Category: Semasa

  • CAP kesal Sungai Muda dicemari sisa buangan

    CAP kesal Sungai Muda dicemari sisa buangan

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera membersihkan bahan buangan yang mencemarkan Sungai Muda dekat Permatang Bendahari di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati timbunan bahan buangan terutama bekas plastik yang terapung di permukaan sungai itu menyebabkan kawasan persekitarannya kelihatan kotor.

    Jelasnya, CAP kesal kerana Sungai Muda merupakan sumber utama bekalan air bagi kegunaan penduduk-penduduk di negeri Kedah dan Pulau Pinang.

    “Jika keadaan ini berterusan bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti air sungai tersebut tetapi juga menjadi tempat nyamuk membiak yang boleh mencetuskan wabak penyakit.

    “Amat membimbangkan juga jika sisa buangan tersebut mengandungi toksik, pasti akan memberi kesan lebih buruk ke atas alam sekitar, hidupan sungai dan laut serta kesihatan manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohideen, CAP percaya jika bahan buangan itu dibiarkan akan turut mencemarkan pantai dan laut berhampiran sekali gus mengganggu aktiviti nelayan serta menjejaskan mata pencarian mereka.

    Justeru katanya, CAP berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan dan memberi perhatian serius terhadap masalah itu di samping mengambil tindakan berkesan supaya kejadian serupa tidak berulang.

    “Pemantauan yang berterusan perlu dilakukan dan tindakan undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan tegas tanpa memberi pertimbangan kepada mereka yang melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta yang sedia ada,” katanya.

    Dalam masa kata beliau, CAP meminta bahan pencemar itu dilupuskan di kawasan selamat daripada sebarang ancaman ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

    “Pihak berkenaan juga perlu mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil terhadap masalah ini kepada umum,” katanya.

  • Isu HSR KL-Johor Bahru dijangka dibangkitkan Dewan Rakyat hari ini

    Isu HSR KL-Johor Bahru dijangka dibangkitkan Dewan Rakyat hari ini

    ISU mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.

    Guan Eng ingin tahu sama ada projek HSR akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan HSR KL-Singapura, anggaran kos bagi kedua-dua projek serta sekiranya rundingan dengan Singapura dapat memastikan harga asal projek sebanyak RM100 bilion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.

    Pada sesi sama, Menteri Kewangan pula diminta menyatakan rasional perintah baharu Jabatan Kastam pada tahun depan yang mewajibkan kedai kopi dan restoran memohon lesen arak untuk menjual bir atau stout kepada bukan Islam sehingga mengganggu amalan hidup dan perniagaan kumpulan itu.

    Soalan itu diajukan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) yang turut ingin tahu bilangan perniagaan yang terjejas, fi lesen berkaitan, jumlah yang boleh dikutip serta hukuman terhadap mereka yang ingkar.

    Selesai sesi itu, tumpuan dijangka terarah pada sesi soal jawab dengan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang bertanyakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli sekiranya kerajaan bersedia membenarkan pengeksportan pasir keluar negara terutama bagi projek tebatan banjir di muara sungai.

    Sementara itu, Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) memohon penjelasan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berhubung pelan strategik untuk meremajakan sektor pertanian agar dapat menarik minat generasi belia dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.

    Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.

    Politik kepartian panaskan Dewan Rakyat Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini. – Bernama

  • Kronologi kes Najib melibatkan dana SRC International

    Kronologi kes Najib melibatkan dana SRC International

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pecah amanah (CBT), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Berikut adalah kronologi kes berkenaan.

    4 Julai 2018 – Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    8 Ogos 2018 – Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

    3 April 2019 – Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.

    27 Ogos, 2019 – Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 orang saksi.

    11 Nov 2019 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

    3 Dis 2019 – Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.

    11 Mac 2020 – Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.

    28 Julai 2020 – Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan.

    19 Okt 2020 – Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

    5 April 2021 – Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di Mahkamah Rayuan.

    18 Mei 2021 – Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 15 hari.

    23 Nov 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Dis.

    24 Nov 2021 – Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.

    2 Dis 2021 – Najib Tun Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

    3 Dis 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.

    7 Dis 2021 – Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Dis berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

    8 Dis 2021 – Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin.

    Peguam utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan hari ini. – BERNAMA

  • Malaysia ambil serius kepentingan pembangunan infrastruktur

    Malaysia ambil serius kepentingan pembangunan infrastruktur

    MALAYSIA mengambil serius terhadap kepentingan pembangunan infrastruktur termasuk capaian internet kepada masyarakat luar bandar dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, aspek pembangunan ekonomi luar bandar menjadi elemen penting dalam pemulihan masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

    “Ini termasuk pengenalan dan latihan kepada penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian, pemerkasaan latihan dalam ekonomi digital, kerjasama dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan luar bandar selain pemerkasaan kepimpinan belia dan wanita luar bandar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sempena Persidangan African-Asian Rural Development Organization (The 20th Conference of AARDO) secara dalam talian hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

    AARDO
    Peserta Persidangan AARDO hari ini.

