Category: Semasa

  • Polis tumpaskan Geng April, tahan suami isteri

    Polis tumpaskan Geng April, tahan suami isteri

    POLIS menumpaskan sindiket curi kenderaan dan pecah rumah yang dikenali sebagai Geng April, apabila menahan sepasang suami isteri yang juga dalang utama kegiatan itu sejak dua tahun lalu.

    Pasangan suami isteri masing-masing berusia 39 dan 45 tahun itu ditahan bersama-sama dua lelaki yang juga ahli sindiket tersebut di sekitar Kajang pada 6 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, sindiket iru menyasarkan rumah mewah untuk dipecah masuk dan melarikan kenderaan mewah milik mangsa sebelum dijual kepada pihak ketiga dengan harga yang lebih murah.

    “Kenderaan yang dicuri akan ditempatkan di beberapa kawasan termasuk tempat letak kereta kondominum dan tepi jalan bagi mengelakkan aktiviti mereka disedari polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor , hari ini.

    Susulan tangkapan itu, polis merampas lapan buah kenderaan mewah, antaranya jenis Honda Civic, Range Rover, Toyota Vios, Camry dan Nissan Almera.

    Mohd. Zaid berkata, tiga suspek yang ditahan memiliki 36 rekod jenayah membabitkan kesalahan jenayah dan dadah manakala wanita yang ditahan tidak memilki rekod jenayah lampau.

    Beliau berkata, dengan tangkapan tersebut, pihaknya berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada awal tahun ini.

    Katanya kesemua suspek direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 serta 379 Kanun Keseksaan.

  • Sultan Ibrahim cadang guna sistem radar di perairan negara-Hamzah

    Sultan Ibrahim cadang guna sistem radar di perairan negara-Hamzah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima mengadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Johor Bahrus hari ini dalam pertemuan yang berlangsung hampir dua jam.

    Menerusi pertemuan itu, Sutlan Johor berbincang bersama-sama Datuk Seri Hamzah dan memaklumkan bahawa baginda amat menitikberatkan berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara.

    Sultan Ibrahim bertitah, kedaulatan dan keselamatan negara perlu sentiasa diberi keutamaan dengan mempertingkatkan kawalan di pintu masuk utama serta sempadan negara.

    “Saya membincangkan mengenai Pulau Pisang, Pulau Batu Puteh dan juga Tompok Utara, di mana kawalan keselamatan khususnya di sempadan negara serta pintu-pintu masuk utama perlu dipertingkatkan,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

    Sementara itu, Hamzah berkata, kawalan sempadan negara sentiasa menjadi teras utama Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara sentiasa terpelihara.

    “Baginda juga amat menitikberatkan perkara ini dan Baginda juga berkenan menyampaikan nasihat untuk memperketatkan kawalan sempadan supaya ia tidak mudah dicerobohi.

    “Sultan Johor turut menzahirkan rasa sedih dengan tragedi bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) hingga mengorbankan banyak nyawa berlaku di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, baru-baru ini,” katanya.

    Hamzah berkata, Sultan Johor juga berkenan mencadangkan beberapa perkara bagi memperketatkan perundangan negara khususnya perkara berkaitan prosedur kapal-kapal berlabuh di perairan negara.

    “Terdapat juga banyak kapal-kapal berlabuh diperairan negara khususnya di kawasan Desaru dan Baginda juga amat menitikberatkan keselamatan nelayan-nelayan tempatan terutama ketika laut bergelora.

    “Begitu juga cadangan baginda, supaya dilengkapi satu struktur keselamatan termasuk sistem radar di perairan negara bagi mengesan kemasukan penceroboh. Kesemua perkara ini akan saya memberi perhatian,” katanya.

