INSIDEN seorang orang kurang upaya (OKU) di sebuah pusat jagaan yang dipukul bertubi-tubi dengan sesuatu yang dipercayai objek keras tular dalam media sosial hari ini.
Rakaman video insiden OKU dipukul itu dikongsi oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dalam laman Twitter miliknya.
“Kamu ingat kamu siapa?! Saya mengenali saudara OKU kita yang cerebral palsy ini sejak dia 4 tahun.
“Dia tidak boleh pertahankan dirinya dan perlu sokongan untuk menjaga dia dan kamu biar beliau dibuli sebegini!
“Rumah xxxx xxxxx xxxxxx, kamu dah kenapa! Luluh hati saya,” luah beliau dalam ciapan tersebut.
Video berdurasi 22 saat itu dipercayai diambil dari rakaman televisyen litar tertutup di lokasi kejadian telah ditonton lebih 60,000 kali setakat pukul 6.30 petang tadi.
Rata-rata netizen yang menonton video berkenaan meluahkan kekesalan mereka dan berharap tindakan sewajarnya diambil oleh pihak bertanggungjawab.
AYAM, telur ayam, sawi dan kacang panjang akan mengalami penurunan harga di seluruh negara bermula esok, dalam usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga munasabah.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, keempat-empat barangan itu terlibat dalam pelarasan harga semula sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan.
“Empat harga barang baharu berkenaan adalah di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang terlibat dalam pelarasan harga semula dan pelarasan dibuat dengan mengambil kira situasi serta lokaliti sehingga 4 Feb nanti.
“Antara contoh penurunan bermula esok adalah harga ayam iaitu dari RM9.30 kepada RM9.10. Sama juga seperti tiga lagi barang keperluan makanan termasuk dua jenis sayur-sayuran berkenaan, turun lima hingga 10 peratus,” katanya selepas program ‘walkabout’ operasi Back To School (BTS) dan SHMMP di Pasaraya Mydin di Bukit Mertajam, hari ini.
Sementara itu katanya, menerusi SHMKM pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 25,897 premis perniagaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu pihaknya mengesa 85 kes pelbagai kesalahan perniagaan yang membabitkan nilai kompaun RM20,000, setakat semalam.
Beliau berkata, kompaun itu antaranya membabitkan kesalahan berkaitan tindakan menjual barangan keperluan melebihi harga maksimum ditetapkan serta tidak meletakkan tanda harga.
Sementara itu merujuk kepada BTS, Azman berkata, operasi itu bertujuan memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang keperluan sekolah sewenang-wenangnya, dan mematuhi peraturan kawalan harga ditetapkan.
“Operasi ini dilaksanakan bermula 13 Dis lepas hingga 20 Mac tahun depan membabitkan sembilan jenis barangan keperluan sekolah, yang terdiri daripada pakaian sekolah, beg sekolah, kasut sekolah dan peralatan pembelajaran. Setakat ini kami telah periksa 437 premis membabitkan 1,858 jumlah barangan,” katanya. – BERNAMA
SEORANG wanita yang merupakan pesara awam di Sibu kerugian lebih RM1.63 juta akibat sindiket ‘Macau Scam’ dalam tempoh dua bulan ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat berkata penipuan tersebut bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya ejen insurans pada 27 Okt lepas.
Collin berkata pemanggil tersebut telah memberitahu mangsa dia mempunyai tuntutan insurans kemalangan yang masih belum diselesaikan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Talian mangsa kemudian dipindahkan kepada individu mendakwa dirinya sebagai Sarjan Razif, yang memberitahu mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dari 2020 hingga 2021 dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” kata Collin dalam satu kenyataan di Sibu hari ini.
‘Sarjan Razif’ kemudian menawarkan diri untuk membantu mangsa menyelesaikan kesnya tetapi mangsa perlu membuka dua akaun atas namanya untuk memberi akses kepada Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan.
