanjawan 2022 memperuntukkan sejumlah RM1.51 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat yang melibatkan enam teras iaitu Transformasi Kewangan, Memacu Ekonomi, Pendidikan dan Agama, Kesejahteraan Rakyat, Perlindungan Sosial dan Kebajikan.

    Beliau berkata anggaran hasil negeri pada tahun hadapan itu dijangka sebanyak RM991.74 juta manakala anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.08 bilion berbanding RM1.09 bilion pada 2021.

    “Peruntukan pembangunan bagi 2022 berjumlah RM428.3 juta yang dibiayai di bawah peruntukan negeri dan sumber pinjaman,” katanya.  

    Ahmad berkata hasil terimaan daripada agensi kerajaan menjadi penyumbang terbesar berjumlah RM339.65 juta (34.25 peratus) daripada keseluruhan jumlah manakala hasil tanah  menjadi penyumbang kedua terbesar dengan RM317.59 juta (32.02 peratus).

    “Terimaan lain-lain menjadi penyumbang ketiga terbesar dengan jumlah RM181.62 juta (18.31 peratus) dan hasil hutan menjadi penyumbang keempat terbesar dengan sumbangan sebanyak RM97 juta (9.78 peratus) daripada keseluruhan jumlah hasil,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad berkata dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Kelantan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.7 peratus, melepasi paras nasional sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

    Persidangan DUN bersambung Ahad ini.

  • Penantian 20 tahun Orang Asli dapat bekalan elektrik sempurna berakhir

    Penantian 20 tahun Orang Asli dapat bekalan elektrik sempurna berakhir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah lebih 70 penduduk Kampung Orang Asli Berasau di Kahang, Kluang apabila secara rasmi mendapat bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar hari ini, selepas lebih 20 tahun menantikannya.

    Seramai 17 keluarga yang berusia empat hingga 70 tahun di kampung itu sebelum ini bergantung dengan penjana elektrik menggunakan diesel bagi mendapatkan bekalan elektrik selama dua jam setiap hari.

    Kehidupan mereka berubah menerusi program Sentuhan Harapan MEKAR Johor@Kluang diusahakan Yayasan Petronas yang membawa ‘cahaya’ untuk 11 rumah, dua rumah adat dan sebuah balai raya di kampung itu, mereka dapat menikmati bekalan elektrik secara konsisten.

    Yayasan Petronas mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor, penduduk kampung itu dan Yayasan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dalam menjayakan dan merasmikan program tersebut, hari ini.

    Menurut Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria, program itu bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi penduduk kampung melalui penyediaan bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar.

    “Kampung Orang Asli Berasau yang terletak 50 kilometer dari bandar Kluang ini merupakan satu-satunya penempatan di Johor yang masih tidak mempunyai akses kepada rangkaian grid nasional.

    Vidyananthan (tengah) bersama-sama delegasi melawat rumah adat yang telah dipasang dengan sistem solar selepas Sentuhan Harapan MEKAR Johor@Kluang di Kampung Orang Asli Berasau, Kahang, Kluang, hari ini

    “Di bawah insiatif solar ini, setiap rumah akan menerima bekalan elektrik asas daripada sumber tenaga solar, bateri boleh dicas semula dan mampu bertahan tiga hari sewaktu musim hujan selain lampu LED, kipas dinding dan beberapa port USB untuk mengecas telefon.

    “Dengan adanya bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar, setiap isi rumah boleh mendapatkan penjimatan sebanyak RM450 setiap bulan, sekali gus mengurangkan bebanan kewangan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program itu.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis dan Tok Batin kampung itu, Sari Achu.

    Sazli berkata, komuniti kampung tersebut sudah diajar dan dilatih untuk melakukan penyelenggaraan asas pada panel solar untuk memastikan kecekapan dan kemampanannya.

    Selain itu ujarnya, sistem tenaga solar tersebut juga telah diperiksa dan disahkan oleh pakar teknikal untuk tujuan keselamatan.

