Category: Semasa

  • Kontraktor didakwa lagi rasuah penjawat awam RM20,000

    Kontraktor didakwa lagi rasuah penjawat awam RM20,000

    SELEPAS didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor tahun lepas atas pertuduhan memberi rasuah kepada penjawat awam, seorang kontraktor hari ini didakwa lagi atas kesalahan sama di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, kali ini melibatkan jumlah rasuah RM20,000.

    Amir Ali, 46, didakwa telah memberi suapan wang tunai RM20,000 kepada seorang jurutera daerah yang bertugas di Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor sebagai dorongan untuk mendapatkan anggaran harga jabatan dan kerja-kerja menaik taraf fasiliti serta kemudahan asrama pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Hulu Selangor, Selangor.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Bukit Bintang, Shah Alam sekitar April tahun lepas, mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Pada 21 Disember tahun lepas, Amir dan adiknya Asdi Ali didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan yang sama melibatkan jumlah rasuah RM83,000.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes rasuah membabitkan Amir sebelum ini. 

    “Tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan dan ia melibatkan siasatan dan saksi yang sama. Mohon kes dipindahkan ke mahkamah di sana,” katanya.

    Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM20,000 serta syarat tambahan yang telah ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 21 Disember tahun lepas.

    Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh mengguna pakai ikat jamin dan syarat tambahan sama seperti yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam itu, selain turut membenarkan kes dipindahkan ke mahkamah berkenaan.- Bernama

  • Mayat pekerja yang sudah membengkak ditemukan di kebun

    Mayat pekerja yang sudah membengkak ditemukan di kebun

    SEORANG pekerja ditemukan sudah meninggal dunia di kebun dekat Kampung Temeris, Kuala Pilah, pukul 2 petang semalam.

    Mayat lelaki itu ditemukan pemilik kebun dalam keadaan sudah bengkak di pangkin dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, pemilik kebun berusia 29 tahun sudah beberapa kali menghubungi telefon mangsa, 54, sejak 30 Disember lalu.

    “Menurut keterangan majikannya, lelaki berkenaan tidak menjawab panggilan telefon sejak Khamis lalu dan pada petang semalam, majikannya ke kebun untuk melihat keadaan lelaki itu.

    “Bagaimanapun, sebaik tiba dia mendapati pekerjanya dalam keadaan terbaring. Kali terakhir majikan berjumpa si mati pada dua minggu lalu atas urusan kerja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal di lokasi tidak menemui sebarang petunjuk jenayah dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).

    “Bagaimanapun kes masih dalam siasatan. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk proses bedah siasat.

    “Lelaki berkenaan adalah pemegang status penduduk tetap (PR) yang berasal dari Indonesia dan menetap di Beranang, Selangor. Dia bekerja sebagai tukang rumah,” katanya.

  • Pemandu treler sakit jantung, bukan mabuk

    Pemandu treler sakit jantung, bukan mabuk

    PEMANDU treler yang didakwa mabuk melanggar tiga kenderaan di bahu jalan disahkan mengalami serangan jantung.


    Dalam kejadian di Jalan BRP 8/2, Sungai Buloh, Selangor, semalam, pemandu itu dipercayai mengalami serangan mengejut sakit jantung sehingga menyebabkan treler yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiga kenderaan lain.

    Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar ketika mengesahkan perkara itu berkata, pemandu treler berkenaan dipercayai mengalami sakit dada sehingga menyebabkan treler yang dipandu hilang kawalan sebelum melanggar tiga buah kereta terbabit.

    “Pemandu lori tersebut telah meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada jam 12.09 tengah hari semalam. Punca kematian adalah ‘myocardial Infarction’ (serangan jantung),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu semalam, tular satu video yang merakam pemandu treler berkenaan yang masih lagi terduduk di kerusi pemandu selepas kejadian, serta dapat didengari suara wanita yang merakam video berkenaan bertanya adakah dia memandu dalam keadaan mabuk.

    Video berdurasi 1 minit 14 saat itu turut memaparkan pemandu treler itu dilihat tidak mampu untuk bercakap serta sedang mengerang beberapa kali seolah-olah menahan sakit.

    Shafa’aton berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Sungai Buloh menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati waris keluarga si mati.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.

  • Keputusan umrah dibuat berdasarkan keselamatan – PM

    Keputusan umrah dibuat berdasarkan keselamatan – PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, sebarang keputusan yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perjalanan umrah adalah berdasarkan keselamatan rakyat.

    Namun Perdana Menteri berkata, laporan terperinci berkaitan keputusan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini akan dibentangkan kementerian berkenaan esok.