“Mangsa kemudian membuka dua akaun berdasarkan arahan diberikan dan menyerahkan nama pengguna serta kata laluan kepada suspek,” katanya.
Pada 10 Nov, mangsa memasukkan wang simpanannya ke dalam akaun tersebut untuk tujuan siasatan.
Dia hanya menceritakan perkara itu dengan abangnya pada Selasa lepas dan diberitahu bahawa dia mungkin telah ditipu.
Apabila menyemak akaun banknya selepas itu, mangsa mendapati 52 transaksi pengeluaran berjumlah RM1,638,943 telah dibuat dan membuat laporan polis keesokannya. – BERNAMA
SEKUMPULAN pencarum gagal bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi menyampaikan hasrat menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran wang sebanyak RM10,000 hari ini.
Walau bagaimanapun, memetik laporan FMT, wakil mereka, Khairul Anuar Othman berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama Amir Hamzah dalam masa terdekat selepas berjumpa dengan seorang pegawai KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur,
Terdahulu, dalam sidang media di hadapan bangunan KWSP, beliau berkata, kehadirannya adalah bagi mewakili pencarum untuk menyuarakan hasrat dan rintihan mereka yang sebahagiannya dalam kesusahan menghadapi bencana banjir baru-baru ini.
Beliau juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mendengar suara mereka berkaitan tuntutan dibuat pencarum KWSP itu.
“Dengar rintihan dan suara rakyat. Kami pencarum dalam kepayahan dan derita.
“Bantuan RM1,000 dari kerajaan dan zakat sebanyak RM600 tidak cukup untuk kami teruskan kehidupan,” katanya di hadapan bangunan KWSP Jalan Raja Laut bersama kira-kira 10 pencarum lain.
Mereka hadir di hadapan bangunan KWSP kira-kira pukul 2.45 petang tadi namun tiada perhimpunan dibuat mahupun perarakan bantahan dari Pusat Beli-Belah Sogo ke bangunan KWSP itu.
Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, sekiranya suara pencarum tidak didengar hari ini, kumpulan yang mewakili pencarum KWSP akan menghantar memorandum kepada Ismail Sabri di Parlimen dalam masa terdekat.
Terdahulu, FMT melaporkan tiada himpunan aman solidariti pencarum KWSP dibuat pagi tadi.
Difahamkan, himpunan yang mahu menuntut pengeluaran i-Citra RM10,000 itu dibatalkan pada saat akhir berikutan kegagalan mendapat permit polis.
Himpunan itu yang sepatutnya bermula pada pukul 8.30 pagi tadi di hadapan Sogo dilihat lengang tanpa kehadiran peserta.
Tinjauan FMT mendapati laluan jalan di hadapan Sogo sehingga ke Bangunan KWSP, Jalan Raja Laut dipantau polis sejak pukul 8 pagi tadi.
TIGA kumpulan berkaitan pendidikan Melayu dan Islam akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman mereka mengenai kewujudan sekolah vernakular.
Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tiga plaintif terbabit iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).
Beliau telah dimaklumkan oleh plaintif untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Buat masa ini kami sedang membuat perincian. Ini kerana kes ini juga melibatkan beberapa plaintif lain dengan kumpulan peguam berbeza.
“Yang pasti, plaintif saya akan membuat rayuan dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, tiga plaintif terbabit memohon perintah mahkamah agar sekolah vernakular menghentikan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
Pada 29 Dis lalu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tersebut adalah sah di sisi undang-undang.
Beliau memutuskan bahawa kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atas alasan mereka bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan.
Malah Mohd Nazlan, sekolah vernakular juga dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
Pada Disember 2019, GPMS, MAPPIM dan Gapena mencabar kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan menamakan kerajaan dan 13 lagi sebagai defendan.
Antaranya ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thirunaal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.
Mereka memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) perlembagaan.
Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan perlembagaan.
Perkara 152 (1)(a) menyatakan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan tiada sesiapa yang boleh dilarang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar bahasa lain.
SEORANG buruh dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, pada Sabtu lepas.