    Persidangan tahunan di peringkat Menteri ini diadakan bagi membincangkan isu-isu penbangunan luar bandar dan hubungan kerjasama dalam kalangan negara anggota AARDO dari benua Afrika dan Asia.

    Pada persidangan kali ini, Malaysia turut menyerahkan jawatan Pengerusi AARDO kepada Kerajaan Ghana selepas menerajui pertubuhan itu selama tiga tahun mulai 2018 sehingga 2021.

    Sepanjang tempoh sebagai Pengerusi AARDO, Kerangka Pelan Strategik 2021 hingga 2030 telah diperkenalkan oleh Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa beliau selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika mempengerusikan Persidangan AARDO Ke-19 pada tahun 2018 yang telah diadakan di Kuala Lumpur.

    Selain itu, seramai 2,700 orang peserta telah terlibat dalam aktiviti pembangunan sumber manusia seperti kursus dan latihan, perkongsian pakar dan juga khidmat nasihat.

    AARDO juga turut memperkenalkan latihan secara atas talian selepas wabak COVID-19 melanda dunia.

    “AARDO boleh memainkan peranan lebih aktif untuk membantu negara-negara ahli dalam usaha pemulihan pasca COVID-19,”k ata Mahdzir.

  • Hujah ‘derma Arab’ tidak dapat dipertahankan – Hakim

    Hujah ‘derma Arab’ tidak dapat dipertahankan – Hakim

    MAHKAMAH Rayuan berpandangan dakwaan resit derma daripada keluarga diraja Arab Saudi adalah bukti yang tidak dapat dipertahankan dalam perbicaraan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

    Memetik laporan Malaysiakini, dalam penghakiman yang dibaca hari ini, panel hakim berkata, ini kerana bukti menunjukkan RM42 juta berasal daripada SRC International dan berakhir di akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Keduanya, dakwaan derma Arab yang masuk dan keluar dari akaun perayu sekitar 2013 adalah sebelum RM42 juta dari SRC ke akaun bank perayu.

    “Yang ketiga, dakwaan kemasukan (tranche) kedua daripada derma Arab pada 2014 berjumlah kira-kira RM49 juta sahaja, termasuk RM5 juta yang tiada kaitan dengan dakwaan derma Arab, yang telah habis digunakan kecuali kira-kira RM6 juta, adalah sebelum kemasukan RM42 juta ke dalam akaun perayu dari SRC.

    “Bukti menunjukkan yang sejak akhir 2014 hingga awal 2015, kira-kira RM136 juta telah digunakan oleh perayu walau beliau percaya hanya RM49 juta yang masuk, menurut (apa yang didakwa sebagai) surat Arab keempat.

    “Maka, kami setuju dengan hujah pendakwa yang bijaksana yang keadaan berhubung surat Arab keempat jelas menunjukkan yang ia adalah palsu dan perayu tidak sejujurnya percaya yang RM49 juta datang daripada keluarga diraja Arab,” kata para hakim.

    Dakwaan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi itu merupakan penjelasan utama Najib terhadap jumlah wang dalam akaunnya antara 2011 dan 2015.

    Ketika perbicaraan, pihak pendakwaan berhujah yang Najib menerima RM42 juta daripada tiga syarikat – Gandingan Menteri Sdn Bhd, Ihsan Perdana Sdn Bhd, dan Putra Perdana Construction Snd Bhd – yang mendapat wang daripada SRC International.

    SRC International ditubuhkan pada 2011 dan sepatutnya terlibat dalam pelaburan berkaitan kepentingan strategik, seperti tenaga dan sumber asli.

    Pada masa itu, Najib menjadi penasihat emeritus menerusi kedudukannya sebagai Perdana Menteri. SRC International kemudian meyakinkan mesyuarat Kabinet, yang dipengerusikan Najib, untuk menjamin pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

    Setakat ini, SRC International tidak menunjukkan sebarang pulangan.

    Panel hakim Mahkamah Rayuan juga menyangkal hujah pembelaan Najib yang beliau tidak tahu RM42 juta tersebut adalah milik SRC International dan dia telah ditipu oleh Jho Low dan beberapa pihak lain.