  • Hanya sebahagian kenderaan NGO dibenar masuk ke Taman Sri Muda – Polis

    Hanya sebahagian kenderaan NGO dibenar masuk ke Taman Sri Muda – Polis

    Hanya sebahagian kenderaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan keluar dan masuk ke kawasan bencana banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam manakala kenderaan orang awam tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib menyatakan sedemikian susulan tular di media sosial berhubung seorang individu yang mendakwa dihalang untuk menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda.

    “Tindakan mengawal kenderaan awam masuk ke lokasi banjir adalah bertujuan mengelak kesesakan dan memberi laluan kepada lori yang keluar masuk membawa mangsa ke pusat pemindahan sementara,” katanya dalam kenyataan dhari ini.

    Baharudin menjelaskan kesesakan di lokasi dikhuatiri akan menambahkan lagi kemudaratan dan menyukarkan proses menyelamatkan nyawa mangsa, selain mengelak kejadian lebih buruk berlaku memandangkan paras air sungai meningkat pada ketika itu.

     Katanya semasa kejadian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang bertungkus lumus menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa banjir daripada kawasan berkenaan yang sedang ditenggelami air.

    “Keprihatinan semua NGO dan orang awam amatlah dihargai dalam usaha membantu mangsa banjir, bagaimanapun suka diingatkan agar semua pihak tetap mematuhi arahan pihak berkuasa supaya dapat memudahkan proses menyelamatkan mangsa dilaksanakan,” katanya.

    Menurutnya Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengambil tindakan segera bagi menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas banjir.

  • Maritim Malaysia buru 12 warga Indonesia rompak diesel RM4.86 juta

    Maritim Malaysia buru 12 warga Indonesia rompak diesel RM4.86 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBUAH kapal tangki MT Ocean Pride berdaftar di Singapura kehilangan kira-kira 1.8 juta liter minyak diesel yang disyaki dirompak kru kapal terbabit ketika dalam perjalanan ke Dili, Timor Leste, awal bulan ini.

    Kehilangan minyak diesel yang dibawa MT Ocean Pride dari Banyan, Singapura disedari pihak syarikat perkapalan itu selepas mereka terputus hubungan dengan vesel terbabit.

    Berikutan itu, kira-kira 12 kru kapal warga Indonesia diburu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki melakukan rompakan terbabit pada 5 Disember lalu.

    Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima Notis Merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) yang memaklumkan kejadian melibatkan kapal tangki MT Ocean Pride.

    Menurutnya, laporan kejadian dibuat pengurus operasi syarikat perkapalan berkenaan selepas mereka gagal menghubungi vesel terbabit ketika berada di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, dekat sini.

    “Kapal tangki MT Ocean Pride memulakan pelayaran dari Banyan, Singapura dengan membawa muatan 4.15 juta liter minyak diesel untuk dihantar ke Dili, Timor Leste.

    “Namun pihak syarikat terputus hubungan dengan kru sebelum Bot Perkasa 29 Maritim Malaysia mengesan kedudukan kapal terbabit dan mendapati kesemua kru yang berusia 25 hingga 51 tahun tiada di dalam kapal,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Kata Nurul Hizam, pasukan penyiasat mendapati vesel terbabit ditinggalkan di Tanjung Siang, Kota Tinggi selain terdapat cap jari kru pada vesel berkenaan dan kesemua dokumen berkaitan tidak ada di dalam kapal terbabit.

    Jelas beliau, pihaknya juga mendapati sejumlah 1.8 juta liter minyak diesel hilang dipercayai dirompak kesemua suspek yang terlibat dan kerugian dianggarkan bernilai RM4.86 juta.

    “Susulan kejadian ini, Maritim Malaysia menyeru agar orang ramai terutamanya komuniti maritim yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit diminta tampil membantu siasatan.

    “Mereka boleh menghubungi Komander Maritim Mohd. Affandi Ismail di talian 03-89957935 atau Leftenan Maritim Feerdaus Daud (07-8916595),” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

  • Tiga lelaki hentak cermin kereta diburu

    Tiga lelaki hentak cermin kereta diburu

    Rakaman kejadian yang tular di laman sosial memaparkan suspek bertindak memukul cermin kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar.

