HASIL bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 46 tahun yang maut akibat ditikam suaminya sebelum lelaki itu terjun dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Pulau Pinang semalam mendapati mangsa ditikam sebanyak 34 kali.

Perkara itu disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan yang memaklumkan bedah siasat ke atas mayat wanita berkenaan siap dijalankan hari ini.

“Berdasarkan hasil bedah siasat, wanita tersebut ditikam sebanyak 34 kali di badannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam, satu kes pembunuhan di sebuah rumah di pangsapuri itu terbongkar selepas penemuan mayat seorang lelaki di bahagian bawah pangsapuri berkenaan oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi.

Lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai bertindak nekad terjun dari tingkat 12 pangsapuri berkenaan selepas menikam isterinya di kediaman mereka.

Mayat wanita berkenaan ditemukan di dalam sebuah bilik kediaman pasangan itu beberapa jam kemudian selepas ibu wanita berkenaan membuat laporan polis berikutan gagal menghubungi anaknya itu.

Difahamkan, pasangan suami isteri  yang bekerja di kilang di Bayan Lepas itu berselisih faham dan polis turut menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan lelaki berkenaan untuk menikam isterinya hingga mati.

Pasangan itu mempunyai anak berusia 18 tahun namu  ketika kejadian tiada di rumah kerana tinggal bersama neneknya di Air Itam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here