Category: Semasa

  • Tiada vaksin tamat tempoh dibekal kepada PSV, PPV

    Tiada vaksin tamat tempoh dibekal kepada PSV, PPV

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memantau secara berterusan bekalan dan tarikh luput vaksin COVID-19 yang diterima oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

    Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A. Halim berkata, pemantauan tersebut dilakukan dengan mengguna pakai Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terlibat dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    “Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada beberapa kiriman dan video yang dimuat naik dan ditularkan di media sosial berhubung dakwaan vaksin COVID-19 yang diberikan kepada penerima, sama ada telah luput atau hampir luput.

    Norhaliza menjelaskan, penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan pengilang pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu.

    Katanya, tempoh jangka hayat vaksin akan berubah sekiranya terdapat perubahan suhu penyimpanan dan tarikh luput baharu diberikan kepada produk tersebut berdasarkan permohonan pelanjutan jangka hayat yang dikemukakan pengilang kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

    “Pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin tersebut hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori.

    “Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar,” katanya.

    Norhaliza berkata, NPRA meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty (Pfizer) daripada enam kepada sembilan bulan, vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran China (daripada sembilan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada enam kepada 12 bulan).

    Beliau berkata, NPRA juga meluluskan pelanjutan tempoh jangka hayat bagi produk vaksin Convidecia dari enam kepada 12 bulan pada 17 Dis tahun lepas.

    “KKM komited memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 yang dibekalkan kepada penduduk dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

    “Penilaian manfaat risiko bagi vaksin COVID-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

  • Doktor kaut hampir RM1 juta jual sijil vaksin palsu

    Doktor kaut hampir RM1 juta jual sijil vaksin palsu

    POLIS Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu di Marang, dekat Kuala Terengganu, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

    “Siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik ini (tujuan vaksinasi) dan daripada jumlah itu kita masih menyiasat berapakah jumlah sebenar yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapat sijil vaksinasi palsu.

    “Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

    Rohaimi berkata, individu dari luar Terengganu juga dipercayai turut menggunakan khidmat doktor tersebut bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

    “Kita dapati kebanyakan pelanggannya berurusan secara dalam talian, jadi kita akan cuba dapatkan maklumat daripada e-mel dalam komputer riba yang turut dirampas dari klinik berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, doktor yang mengaku dirinya sebagai golongan antivaksin itu, dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik yang lain.

    “Walaupun doktor itu mengaku antivaksin, beliau sudah menerima suntikan vaksin (COVID-19), mungkin atas sebab tuntutan kerjaya beliau sebagai doktor,” katanya.

    Katanya, suspek dipercayai menggunakan ejen yang diberi komisen sebanyak RM50 untuk mempromosikan khidmatnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Menurut Rohaimi, perbuatan doktor yang bertauliah itu bukan sahaja merupakan satu jenayah, malah boleh membawa musibah kepada kesihatan masyarakat.

    Pada sidang media sama, Pengarah JKN Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, klinik swasta berkenaan dibenarkan untuk memberi suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lepas dan semakan mendapati klinik itu telah membuat permohonan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19, namun belum diluluskan.

    Kasemani berkata, terdapat klinik yang masih belum dilantik menjadi PPV, namun boleh memberikan suntikan secara berbayar bagi vaksin COVID-19 keluaran Sinovac sahaja.

    Beliau berkata, pemberian suntikan vaksin secara berbayar semakin berkurangan kerana sudah terdapat vaksin yang mencukupi untuk diberikan secara percuma di PPV yang dilantik.

    “Kita akan tunggu hasil siasatan polis untuk tindakan lanjut terhadap doktor dan klinik ini,” katanya dan menambah pendaftaran klinik serta lesen doktor tersebut boleh dibatalkan jika didapati bersalah. – BERNAMA

  • Bot tunda dan barge berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang ditahan

    Bot tunda dan barge berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot tunda Nautillus dan ‘barge’ Singa Besar yang disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Ketua Jabatan Laut Malaysia semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tunda bersama barge itu ditahan semasa rondaan rutin kira-kira pukul 10.15 pagi semalam pada jarak 0.5 batu nautika barat Penaga.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh dari Pengarah Laut Malaysia ketika diminta.

    “Barge bermuatan jentera dan bot tunda itu dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda terdiri daripada enam warga Indonesia dan dua warga tempatan.

    “Bagaimanapun, kesemua mereka yang berumur antara 21 hingga 48 tahun itu memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, nakhoda bersama seorang ketua jurutera telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

    Jika sabit kesalahan katanya, akta itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.

