JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 181 notis lagi kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dalam operasi sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Juru arah utara malam tadi.

Dalam operasi bermula kira-kira pukul 8 malam itu, kesalahan memandu tanpa lesen dan lesen tamat tempoh antara  paling banyak dikesan dilakukan pengguna jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Pulau Pinang, Aedy Fadly Ramli berkata, secara keseluruhan, pihaknya memeriksa sebanyak 895 kenderaan dalam operasi lebih lima jam itu dengan 132 daripadanya telah dikenakan tindakan.

Katanya, daripada 181 notis yang dikeluarkan pula, sebanyak 69 merupakan kesalahan berkaitan lesen memandu; pelesenan kenderaan (35); cermin gelap (28); nombor pendaftaran (15) dan lain-lain (34).

“Operasi ini memfokuskan penguatkuasaan kesalahan utama jalan raya membabitkan pemeriksaan berkaitan lesen memandu dan cukai jalan.

“Kita mahu memastikan pengguna jalan raya yang ingin kembali ke kediaman masing-masing selepas tamat cuti Tahun Baharu Cina tiba dengan selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada operasi itu.

Operasi bersepadu itu yang bermula pada 1 Februari lalu turut mendapat  kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, puhaknya turut memeriksa kenderaan yang menggunakan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi selain lampu High Intensity Discharged (HID) yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa patuh pada peraturan dan undang undang berkuat-kuasa semasa memandu, serta  memandu dengan cermat, berhemah dan berhati-hati semasa memandu ke destinasi dituju,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here