Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah lebih 70 penduduk Kampung Orang Asli Berasau di Kahang, Kluang apabila secara rasmi mendapat bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar hari ini, selepas lebih 20 tahun menantikannya.

Seramai 17 keluarga yang berusia empat hingga 70 tahun di kampung itu sebelum ini bergantung dengan penjana elektrik menggunakan diesel bagi mendapatkan bekalan elektrik selama dua jam setiap hari.

Kehidupan mereka berubah menerusi program Sentuhan Harapan MEKAR [email protected] diusahakan Yayasan Petronas yang membawa ‘cahaya’ untuk 11 rumah, dua rumah adat dan sebuah balai raya di kampung itu, mereka dapat menikmati bekalan elektrik secara konsisten.

Yayasan Petronas mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor, penduduk kampung itu dan Yayasan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dalam menjayakan dan merasmikan program tersebut, hari ini.

Menurut Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria, program itu bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi penduduk kampung melalui penyediaan bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar.

“Kampung Orang Asli Berasau yang terletak 50 kilometer dari bandar Kluang ini merupakan satu-satunya penempatan di Johor yang masih tidak mempunyai akses kepada rangkaian grid nasional.

Vidyananthan (tengah) bersama-sama delegasi melawat rumah adat yang telah dipasang dengan sistem solar selepas Sentuhan Harapan MEKAR [email protected] di Kampung Orang Asli Berasau, Kahang, Kluang, hari ini

“Di bawah insiatif solar ini, setiap rumah akan menerima bekalan elektrik asas daripada sumber tenaga solar, bateri boleh dicas semula dan mampu bertahan tiga hari sewaktu musim hujan selain lampu LED, kipas dinding dan beberapa port USB untuk mengecas telefon.

“Dengan adanya bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar, setiap isi rumah boleh mendapatkan penjimatan sebanyak RM450 setiap bulan, sekali gus mengurangkan bebanan kewangan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis dan Tok Batin kampung itu, Sari Achu.

Sazli berkata, komuniti kampung tersebut sudah diajar dan dilatih untuk melakukan penyelenggaraan asas pada panel solar untuk memastikan kecekapan dan kemampanannya.

Selain itu ujarnya, sistem tenaga solar tersebut juga telah diperiksa dan disahkan oleh pakar teknikal untuk tujuan keselamatan.

Tambahnya, usaha di bawah Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) itu merupakan sebahagian tumpuan pembangunan dan kesejahteraan Yayasan Petronas, selari agenda kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here