    “Gambaran sebenar mengenai kewajaran penangguhan itu hanya akan diketahui dalam Mesyuarat Khas Kabinet tersebut.

    “KKM akan bentang isu Covid-19 terutama berkaitan varian Omicron dan sebagainya termasuk cadangan atau keputusan yang dibuat mengenai umrah.

    “Esok kita akan dapatkan gambaran sebenar cuma saya nak maklumkan tindakan Kementerian Kesihatan lebih kepada nak jaga nyawa kita. Apa-apa pun esoklah dapat laporan terperinci,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau keadaan banjir di daerah ini termasuk singgah melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Tandong di Buloh Kasap, Segamat, hari ini.

    Turut mengiringi beliau ketika bersama-sama Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

    Sabtu lalu, kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri berdasarkan penilaian risiko situasi varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi.

    Keputusan itu menimbulkan pelbagai reaksi terutama dalam kalangan bakal jemaah yang sudah menempah tiket penerbangan ke tanah suci dan para operator pelancongan yang menguruskan ibadah umrah.

    Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, mesyuarat yang sama esok akan turut menyentuh isu pasca banjir dan persediaan untuk mengatasi gelombang kedua bencana itu sekiranya berlaku.

    “Semalam saya ada mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa mengenai pasca banjir dan gelombang kedua yang dihadiri semua Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri.

    “Kita akan bentangkan kepada Kabinet mengenai keputusan yang dicapai dalam mesyuarat khas jawatankuasa tersebut yang turut dihadiri Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera,” katanya.

  • Wartawan meninggal dunia dalam kereta

    Wartawan meninggal dunia dalam kereta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG wartawan akhbar bahasa Cina ditemukan meninggal dunia dalam keretanya yang diletakkan di depan pusat beli-belah Alor Setar Mall di Kedah, awal pagi ini.

    Wartawan tersebut, Ng Eng Boon, 44, ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam dalam kereta miliknya.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung keadaan mangsa pada pukul 4.07 pagi tadi.

    “Ketika ditemukan, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri namun enjin keretanya masih lagi hidup.

    “Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia di situ dan siasatan awal mendapati, tiada unsur jenayah di lokasi kejadian,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat selain ujian saringan Covid-19.

    “Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Polis Perak perhebat operasi, 41 sarang penagihan dadah dihapuskan

    Polis Perak perhebat operasi, 41 sarang penagihan dadah dihapuskan

    POLIS Perak akan memperhebatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menghapuskan kira-kira 41 sarang penagihan dadah yang telah dikenal pasti di seluruh negeri pada tahun ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah mengarahkan kesemua 15 ketua polis daerah untuk memberi tumpuan khusus bagi menghapuskan sarang penagihan dadah dan kes-kes melibatkan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di Perak.

    “Ia merupakan sasaran utama untuk kita melakukan tangkapan terhadap sindiket dadah berskala besar,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara, hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata, sarang penagihan dadah telah dikenal pasti terbahagi kepada pelbagai lokasi antaranya di sekitar kawasan perumahan, ladang kelapa sawit dan sebagainya.

    “Tempat-tempat sarang penagihan dadah ini akan kita hapuskan tahun ini agar tiada lagi sarang dadah di seluruh negeri ini,” katanya.

    Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata sebanyak RM18 juta saman berjaya dikutip menerusi diskaun kompaun saman trafik di negeri yang ditawarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1 Dis hingga 31 Dis lepas.

    Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan banjir berjumlah RM500 berserta bakul makanan kepada 41 warga PDRM Perak yang kediaman keluarga mereka terjejas akibat banjir. – Bernama

  • Penguasa Kanan SPRM didakwa pecah amanah AS$6.94 juta

    Penguasa Kanan SPRM didakwa pecah amanah AS$6.94 juta

    SEORANG Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah AS$6.94 juta.

    Shahrum Nizam Baharuddin, 41, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin, lapor BH hari ini.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahrum didakwa sebagai penjawat awam iaitu Penguasa Kanan SPRM, Gred P44 dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas matawang AS$6.94 juta dan melakukan pecah amanah terhadap harta berkenaan.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK) Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah jaminan diberikan ke atas tertuduh kerana membabitkan kesalahan serius selain mendapat liputan media.

    Bagaimanapun, katanya, sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10 juta dengan tiga penjamin terhadap tertuduh.

    Tertuduh dalam rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin kerana masih bertugas sebagai penjawat awam dan tidak berisiko melarikan diri.

