Category: Semasa

  • Warga asing larikan RM15,000 milik pengusaha restoran ditahan

    Warga asing larikan RM15,000 milik pengusaha restoran ditahan

    POLIS menahan seorang pelanggan warga asing selepas beberapa jam melarikan wang milik pengusaha sebuah restoran di Jalan Tenggiri 17/23, Seksyen 17, Shah Alam semalam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditangkap kira-kira 4 petang di tempat kejadian susulan laporan polis oleh pengusaha restoran berkenaan.

    Katanya, pemilik restoran telah membuat laporan polis semalam dengan menganggarkan jumlah kerugian RM15,000 selepas wang dalam beg tangan hilang.

    “Suspek adalah lelaki warga Indonesia dikenal pasti sebagai pelanggan yang sering ke restoran berkenaan.

    “Pasukan polis Balai Sri Muda mengesan dan menangkap suspek yang berumur 36 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan,” katanya lapor Harian Metro.

    Baharudin berkata, dalam tangkapan itu, polis merampas beg tangan mangsa bersama wang tunai untuk siasatan lanjut dan ketika tangkapan ke atas suspek, jumlah wang dijumpai semula sebanyak RM9,500 di mana suspek mengaku sempat membelanjakan wang itu.

    Beliau berkata, permohonan reman dibuat terhadap suspek untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

    Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di restoran pada 11.15 pagi, suspek kelihatan mundar-mandir di kaunter restoran sebelum bertindak mengambil beg tangan yang diletakkan di sebalik kaunter, memasukkan ke dalam bajunya dan melarikan diri.

  • Anggota polis patah kaki dirempuh kereta lari sekatan

    Anggota polis patah kaki dirempuh kereta lari sekatan

    SEORANG anggota polis parah selepas dirempuh sebuah kereta dalam sekatan jalan raya di Seri Kembangan, Serdang awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A Anbalagan berkata, dalam kejadian pada 1.50 pagi itu, Lans Koperal Meor Mohd Asri Meor Azlan Shah, 33, yang bertugas di Balai Polis Seri Kembangan, patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di belakang kepala selain cedera di kedua-dua belah tangan.

    “Beliau kini dirawat di Hospital Serdang dan dalam keadaan sedar serta stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Anbalagan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota berjaya mengesan kenderaan terbabit dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita di depan sebuah kedai makan di Taman Serdang Perdana pada 3 pagi.

    “Siasatan lanjut mendapati dua suspek lelaki berusia 29 tahun serta wanita berusia 24 tahun itu mempunyai kesalahan lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amfetamina, metamfetamina dan ketamin.

    “Suspek lelaki yang merupakan pemandu kereta berkenaan pula mempunyai 16 saman trafik membabitkan kesalahan pandu laju, tidak mempunyai lesen memandu dan memotong barisan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pemandu kereta berkenaan direman selama enam hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek direman selama tiga hari,” katanya. – BERNAMA

  • SPRM siasat isu integriti pegawai kanan MARA

    SPRM siasat isu integriti pegawai kanan MARA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan siasatan akan dijalankan bermula Isnin ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.

    “Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam Bernama melaporkan Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya memulakan siasatan lanjut di MARA Corporation dengan meneliti dokumen-dokumen berkaitan bagi memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.

    “Sekiranya wujud sebarang salah laku dalam tadbir urus anak syarikat di bawah agensi ini, MARA sesekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya lagi. – BERNAMA

  • Jangan salahkan kerajaan kalau kena tindakan tegas

    Jangan salahkan kerajaan kalau kena tindakan tegas

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi amaran kepada semua rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong serta peruncit bagi bekalan ayam dan telur ayam, supaya tidak memanipulasi harga bahan makanan berkenaan sehingga membebankan pengguna.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada antara mereka cuba mengambil kesempatan berbuat demikian dengan meletakkan harga lebih tinggi daripada yang dibenarkan kerajaan.

    “Jangan salahkan kerajaan jika tindakan tegas dikenakan kepada mereka kerana kerajaan tidak akan berdiam diri dan bertolak ansur dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap keperluan makanan asas ini.