    “Namun, seperti yang disentuh oleh hakim perbicaraan yang bijaksana, bukti menunjukkan perayu ada pengetahuan yang memadai berkenaan status akaun banknya pada masa itu, atau daripada pengetahuan dan niat tidak jujur yang boleh disimpulkan, seperti yang disebut tadi, jelas menindakkan hujah ini,” kata mereka.

    Panel hakim berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah mengendalikan perbicaraan dengan wajar, dalam membuat pertimbangan terhadap bukti tersebut.

    “Selepas berbuat demikian, hakim perbicaraan yang bijaksana mendapati, dan bagi kami dengan agak tepat, yang tiga pertuduhan pecah amanah jenayah telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

    “Maka, kami tidak mendapati ada sebarang kesilapan yang boleh dirayu berkaitan hakim perbicaraan yang bijaksana yang memerlukan campur tangan (intervention) mahkamah rayuan,” kata mereka lagi.

    Panel hakim ialah Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

    Pada Julai tahun lalu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib bagi kesemua tujuh pertuduhan berkaitan aliran RM42 juta daripada SRC International ke akaun peribadinya.

    Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu.

    Susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, Najib berkata, beliau akan membuat rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

  • Najib belanja, tak pertikai deposit RM42 juta – Hakim

    Najib belanja, tak pertikai deposit RM42 juta – Hakim

    DATUK Seri Najib Tun Razak tidak pernah membangkitkan sebarang aduan kepada Ambank bahawa RM42 juta telah dikreditkan secara silap dalam akaunnya, sebaliknya terus menerima dan menggunakan dana berkenaan, kata Mahkamah Rayuan.

    Hakim Abdul Karim Jalil, berkata tidak pernah ditunjukkan juga bahawa penggunaan dana itu mempunyai apa-apa kaitan dengan SRC International atau perniagaannya.

    “Hakim perbicaraan menganggap ini bermaksud pemindahan wang ke akaun banknya mesti dilakukan dengan pengetahuannya (Najib), jika tidak, beliau tidak akan membelanjakan RM42 juta itu,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika mengekalkan sabitan pecah amanah jenayah terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

    Abdul Karim berkata, perkara biasa yang akan dilakukan oleh mana-mana pemegang akaun yang menerima dana secara silap ke dalam akaunnya, adalah untuk memulangkannya dan memperbetulkan keadaan.

    Bagaimanapun, katanya, Najib tidak berbuat demikian.

    Katanya, bukti ini mengukuhkan inferens bahawa wang itu dipindahkan dari akaun SRC dan akhirnya ke akaun Najib.

    Abdul Karim berkata, RM42 juta digunakan untuk manfaat peribadi dan tujuan politik Najib, bertentangan dengan dakwaan beliau bahawa ia telah disalurkan untuk program tanggungjawab sosial korporat syarikat.

    “Perayu secara tidak jujur menggelapkan dan menukar untuk tujuannya sendiri, harta yang diamanahkan milik SRC itu (RM42 juta),” katanya dengan menambah mahkamah tidak melihat sebarang sebab mempertikai dapatan hakim perbicaraan.

    Najib, 68, didakwa menyeleweng RM27 juta dan RM5 juta pada Dis 2014, selain RM10 juta lagi pada Feb 2015 sebagai penjawat awam dan ejen kerajaan iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan penasihat emeritus SRC International.

    Dana itu sebahagian dari dua pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC, berjumlah RM4 bilion.

  • Malaysia mungkin catat rekod banduan jadi PM – Mahathir sindir Najib

    Malaysia mungkin catat rekod banduan jadi PM – Mahathir sindir Najib

    “ALHAMDULILLAH, Malaysia mungkin buat rekod sekali lagi kerana banduan dianugerah jawatan Perdana Menteri.”

    Demikian kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Kenyataan sinis itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta berhubung tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

    Dr. Mahathir turut mencetuskan persoalan sama ada Najib dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sementara menanti perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.

    “Di masa itu, ia (beliau) bebas seperti orang yang tidak bersalah. Kalau semasa menanti ia dibenar terus jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia juga dapat bertanding dalam PRU-15.

    “Jika ia menang dan sekali lagi jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia boleh jadi Perdana Menteri juga.

    “Undang-undang tidak berkata ia tidak boleh. Jika undang-undang tidak berkata tidak boleh, maka mengikut undang-undang tentulah ia boleh,” katanya dalam catatan di laman blog chedet.cc.