    “Tertuduh sudah ditahan sejak September lalu dan sudah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

    “Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak serta mengalami masalah kesihatan iaitu sakit tulang belakang selain kanser hidung,” katanya.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Februari ini untuk sebutan semula kes.

    Pada September lalu, SPRM menahan tiga pegawainya selepas bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas suruhanjaya itu ketika menyiasatnya pada 2018 telah hilang.

    Isnin lalu pula, media melaporkan, seorang pegawai SPRM yang didakwa terbabit dengan kecurian duit berkenaan ditahan di Penjara Simpang Renggam mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

    Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pegawai itu menjalani hukuman dua tahun disebabkan terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

  • Laluan KM77-KM78 Lebuhraya KL-Karak arah timur dibuka semula

    Laluan KM77-KM78 Lebuhraya KL-Karak arah timur dibuka semula

    PEMEGANG konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ANIH Berhad memaklumkan laluan KM77-KM78 arah timur lebuh raya tersebut yang ditutup sejak banjir tengkujuh pada pertengahan Disember lepas, telah dibuka kepada pengguna sejak 3 pagi tadi.

    Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata laluan itu dibuka selepas kerja-kerja pembersihan serta pembaikan siap dilakukan dan mereka yang ingin ke Pekan Karak tidak lagi perlu membuat pusingan U sebelum Plaza Tol Karak. 

    “Pada masa ini, lorong kiri dan kanan menghala ke Kuala Lumpur dari KM66 hingga KM70 sudah dibuka sepenuhnya.

    “Namun, pengguna dinasihatkan agar mematuhi papan tanda arah keselamatan apabila menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua di KM74.8 hingga KM77.3 untuk keselamatan dan keselesaan semua,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

    Untuk maklumat lanjut, tepat dan terkini, pengguna boleh merujuk ke laman media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik dan @LPTTrafik atau Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Lebuhraya Pantai Timur, selain talian hotline LLM 1800-88-7752 serta talian LPT 09-5479111 dan 1-700-818-700.- Bernama

  • Nelayan lemas selepas bot dinaiki langgar tiang jeti lama

    Nelayan lemas selepas bot dinaiki langgar tiang jeti lama

    MAYAT seorang nelayan ditemukan di Sungai Kenyau, Batang Rajang, Tanjung Manis, Sarikei, malam tadi.

    Sebelum itu, mangsa, Saipul Arshad, 37, dikatakan menangkap ikan di sungai tersebut sebelum hilang dan abangnya kemudian membuat laporan kehilangan adiknya.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat Saipul ditemuikan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 10 pagi berhampiran jeti lama Tanjung Manis.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mangsa dilaporkan hilang jam 10.55 malam tadi selepas perahu dinaikinya melanggar tiang jeti lama yang digunakan untuk memuatkan balak di sungai, pada jarak 50 meter dari pantai.

    Kejadian dipercayai berlaku semasa hujan lebat dan usaha mencari mangsa yang dijalankan oleh penduduk kampung gagal menemukannya sebelum abang mangsa hadir membuat laporan di Balai Polis Tanjung Manis.

    Susulan itu, operasi SAR dimulakan seawal jam 5.30 pagi hari ini, membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis Marin bersama penduduk kampung.

  • Dipenjara 3 tahun dera, pukul anak 8 tahun dengan kabel

    Dipenjara 3 tahun dera, pukul anak 8 tahun dengan kabel

    MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang bapa atas kesalahan mendera anak perempuannya di Pasir Puteh, pada hujung bulan lalu.

    Tertuduh, Wan Azlan Wan Ali, 44, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya anak perempuan kandung berusia lapan tahun dengan cara memukul menggunakan kabel sehingga mendapat kecederaan.

    Kejadian dilakukan di rumah di Kampung Sungai Kelong, Pasir Puteh, 1 pagi pada 28 Disember lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Mengikut fakta kes, tertuduh memukul mangsa yang juga anak bongsu disebabkan telefon bimbit milik tertuduh mengalami masalah teknikal.

    Mangsa bersama-sama adik beradiknya melarikan diri dari rumah ketika bapa mereka sedang tidur, untuk mendapatkan kakak mereka yang belajar di kolej di Kota Bharu.

    Kakak mangsa yang melihat kecederaan adiknya tampil membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan pada 5.20 pagi di rumahnya sehari selepas kejadian.

    Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh yang sepatutnya melindungi anak-anak.

    Tertuduh pula memohon hukuman dikurangkan memandangkan beliau sudah insaf dan tidak akan mengulanginya.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman tiga tahun penjara.