Hakim Norita Mohd Ardani menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang lelaki berusia 38 tahun dan memerintahkannya menjalani hukuman tersebut bermula hari ini, selain pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Chulek, Kampar, pada pukul 9 malam, 25 Dis lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan serta hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh minimum setahun dan maksimum tiga tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran supaya tertuduh yang mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa tidak mengulangi kesalahan sama dan juga kepada orang ramai.
Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung bapanya yang sakit.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa ibu kanak-kanak itu berada di hadapan sebuah rumah, anaknya datang kepadanya sambil menangis dan memberitahu tertuduh mengajaknya ke bahagian belakang rumah itu, lalu menceritakan insiden tersebut.
Ibu kanak-kanak itu terus membuat laporan polis dan tertuduh kemudian ditangkap pada 12.45 pagi, 26 Dis lepas. – BERNAMA
KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menamatkan perkhidmatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di seluruh negara mulai 1 Januari ini, lebih awal daripada penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022.
Perkara itu dimaklumkan kepada Warta Rakyat oleh salah seorang Pengerusi PeKT di Negeri Sembilan yang menerima surat berhubung penamatan pelantikan PeKT.
Surat bertarikh 29 Disember itu ditandatangani oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menurut beliau, langkah itu terpaksa diambil kerana tiada peruntukan disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan.
“Seperti yang tuan sedia maklum, negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan COVID-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini.
“Berdasarkan situasi berkenaan, penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 akan lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini.
“Sehubungan itu, dukacita dimaklumkan bahawa kementerian tidak dapat meneruskan perkhidmatan anggota PeKT kerana tiada peruntukan disediakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan,” jelasnya dalam surat tersebut.
Mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada 24 Jun 2020 telah bersetuju dengan penubuhan PeKT dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Penubuhan PeKT adalah merupakan inisiatif KPKT dalam merealisasikan Dasar Komuniti Negara (DKomN) yang telah dilancarkan pada 17 Februari 2019.
PeKT berperanan dalam memperkasakan komuniti dari segi penjagaan harta benda, kebersihan, keselamatan dan penjagaan alam sekitar di sesebuah komuniti melalui khidmat nasihat.
Di samping itu, PeKT turut berperanan dalam mewujudkan komuniti yang bersatu padu dan berdaya saing serta memahami aspek pengurusan kewangan dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dapat memperkasakan komuniti dan kesejahteraan bandar.
PeKT diwujudkan di tiga negeri yang masih dikuasai rejim Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.
Sepanjang pelaksanaannya, PeKT bergiat aktif membantu masyarakat di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan agar mereka tidak ketinggalan akibat kelemahan pentadbiran rejim PH.
KEMENTERIAN Kewangan menolak desakan supaya pencarum yang terkesan akibat bencana banjir dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP).
Ketika menegaskan perkara itu seperti dilaporkan Malays Mail, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan membenarkan pengeluaran seumpama itu hanya akan membebankan generasi akan datang yang perlu menjaga warga emas tanpa simpanan persaraan.
‘’Ini adalah program luar biasa yang “telah mencapai tujuannya dan mesti berakhir dengan muktamad”, kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata, kerajaan akan terus membantu mangsa banjir untuk bangkit, tetapi pengeluaran KWSP tidak akan menjadi sebahagian daripada bantuan berkenaan.
“Dalam kes KWSP, kita tidak boleh terus bersikap populis dengan mencari jalan mudah membenarkan pengeluaran tambahan, lebih-lebih lagi apabila kerajaan telah menyediakan pakej bantuan banjir terbesar dalam sejarah.
“Pertimbangkan akibat jangka panjangnya, khususnya kepada anak cucu kita yang bakal mewarisi bebanan menyara kehidupan warga emas di negara ini yang tidak mampu menanggung persaraan sendiri,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, banjir bukan tidak pernah berlaku sebaliknya pada tahun 2014 beberapa negeri termasuk Pahang dan Kelantan dilanda bencana tersebut tetapi
kerajaan bertegas tidak membenarkan sesiapa menyentuh “satu sen sekalipun” daripada simpanan persaraan mereka.