    TIGA lelaki bermotosikal yang bertindak menghentak cermin sebuah kereta dengan topi keledar di Jalan Lundang, Kota Bharu, semalam sebelum kejadian itu tular dalam media sosial, kini diburu polis.

    Ketiga-tiga suspek itu diburu selepas melakukan perbuatan ganas itu terhadap mangsa iaitu seorang peniaga berusia 31 tahun memandu sebuah kereta jenis Perodua MyVi di lokasi tersebut pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak berpuas hati kerana dikatakan kereta berkenaan hampir terhimpit motosikal yang mereka tunggang.

    “Semasa kejadian, mangsa bersama isteri dan seorang anak perempuan berusia empat tahun dalam perjalanan untuk pergi berniaga.

    “Tiga lelaki tidak dikenali yang memunggang dua motosikal mengekori kereta mangsa dan ketika kenderaaan berkenaan berhenti di persimpangan lampu isyarat, kesemua suspek bertindak memukul cermin bahagian kiri belakang kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar,” katanya ketika, hari ini.

    Tiga lelaki bertindak mengekori sebelum memukul cermin kereta mangsa dengan topi keledar di persimpangan lampu isyarat di Jalan Lundang.

    Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis berikutan bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya.

    “Kejadian tiada menyebabkan sebarang kemalangan atau kerosakan terhadap kereta milik mangsa yang menjadi sasaran suspek.

    “Usaha mengesan suspek-suspek giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.

    Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan cuai,” katanya.

  • Operasi diperluas, anjing pengesan bantu cari mangsa ‘kepala air’ di Bentong

    Operasi diperluas, anjing pengesan bantu cari mangsa ‘kepala air’ di Bentong

    Gerakan mengesan mangsa lemas termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dihanyutkan arus kepala air di sebuah kawasan chalet di Bentong , Pahang pada malam Sabtu lalu, diperluaskan hari ini dengan tambahan anggota dan anjing pengesan.

    Usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri masih hilang dari pusat peranginan Bobby Eco Camp dan seorang lagi dalam kejadian berasingan di Telemong, disambung semula pada pukul 7 pagi tadi.

    Dalam satu lagi operasi di Kuantan, anggota penyelamat sedang giat berusaha mencari seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari jambatan di Sungai Belat pada 18 Disember lalu.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dihanyutkan kepala air yang mengalir ke sungai dalam kawasan pusat peranginan Bobby Eco Camp, pukul 10.40 malam Sabtu lalu.

    “Tiga mangsa ialah sepasang suami isteri yang juga pemilik resort berkenaan dan seorang budak lelaki yang datang ke resort itu bersama keluarganya. 

    “Kawasan pencarian telah diperluaskan sehingga melebihi 1 kometer dengan tambahan tenaga kerja dan bantuan empat anjing pengesan,” katanya.

    Ketika ini, operasi di Telemong memasuki hari ketiga bagi mengesan seorang warga emas yang juga antara 16 individu dihanyutkan arus deras sungai ketika berada di atas jambatan di Sungai Telemong, kira-kira pukul 2 pagi Ahad lalu.

    “Dalam kejadian itu, 10 orang berjaya diselamatkan, manakala lima lagi dilaporkan maut. Mayat pertama ditemui pada Ahad lalu, diikuti empat lagi semalam. Ada antara mayat ditemui tersepit di celah-celah dahan pokok,” katanya menambah, banjir sudah surut di kebanyakan kawasan dan pencarian diperluaskan untuk mengesan mangsa terakhir.

    Di Kuantan, anggota penyelamat masih mencari Mohd. Firdaus Supiardi, 26, yang dilaporkan hilang selepas terjun dari jambatan dan dihanyutkan arus deras di Sungai Belat dekat Kampung Sri Damai, Kuantan pada 18 Disember. 