    Tambahnya, usaha di bawah Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) itu merupakan sebahagian tumpuan pembangunan dan kesejahteraan Yayasan Petronas, selari agenda kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

  • Polis cekup 42 PATI baru mendarat dalam lori

    Polis cekup 42 PATI baru mendarat dalam lori

    SERAMAI 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat sebelum dibawa dalam sebuah lori berpenutup penuh ditahan polis di tepi jalan besar Parit 3, Sungai Burong, Kuala Selangor, awal pagi ini.

    Semua PATI berusia lingkungan 40-an ditahan pada pukul 2 pagi ketika baru sahaja mendarat dengan mengikut jalan tidak diwartakan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, PATI tersebut terdiri daripada 34 lelaki dan lapan wanita.

    “Mereka dibawa menaiki sebuah lori yang disyaki berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun katanya, pemandu lori melarikan diri dan polis merampas kenderaan terbabit.

    “Semua Pati dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom),” katanya.

  • Sultan Johor zahir penghargaan bantuan Singapura semasa Covid-19

    Sultan Johor zahir penghargaan bantuan Singapura semasa Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa terima kasih kepada Singapura atas segala bantuan yang dihulurkan ketika tempoh pandemik Covid-19 di negeri itu.

    Perkara tersebut disuarakan baginda yang berkenan menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan di Johor Bahru hari ini.

    Menerusi pertemuan itu, Balakrishnan menyampaikan surat daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang mempersilakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membuat lawatan rasmi ke negara itu.

    “Saya gembira dapat berjumpa dengan Balakrishnan setelah sekian lama, akibat pandemik ini. Johor amat berterima kasih kepada Singapura atas segala bantuan yang dihulurkan ketika tempoh ini.

    “Apa-apa yang berlaku kepada kita memberi kesan kepada Singapura, begitu juga sebaliknya. Justeru, adalah amat penting untuk hubungan baik antara kita sentiasa dijaga dan dipelihara,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO) selepas pertemuan itu.

    Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

    Sultan Ibrahim menerima surat disampaikan Balakrishnan daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, mempersilakan baginda untuk membuat lawatan rasmi ke negara jiran itu

    Untuk rekod, Singapura menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan negeri Johor.

    Sebelum ini, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lalu.

    Selain itu, pada 28 Jun lalu, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan sebanyak

    500,000 pelitup muka dan 1,050 perkakas ventilator Non Invasive (BIPAP) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

  • Positif Covid-19: MRSM Pendang dinasihatkan henti operasi

    Positif Covid-19: MRSM Pendang dinasihatkan henti operasi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menasihatkan supaya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang menghentikan operasinya selama tiga hari bermula esok setelah tiga guru di situ disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo, ketiga-tiga guru tersebut kini diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO).

    Selain itu katanya, 30 lagi guru telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan turut diarahkan menjalani HSO.

    “Nasihat untuk menghentikan operasi itu dikeluarkan bagi tujuan sanitasi dan siasatan.

    “Dua daripada guru yang positif itu tinggal di taman perumahan manakala seorang lagi tinggal di kuarters MRSM tersebut,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Beliau memaklumkan, kes positif melibatkan guru tersebut dikesan antara 26 November lalu hingga hari ini.

    “Walaupun MRSM tersebut tidak beroperasi untuk tempoh tiga hari ini, namun para pelajarnya tetap tinggal di asrama dan tidak pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

    Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman mengesahkan setakat ini tiada pelajar dikesan positif.

    “Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan Covid-19 di sekolah tersebut.

    “Setakat ini siasatan lanjut sedang dijalankan bagi pasti kontak rapat serta punca penularan tersebut,” katanya.

    Tambahnya, tiga guru yang disahkan positif itu sudah menerima vaksinasi lengkap dan keadaan mereka juga stabil.

    Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman memaklumkan, setakat ini tiada pelajar di sekolah berkenaan didapati positif.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan saya harap orang ramai tidak bimbang kerana JKN sudah pun mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan Covid-19 di sekolah itu.

    “Mereka yang disahkan positif itu sudah pun menerima dua dos suntikan vaksin dan keadaan mereka tidak teruk,” katanya.

  • Rayuan kes SRC: Najib mohon kemuka bukti baharu

    Rayuan kes SRC: Najib mohon kemuka bukti baharu

    DATUK Seri Najib Tun Razak memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd.

    Bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan tersebut semalam melalui Tetuan Shafee & Co, hanya seminggu sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuannya yang dijadualkan pada 8 Dis.

    Menerusi notis usul yang diperoleh media, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes berkaitan SRC itu serta keterangan mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

    Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Najib berkata permohonan itu dibuat olehnya tanpa berlengah-lengah sebaik sahaja dimaklumkan dan dapat mengumpul semua maklumat dan dokumen yang diperlukan.

    Najib, 68, mendakwa maklumat sedemikian tidak ada atau tidak diperoleh semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi dan semasa Mahkamah Rayuan mendengar rayuan berkenaan.

    Najib berkata, beliau membuat permohonan itu berikutan kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov lepas, mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antaranya dari Singapura.

    “Dinyatakan bahawa, Kerajaan Singapura telah memulangkan sejumlah US$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki oleh Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

    “Pada Oktober dan Disember 2020, artikel diterbitkan oleh portal berita dalam talian yang melaporkan Zeti dan keluarganya telah menerima berjuta-juta dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low termasuk dana yang dikaitkan dengan 1MDB,” katanya.

    Najib mendakwa, Tawfiq dan dua anak lelakinya iaitu Alif Ayman Aziz dan Abdul Aziz telah menandatangani akuan berkanun yang menyatakan bahawa mereka adalah pemilik benefisial akaun CEIL dan US$15.4 juta telah dihantar dan dipersetujui kepada permohonan Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD) supaya ia dipindahkan ke akaun 1MDB.

    Dana itu dikatakan daripada Iron Rhapsody Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands yang dikendalikan oleh Tawfiq dan seorang anak lelakinya.

    Afidavit Najib menyatakan bahawa antara 2008 dan 2009, Iron Rhapsody menerima US$16.219 juta daripada syarikat-syarikat milik Jho Low hasil daripada Nota Jangka Sederhana Islam 1MDB sebanyak RM5 bilion yang dijual pada 2009.

    Najib mendakwa bahawa pada 20 Jan 2021, peguamnya telah menulis surat kepada Monetary Authority Singapore (MAS) dan CAD untuk mendapatkan pengesahan dan dokumentasi berkaitan akaun CEIL, Iron Rhapsdoy Ltd, Jho Low serta Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC) dan prosiding undang-undang yang diambil terhadap penyitaan harta kepunyaan mereka.

    “Beberapa e-mel susulan turut dihantar dan dibalas. Akhirnya, pada 24 Mac tahun ini, peguam saya menerima e-mel daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial yang menolak permohonan peguam saya. Di sebalik usaha di atas, saya tidak dapat mendapatkan bukti yang kini telah disahkan secara boleh dipercayai melalui kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov tahun ini.

    “Saya benar-benar percaya bahawa bukti yang telah ditemui dan disahkan secara boleh dipercayai mendedahkan keterlibatan Zeti dalam rancangan Jho Low. Saya percaya bahawa peranan Zeti dalam memudahkan Jho Low menyebabkan tiada amaran atau isu luar aturan ditimbulkan mengenai perkara berkaitan urus niaga dalam akaun saya antara 2011 dan 2015 dan seterusnya menyediakan cara untuk Jho Low melakukan manipulasinya,” kata Najib.

    Oleh itu, beliau memohon Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan ini sebelum menyampaikan keputusannya.

    Pada 23 Nov, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan Najib dan pada hari yang sama beliau memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya itu kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Dis.

    Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu. – BERNAMA