    Menurut Dr. Mahathir, Najib tidak akan menjalani hukuman seperti banduan lain kerana beliau membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dan perkara itu tidak bercanggah dengan undang-undang.

    “Ini hak hakim. Belum pernah ada kes sebesar jenayah yang dilakukan oleh Najib. Ia adalah satu rekod dunia mengikut Department of Justice (DOJ), Amerika Syarikat.

    “Orang yang didapati bersalah kecil pun tidak pernah mendapat penangguhan hukuman seperti ini. Najib mungkin terpaksa tunggu sampai setahun atau lebih sebelum kesnya sampai ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

    Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman sekali gus menolak rayuan Najib yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

    Panel tiga hakim dipengerusikan Abdul Karim bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan tersebut.

    Ia selepas panel ketiga-tiga hakim berkenaan mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan tersebut.

    Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan sebelum ini atas alasan ia adalah wajar dan bersesuaian.

    Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

    Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

  • Langgar perintah pulang dari Singapura, hakim tegur peguam Rosmah

    Langgar perintah pulang dari Singapura, hakim tegur peguam Rosmah

    PASUKAN pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor ditegur oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan mengenai pelanggaran perintah yang dikeluarkan untuk perjalanannya ke Singapura.

    Zaini membangkitkan perkara itu semasa prosiding hari ini dengan berkata bahawa beliau mengeluarkan arahan bertarikh 15 Okt memerintahkan Rosmah pulang dari Singapura sebelum 21 Nov.

    Terdahulu, mahkamah membenarkan pelepasan sementara pasport Rosmah agar beliau dapat ke Singapura untuk melawat anak perempuannya yang bersalin, Nooryana Najwa Najib.

    Pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, itu sepatutnya memulangkan pasportnya sebelum 6 Dis.

    Beliau kini dibicarakan atas tiga tuduhan rasuah kerana didakwa meminta RM187.5 juta daripada ahli perniagaan Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan membantu syarikatnya Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion, melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

    Beliau turut dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

    “Apa yang saya baca menerusi media adalah beliau tidak kembali pada 21 Nov,” kata Zaini, memetik laporan prosiding Mahkamah Rayuan Khamis lepas, lapor portal Free Malaysia Today.

    Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa Rosmah tidak hadir ke mahkamah kerana masih berada di Singapura. Beliau hanya hadir ke mahkamah dua hari lepas.

    Zaini meminta penjelasan daripada peguam Datuk Jagjit Singh mengapa Rosmah tidak pulang seperti disyaratkan.

    Jagjit memohon maaf dengan berkata, terdapat kesilapan di pihaknya.

    “Saya akur dengan perintah mahkamah pada 15 Okt. Apabila kami menetapkan tarikh untuk beliau kembali, masih ada keperluan kuarantin yang kami ambil kira. Bagaimanapun, perubahan dalam dasar kerajaan telah mengetepikan keperluan kuarantin bagi Singapura bawah VTL (Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin),” katanya.

    Zaini, yang tidak terkesan dengan penjelasan Jagjit, berkata, sebarang perintah mahkamah mesti dipatuhi.

    “Perintah mahkamah mesti dihormati. Lanjutan mungkin dapat diberikan berdasarkan perubahan dasar kerajaan tetapi ia tidak mengubah hakikat bahawa perintah mahkamah mesti dihormati,” katanya kepada peguam itu.

    Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram kemudian berkata, pihak pendakwaan membangkitkan isu yang sama di hadapan Mahkamah Rayuan minggu lepas semasa perbicaraan rayuan Rosmah untuk melucutkan kelayakannya sebagai ketua pendakwa raya.

    Perbicaraan kes rasuah Rosmah diteruskan pada 10 Disember  selepas mahkamah mengarahkan penangguhan kerana beliau mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.

    BERNAMA melaporkan Zaini turut melapangkan perbicaraan yang dijadualkan esok, selepas peguam Datuk Jagjit Singh memberitahu mahkamah bahawa status MySejahtera anak guamnya itu berwarna jingga.

    “Anak guam saya hadir hari ini dan kami menyuruh beliau tunggu di dalam kereta sama ada  Yang Ariff  mahu meneruskan prosiding atau melapangkan perbicaraan. Status MySejahtera suami beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) adalah merah,” kata peguam itu.

    Ketika ditanya  Zaini sama ada Najib positif Covid-19, Jagjit menjawab: “Saya tidak pasti, tetapi saya dimaklumkan status (MySejahtera) beliau berwarna merah.

    Zaini berkata warna merah bermakna individu terlibat didapati positif Covid-19, namun peguam menjawab beliau tidak pasti.

