POLIS menahan dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pengasuh dipercayai membaling sebuah objek disyaki bungkusan mampat pada bayi asuhan di sebuah taska di Bayan Baru, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata dua wanita berumur 20-an yang juga pengasuh di taska itu ditahan hari ini untuk siasatan lanjut selepas video berdurasi 44 saat berhubung kejadian tersebur tular dalam laman sosial sejak semalam.

“Video kejadian tersebut tular selepas dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook iaitu ibu kepada bayi (lelaki) dan ekoran itu kami menerima dua laporan polis berhubung insiden berkenaan sebelum menjalankan siasatan lanjut.

“Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 6.45 petang, 24 Nov lepas namun videonya baru tular sejak semalam selepas ibu mangsa memuat naik di Facebook miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Rizal berkata dua wanita yang ditahan itu direman untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 3(1) Akta Kanak Kanak 2001.

Terdahulu, video kejadian dipercayai berlaku di sebuah taska di Bayan Baru itu mendapat perhatian orang ramai dan menerusi hantaran dipercayai dimuat naik oleh ibu bayi itu, seorang wanita dilihat membaling objek ke atas bayi ketika mangsa sedang merangkak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here