    Saya harap amaran ini diambil perhatian oleh mereka yang berkaitan dengan menghentikan segera perbuatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warriors FC di Agro Resort Jeram Mengaji dekat Selising di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian berikutan menerima beberapa aduan daripada rakyat bahawa terdapat sesetengah pembekal atau pemborong yang cuba menaikkan harga bahan makanan itu.

    “Kerajaan mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang bagi menyelesaikan masalah ini termasuk meluluskan lesen import ayam dan telur dari luar negara bagi menstabilkan harga bahan mentah itu di pasaran tempatan supaya tidak membebankan pengguna,” katanya.

    Semalam, Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam memaklumkan peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina menyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam ketika ini.

    Beliau berkata KPDNHEP yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam serta syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi. – BERNAMA

  • 9,117 kes baharu COVID-19, tertinggi bagi 2022

    9,117 kes baharu COVID-19, tertinggi bagi 2022

    MALAYSIA hari ini merekodkan 9,117 kes baharu COVID-19 iaitu angka tertinggi bagi tahun ini berbanding 7,234 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 meningkat kepada 2,904,131 setakat 12 tengah hari manakala jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan ialah 2,806,154 orang dengan pertambahan 6,546 individu hari ini.

    Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 47 adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya 9,070 kes lagi dalam kategori satu dan dua.

    “Sebanyak 134 kes merupakan kes import dan 8,983 kes tempatan dengan 123 daripadanya memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 67 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19.

    Dr Noor Hisham juga berkata, sebanyak 10 kluster baharu direkodkan dengan 353 kluster masih aktif setakat ini.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.13 setakat semalam dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sabah (1.29) dan Kedah (1.19). – BERNAMA

  • Enam PATI diberkas semasa cuba pulang ke Indonesia

    Enam PATI diberkas semasa cuba pulang ke Indonesia

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    ENAM pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dari negara ini tidak berjaya apabila diberkas semasa menaiki pacuan empat roda dan motosikal di Ladang Bukit Batu Mas, Pengerang, Kota Tinggi, hari ini.

    Semua PATI berkenaan dipercayai sedang menuju ke satu kawasan bot sedang menunggu untuk membawa mereka pulang namun kehadirannya berjaya dikesan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang melakukan Op Benteng.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia ATM, kesemua PATI itu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 39 tahun.

    “Pada pukul 9.20 pagi, Tim Peronda telah mengesan dan melihat pergerakan orang yang mencurigakan di ladang tersebut. Kemudian pada pukul 10.30 pagi, tim telah berjaya menangkap enam PATI bersama-sama sebuah kenderaan pacuan empat roda.

    “Kenderaan itu dipercayai ditinggalkan tekong darat semasa melarikan diri selain juga dijumpai lima buah motosikal yang dibawa PATI berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pemeriksaan mendapati semua PATI tidak mempunyai pengenalan diri yang sah dan cuba balik ke Indonesia secara tidak sah.

    Katanya, semua PATI berkenaan diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk soal siasat dan proses dokumentasi.

    Mereka ujarnya, akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru manakala kenderaan yang dirampas diserahkan ke Balai Polis Pengerang untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, laporan pula dibuat di Balai Polis Bayu Damai, dekat sini pada jam 12.30 tengah hari.

    Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM29,282 melibatkan wang tunai RM192, kenderaan pacuan empat roda bernilai RM19,000, lima motosikal bernilai RM7,300 dan enam telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM2,790.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

  • Lelaki maut terjun tingkat 12 tikam isteri 34 kali

    Lelaki maut terjun tingkat 12 tikam isteri 34 kali

    HASIL bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 46 tahun yang maut akibat ditikam suaminya sebelum lelaki itu terjun dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Pulau Pinang semalam mendapati mangsa ditikam sebanyak 34 kali.

    Perkara itu disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan yang memaklumkan bedah siasat ke atas mayat wanita berkenaan siap dijalankan hari ini.

    “Berdasarkan hasil bedah siasat, wanita tersebut ditikam sebanyak 34 kali di badannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam kejadian awal pagi semalam, satu kes pembunuhan di sebuah rumah di pangsapuri itu terbongkar selepas penemuan mayat seorang lelaki di bahagian bawah pangsapuri berkenaan oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi.

    Lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai bertindak nekad terjun dari tingkat 12 pangsapuri berkenaan selepas menikam isterinya di kediaman mereka.

    Mayat wanita berkenaan ditemukan di dalam sebuah bilik kediaman pasangan itu beberapa jam kemudian selepas ibu wanita berkenaan membuat laporan polis berikutan gagal menghubungi anaknya itu.

    Difahamkan, pasangan suami isteri  yang bekerja di kilang di Bayan Lepas itu berselisih faham dan polis turut menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan lelaki berkenaan untuk menikam isterinya hingga mati.

    Pasangan itu mempunyai anak berusia 18 tahun namu  ketika kejadian tiada di rumah kerana tinggal bersama neneknya di Air Itam.

  • Padah lawan arus, penunggang motosikal parah langgar kereta

    Padah lawan arus, penunggang motosikal parah langgar kereta

    PERBUATAN seorang lelaki menunggang motosikal secara melawan arus membawa padah apabila dia cedera parah selepas terlibat kemalangan dengan dua kereta pagi tadi.

    Memetik laporan FMT, kejadian tersebut berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kampung Pandan menghala ke Gombak.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian kira-kira pukul 5.25 pagi itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Bezza, sebuah Proton Saga dan sebuah motosikal Honda Wave.

    “Hasil siasatan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dipercayai ditunggang secara melawan arus di lorong tengah MRR2 dan berlanggar dengan Proton Saga yang berada di lorong tengah.

    “Kejadian mengakibatkan Perodua Bezza yang berada di belakang tidak sempat brek dan melanggar belakang Proton Saga,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau memberitahu, akibat kemalangan itu penunggang motosikal yang berusia 22 tahun parah di muka serta kaki dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Ampang.

    Tambahnya, pemandu kedua-dua kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Bekalan telur ayam pulih penghujung Februari

    Bekalan telur ayam pulih penghujung Februari

    BEKALAN telur ayam dalam pasaran di seluruh negara akan pulih pada penghujung bulan ini.

    Begitulah jaminan diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu kekurangan bekalan telur ayam dalam pasaran di negara ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan itu dibuat hasil pemantauan, pemeriksaan dan kutipan data membabitkan 50 syarikat yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negara ini.

    Menurut Rosol, berdasarkan pemantauan sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus kesediaan bekalan telur ayam ada dalam pasaran negara dan jumlah stabil serta mampu memenuhi keperluan harian rakyat.

    Beliau berkata, kekurangan telur ayam disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan pembelian sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina yang dijadikan stok selain masalah logistik di ladang kerana cuti panjang menyebabkan wujud masalah penghantaran.

    Justeru katanya, jaminannya adalah pada minggu akhir Februari isu itu akan selesai.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani, Kuala Ping, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

    Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu memberitahu, selain telur ayam, bekalan ayam mentah yang turut berdepan masalah kekurangan stok atas faktor sama juga dijangka selesai akhir bulan ini.

    Ujarnya, secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 30 juta biji telur ayam sehari dan 60 juta ekor ayam sebulan di mana data pada Februari menunjukkan kekurangan sebanyak 3 juta ekor ayam tetapi selepas ini pengeluaran ayam dijangka melebihi 60 juta.

  • Dr Mahathir dibenar keluar IJN hari ini

    Dr Mahathir dibenar keluar IJN hari ini

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 pagi tadi.

    IJN dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, Dr Mahathir baru-baru ini dimasukkan ke institut itu untuk rawatan perubatan dan dibenarkan keluar hari ini dan beliau akan menjalani pemulihan di rumah.

    “Tun Dr Mahathir akan menjalani pemeriksaan susulan bagi meneruskan rawatan perubatannya apabila diperlukan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengucapkan terima kasih kepada semua atas keprihatinan dan doa mereka apabila Dr Mahathir dimasukkan ke IJN.

    Semalam, media melaporkan, Dr Mahathir masih menjalani proses pemulihan di institut tersebut dan dibenarkan pulang pada 2 Feb, tetapi perlu kembali ke institut itu untuk fisioterapi dan rawatan lanjut. – BERNAMA