PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera membersihkan bahan buangan yang mencemarkan Sungai Muda dekat Permatang Bendahari di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati timbunan bahan buangan terutama bekas plastik yang terapung di permukaan sungai itu menyebabkan kawasan persekitarannya kelihatan kotor.

Jelasnya, CAP kesal kerana Sungai Muda merupakan sumber utama bekalan air bagi kegunaan penduduk-penduduk di negeri Kedah dan Pulau Pinang.

“Jika keadaan ini berterusan bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti air sungai tersebut tetapi juga menjadi tempat nyamuk membiak yang boleh mencetuskan wabak penyakit.

“Amat membimbangkan juga jika sisa buangan tersebut mengandungi toksik, pasti akan memberi kesan lebih buruk ke atas alam sekitar, hidupan sungai dan laut serta kesihatan manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohideen, CAP percaya jika bahan buangan itu dibiarkan akan turut mencemarkan pantai dan laut berhampiran sekali gus mengganggu aktiviti nelayan serta menjejaskan mata pencarian mereka.

Justeru katanya, CAP berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan dan memberi perhatian serius terhadap masalah itu di samping mengambil tindakan berkesan supaya kejadian serupa tidak berulang.

“Pemantauan yang berterusan perlu dilakukan dan tindakan undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan tegas tanpa memberi pertimbangan kepada mereka yang melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta yang sedia ada,” katanya.

Dalam masa kata beliau, CAP meminta bahan pencemar itu dilupuskan di kawasan selamat daripada sebarang ancaman ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

“Pihak berkenaan juga perlu mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil terhadap masalah ini kepada umum,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here