SERAMAI 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat sebelum dibawa dalam sebuah lori berpenutup penuh ditahan polis di tepi jalan besar Parit 3, Sungai Burong, Kuala Selangor, awal pagi ini.

Semua PATI berusia lingkungan 40-an ditahan pada pukul 2 pagi ketika baru sahaja mendarat dengan mengikut jalan tidak diwartakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, PATI tersebut terdiri daripada 34 lelaki dan lapan wanita.

“Mereka dibawa menaiki sebuah lori yang disyaki berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori melarikan diri dan polis merampas kenderaan terbabit.

“Semua Pati dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here