    “Kita akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • Dadah: Pelakon, pengarah dan penolong pengarah didenda

    Dadah: Pelakon, pengarah dan penolong pengarah didenda

    MAHKAMAH Majistret Kuala Kangsar hari ini menjatuhkan hukuman denda sehingga RM4,000 terhadap seorang pelakon, pengarah dan penolong pengarah selepas masing-masing mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan, Oktober lalu.

    Niezam Zaidi atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd Zaidi bersama-sama Muhamad Niezam, 30, Mohd. Latiff Zami, 50, dan Saiful Zaidrin Ismail, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari .

    Mohd. Shazmeer turut memerintahkan kesemua mereka menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) antara dua hingga tiga tahun serta hukuman penjara sehingga lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Muhamad Niezam mengaku bersalah memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.60 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, pukul 7.15 pagi, 10 Oktober 2021.

    Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

    Pelakon filem Budak Pailang itu juga mengaku bersalah memasukkan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pukul 9.50 pagi, 10 Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan tiga tahun pengawasan.

    Dalam prosiding itu, Muhamad Niezam yang diwakili Peguam Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan memandangkan pendapatannya telah terjejas akibat tiada tawaran sejak tangkapan terhadapnya dilakukan selain perlu menanggung ibu yang sakit.

    Ketiga-tiga mereka dikenakan denda dan pengawasan AADK oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan, Oktober lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam kerana tertuduh merupakan individu yang dikenali ramai.

    Mahkamah kemudiannya memerintahkan Muhamad Niezam membayar denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal dikenakan lima bulan penjara serta dua tahun pengawasan.

    Sementara itu, Mohd. Latiff yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 0.20 gram dadah jenis kanabis diperintahkan membayar denda RM1,800 dan jika gagal boleh dikenakan empat bulan penjara.

    Bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan pula, bapa kepada enam anak itu dikenakan denda RM2,000 dan lima bulan penjara sekiranya gagal bayar serta tiga tahun pengawasan AADK.

    Mahkamah sama turut memerintahkan Saiful Zaidrin membayar denda RM4,000, lima bulan penjara jika gagal bayar denda serta dua tahun pengawasan selepas mengaku memiliki dan memasukkan dadah dalam badan jenis methamphetamine di lokasi dan tarikh yang sama.

    Pada 10 Oktober lalu, ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dengan dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar yang bertindak atas maklumat pada pukul 7.15 pagi.

    Pemeriksaan di tiga bilik di rumah tersebut menemui dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270.

  • [VIDEO] Maritim Malaysia cekup bot guna sangkar besi

    [VIDEO] Maritim Malaysia cekup bot guna sangkar besi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Maritim Malaysia menahan sebuah bot tempatan kelas A kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di kedudukan 2.6 batu nautika, barat muara Kuala Kedah, petang semalam.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, bot tersebut ditahan kira-kira pukul 6.50 petang semalam semasa pihaknya membuat rondaan rutin Op Benteng dan Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati bot tersebut menggunakan sangkar besi iaitu peralatan yang tidak dibenarkan untuk menangkap ikan.

    “Bot nelayan tersebut dikendalikan lima kru termasuk tekong yang berumur antara 41 hingga 46 tahun. Seorang daripadanya disyaki warganegara Thailand yang tidak memiliki dokumen rasmi untuk tinggal di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kredit video: Maritim Malaysia

    Tambahnya, bot tersebut didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki peralatan sangkar besi yang tidak dilesenkan ketika di laut.

    Selain itu katanya, bot tersebut juga disyaki melanggar Pekeliling Pelesenan Bil 5/2017 iaitu pelaksanaan syarat lesen vesel menangkap ikan tempatan dengan tidak boleh menggunakan peralatan menangkap ikan selain daripada yang dilesenkan.

    Maritim Malaysia
    Lima kru bot yang ditahan. (Gambar: Maritim Malaysia)

    “Kru bot warganegara Thailand itu pula didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

    “Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Tambahnya, kalangan nelayan diingatkan supaya agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    maritim malaysia
    Bot nelayan yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan. (Gambar: Maritim Malaysia)

    “Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.

    “Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dengan setiap maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 05-7310579,” katanya.

  • 6 termasuk wanita ditahan 1 jam selepas larikan RM260,000

    6 termasuk wanita ditahan 1 jam selepas larikan RM260,000

    TIDAK sampai satu jam memecah pecah cermin sebuah kenderaan mewah dan melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 di Tanah Rata, Cameron Highlands, Sabtu lalu, enam penjenayah terbabit termasuk seorang wanita berjaya ditahan.