  • Walaupun UMNO tuntut MCA tetap mahu kekal bertanding kerusi Parlimen Alor Setar

    Walaupun UMNO tuntut MCA tetap mahu kekal bertanding kerusi Parlimen Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MCA Kedah tetap berharap untuk bertanding di Parlimen Alor Setar dalam pilihan raya umum akan datang walaupun kerusi berkenaan kini dituntut oleh UMNO.

    Malah menurut Pengerusi MCA Kedah, Datuk Goh Chin Cheung, ketika ini pihaknya sudah pun menyenarai pendek beberapa nama yang dirasakan berpotensi untuk diketengahkan pada pilihan raya umum akan datang.

    “Kita masih nak bertanding kerusi Parlimen Alor Setar. Setakat ini, sudah ada dua atau tiga nama yang boleh diangkat sebagai calon, dan kita pilih yang terbaik.

    “Keputusan UMNO mahu bertanding di Alor Setar tetap kita hormati tetapi pada akhirnya, sudahh tentu kepimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat yang akan buat keputusan,” katanya kepada Warta Rakyat hari ini.

    Dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar Sabtu lalu, kalangan perwakilan parti itu menandatangani memorandum bagi menuntut supaya UMNO diberi ruang untuk bertanding di Parlimen Alor Setar.

    Goh Chin Cheung

    Tuntutan itu dibuat berikutan kekalahan MCA di Parlimen berkenaan pada PRU-13 dan PRU-14 selain komposisi kaum pengundi di Parlimen tersebut yang menyaksikan jumlah pengundi Melayu berada pada tahap 64 peratus.

    Goh menambah, soal komposisi kaum pengundi tidak sepatutnya dijadikan alasan memandangkan BN merupakan sebuah parti yang mengamalkan permuafakatan antara semua kaum.

    “BN ini satu parti yang bermuafakat. Kalau guna alasan komposisi kaum, itu bermakna MIC tak dapatlah nak bertanding di mana-mana.

    “Kalau tak ada undi Cina dan India, BN tak boleh menang juga. Lagi pun kelmarin Pengerusi BN dah cakap kerusi tradisi MCA akan dikekalkan, jadi kita tunggu sajalah,” katanya.

    Mengulas lanjut Goh berkata, hubungan UMNO dan MCA bagaimanapun tidak akan terjejas hanya disebabkan isu tersebut.

    “Kita tak mahulah bermasam muka. Nanti kita tunggu apa keputusan kepimpinan tertinggi.

    “Kalau MCA bertanding, UMNO bantu kita di sini dan kalau kepimpinan atasan kata UMNO akan bertanding, kita akan bantu juga,” katanya.

  • Banjir: Operasi menyedut air giat dijalankan di Sri Muda

    Banjir: Operasi menyedut air giat dijalankan di Sri Muda

    OPERASI menyedut air banjir keluar di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor, sedang giat dijalankan yang bermula sejak awal pagi ini.

    Beberapa mesin menyedut air telah ditempatkan di kawasan sekitar dipercayai untuk disedut keluar menuju ke Sungai Klang.

    Bagaimanapun, sebahagian besar kawasan di Taman Sri Muda masih lagi ditenggelami air dan agensi pihak berkuasa telah ditempatkan di kawasan terjejas khususnya bagi menyelamatkan mangsa terkandas.

    Ini termasuk bekalan agihan makanan yang telah digerakkan ke kawasan terjejas.

    Dalam pada itu, difahamkan, masih terdapat mangsa yang masih belum memperoleh bantuan sepenuhnya.

    Terdahulu media melaporkan, jumlah mangsa disahkan lemas akibat banjir di Shah Alam, Selangor meningkat kepada sembilan orang sehingga awal pagi hari ini.

    Ketika memaklumkan perkembangan terkini itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, seramai dua mangsa dijumpai kelmarin manakala tujuh lagi mangsa dijumpai semalam.