  • Kes SRC: Tindakan Najib memalukan negara – Hakim

    Kes SRC: Tindakan Najib memalukan negara – Hakim

    MAHKAMAH Rayuan tidak dapat menerima penjelasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa semua tindakannya berkaitan SRC International Sdn Bhd adalah demi ‘kepentingan negara’.

    Memetik laporan Malaysiakini, dalam penghakiman yang dibaca hari ini, panel hakim Mahkamah Rayuan menjelaskan yang Najib terlibat secara aktif dalam memastikan SRC International mendapat pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011 dan 2012.

    Najib ketika itu adalah Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dan beliau mendapatkan kelulusan Kabinet untuk Kementerian Kewangan menjadi penjamin bagi pinjaman itu.

    Mahkamah juga yakin Najib mempunyai kawalan penuh terhadap SRC International menerusi peranan Perdana Menteri sebagai penasihat emeritus terhadap syarikat itu, yang berperanan untuk membuat pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber negara.

    Sebaik SRC mendapat wang pinjaman itu, kata hakim, Najib menjadi ‘tidak ambil kisah’ terhadap bagaimana ia digunakan dan mengarahkan Menteri Kewangan kedua ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk tidak ‘mengambil tahu (keep off)’ terhadap syarikat itu.

    “Perlakuan perayu ini hanya menunjukkan satu perkara, iaitu sebaik saja dana diberi kepada SRC, di mana perayu ada kawalan penuh, dia bebas untuk menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

    “Ini ditunjukkan menerusi aliran RM42 juta daripada SRC ke akaun peribadinya. Ini bukan sesuatu yang boleh dikatakan sebagai dilakukan untuk kepentingan negara.

    “Tiada kepentingan negara di sini, hanya memalukan negara,” kata hakim.

    Panel hakim ialah Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat, dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

    Mereka berkata, adalah ‘tidak munasabah’ untuk kerajaan menjamin pinjaman terhadap syarikat berkaitan kerajaan yang tiada keupayaan untuk membuat bayaran balik mahupun membayar faedahnya.

    “Pastinya untuk ada sejumlah syarikat yang tidak mampu membayar hutang dengan kerajaan terdedah sepenuhnya dengan hutang yang diambil syarikat-syarikat ini, bukan untuk kepentingan negara.

    “Ia hanyalah pengurusan wang rakyat yang teruk,” kata mereka.

    Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyabitkan Najib untuk tujuh pertuduhan berkaitan aliran RM42 juta daripada SRC International ke akaun peribadinya.

    Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu.

    Bagaimanapun Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

  • KPLB berjaya capai KPI Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia

    KPLB berjaya capai KPI Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya mencapai kesemua empat petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia merangkumi aspek mempertingkat infrastruktur dan menstruktur semula ekonomi luar bandar.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara empat pencapaian tersebut ialah pembinaan 100.56km jalan perhubungan desa sebagai akses perhubungan yang lebih cepat dan selamat yang memanfaatkan 20,095 penduduk kampung.

    “KPI kedua yang berjaya dicapai ialah pembinaan 114 projek baharu, menaik taraf atau membaik pulih kemudahan awam asas di bawah program ameniti sosial.

    “Antara projek yang dilaksanakan ialah membina jambatan kecil baharu, membaik pulih dewan, balai raya dan surau di kampung serta menaik taraf longkang tanah di kampung kepada longkang konkrit.

    “Kesemua projek ini memberi manfaat kepada 22,800 penduduk di kawasan luar bandar di seluruh negara,” katanya ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM hari ini.

    Menurut Mahdzir, KPI ketiga yang berjaya dicapai KPLB ialah membina 800 unit rumah baharu serta membaik pulih 10,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

    Kedua-dua projek melibatkan peruntukan lebih RM186.6 juta yang memberi manfaat kepada 54,000 isi rumah luar bandar, katanya.

    Mahdzir berkata, KPI keempat yang berjaya dicapai ialah pelaksanaan pelbagai program keusahawanan desa melibatkan skim pembiayaan perniagaan khas wanita (Dananita), pembangunan keusahawanan belia Mara, program transformasi pembangunan usahawan dan bantuan insentif kepada usahawan yang terjejas kesan pandemik COVID-19.

    Beliau berkata, sebanyak 5,487 usahawan menerima manfaat daripada pelbagai program itu yang turut melibatkan bantuan modal, peralatan pemasaran dan latihan.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, antara tarikan di ruang KPLB pada pameran Aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia esok ialah kumpulan Orang Asli yang dibawa oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) dan pameran keusahawanan digital. – BERNAMA