Pada masa sama, Tengku Zafrul menegur pihak yang menggesa agar pengeluaran tambahan dibenarkan dan cuba mendorong orang ramai berbuat perkara yang sama.
“Biar saya jelaskan, kerajaan yang pertama sekali mengutarakan idea ini pada 2020 dan ia dibolehkan setelah dipertimbangkan secara berhati-hati dan melalui penilaian kewangan dan ekonomi yang teliti.
“Suara-suara yang kini mendorong rakyat dalam isu ini tidak pernah terlibat dalam keputusan itu, maka mereka tidak maklum mengenai pelbagai analisis komplikasi dan impak. Namun, pihak-pihak yang memprovokasi ini bertekad untuk mengeksploitasi situasi ini dan ‘mengepung’ KWSP dan kerajaan,’’ katanya.
Beliau berkata, menerusi pelbagai pusingan pengeluaran, RM101 bilion telah disalurkan kepada tujuh juta pencarum KWSP.
‘’Ini mengakibatkan hampir separuh daripada pencarum, kira-kira enam juta, kini hanya ada kurang RM10,000 bagi persaraan mereka,’’katanya.
BAHAGIAN Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman sudah menerima kertas siasatan melibatkan kejadian buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian melibatkan lima pelajar itu dirujuk ke Bukit Aman kerana ia menjadi satu kes yang mempunyai kepentingan awam.
“Ketika ini masih tiada sebarang tindakan pertuduhan dikenakan terhadap mereka selepas tamat tempoh reman namun siasatan kes yang berlaku di MRSM itu sudah lengkap dan kita sudah hantar hasil ke IPK Johor sebelum dipanjangkan ke Bukit Aman,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan isterinya, Senior Asisten Komisioner Datin Zaleha Mohd. Ariffin yang juga Pengerusi Perkep Johor.
Pada 16 Disember lalu, kelima-lima pelajar berkenaan direman bagi membantu siasatan kejadian buli terhadap seorang mangsa berusia 14 tahun yang mengalami kecederaan bengkak rusuk kiri.
Kelima-lima mereka sebelum itu ditahan di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Zaharudin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kini sedang menunggu arahan selanjutnya berkaitan kes itu daripada Bukit Aman.
Tambah beliau, siasatan yang dijalankan buat masa ini juga hanya hanya melibatkan lima pelajar berkenaan dan tidak melibatkan individu lain.
“Lima pelajar tersebut merupakan wakil pelajar yang dilantik pihak sekolah dan kejadian dipercayai berpunca akibat ketidakpuasan hati antara suspek dan mangsa.
“Ketika ini saya tidak dapat mengesahkan tindakan yang diambil pihak sekolah terhadap mereka kerana sekolah sedang bercuti,” ujarnya.
Sebanyak 473 saman dikeluarkan polis terhadap 606 kesalahan dilakukan penunggang motosikal yang memasuki Langkawi semalam bagi meraikan sambutan tahun baharu, malam ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, selain itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 104 notis dan menyita sebuah motosikal.
“Sebanyak 1,200 motosikal diperiksa melalui tiga trip feri dari Kuala Perlis ke Langkawi, semalam. Satu daripada trip tersebut adalah pada waktu siang manakala dua lagi pada waktu malam.
“Kebanyakan saman dikeluarkan atas kesalahan tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sejak semalam tular di aplikasi Tik Tok memaparkan klip video penunggang motosikal terpaksa menolak motosikal masing-masing bagi diperiksa sebaik turun dari feri di Langkawi.
Shariman menambah, kebanyakan penunggang motosikal itu datang dari Terengganu, Kelantan, Lembah Klang dan Johor Bharu secara konvoi.
“Kesemua mereka turut diberi peringatan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sepanjang berada di Langkawi,” katanya.