  • 10 maut: Pemandu treler mengaku tidak bersalah

    10 maut: Pemandu treler mengaku tidak bersalah

    PEMANDU treler yang terlibat dalam kemalangan di lorong kecemasan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini tas 10 pertuduhan menyebabkan kematian 10 individu pada Sabtu lalu.

    Mohd. Rafi Jaafar, 37, yang memakai baju T berwarna kelabu dan merah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

    Mengikut pertuduhan yang dibaca secara berasingan, bapa kepada tiga anak itu didakwa sebagai pemandu lori treler jenis Hanvan telah memandu kenderaan tersebut secara berbahaya kepada orang awam sehingga berlaku kemalangan dan mengorbankan 10 nyawa.

    Mereka yang terkorban ialah Muhamad Rahimi Rolex, 27; Norul Naziah Buyong, 37; Razarul Amin Abdul Razak, 17; Razatul Aliah Abdul Razak, 16; Puteri Hidayah Abdul Razak, 12; Mohd. Aizat Syazwan Abdul Razak, 10; Mohd. Rokaizat Rezky Abdul Razak, 9; Mohd. Hidayat Hakimie Abdul Razak, 7; Puteri Nor Ain Syalwana Abdul Razak, 3, dan Mohd. Raid Fathi Abdul Razak, 10 bulan.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Shah Alam, pada pukul 12.02 tengah malam Sabtu lalu.

    Kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, lesen boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan.

    Kes berkenaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Raya Selangor, Mohammad Al-Saufi Hashim bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah dan Saidah Fasihah Che Yussoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Semasa prosiding, Mohammad Al-Saufi berkata, pihak pendakwaan memohon jaminan ditetapkan pada kadar yang tinggi iaitu RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

    “Kami juga mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu lesen memandunya ditahan oleh mahkamah dan dia tidak mengganggu saksi kes ini.

    “Peristiwa ini sangat menyayat hati, kerana ia mengorbankan seorang lelaki, seorang ibu dan lapan anaknya malah kejadian berlaku ketika Selangor diuji dengan kejadian banjir besar,” katanya.

    Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perlu menanggung tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.

    “Seorang daripadanya masih dirawat di Hospital Melaka, jadi saya harap ikat jamin saya dapat dikurangkan,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nur Faizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan.

    “Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan seperti cadangan pihak pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan,” katanya.

    Pada Sabtu, media melaporkan 10 individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler berhampiran R&R USJ Lebuh Raya Elite menghala Shah Alam.

    Mangsa yang meninggal dunia membabitkan sembilan sekeluarga iaitu ibu serta lapan anaknya, selain seorang lelaki.

    Treler itu dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan kerana satu daripadanya mengalami kerosakan.

    Dua kereta lain ketika itu berhenti untuk memberi bantuan.

  • ‘’Seikhlas hati, saya menghalalkan mereka’’ – Pengarah Urusan Mydin

    ‘’Seikhlas hati, saya menghalalkan mereka’’ – Pengarah Urusan Mydin

    SUSULAN insiden pecah masuk ke premis gedung pasaraya besar, Mydin, Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin menghalalkan mereka yang melakukan perkara tersebut demi kelangsungan hidup.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Ameer menjelaskan beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut.

    “Saya ingin memberi maklum balas mengenai insiden pecah mauk ke premis Mydin Mart yang hangat dibincangkan di media sosial, media tempatatan dan sebagainya.

     “Sejujurnya saya tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

    “Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ameer menjelaskan beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Ameer menjelaskan beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut.

     Beliau turut menyatakan tersebut dan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutama ketika negara masih berdelut dengan pandemik Covid-19.

    Cawangan Mydin Mart, Sri Muda, Shah Alam turut musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021 dan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

    Beliau turut memohon rakyat Malaysia untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT agar mangsa terselamat dan bencana banjir dan pandemik pulih seperti biasa.