    Semua suspek berusia 19 hingga 38 tahun itu ditahan pukul jam 11.40 malam Sabtu dalam serbuan di sebuah lokasi di Brinchang.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan ke atas suspek berjaya dilakukan kurang satu jam selepas kejadian dilaporkan.

    “Hasil pemeriksaan, polis menemui dan merampas kembali wang tunai RM260,000 yang dilarikan dari kenderaan tersebut selain beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu.

    “Turut dirampas ialah empat peket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 34.74 gram dan satu peket plastik berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja kira-kira 4.2 gram,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Cameron Highlands, hari ini.

    Katanya, polis turut menemui dan merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi selain pelbagai barang kemas, tiga jongkong emas, 10 telefon bimbit, sebuah beg berisi wang tunai berjumlah RM3,843 dan anak kunci gari.

    “Siasatan lanjut mendapati dua suspek telah mendedahkan penglibatan mereka dalam tujuh kes jenayah pecah cermin kereta dan curi barang di sekitar Cameron Highlands.

    “Suspek turut mendedahkan penglibatan dua lagi rakan jenayah dalam kegiatan itu yang masih bebas. Berikutan itu, usaha mengesan dan menjejaki dua suspek itu sedang dijalankan,” katanya.

    Beliau berkata, suspek bagaimanapun sudah dikenal pasti dan hasil semakan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 25 rekod jenayah lampau.

    Menurutnya, dengan tertangkapnya kumpulan tersebut, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah cermin kenderaan yang berlaku di sekitar Cameron Highlands.

    “Hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek yang ditahan mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua mereka direman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    “Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 394 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau.

  • Najib tidak akan bagi keterangan kes Rosmah

    Najib tidak akan bagi keterangan kes Rosmah

    DATUK Seri Najib Razak tidak akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

    Terdahulu, hari ini, bekas Perdana Menteri itu dijangka memberi keterangan sebagai saksi ketiga pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

    Bagaimanapun, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah, pihaknya mengambil keputusan untuk tidak memanggil Najib, memandangkan keterangannya adalah bersifat menyokong.

    “Sehubungan itu, pihak pembelaan menyusun semula strategi dan mengambil keputusan untuk tidak memanggil Najib,” katanya.

    Pada prosiding itu, Jagjit turut memohon mahkamah untuk melapangkan tarikh perbicaraan pada minggu ini memandangkan saksi kedua pembelaan, bekas pegawai khas Najib, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod sedang menunaikan Umrah.

    Perkara itu kemudian tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang memberitahu mahkamah bahawa keputusan memanggil saksi pembelaan adalah hak pembelaan.

    Terdahulu, Najib tidak hadir pada prosiding perbicaraan kes itu, bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilihat duduk di galeri awam.

    Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

    Perbicaraan kes bersambung 4 Februari ini. 

  • Senarai sekolah masih ditutup akibat banjir dikemas kini setiap Rabu – Radzi

    Senarai sekolah masih ditutup akibat banjir dikemas kini setiap Rabu – Radzi

    SENARAI sekolah yang masih belum dibuka susulan terkesan akibat banjir akan dikemas kini setiap Rabu, bagi membolehkan sekolah terlibat memulakan pengoperasian bagi minggu seterusnya jika sudah bersedia, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    “Setiap Rabu kita akan mengemas kini senarai tersebut, apabila sekolah itu keluar daripada senarai, maknanya pada Ahad atau Isnin (minggu seterusnya) boleh dibuka bergantung sama ada mereka berada dalam kumpulan A atau B.

    “Namun pada masa sama, keadaan dan situasi banjir ini amat dinamik. Sesebuah sekolah itu boleh dibuka, tiba-tiba air naik dan itu secara automatik (sekolah ditutup)… dan tindakan awal akan diambil khususnya untuk maklumkan pada ibu bapa (berhubung penutupan sekolah),” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Kapar hari ini sempena pengoperasian sekolah di Selangor bagi penggal ketiga, 2021/2022. 

    Dalam pada itu, beliau berkata empat juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara memulakan sesi persekolahan bagi penggal ketiga, 2021/2022 melibatkan 1.2 juta pelajar daripada kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan semalam manakala 2.8 juta pelajar membabitkan kumpulan B, hari ini.

    Radzi berkata bagi Selangor, seramai 473,816 pelajar seluruh negeri itu memulakan persekolahan melibatkan 264,201 pelajar sekolah rendah manakala 446,816 merupakan murid sekolah rendah termasuk prasekolah.

    Susulan lawatannya di SK Meru yang merupakan antara sekolah terjejas banjir baru-baru ini, Radzi berkata beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD untuk melihat mana-mana fasiliti itu yang terkesan untuk memastikan perabot dan peralatan mencukupi.

    “Kalau ada perabot tidak mencukupi, kita akan bawa perabot-perabot berlebihan daripada sekolah lain, atau dari negeri lain,” katanya.  

    Mengenai sistem pengurusan pertukaran dan penempatan guru (e-GTukar) baharu yang didakwa meletakkan pilihan pertukaran tempat terhad, Radzi berkata pihaknya akan sentiasa menambah baik sistem tersebut untuk membolehkan ia berada di tahap optimum di samping lebih memudahkan mereka terlibat. 

    “Kita akan sentiasa tambah baik sistem tersebut, sebagaimana sistem baharu yang mana kita akan terima pandangan dan akan kaji untuk melihat pendekatan yang boleh digunakan untuk pembaikan sistem tersebut.

    “Kita ambil kira pandangan bila kata (guru) diberi pilihan tiga negeri (bagi pertukaran melibatkan negeri) maka mereka terpaksa pilih tiga negeri sedangkan mereka hanya ingin pindah satu negeri. Begitu juga melibatkan perpindahan melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sebagainya,” kata beliau.

    Beliau berkata bagi pertukaran antara negeri, walaupun hanya dinyatakan satu PPD bagi setiap negeri, sistem akan melihat PPD mana terdekat dengan PPD dipilih oleh pemohon.- Bernama

  • Perhilitan tangkap gajah jantan liar masuk kampung

    Perhilitan tangkap gajah jantan liar masuk kampung

    PENDUDUK di Kampung Salor, Jeli, kini boleh menarik nafas lega apabila seekor gajah liar sering masuk ke kawasan kampung dan merosakkan tamanan sudah ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jumaat lalu.

    Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap gajah jantan pada pukul 5 petang dengan anggaran ukuran tapak kaki hadapan 35 sentimeter.

    Menurut Perhilitan, operasi tangkapan itu dilakukan susulan aduan diterima daripada penduduk sejak Ogos lalu berhubung gangguan gajah liar di Kampung Salor, Kampung Batu Melintang, Jerek, Lawar dan Pendok.

    “Gajah ini adalah daripada kumpulan gajah Gunung Basor dengan anggaran populasi lebih dari 30 ekor dan dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari sumber makanan.

    “Jabatan Perhilitan mengambil tindakan seperti memberi khidmat nasihat kepada penduduk setempat, pemantauan dan kawalan di kawasan konflik selain menggunakan kaedah tembak halau bagi memastikan gajah liar berkenaan kembali semula ke hutan simpan berhampiran.

    “Operasi tangkap pindah ini adalah langkah susulan bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat dan memastikan keselamatan gajah liar dari diancam pemburuan haram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Perhilitan turut memaklumlam, operasi pindah gajah liar itu dirancang dilakukan esok dan gajah berkenaan akan dilepaskan ke habitat semula jadi di Taman Negara dengan kerjasama daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang Pahang.

    Katanya, penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun supaya tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan risiko konflik hidupan liar di kawasan berkenaan.

    “Pihak jabatan ingin menjelaskan bahawa operasi tangkap pindah gajah bukan penyelesaian jangka panjang terutamanya di kawasan kebun atau ladang yang berhampiran dengan kawasan hutan simpan.

    “Langkah mitigasi yang lebih efektif seperti sistem pagar elektrik gajah (SPEG) adalah salah satu kaedah yang paling berkesan untuk menghalang gajah liar memasuki kawasan tanaman,” katanya.

  • Hanya selipar ditemui tepi sungai:Budak dua tahun dikhuatiri lemas

    Hanya selipar ditemui tepi sungai:Budak dua tahun dikhuatiri lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang dan hanya menemukan sepasang seliparnya di tepi sungai di Kampung Sungai Zon Kumareling, Tambunan, pukul 6 petang semalam.

    Selipar itu ditemukan ibu mangsa yang mencari anaknya, Mohammad Syaril di tepi sungai di belakang rumah mereka yang dipercayai lemas.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.53 petang.

    Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai bersama pacuan empat roda JBPM dikerah ke lokasi kejadian.

    “Pasukan Bomba bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Menerusi maklumat awal, mangsa dipercayai hilang di sungai berdasarkan kepada penemuan selipar mangsa di tepi sungai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, maklumat berhubung keadaan operasi mencari kanak-kanak terbabit dikemaskini dari semasa ke semasa.

    “Setakat ini, mangsa belum ditemukan dan operasi SAR masih dijalankan,” katanya.